Wednesday 3 May 2017

Muafakat Ke Arah Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera

UCAPAN YAB DATO MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
EXCO AWAYDAY 2017
PADA HARI SELASA, 02 MEI 2017
DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PERSADA JOHOR,
JOHOR BAHRU
JAM 9.00 PAGI

Tuan-tuan dan puan-puan #TeamJohor sekalian,
1. Pertama sekali, marilah kita bersama-sama merafakkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan izinNya kita diberikan ruang dan kesempatan menjayakan EXCO Awayday 2017 pada pagi ini. Marilah kita turut mengambil peluang ini memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda.

2. Pemukiman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau EXCO Awayday ini adalah satu acara penting dalam kalendar pentadbiran kerajaan Johor. Ia merupakan kemuncak kepada Agenda Kepimpinan
Berprestasi Kerajaan Negeri. Segala pencapaian dan laporan yang kita dengar hari ini, adalah rumusan dan kompilasi pencapaian semua Pengerusi Jawatankuasa Negeri atau EXCO, mengikut KPI masing-masing bagi tahun 2016.

3. Jadi, acara pada hari ini mensasarkan dua matlamat penting. Pertama, ia harus menjadi satu platform umum kepada setiap EXCO untuk berkongsi dan membentangkan pencapaian tahunan portfolio masing-masing.

4. Dan kedua, EXCO Awayday ini adalah sesi memantapkan sinergi, kebersamaan serta kerjasama antara Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pelaksana, penjawat-penjawat awam dari
agensi negeri mahupun persekutuan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri.


Untuk makluman semua,
5. Selari dengan dasar inklusif Kerajaan Negeri, serta peralihan kita untuk menjadi sebuah kerajaan digital, program EXCO Awayday ini turut disiarkan secara langsung melalui FB live di akaun media sosial Facebook saya.

6. Kepada mereka yang sedang mengikuti majlis ini di FB live saya, saya harap anda semua akan turut mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat mengenai dasar, perancangan dan prestasi semasa Kerajaan Negeri Johor.

Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Dalam tempoh 12 hari lagi iaitu pada 14 Mei, genap empat tahun saya memikul amanah dan mandat sebagai Menteri Besar Johor. Saya masih ingat, pada Mei 2013, apabila saya dan rakan-rakan
EXCO yang lain mengangkat sumpah menerima jawatan, kami mencapai konsensus bahawa terdapat 3 cabaran atau kebimbangan yang menuntut perhatian dan fokus segera di Johor.

8. Pertama, seperti di kebanyakan negeri di Malaysia, wujud sentimen perkauman, terutamanya yang diburukkan oleh gimik dan polemik politik, yang berpotensi merebak menjadi budaya dan mentaliti
harian.

9. Perkara ini dikeruhkan lagi dengan pendekatan populist yang sering diambil mudah dan dijadikan gula-gula politik tanpa mementingkan kesahihan fakta dan pertimbangan kesan jangka masa panjang.
Justeru, sebagai remedi, kita perkenalkan konsep Muafakat Johor yang berlandaskan kepada seruan Muafakat Itu Berkat. Dan perkara ini kita perkemas pula dengan seruan #Team Johor yang mengajak
semua pihak untuk turut serta dalam sebarang ikhtiar menjadikan Johor negeri terbaik.

10. Kedua, seperti yang turut dialami oleh mana-mana ekonomi dunia yang lain, pertumbuhan ekonomi Johor yang pesat turut membawa bersamanya cabaran-cabaran yang besar kepada rakyat seperti isu pemilikan rumah, pekerjaan berkualiti serta peningkatan kos sara
hidup.

11. Namun, adalah tidak tepat untuk pihak Kerajaan Negeri sekadar meneka dan menentukan apakah enigma dan isu kehidupan rakyat Johor yang mesti difokuskan. Maka, kita santuni dan selami
masalah, keperluan dan harapan rakyat melalui Pelan Suara Hati Johor, yang menjadi asas kepada perancangan dasar serta agenda pembangunan kita.

12. Dan ketiga, kita melihat bahawa kerangka pemikiran, dasar dan pendekatan Kerajaan Negeri mesti dirancang agar sentiasa segar, bertepatan dengan perubahan zaman. Dan yang lebih penting, ia
mestilah disusun mengikut keperluan rakyat.

