Sunday 8 November 2020

JASA vs 85 juta??

 Orang tanya kenapa JASA dapat 85 juta?



JASA bukan Jaga Abah kau sama Azmin Ali... 

1. Kenapa tidak tanya apa nasib 1000 kakitangan JASA yang kena buang kerja di zaman PH? Mereka ada anak isteri dan keluarga. Ada bekas JASA yang merana hidup lepas dibuang kerja. 


2. Ada yang meninggal dunia kerana stress, sakit akibat tekanan hidup. Ada yang bercerai berai keluarga. Ada sesiapa tanya anak mereka makan apa bila mak dan ayah kena buang kerja? 


3. Ada kena ulang alik naik mahkamah kerana mahu disaman bank. Gobind, Menteri DAP janji hendak serap zaman Malaysia Baru, sampai ke sudah habuk pun tarak. Kenapa tak tanya? 


4. Ada dengar puak DAP cakap dan wartawan Astro Awani cakap JASA ini "propaganda arm" bagi kerajaan. Ada yang kata JASA ini yang kerjanya adalah cybertrooper. Cuci otak rakyat. Semua pakat2 percaya. Semua ini tidak betul. 


5. Pegawai JASA ditawar kerja bawah JPA dan SPA, ada temuduga, ada sijil original dan kena tapisan keselamatan baru boleh masuk kerja.Bukan pakai sijil palsu macam rejim PH. Ada Sasaran Kerja Tahunan, SKT untuk dinilai termasuklah mengadakan program bersama masyarakat di surau, masjid,kampung2 komuniti taman2 perumahan dan sebagainya. menerangkan polisi kerajaan, menyelesai isu rakyat dan membantu rakyat yang susah. JASA penghubung rakyat dengan kerajaan


6. DAP memang tidak suka JASA sejak JASA dikenali sebagai Cawangan Khas di bawah Jabatan Penerangan pada sekitar tahun 95-2000 lagi. Ustaz ustaz JASA ini masuk kampung imamkan solat, buat taqarrub di rumah orang setiap malam jumaat, baca Yassin, imamkan solat dan perbetulkan semula dakyah songsang DAP dengan hadis dan hujah. Betulkan semula persepsi rakyat, sebab itu motto JASA adalah "Memimpin Pendapat Rakyat". 


7. Memanglah DAP tidak suka bila JASA menyatukan semula orang Melayu di kampung, di masjid dan di komuniti bandar dengan mencuci balik semua indoktrinasi jahat DAP selama ini. Contoh mereka yang terpedaya dengan dakyah jahat DAP adalah seperti geng-geng PAN. 


8. Sesudah 22 bulan (PH) + 10 bulan (PN) = 32 bulan atau 2 tahun, 

8 bulan lamanya JASA sudah dikuburkan. Aset JASA termasuk kereta, pejabat di HQ, pejabat negeri dan peralatan pejabat semuanya entah ke mana. Jadi tidak pelik, ada peruntukan sejumlah RM85 juta untuk setup balik infra yang hancur lebur di zaman PH ini. 


9. Bodohnya DAP bila buat anggaran RM85 juta hanya untuk 52 orang staff sahaja. Ada staff yang dari kategori N dan M, maknanya emolumennya bukan dalam skim S yang dikhaskan untuk JASA. 


10. Tidak salah kalau JASA berbelanja RM85 juta bagi mengambil semula bekas staff yang ditamatkan kontrak. Ada yang sudah 13 dan 14 tahun bekerja dalam sektor awam dan hanya tinggal kurang dari setahun atau beberapa bulan lagi untuk menikmati skim tetap. 


11. Harapan mereka untuk masuk skim tetap musnah kerana PH. Dibuang kerja, dihalau keluar dari kuaters kerajaan sebegitu sahaja. Emolumen juga mungkin besar memandangkan gaji mereka yang sudah berbelas tahun kerja ini sudah menikmati tangga (T) yang hampir maksimum. 


12. Dengki apa kalau JASA dapat RM85 juta? Sikitlah kalau hendak banding duit yang PH songlap bila jual aset aset Tabung Haji, Khazanah dan kerakusan Guan Eng di MOF. Memanglah lagi besar daripada belanjawan tahunan sebelum ini sebab aset dah ada, peralatan pejabat dah ada, pejabat negeri semua dah ada serta pelbagai kemudahan lagi dah sedia ada. Tetapi, selepas JASA ditutup, ke mana perginya aset-aset JASA ini? Itu perlu tanya kepada Kerajaan PH. JASA yang baharu ini hendak membeli pelbagai aset-aset baru untuk memulakan semula. Memanglah tinggi untuk tahun belanjawan ini sahaja. 


13. Siapa yang hendak ceritakan kejahatan DAP dan PH ini? Orang JASA lah yang akan berceramah di kampung kampung, rumah PPRT dan flat dan di kawaan pendalaman. Memang lah kena bajet besar sebab kawasan liputan yang sudah dijangkiti virus DAP ini besar dan luas. 


