Jika bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, tiada pemimpin parti itu yang berani membawa Penasihat DAP, Lim Kit Siang ke Kelantan untuk berceramah menolak hudud.
Demikian tulisan AJK Pas Pusat yang juga anak Nik Aziz, Nik Muhamad Abduh di laman Facebooknya, semalam yang melahirkan kekecewaan atas tindakan Pas Kota Bharu mengundang pemimpin DAP itu ke kawasan tersebut.
“Mereka kata, sejak Pas kehilangan TGNA rahimahullah, Pas berubah begitu cepat sekali seolah-olah ada golongan yang menanti-nanti kematian itu.
“Saya jawab, ya. Jika ada TGNA, tiada pemimpin Pas yang berani membawa dan bersama LKS ke Kota Bharu untuk berceramah menolak hukum ALLAH.
“Semoga ALLAH mengukuhkan istiqamah ahli Pas seluruhnya menyambung perjuangan tuan guru yang telah menemui Tuhannya di belakang tuan guru presiden yang masih bersama berjuang melawan badai tipu daya,” katanya.
Menurut laporan, Kit Siang ke Kota Bharu atas jemputan Pas Kota Bharu malam Ahad lalu dan majlis itu turut dihadiri beberapa pimpinan lain PR, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Melalui ucapannya, Kit Siang memberitahu hadirin bahawa beliau bukan anti Islam tapi tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud.
Malah beliau memberitahu telah melawat beberapa negara Timur Tengah dengan beberapa pemimpin DAP dan mendapati Jordon dan Mesir tidak melaksanakan hudud.
Sementara itu, Pemuda Pas Gombak hari ini mengeluarkan kenyataan menuntut Pas Kota Bharu bertanggungjawab dalam kejadian itu.
“Saya mendengar dengan teliti ucapan Lim Kit Siang dalam ceramah pada 10 Mei. Ia satu ucapan biadap dengan mempertikaikan hasrat Kelantan untuk melaksanakan suara majoirit rakyat Kelantan yang mahu pelaksanaan jenayah syariah Islam berjalan.
“Usaha Tuan Guru dihina oleh pimpinan Pas Kota Bharu dengan menjemput Lim Kit Siang yang ternyata konsisten menghentam hudud sejak sekian lama atas alasan mahu memperkukuh PR dan menghancurkan BN. Sekarang sudah jelas siapa kawan siapa lawan dan siapa musuh dalam selimut,” kata ketuanya, Dr Mohd Nor Husin.
Malah katanya, Pas Kota Bharu perlu memohon maaf kepada seluruh rakyat Kelantan dan pendukung perjuangan Pas atas tindakan tersebut.