13. Kerajaan Negeri bukan sekadar menguruskan operasi negeri. Tetapi, Kerajaan Negeri perlu menjadi arkitek, katalis dan pendukung kepada potensi setiap rakyat, mencari jalan membongkar kebitaraan dan keperluan segenap penjuru negeri, dan pada masa yang sama,
memastikan sumber kewangan diguna dan dibelanjakan dengan
berhemah.

14. Justeru, kita perkenalkan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), Agenda Johor Mahir, Johor Prihatin, Johor Lestari, Johor Islami, Keusahawanan Johor serta pelbagai lagi dasar dan program, yang kesemuanya kita himpunkan di bawah Gagasan Johor Berkemajuan. Dan alhamdullilah, dalam tempoh hampir 4 tahun ini, segala usaha ini membuahkan pelbagai hasil dan pulangan yang
memberangsangkan.

15. Oleh itu, hari ini saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dan
mengulas 4 perkara penting.

16. Pertama, kemajuan semasa hasil pelaksanaan agenda kepimpinan berprestasi. Tahun lalu, dalam majlis ini, saya telah menerangkan secara terperinci mengenai kaedah yang Kerajaan Negeri gunakan dalam melaksanakan Agenda Kepimpinan Berprestasi.

17. Melalui pendekatan 5 langkah yang pernah saya terangkan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah berjaya memastikan yang setiap EXCO Negeri Johor mempunyai KPI yang tersendiri.

18. Selepas 12 suku tahun perlaksanaannya, bilangan EXCO yang telah memperolehi skor 86% dan ke atas adalah seperti berikut:
a. Tahun 2014 - 9 EXCO;
b. Tahun 2015 - 7 EXCO; dan
c. Tahun 2016 - 7 EXCO.

19. Pada tahun 2015, iaitu tahun kedua perlaksanaan Agenda Kepimpinan Berprestasi ini, kita telah memperluaskannya dengan menetapkan pula KPI kepada beberapa Majlis, Perbadanan dan GLC negeri Johor. Kumpulan sasar kedua ini merangkumi 9 buah organisasi yang memainkan peranan penting sebagai instrumen Kerajaan Negeri membangunkan Johor.

20. Dan momentum tersebut diteruskan apabila pada awal tahun ini, semasa menyampaikan Amanat Tahun 2017 pada 26 Januari lalu, saya telah meminta supaya semua Pegawai Kanan Negeri Johor
pula diberikan KPI masing-masing.

21. Perkara ini mendapat sambutan dan maklum balas yang baik. Dan pada 25 April yang lalu, kita telah berjaya melancar dan memulakan peringkat pertama perlaksanaan KPI kepada pegawai-pegawai
Kanan Kerajaan Negeri Johor.

22. Sebagai permulaan, seramai 57 orang Ketua-ketua Jabatan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri Johor telah diberikan KPI rasmi. Ini termasuklah Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha
Kerajaan (SUK) Pembangunan dan Pengurusan, Pegawai-pegawai Daerah, Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah dan YDP-YDP.

23. Jadi, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YB Dato Haji Azmi selaku Setiausaha Kerajaan Johor dan semua pegawai yang terlibat dalam menjayakan perkara ini.

Hadirin sekalian,
24. Sepanjang 4 pembentangan Bajet Johor oleh saya bermula pada tahun 2014 sehinggalah 2017, Kerajaan Negeri telah mengumumkan
sebanyak 436 titik sentuhan, iaitu:
a. 87 titik sentuhan pada tahun 2014;
b. 104 titik sentuhan pada tahun 2015;
c. 119 titik sentuhan pada tahun 2016; dan
d. 126 titik sentuhan pada tahun ini.


25. Seluruh jentera kerajaan yang berkaitan telah bekerja keras memastikan yang setiap titik sentuhan yang diumumkan tersebut dilaksanakan dengan tersusun dan mendatangkan manfaat terbaik.

26. Sukacita saya maklumkan bahawa status titik-titik sentuhan yang telah melebihi 85% kemajuan berbanding sasaran tahunan adalah seperti berikut:
a. Tahun 2014 - 55 titik sentuhan;
b. Tahun 2015 - 74 titik sentuhan; dan
c. Tahun 2016 - 70 titik sentuhan.