14. Oleh itu, jangan hairan kenapa DAP yang melalak lebih bila JASA hidup balik. Itu belum lagi cerita bab BTN yang membuka balik kem-kem BTN dan PLKN untuk disiplinkan balik rakyat supaya patuh pada Perlembagaan Persekutan dan taat pada Raja dan Negara. Memanglah DAP takut. 


15. Kalau ada yang terpedaya dengan grafik Suara Rakyat dan DAP mengenai JASA, nampaknya kita masih lagi ditipu oleh penipu yang sama pada PRU14 yang lepas. 


16. Penipu memanglah takut bila ada orang orang JASA yang akan bercerita pasal kebenaran. Duit bukan soalnya tetapi kebenaran yang wajib diutamakan berbanding dakyah DAP dan PH. 


Olahan dari Haji Razak Al Kedahi

Bekas Pegawai JASA S17

Monday 4 December 2017

MB Johor: Yang taksub dengan bulan dan bintang ini, bukan Kerajaan BN, tetapi pembangkang.




UCAPAN PENGGULUNGAN OLEH:

YAB DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN

MENTERI BESAR JOHOR

BERTARIKH 04 DISEMBER 2017 (ISNIN)


Image may contain: 1 person, smiling, eyeglasses and text


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Mukadimah

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat atas satu sesi perbahasan yang menarik sepanjang minggu lalu.

Pelbagai idea dan saranan bernas telah kita dengar. Pihak Kerajaan Negeri amat terbuka untuk mempertimbangkan segala saranan tersebut mengikut kesesuaian dan keperluannya.

Rata-rata Yang Berhormat berhujah dengan baik, dengan menjadikan fakta serta rujukan berasas yang sahih dan terbukti sebagai sandaran dalam menegakkan idea serta pandangan masing-masing. Ini merupakan satu amalan yang baik yang bukan sahaja harus kita teruskan, malah mesti diperkemas dari semasa ke semasa.

Terima kasih juga saya ucapkan atas sokongan dari Yang Berhormat-Yang Berhormat semua antaranya Kukup, Senggarang, Semerah, Nusajaya, Serom, Pasir Raja, Bukit Naning, Gambir dan semua wakil rakyat dari Barisan Nasional yang lain.

Saya juga berterima kasih kepada wakil pembangkang seperti Jorak, Sungai Abong, Puteri Wangsa dan Maharani yang menyatakan sokongan ke atas Bajet 2018 ini.

Dan tidak ketinggalan juga, pastilah kepada YB Tan Sri Speaker sendiri, yang telah banyak bersabar dalam mengendalikan perbahasan oleh semua wakil rakyat pada sidang kali ini. Pepatah orang tua berbunyi, sabar dan tabah itulah sebenarnya jodoh bahagia. 


YB Tan Sri Speaker, 
Saya ingin memberi maklum balas dan menjawab beberapa persoalan dan isu penting yang telah dibangkitkan sepanjang sesi perbahasan yang lalu.


A. Pertama: Bajet 2018 Adalah Bajet Pilihanraya

Pertama sekali, saya merujuk kepada dakwaan-dakwaan bahawa Bajet 2018 yang saya bentangkan adalah satu bajet pilihanraya, seperti yang dibangkitkan oleh Penggaram dan Parit Yaani. Dan kalau dalam istilah yang digunakan oleh Johor Jaya, ia merupakan ‘multiple election promises’, dengan izin.

Jelaslah bahawa pembangkang sangat keliru dan sebenarnya tidak memahami pun apakah Bajet dan apakah janji pilihanraya. 

Bajet 2018 yang dibentangkan di dalam Dewan ini, adalah pelan dan cara kita menguruskan perbelanjaan dan hasil Kerajaan, untuk tempoh setahun akan datang. 

Ia merujuk kepada pelbagai perkara, merangkumi aspek kewangan, pengurusan fiskal mahupun agenda pembangunan negeri ini.

Maksudnya, ia adalah perancangan berbelanja Kerajaan. Agar perbelanjaan tersebut berhemah, menyejahterakan rakyat dan menterjemahkan pembangunan dengan cara terbaik.

Janji pilihanraya atau manifesto pula adalah berlainan. Ia adalah aspirasi parti politik yang menyatakan dasar, program dan projek pembangunan yang akan mereka lakukan, jika diberi mandat untuk pilihanraya.

Sekarang mari kita bandingkan inti pati kandungan Bajet Alternatif yang diedarkan oleh Pembangkang di peringkat nasional.

Cadangan-cadangan mereka adalah, satu, hapuskan GST, dua, memastikan kos sara hidup menjadi rendah, tiga, memantapkan SPRM untuk mengurangkan rasuah.

Semua ini bukan Bajet. Ini semua adalah janji pilihanraya. 

Tidak ada satu pun dalam Bajet Alternatif tersebut, menyatakan dengan jelas bagaimana mereka akan mengutip hasil atau menambah hasilan baru. Atau bagaimana mereka akan membelanjakan hasil tersebut mengikut program yang terancang dalam masa tertentu.

