Wednesday, 19 February 2014

#PRKKajang Jangan terkejut ahli PAS akan undi BN?

PRK Kajang : Jangan terkejut ahli PAS akan undi BN?


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal memperlihatkan senario luar biasa sekiranya ahli atau penyokong Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN).


Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, keadaan itu tidak mustahil bakal berlaku bagi menunjukkan mereka hilang kepercayaan terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Malah, menurut beliau, sebahagian ahli dan penyokong pakatan pembangkang mungkin mengundi calon BN sebagai tanda protes terhadap keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lalu.

"Ahli Pas terutama berpendirian sederhana kini dalam keadaan berbelah-bahagi, mereka hilang kepercayaan terhadap Anwar.

"Mereka akan mengundi calon Bebas atau dalam keadaan luar biasa, mereka akan mengundi calon BN," katanya di sini hari ini.

Samsul Adabi mengulas tentang peluang Anwar untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut dalam situasi Penasihat PKR itu mungkin terpaksa menghadapi tentangan empat calon bertanding atas tiket BN dan Bebas.

Setakat ini, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan; bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar menawarkan diri untuk bertanding menentang Anwar.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon merupakan antara nama yang diramalkan sebagai calon BN.

Dalam perkembangan sama, Samsul Adabi menambah, Anwar boleh ditewaskan sekiranya BN menggunakan strategi yang betul dalam mendekati kira-kira 6,000 pengundi atas pagar di kawasan berkenaan.

Beliau memberitahu, secara rasional, terdapat kemungkinan kumpulan pengundi terbabit memihak kepada BN kerana membantah tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

"Saya menjangkakan DUN Kajang bakal menjadi medan pertarungan yang sengit antara BN dan pakatan pembangkang seperti yang lazimnya berlaku dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum di negara ini," ujarnya.

Jelas beliau, walaupun terdapat tokoh yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas, peluang mereka menang agak tipis.




No comments:

Post a comment