27. Daripada segi disiplin fiskal serta kemasukan pelabur pula, pentadbiran Kerajaan Negeri telah berjaya merekodkan beberapa pencapaian yang membanggakan. Antaranya, kutipan hasil tahunan Kerajaan Negeri bagi 4 tahun terkini adalah melebihi RM1.5 bilion.

28. Dan jumlah ini antara yang tertinggi di Malaysia. Pengurusan fiskal yang terancang dan berdisiplin turut membolehkan kita mencatatkan lebihan tahunan atau surplus. Sekaligus mencatatkan baki berjumlah RM1.1 bilion untuk Akaun Disatukan Kerajaan Negeri bagi tempoh sehingga 31 Disember tahun lalu.

29. Malah, kecemerlangan Johor turut terserlah apabila mencatatkan jumlah penerimaan pelaburan diluluskan terbesar di Malaysia bagi sektor perkilangan untuk 4 tahun berturut-turut. Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) adalah contoh-contoh yang menunjukkan kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan.


30. Syarikat milik negara seperti PETRONAS dan Khazanah Nasional telah melabur dengan jumlah yang amat besar di Johor. Begitu juga dengan syarikat-syarikat asing seperti Dyson Manufacturing daripada United Kingdom dan Lotte Chemical Titan daripada Korea.

31. Selain itu, salah satu cara yang adil untuk menilai prestasi dan pencapaian semasa Kerajaan Negeri adalah dengan mengimbas kembali Manifesto Negeri Johor pada PRU-13 yang lalu.

32. Manifesto bertemakan Mensejahterakan Rakyat tersebut merangkumi 20 perkara utama yang diperincikan melalui 84 akujanji. Dan saya suka memaklumkan bahawa kesemua 84 akujanji tersebut
telah dan sedang dalam tindakan seperti yang dijadualkan.

33. Apabila laporannya siap dalam sedikit masa lagi, kita akan mengeluarkan satu kad laporan Kerajaan Negeri bagi membolehkan seluruh rakyat Johor menyemak dan menilai sendiri prestasi dan kemampuan Kerajaan Negeri dalam mengotakan janji.

Hadirin dan hadirat,
34. Perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah Kepentingan Budaya Kerja Berpasukan. Saya ingin tegaskan di sini. Segala perkembangan, kemajuan, dan pencapaian cemerlang yang saya kongsikan sebentar tadi bukan hasil kerja tunggal mana-mana individu secara berseorangan.

35. Ia adalah hasil kudrat, idea, usaha dan kerjasama setiap orang dalam #TeamJohor. Kesemua ini saya nyatakan untuk mengiktiraf bahawa ia adalah cerminan sebenar kepada komitmen serta kerja kuat semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

36. Ini kerana, kejayaan dan pencapaian Johor tidak akan boleh dicapai dengan ikhtiar atau tindakan seorang individu sahaja atau one man show.


37. Saya ingin berikan dua contoh hasil kerja berpasukan dalam kerangka #TeamJohor yang telah menyumbang kepada kejayaan kita hari ini.

38. Contoh pertama, bagaimana kita menjayakan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi. Salah satu komponen pembangunan di kawasan berkeluasan 6,242 ekar ini sebenarnya, bukan di atas tanah kosong.

39. Sebaliknya melibatkan sebidang tanah yang telah mempunyai penduduk atau dipanggil brownfield. Namun, demi menjayakan pelaburan terbesar PETRONAS di Malaysia yang bernilai USD27 bilion, Kerajaan Negeri harus menggalas tanggungjawab yang amat sukar dan mencabar. Iaitu mengalihkan penempatan sedia ada yang meliputi 7 buah kampung melibatkan populasi seramai 3,122 orang dan 1,000 buah rumah.

40. Selain itu, kita turut perlu memindahkan sebanyak 2,151 kubur Islam dan 3,286 kubur Cina, yang dikira sebagai sesuatu yang taboo dan boleh mengundang rasa marah.

41. Namun, demi memastikan penduduk yang terlibat bukan sahaja mendapat wang pampasan tetapi turut memiliki rumah, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif yang adil dan segera dengan mewujudkan Skim Penempatan Semula di Taman Bayu Damai, Pengerang.

42. Alhamdullilah, sehingga kini, 949 daripada keseluruhan 1,000 unit rumah di kawasan penempatan baharu telah pun diduduki. Bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Sin juga telah siap dan sudah mula digunakan.