Kesemuanya adalah sekadar janji-janji besar, yang mereka bercita-cita untuk laksanakan, jika mereka memerintah.

Namun, bagaimana mereka akan merealisasikan cita-cita tersebut, tidak dinyatakan. Umpamanya, menghapuskan GST. Bagaimana mereka akan menguruskan kedudukan fiskal negara tanpa GST, terutamanya dalam keadaan harga minyak global berada pada paras yang rendah dan tidak menentu.

Kedua, bukankah ketiga-tiga janji besar ini menggambarkan dengan jelas bahawa pembangkang yang sebenarnya sering menjadikan Bajet dan sesi Dewan sebagai pentas manifesto dan ruang kempen pilihan raya.

Dengan mengulang-ulang janji manis mereka, yang telah puas diucapkan di pelbagai pentas politik.

Saya bersetuju dengan YB Tiram, yang berpandangan Bajet Pilihanraya adalah bajet yang mengumumkan pemberian bonus 3 bulan, sedangkan 2 bulan telah pun dibayar pada tahun ini. Malah, tindakan tersebut masih dilakukan walaupun ia memaksa Kerajaan Negeri mengambil risiko perbelanjaan defisit yang terlalu besar. 

Di Selangor, defisit perbelanjaan Kerajaan Negeri adalah setinggi 27.9% daripada saiz bajet, atau hampir dua kali ganda lebih besar dari jumlah yang dicatatkan dalam bajet Kerajaan Pusat, yang hanya defisit sebanyak 14.4% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan.

Ini barulah bajet pilihan raya. Memberikan segala-galanya. Bukan lagi gula-gula. Mereka beri kilang gula terus.

Ini bukanlah satu amalan yang baik. Kita sepatutnya mesti merancang mengikut kemampuan, mesti ukur baju di badan sendiri. Kerana itulah di Johor, kita berbelanja mengikut kemampuan. Kita berhemah. Kita teliti dan kita tidak populis. 

Kita sangat serius dalam tatakelola dan tadbir urus kewangan kita.

Tetapi, barangkali mereka di Selangor tidak sempat memikirkan semua ini. Sebab Menteri Besar Selangor sekarang ini dengarnya sibuk meninjau-ninjau kemajuan yang ada di Johor. Sampai ke Tiram perginya.

Ringkasnya, Bajet Johor 2018 adalah bajet yang adil, yang menawarkan keperluan rakyat secara bersesuaian dan bukannya dipenuhi oleh janji-janji pilihanraya. 

Kerajaan Negeri Johor tidak akan berhutang besar semata-mata mahu memberi gula-gula kepada penjawat awam. Malah, bajet Johor adalah bajet lebihan untuk 8 tahun berturut-turut.

Kalau kita semak sesi bahas kali ini, wakil Pembangkang yang lebih cenderung menjadikan sesi bahas kali ini medan berkempen untuk pilihanraya. 

Misalnya, YB Yong Peng yang mahu menghapuskan GST. Dan sebelum ini beliau mahu membuka perkhidmatan Bas Muafakat Johor kepada warga asing dan YB Penggaram yang mahu menghapuskan cukai pintu.

Ini baru janji manis untuk kempen pilihan raya. Dan inilah yang dinamakan, ‘ketuk dulang, paku serpih, kata orang, mereka yang lebih’. 


YB Tan Sri Speaker,

B. Kedua: Penurunan Anggaran Hasil 2018

Seterusnya saya merujuk kepada pertikaian oleh Senai berhubung penurunan Anggaran Hasil 2018 sebanyak RM104.67 juta berbanding Anggaran Hasil 2017 dan dakwaan bahawa kita menjadikan hasil dari Denda dan Hukuman sebagai cara untuk menampung hasil negeri.

Pertama sekali, saya tegaskan bahawa sekalipun kelihatan besar dalam jumlah, sebenarnya penurunan anggaran hasil tersebut hanyalah sebanyak 6.5%. 

Penurunan anggaran ini adalah berdasarkan kiraan realistik kutipan yang dapat dijana pada tahun 2018, berasaskan maklumat dan fakta pada masa bajet ini disediakan.

Kita tidak mahu meletakkan anggaran hasil yang tidak tepat dan tidak realistik namun akhirnya tidak berjaya dicapai.

Bagi Anggaran Hasil 2017 pula, sememangnya ia lebih tinggi. Ini kerana terdapat jangkaan kutipan daripada hasil tidak berulang iaitu premium tanah dalam jumlah yang besar. Perkara ini adalah sesuatu yang lazim terutamanya apabila melibatkan pembayaran secara ‘one-off’, iaitu yang berlaku sekali pada tahun tersebut sahaja. 

Kedua, saya akui bahawa Anggaran Hasil tersebut juga dibuat berdasarkan trend peningkatan kutipan di bawah Hasil Denda dan Hukuman.

Kita melihat wujud trend yang positif dalam peningkatan kesedaran orang awam terhadap tanggungjawab mereka untuk melangsaikan, antara lain, cukai tanah yang tertunggak.

