PUTRAJAYA – Generasi muda perlu lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu berita sensasi yang masih belum tentu kesahihannya ujar Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata adalah ironi bagaimana fitnah terhadap kerajaan dalam isu TPPA lebih mudah tersebar berbanding berita-berita pembangunan negara yang diusahakan kerajaan selama ini.
Rahman Dahlan merujuk kepada fitnah yang tersebar di laman Facebook pro pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sudah menandatangani perjanjian TPPA tanpa membahaskannya di parlimen.
“Itu adalah naluri manusia, namun generasi muda perlu mendisiplinkan diri supaya tidak mudah tertipu dengan fitnah yang disensasikan, jangan mudah percaya dengan berita sensasi yang tersebar di media sosial.” Ujar beliau
Beliau berkata jika generasi mempunyai persoalan mengenai kerajaan, mereka perlu membuka mulut dan bertanya, jangan hanya mendengar berita daripada sebelah pihak sahaja.“Tanya soalan kepada kerajaan, beri kritikan yang membina kerana itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi, malah kerajaan memang sentiasa mengalu-alukan suara dan pandangan dari generasi muda.” Kata Rahman Dahlan dalam program ‘Menteri Menjawab’ yang disiarkan secara langsung di RTM1 bertajuk ‘Patriotisme Generasi Muda’ pada Rabu malam.
Program tersebut di moderator oleh penceramah terkenal negara, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan turut diserikan dengan dua panelis muda, iaitu Parlimen Belia WPKL, Suhail Mohamed Kamarudin dan YDP Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (UM), Fanitsyara Kam Phon.
Dalam pada itu, Rahman Dahlan memberitahu yang dalam masa terdekat ini Transformasi Kerajaan Tempatan akan dilancarkan.
Beliau berkata dengan kewujudan sistem kerajaan tempatan yang lebih efisyen ini, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan akan dapat membantu rakyat dengan lebih efektif.
“Saya cukup gembira tahun ini buat pertama kali saya dapat memujuk enam pihak berkuasa tempatan supaya menyiarkan perjalanan majlis ‘council meeting’ mereka secara langsung,
“Saya akan menyediakan bajet untuk kamera dan pembesar suara. Dengan cara itu rakyat akan dapat tahu dan faham apa yang dibincangkan dan bagaimana mereka hendak membelanja cukai-cukai yang dikutip di kawasan pembandaran tersebut.” Katanya.
Sumber: KLXpress