43. Ketahuilah bahawa tidak mudah sebenarnya untuk melaksanakan proses ini. Ia memerlukan perancangan yang teliti, kemahiran rundingan yang tinggi, kecekalan melaksanakan tugas dan juga
integriti.

44. Hasil kerja keras dan kesungguhan semua pihak, di peringkat persekutuan, negeri, daerah serta pegawai daerah, projek pembangunan mega ini tidak menerima bantahan penduduk sehingga menjadi isu nasional.

45. Malah, kerjasama yang baik daripada semua telah menyumbang kepada 54 peratus kemajuan pembangunan PIC sehingga akhir tahun lepas.

Tuan-tuan dan puan,
46. Contoh kedua ialah apabila berlaku musibah kebakaran di tingkat dua Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 25 Oktober tahun lalu.

47. Kita semua berasa sedih dan bersimpati kepada kesemua ahli keluarga 6 mangsa yang terkorban. Namun, di sebalik musibah yang tidak diingini ini, kita dapat melihat munculnya sikap murni dan jiwa mulia Bangsa Johor.

48. Pelbagai gerakan sukarela, petugas beruniform dari pelbagai unit, pemimpin masyarakat, sehinggalah kepada masyarakat umum. Kesemuanya hadir memberikan bantuan, menolong dengan kapasiti serta daya masing-masing.

49. Cuma harapan saya, kita akan terus mencari jalan untuk memantapkan budaya muafakat di kalangan #Team Johor. Biar ia menjadi ikatan terkuat yang memastikan kita kekal sebagai sebuah masyarakat yang saling memberi demi menjadikan Johor negeri terbaik, InsyaAllah.

Hadirin sekalian,
50. Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pagi ini ialah keutamaan dalam memastikan keberhasilan atau delivering real results. Dalam ucaptama EXCO Awayday tahun lepas, saya telah menggariskan 3 mekanisme penting Agenda Kepimpinan Berprestasi, iaitu Mengukur Prestasi, Memacu Prestasi dan
Menghebah Prestasi.

51. Sepanjang setahun yang lepas, saya telah memberi penekanan khusus kepada proses Memacu Prestasi. Contoh terbaik yang saya ingin kongsi ialah apabila kita adakan Siri Lawatan Daerah oleh Menteri Besar. Siri lawatan rasmi ini telah diadakan dari semasa ke semasa bermula tahun 2013. Bagi tahun 2017, kita susun pula lawatan tersebut mengikut Parlimen, agar tiada kawasan Parlimen yang terlepas atau diabaikan. Maka, sejak Januari sehingga kini, saya telah melawat sebanyak 23 daripada keseluruhan 26 Parlimen di dalam Johor.

52. Matlamat segala lawatan ini mudah. Kita mahu memastikan yang segala agenda dan program pembangunan yang kita umumkan, dilaksanakan dengan cara terbaik dan mendatangkan keberhasilan
yang optimum kepada semua.

53. Untuk melihat contoh hasil kepada semua usaha ini, saya ingin kongsikan cerita 4 orang penerima manfaatnya.

54. Pertama, cerita Puan Meena yang menetap di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru. Beliau mempunyai 3 orang anak dan suaminya Encik A. Manogaran adalah seorang pesakit diabetes yang telah kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2013.

55. Bagi membuka punca pendapatan, Kerajaan Negeri melalui program Azam Kerja Muafakat Johor telah memberi bantuan peralatan memasak bagi menyokong perniagaan catering secara kecil-kecilan. Hari ini, walaupun Puan Meena turut mengalami masalah kesihatan, beliau telah berjaya menjana pendapatan mencecah sekitar RM1,000 sebulan hasil perniagaannya.

56. Selain itu, bagi meringankan kos sara hidup isi rumah ini, Puan Meena turut mendapat bantuan kewangan secara one-off di bawah Program Inklusif Masyarakat India. Manfaat yang diperolehi di
bawah Kerajaan Persekutuan pula adalah elaun khas bulanan kepada suami beliau yang merupakan pemegang kad OKU.

57. Tanpa kita sedari, sebenarnya, ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri yang bersifat inklusif dan pro rakyat. Selain Puan Meena, bersama-sama kita pada pagi ini adalah Puan Zamzarina, Encik Chong dan Encik Zamri yang hari ini mereka semua menjadi tetamu saya.