Kesedaran ini kita pacu dan gandakan melalui pelbagai kempen yang aktif dijalankan dengan melibatkan media massa dan media sosial.

Pada tahun 2017 misalnya, kutipan hasil melalui Denda dan Hukuman dianggarkan pada kadar RM14.26 juta sahaja. Sedangkan kutipan sebenar telah mencapai RM19.99 juta setakat 29 November 2017. Dan jumlah ini tidak mustahil boleh mencecah hampir RM22 juta sebelum penghujung tahun ini. 

Jadi, Anggaran Hasil untuk Denda dan Hukuman pada kadar RM24.76 juta untuk tahun 2018 adalah lebih responsif dan berasaskan kepada trend ini.

Dan kalau kita bandingkan, kutipan sebenar untuk Denda dan Hukuman pada tahun-tahun sebelum ini adalah lebih tinggi. Dan kadar anggaran sebanyak RM24.76 juta untuk tahun 2018 itu sebenarnya adalah rendah. 

Sebagai perbandingan, kutipan sebenar Denda dan Hukuman pada tahun 2014 adalah RM38.08 juta, 2015 sebanyak RM31.86 juta dan tahun 2016 sebanyak RM29.23 juta.

Saya juga perlu tegaskan yang Denda dan Hukuman bukanlah penyumbang utama hasil Kerajaan Negeri Johor. Ia hanya mewakili 1.65% sahaja daripada keseluruhan Anggaran Hasil Kerajaan Negeri.

Ini kerana, Denda dan Hukuman bukanlah Hasil Berulang dan tidak termasuk dalam fokus utama peningkatan hasil Kerajaan Negeri Johor ke arah Bajet Berimbang Secara Berstruktur atau dengan izin, ‘Structurally Balanced Budget’.

Sehubungan dengan itu, adalah tidak bijak, amat dangkal dan sangat mengelirukan untuk Senai menuduh bahawa penyumbang hasil yang kecil ini menjadi fokus kita dalam strategi peningkatan hasil. 

Tujuan utama Kerajaan Negeri meningkatkan kecekapan pungutan hasil denda dan hukuman lebih kepada usaha untuk mendidik dan mengelakkan pelanggaran undang-undang dilakukan secara sesuka hati. 

Bukannya untuk menjadikan Hasil Denda dan Hukuman sebagai tampungan kepada hasil negeri dengan mengerah rakyat seperti spekulasi Senai.

Dan saya rasa Senai ini tidak membaca Bajet yang saya bentangkan. Telah saya lakarkan cita-cita Kerajaan Negeri untuk membangunkan Dekad Baharu Untuk Johor, menjelang tahun 2028. 

Telah saya nyatakan bahawa Johor akan kita bangunkan secara radikal. Ekonominya, prasarananya, kawasan luar bandarnya. Agar dengan kegiatan ekonomi yang pesat ini, peluang pekerjaan wujud, taraf dan kualiti hidup bermutu, hasil bertambah dan rakyat makmur.

Inilah perancangan dan strategi peningkatan hasil kita. Bukannya memfokuskan kepada Hasil Denda dan Hukuman.


YB Tan Sri Speaker,

C. Ketiga: Manfaat Kesihatan Masyarakat dan Skim Perlindungan Takaful Johor

Saya perlu bersetuju dengan YB Kukup, yang mengatakan sebenarnya dalam Dewan kita ini, adalah golongan yang fungsi dan matlamat hidupnya, tidak ada yang lain kecuali untuk sekadar membuat perbandingan antara Johor dengan Pulau Pinang dan Selangor.

Misalnya, dalam isu ketiga ini, yang menyentuh aspek perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan negeri Johor. Buat kesekian kalinya kita dibanding-bandingkan dengan Pulau Pinang dan Selangor. Kali ini, seperti biasa, oleh Senai dan sekali lagi Penggaram.

Saya ingin menegaskan seperti berikut.

Pertama, aspek kesihatan adalah perkara di dalam ‘Senarai Persekutuan’ atau ‘Federal List’. Maksudnya, ia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat. Ini adalah satu ‘constitutional arrangement’ yang telah kita persetujui sebagai sebuah Persekutuan.

Ini bermakna, ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat. Apa yang Kerajaan Negeri lakukan hanyalah mengukuhkan ekosistem perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan. Bukan mengambil alih tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Kedua, aspek penjagaan kesihatan asas, iaitu yang tidak memerlukan rawatan pakar, pembedahan atau prosedur-prosedur kompleks, di Johor dan di Malaysia sudah berada dalam keadaan yang sangat baik. 

Malah, kita diiktiraf di peringkat global sebagai antara yang terbaik di dunia. Seperti yang dinyatakan oleh ‘International Living’ dalam laporan bertajuk ‘4 Countries With The Best Healthcare in the World’ pada Julai tahun ini.

Daripada 24 negara yang dinilai, laporan tersebut mendapati Malaysia mempunyai perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, doktor yang berpengalaman dan kos yang sangat rendah, sehingga tidak dipercayai oleh kebanyakan negara-negara dunia yang lain. 

Namun, bagi kes-kes yang melibatkan keperluan pakar serta prosedur dan pembedahan yang kompleks, sudah pastilah ia mahal. Ia mahal bukan sahaja di Malaysia, tapi di seluruh dunia. 

Ia bukan sahaja sukar, tetapi sudah pastilah memerlukan program dan intervensi yang berbeza. Jadi kita mesti bersikap waras dan munasabah dalam hal ini.

Setelah mengambil kira keadaan ini, Kerajaan Negeri mencari jalan membantu rakyat mendapatkan akses kepada rawatan pakar, terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan. 

Dan Kerajaan Negeri sedar Johor mempunyai kemudahan perubatan swasta yang moden dan terbaik seperti di KPJ melalui Johor Corporation. Lalu Kerajaan mencari jalan bagaimana kemudahan terbaik ini juga boleh dinikmati oleh rakyat Johor yang kurang berkemampuan. Tetapi ia mesti dilakukan agar tidak mengganggu fungsi utama KPJ sebagai pemain penting dalam perubatan swasta.

Atas kesedaran itulah, bermula tahun hadapan, Johor memperkenalkan dua Skim Perlindungan Takaful, iaitu Skim Perlindungan Takaful Penjawat Awam kepada 10,184 penjawat awam negeri dan Skim Perlindungan Takaful Am dan Asnaf kepada 10 ribu asnaf dan 5,724 penerima bantuan am. 

Kedua-dua skim khas yang melibatkan kira-kira 25 ribu penerima ini merupakan satu inisiatif prihatin secara berperingkat dan terfokus oleh Kerajaan Negeri. Tujuannya bagi memastikan lebih ramai rakyat Johor berpeluang menikmati perkhidmatan rawatan di hospital pakar KPJ.

Di bawah Skim Perlindungan Takaful Am dan Asnaf misalnya, ia diberikan kepada penerima berusia 18 hingga 60 tahun yang layak.

Kita akan menyediakan bantuan bayaran caruman bulanan sebanyak RM10 atau bersamaan dengan RM120 setahun, yang akan dibuat melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk golongan asnaf dan Kerajaan Negeri untuk penerima dari golongan berpendapatan rendah yang lain.

Antara 7 faedah besar dan menarik yang akan diperolehi oleh penerima adalah:

a. Bayaran pampasan kematian atau kemalangan berjumlah RM20 ribu;

b. Manfaat keilatan kekal antara RM17 ribu sehingga RM34 ribu bergantung kepada kes dan keadaan;

c. Khairat kematian berjumlah RM1 ribu kepada ahli, RM1 ribu kepada pasangan dan RM500 kepada anak dengan had maksimum kepada 3 orang anak.

d. Rawatan Penyakit Kritikal atau CI sebanyak RM20 ribu mencakupi 32 jenis penyakit kritikal; 

e. Elaun harian hospital sebanyak RM30 sehari; dan

f. Manfaat-manfaat Tambahan seperti kerusi roda dan tongkat. 


Saya juga ingin menegaskan perkara-perkara berikut.

Pertama, memandangkan ini merupakan satu skim perlindungan takaful, jadi kita mesti faham bahawa manfaat yang akan diterima pastilah bukan setakat nilai carumannya, iaitu RM120 sahaja. Sebaliknya, manfaat yang diterima adalah berlipat kali ganda serta pelbagai, seperti yang saya senaraikan tadi. 

Kedua, skim ini bukan lagi bercerita tentang rawatan asas yang biasa-biasa seperti yang ditawarkan di klinik-klinik swasta melalui skim di Pulau Pinang dan Selangor. 

Tetapi, Johor bergerak selangkah ke hadapan dengan memastikan golongan berpendapatan rendah dan para penjawat awam berpeluang menerima rawatan rapi dari hospital pakar. Termasuklah bagi rawatan ke atas 32 penyakit kritikal dengan pembiayaan mencecah RM20 ribu. 

Perkara ini bukan sahaja tidak ditawarkan di Selangor dan Pulau Pinang, malah mereka tidak mempunyai apa-apa program atau skim dalam aspek ini.

Ketiga, jika ingin dibandingkan dengan manfaat dalam Kad I Love Penang dan Kad Peduli Sihat Selangor, ia masing-masing hanya terhad kepada rawatan maksimum RM300 dan RM500 sahaja setahun. 

Sebarang lebihan caj mesti ditanggung sendiri oleh pesakit. Jadi, kepada pemegang kad I Love Penang dan Kad Peduli Sihat Selangor, jangan bermimpi untuk menggunakan kad ini jika anda mengidap penyakit kritikal. 

Dan jangan pula cuba-cuba membawa kad ini ke mana-mana hospital pakar di sana. Anda tidak akan dipandang dan dilayan. Dan jika pesakit memerlukan rawatan pakar, terpaksalah juga pergi ke hospital Kerajaan akhirnya. 