58. Saya amat tertarik mengetahui latar belakang mereka dan bagaimana keberkesanan dasar Kerajaan Negeri telah sedikit sebanyak membantu menyelesaikan keperluan mereka. Puan Zamzarina misalnya. Beliau ialah ibu kepada 3 orang anak, dan mula menyara hidup sebagai guru tuisyen pada umur 23 tahun.

59. Bagi menarik minat pelajar ketika sesi pembelajaran, beliau telah mencipta resepi coklat sendiri, yang pada mulanya hanya untuk hidangan di meja belajar. Kemudiannya, resepi ini telah membawa
beliau menceburi perniagaan coklat.

60. Sebagai usahawan muda dan kecil-kecilan, beliau telah menerima bantuan peralatan dan mesin di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) dan Skim Agropreneur Muda. Hasilnya, beliau telah berjaya mengembangkan perniagaan sendiri di bawah jenama Coco Damia, yang bukan sahaja dipasarkan di sekitar Johor. Tetapi telah berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura.

61. Kita ikuti perbualan saya dengan beliau tempoh hari. Sekalung tahniah dan syabas kepada Puan Zamzarina.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
62. Cerita mengenai Puan Meena dan Puan Zamzarina ini menunjukkan kita sentiasa jelas bahawa antara peranan utama Kerajaan Negeri adalah memastikan keseimbangan peluang dan kesejahteraan bagi setiap rakyat.

63. Namun, kita sedar yang tidak ada gunanya pelbagai peluang yang banyak ini jika rakyat kita tidak dapat memanfaatkannya. Khususnya dalam aspek peluang pekerjaan. Kerana kita sedar bahawa Johor
jobs are for Johoreans.

64. Bertitik tolak daripada pendirian inilah, kita menggalakkan lebih ramai anak muda Johor mendalami bidang kemahiran, atau mendapatkan kelulusan melebihi peringkat sarjana muda.

65. Apabila kita kaji, ramai yang sebenarnya berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Tetapi mereka perlu terus menjana pendapatan untuk menyara keluarga ataupun sememangnya tidak
mampu menanggung kos pengajian. Ini berlaku terutamanya, kepada mereka yang datang daripada keluarga miskin atau berpendapatan rendah.

66. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah berkerjasama dengan Permodalan Darul Tazim (PDT), Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Yayasan Zarith Sofiah melalui inisiatif Tabung Pendidikan Sarjana PDT. Tahun lepas, seramai 50 mahasiswa telah menerima bantuan bernilai RM10,000 seorang. Tahun ini, kita pertingkatkan jumlah penerima kepada 245 orang, dengan jumlah dana sebanyak RM5,000 seorang.

67. Antara penerimanya adalah Encik Chong yang berasal daripada Labis, Segamat, yang telah menerima bantuan ini tahun lepas. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kimia Sumber daripada Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dan kemudiannya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

68. Bagi mengurangkan kos sara hidup, beliau tinggal bersama kakaknya yang secara kebetulan menetap tidak jauh daripada kampus utama UTM di Skudai. Kakaknya dahulu terpaksa melepaskan tawaran melanjutkan pengajian peringkat sarjana disebabkan tiada sumber kewangan. Ini perbualan saya bersama Encik Chong tempoh hari.


Tuan-tuan dan puan-puan,
69. Ini semua adalah contoh bagaimana Kerajaan Negeri menterjemahkan inisiatif berteraskan ekonomi berkesejahteraan dan inklusif. Kita faham kumpulan isi rumah B40 dan kumpulan isi rumah
sederhana M40, adalah golongan yang ramai terhimpit dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

70. Oleh itu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengambil langkah intervensi. Ini termasuklah, pertama, memperbanyakkan perkhidmatan bas percuma di negeri ini iaitu Bus Muafakat Johor. Kedua, membuka lebih banyak koperasi yang menawarkan barangan harian pada harga berpatutan seperti Kedai Harga Patut Muafakat Johor (ImCoop). Dan ketiga, memberikan rebat air kepada penerima dalam senarai e-kasih.