Bagi pemegang Kad Peduli Sihat Selangor pula ia lebih menyedihkan. Sudahlah had tahunannya hanya bernilai RM500, ia turut terhad kepada perkhidmatan perubatan asas yang tidak melebihi RM50 sekali pergi. 

Jumlah ini bukan sahaja tidak masuk akal rendahnya, tetapi ia adalah umpan untuk menunjukkan keprihatinan yang dibuat-buat dan tidak ikhlas. 

Skim ini bukan sahaja tidak layak jadi gula-gula. Ini namanya menambah garam pada luka.

Saya boleh faham dan sudah menjangkakan mengapa Selangor dan Pulau Pinang memilih untuk memperkenalkan skim yang mengutamakan klinik swasta seperti ini. 

Kerana, selama ini pembangkang bukan sahaja amat memandang rendah perkhidmatan perubatan di pusat kesihatan dan hospital awam kerajaan. Malah, mereka sentiasa memburuk-burukkan hospital kerajaan.

Jadi, tidak mungkin untuk mereka memperkenalkan satu skim yang akan menyokong perkhidmatan hospital Kerajaan, walaupun ia sebenarnya lebih baik. Kerana, tindakan tersebut tidak ubah seperti menjilat semula ludah sendiri.

Sebaliknya, apa yang Johor lakukan ini barulah membantu. Kita membantu bukan sahaja orang ramai yang memerlukan, malah kita membantu meringankan beban hospital-hospital Kerajaan.

Keempat, dari segi strategi dan keupayaan mengurus kewangan, saya kira membelanjakan RM120 setahun dengan kos keseluruhan hanya sebanyak RM1.9 juta bagi membolehkan 15 ribu orang mendapat manfaat perubatan mencecah RM34 ribu, adalah jauh lebih berhemah, lebih smart dari memberikan gula-gula serendah RM50 dan mencanangnya ke seluruh pelosok negeri. 

Apa yang Johor lakukan adalah jauh lebih berhemah, strategik dan bijak berbanding Pulau Pinang yang membelanjakan RM60 juta, namun kira-kira 200 ribu penerima skim tersebut hanya boleh mendapatkan rawatan asas di klinik swasta yang terhad kepada kos maksimum RM300 setahun. Yang Berhormat, RM300 setahun ya. Bukan RM300 sekali pergi. 

Dalam erti kata lain, secara faktanya, di Pulau Pinang terdapat sekurang-kurangnya 200 ribu orang rakyat mereka atau bersamaan 11.43% dari populasi Pulau Pinang, yang tidak mampu pun untuk membelanjakan sekurang-kurang RM300 setahun untuk mendapatkan rawatan asas perubatan. 

Atau dalam perspektif yang lebih mudah, tapi mengerikan, 1 daripada kira-kira 11 orang di Pulau Pinang tidak mampu menyimpan sekurang-kurangnya 0.82 sen sehari untuk perbelanjaan rawatan perubatan asas mereka.

Kalau mahu dibandingkan, jika BN yang memerintah Pulau Pinang, dan kita ada RM60 juta seperti dalam peruntukan bajet Pulau Pinang sekarang untuk insentif kesihatan ini, kita akan boleh memperkenalkan kira-kira 32 skim perlindungan takaful yang mampu memastikan hampir 480 ribu penduduk di sana menikmati skim perlindungan perubatan. Malah lengkap dengan manfaat rawatan pakar yang mencecah RM34 ribu seorang.

Maknanya, kalau Pulau Pinang menggunakan jumlah peruntukan yang ada sekarang, namun menggunakan model dan pendekatan Johor, mereka akan dapat membantu kira-kira 280 ribu orang lebih ramai dari jumlah sekarang. 

Malah penerimanya akan berpeluang menikmati manfaat mencecah RM33,700 lebih tinggi dari apa yang ditawarkan buat masa ini. 

Jadi, sekarang ini, siapa yang membazir? Siapa yang tidak cekap? Siapa yang memberi gula-gula?

Sebab itulah Bajet 2018 ini bukan bajet copy and paste YB Senai. Ini semua idea-idea baharu yang lebih baik dari sebelum ini. 

Dan, demi kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang dan Selangor, saya izinkan Senai untuk copy idea ini dan paste lah di Selangor dan Pulai Pinang.

Tuntasnya, kedua-dua skim kesihatan Selangor dan Pulang Pinang jika dibandingkan dengan manfaat dalam Perlindungan Takaful yang Johor perkenalkan, ia ibarat langit dengan bumi. 

Kepada golongan yang berpendapatan rendah di Johor yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan pakar dan penyakit kronik sebelum ini, ini bukan kes sudah jatuh ditimpa tangga seperti yang Senai sebutkan. Ini kes mendapat durian runtuh.

Sebab itulah amat penting memilih kerajaan yang tahu memaksimumkan impak dan manfaat kewangan. Bukan seperti mereka yang membelanjakan RM60 juta setahun tetapi hasilnya amat terhad, kecil, tidak mencukupi dan tidak memadai.


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

D. Keempat: Isu-isu Berbangkit di Luar Dewan

Selain aspek kesihatan, terdapat 2 lagi perkara yang pernah disoal kepada Johor, khususnya di luar Dewan.

Pertama, keputusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan BRT dan bukannya LRT atau MRT di Iskandar Malaysia.

Saya ingin menjelaskan alasan-alasan yang mendasari keputusan ini. Ia pastilah bukan diputuskan secara suka-suka tanpa asas yang kukuh. Sebaliknya keputusan tersebut dipimpin oleh beberapa pertimbangan yang besar.

Pertama, populasi Johor, khususnya Johor Bahru dan Iskandar Malaysia masih dikira kecil untuk mewajarkan pembinaan sebuah sistem transit aliran ringan (LRT) atau MRT. 

Kedua, kos pembinaan LRT dan MRT adalah jauh lebih mahal berbanding penggunaan sistem BRT yang kita pilih.

Kedua-dua perkara ini akan membawa kepada kesan yang besar. Antaranya, memandangkan pembinaannya mahal dan populasi penggunanya sedikit, ia akan menyebabkan harga atau caj tiket menjadi sangat mahal. Sekali gus menyebabkannya menjadi tidak praktikal, tidak sesuai dan tidak dipilih oleh masyarakat.

Perkara ini juga akan menyebabkan aspirasi kita untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan awam akan terbantut dan gagal.

Jadi, tidak hairanlah jika kira-kira 203 buah bandar di seluruh dunia, memilih penggunaan BRT berbanding LRT dan MRT seperti Copanhagen, Stockholm, Manchester, Brisbane dan sebagainya.

Sekalipun begitu, saya boleh nyatakan di sini bahawa, apabila masanya sesuai dan perlu, Kerajaan Negeri dan Kerajaan persekutuan pastinya akan mempertimbangkan pembinaan MRT atau LRT pada masa hadapan.

Kedua, berhubung pertikaian sesetengah pihak tentang penduduk Johor yang bekerja di Singapura.

Saya ingin tegaskan bahawa keadaan penduduk Johor yang bekerja di Singapura tidak sesekali mencerminkan keadaan ekonomi yang teruk atau ketiadaan peluang pekerjaan yang baik.

Sebaliknya, ia adalah disumbangkan oleh faktor perbezaan mata wang, yang sekali gus menjadi pendorong untuk penduduk di Johor bekerja di Singapura.

Saya gunakan istilah penduduk Johor kerana, kita mesti jelas bahawa yang bekerja di Singapura ini bukan semuanya warga Johor. 

Mereka adalah warga Malaysia yang datang dari pelbagai negeri seperti Kedah, Sabah, Sarawak, dan Pulau Pinang. Mereka tinggal di Johor tetapi mereka adalah rakyat Malaysia dari pelbagai negeri lain. 

Malah apa yang berlaku di Johor ini sangat unik. Ia memberikan peluang kepada semua orang, walau dari mana sekalipun, untuk membina kehidupan yang sejahtera. Johor adalah negeri yang tidak pernah kurang peluang. 

Johor menjadi tempat di mana pendemokrasian ekonomi benar-benar berlaku. Kita memberi ruang kepada masyarakat kita untuk menentu dan memilih apakah yang terbaik untuk mereka. 

Tidak menjadi kerugian kepada Johor untuk sesiapa jua bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor. Dan tidak ada halangan untuk sesiapa jua dari Singapura yang memilih untuk menetap, berniaga dan berbelanja di Johor.

Lihat sahajalah kepada kedudukan Johor sebagai sebuah bandar yang bersempadan antarabangsa. Sudahlah pastilah ia menjadi pusat Ekonomi Rentas Sempadan yang global dan dinamik. 

Dan ekonomi rentas sempadan seperti ini merupakan satu fenomena global yang tidak boleh dihalang. Masa depan Johor bakal dicorakkan oleh globalisasi dan bukannya sempadan kebangsaan. Malah di Johor, ia juga berlaku semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor lagi. Tidak ada apa-apa yang beliau boleh lakukan. 

Sebaliknya, bagi kita Kerajaan Negeri pada hari ini, kita percaya bahawa perkara ini adalah sesuatu yang harus dilihat oleh orang Johor dengan pemikiran terbuka dan rasa bangga. Kerana tidak semua bandar di Malaysia berpeluang menjadi pusat Ekonomi Rentas Sempadan. Kuala Lumpur, Kuantan, Shah Alam mahupun Penang, kesemuanya tidak mempunyai kedudukan unik dan berpotensi seperti ini.

Sebab itulah, tidak keterlaluan untuk kita di Johor menyimpan aspirasi yang suatu hari kita berpeluang untuk menjadi rujukan dan membantu negeri lain seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Sabah untuk membangun dan menjadi pusat Ekonomi Rentas Sempadan yang berjaya.

Dan yang lebih penting, apabila Pembangkang asyik mempersoalkan perkara ini, timbul persoalan di pihak saya. Adakah kalau mereka berkuasa, mereka akan menghalang penduduk Johor untuk bekerja di Singapura? Dan adakah mereka akan menghalang kemasukan warga Singapura ke Johor untuk bercuti dan membeli belah di sini?