71. Dan inisiatif terbesar kita dalam aspek kesejahteraan hidup ini pastinya adalah agenda Rumah Mampu Milik kita yang berharga hanya RM150,000 dan ke bawah. Dalam manifesto PRU-13, kita menjanjikan untuk membina 6,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

72. Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 11,334 unit telah disiapkan. Selari dengan permintaan yang tinggi dan dasar perumahan Johor yang menetapkan perlunya ada RMMJ bagi setiap pembangunan, kita telah menambah sasaran awal ini menjadi 60,000 buah RMMJ, akan disiapkan dalam tempoh sehingga 2020.

73. Daripada jumlah ini, setakat 28 Februari 2017, seramai 14,925 pemohon telah menerima tawaran. Dan daripada jumlah penerima tawaran ini, ada yang berjaya mendapat pembiayaan daripada
institusi kewangan, dan ada yang gagal. Mereka yang tidak lulus ini tidak kita biarkan.

74. Sebaliknya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperkenalkan Skim Pembiayaan RMMJ melalui kerjasama strategik dengan AmBank, yang melibatkan saiz dana pembiayaan sehingga RM300 juta.

75. Antara keluarga yang telah menerima manfaat dasar RMMJ ini adalah keluarga Encik Zamri. Isterinya Puan Sumiati tidak berkerja dan setelah mendirikan rumah tangga selama 21 tahun, mereka kini mempunyai 3 orang anak.

76. Sebelum berpindah ke Taman Nusa Bayu, Iskandar Puteri, beliau terpaksa menyewa sebuah rumah milik mertuanya di Kampung Sungai Melayu selama 18 tahun.

77. Saya juga telah berkesempatan berbual dengan Encik Zamri yang berasal dari Batu Pahat tempoh hari, mendengar suara hati beliau. Ini sedutan perbualan saya dengan Encik Zamri.

Tuan-tuan dan puan-puan,
78. Perkara keempat dan terakhir yang saya juga ingin sentuh adalah fokus yang kita telah tetapkan untuk tahun ini.

79. Pertama, memastikan perlaksanaan lancar semua titik sentuhan Bajet Johor 2017 serta tahun-tahun sebelumnya yang masih dalam peringkat perlaksanaan. Ini semua telah dijadikan KPI-KPI kepada para EXCO, Ketua-ketua Jabatan dan GLC-GLC Negeri.

80. Kedua, kita mesti berusaha menjayakan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) serta Pelan Pertumbuhan Daerah. Agar semua daerah di Johor dibangunkan mengikut perancangan dan
keperluan masing-masing.

81. Ketiga, kita mesti mencari jalan persediaan yang sewajarnya bagi berhadapan dengan gelombang Ekonomi Digital serta sektor ekonomi masa hadapan. Berhubung dengan perkara ini, saya suka
untuk maklumkan bahawa kita sedang di peringkat akhir menyiapkan kertas penubuhan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan atau Special Committee on the Economic of the Future.

82. Ke-empat dan terakhir, sebagai rujukan dan rumusan kepada pelbagai pencapaian pembangunan Johor pada tahun lalu, saya dengan ini mengumumkan yang Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan Bait Al Amanah telah menyiapkan Johor Development Report 2016.

83. Laporan ini bukan sahaja menganalisis pelbagai aspek pembangunan negeri Johor bagi tahun 2016. Tetapi turut memuatkan saranan serta kajian kes yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan
Negeri. Jadi, ambillah masa untuk bersama-sama menyemak dan meneliti laporan ini apabila penerbitan dan percetakannya siap sepenuhnya sedikit masa lagi. Ia adalah salah satu dokumen penting yang merekodkan segala prestasi, kedudukan serta pencapaian kita.


Tuan-tuan dan puan-puan,
84. Sebelum berakhir, marilah kita bersama-sama menerima segala pencapaian dan prestasi ini dengan minda yang terbuka dan positif. Mana yang baik, kongsi dan sebarkan dengan yang lain di luar sana. Mana yang kurang, datanglah beritahu saya dan seluruh jentera Kerajaan Negeri. Agar, kami semua berpeluang untuk membaiki keadaan dan terus memberikan yang terbaik untuk kita semua.

85. Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras memastikan kejayaan dan pencapaian cemerlang Johor selama ini. Marilah kita menanam tekad untuk memastikan lebih banyak kejayaan mampu kita capai, terutamanya yang dilakukan secara bersama atas nama #TeamJohor.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.