Dan adakah kemasukan dan kedatangan warga Singapura ke Johor menggambarkan kegagalan kerajaannya menguruskan ekonomi mereka dengan baik?


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

E. Kelima: Pelan dan Program Bagi Meningkatkan Pengurusan dan Integriti Kerajaan

Isu kelima adalah berhubung tuduhan YB Penggaram dan Bekok bahawa Bajet 2018 gagal memberi penekanan kepada perkara asas iaitu langkah-langkah dan program bagi meningkatkan integriti Kerajaan, sehingga Kerajaan Negeri dikatakan gagal meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Sebenarnya saya tidak pasti, sama ada Kerajaan Negeri tidak memberikan penekanan dan gagal meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau Penggaram yang tersalah fokus dan gagal meletakkan pendengaran beliau pada tempat yang sewajarnya.

Saya nasihatkan Penggaram untuk rujuk semula kepada ciri Dekad Johor yang Ketiga pada perenggan 43, serta kepada perkara Kedua, Ketiga, Keempat dan Kelima yang disebutkan dalam perenggan 44 pada muka surat 12. 

Dan sila rujuk juga Strategi Keempat: Menjelmakan Pengurusan Tatakelola Kerajaan Yang Berprestasi, Telus dan Beramanah pada perenggan 192 hingga 208 pada muka surat 73-77 buku teks penuh Bajet 2018.

Keseluruhan kandungan dalam 18 perenggan ini menceritakan secara terperinci dan jelas tentang komitmen Kerajaan Negeri untuk mengatasi ketirisan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian Kerajaan Negeri melalui dua agenda utama. Iaitu, Agenda Kepimpinan Berprestasi Dan Pemantapan Perkhidmatan Awam dan Agenda Peralihan Ke Arah Kerajaan Digital.

Sila baca, hadam dan faham.

Jika ini semua bukan langkah-langkah khusus dan jelas untuk menambah baik perkhidmatan awam dan PBT serta usaha-usaha mengelakkan ketirisan, saya tidak tahu apakah ia.

Dalam bahagian tersebut, saya telah jelaskan dengan terperinci pelan dan program khusus untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang cekap dan telus. 

Ini bukan janji bulan dan bintang seperti yang didakwa oleh Penggaram. Tetapi ini adalah cadangan-cadangan yang berpijak pada bumi yang nyata, yang dipacu oleh prestasi, oleh pembinaan kapasiti dan kecanggihan teknologi.

Yang taksub dengan bulan dan bintang ini, bukan Kerajaan BN, tetapi pembangkang. Terlalu bermimpi mahu ke angkasa, sampai lambang parti mereka pun roket. 


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

F. Keenam: Peningkatan Penerima BR1M di Johor Bukti Kegagalan Kerajaan BN Mengurus Malaysia dan Johor Dengan Baik.

Untuk isu yang keenam, saya ingin merujuk kesimpulan oleh YB Penggaram menyatakan bahawa Johor merupakan negeri yang menerima BR1M antara yang tertinggi di Malaysia. Ini sekali gus membuktikan kegagalan BN menguruskan Malaysia dan Johor dengan baik.

Jawapan saya adalah seperti berikut. 

Pertama, Penggaram harus tahu bahawa Johor bukanlah negeri yang mempunyai penerima BR1M tertinggi di Malaysia.

Tetapi negeri yang menjadi juara dengan penerima tertinggi adalah negeri yang ditadbir oleh rakan Penggaram, iaitu tidak lain tidak bukan, Selangor.

Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani, penerima program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dari Selangor pada tahun 2016 adalah seramai 1,017,403, diikuti oleh Johor seramai 889,636 penerima dan Sarawak 735,817 orang penerima.

Pada tahun 2014, penerima dari Selangor adalah seramai 987,757 dan pada tahun 2015 adalah seramai 1,066,359. Sedangkan penerima dari Johor bagi kedua-dua tahun tersebut adalah lebih rendah iaitu 848,722 dan 911,851.

Jadi, kalau mengikut logik Penggaram, ini bermakna, sepanjang 3 tahun lepas, rakan parti Pembangkang telah gagal dengan sangat teruk dalam menguruskan negeri Selangor sehingga menghasilkan penerima BR1M paling ramai di Malaysia. 

Malah, saya berikan juga satu fakta tambahan sebagai saguhati untuk Penggaram bawa pulang dan fikirkan. 

Selangor bukan sahaja juara penerima BR1M paling ramai di Malaysia, malah negeri yang kononnya kaya dan terbaik ini juga, menjuarai carta sebagai negeri yang mempunyai golongan bankrap atau muflis paling tinggi di Malaysia. 

Iaitu seramai 72,114 kes dari keseluruhan 296,712 kes bankrap Malaysia. Jumlah ini bersamaan kira-kira 25% dari keseluruhan jumlah nasional.

Ini bermakna, dalam setiap 4 orang rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap, seorang adalah wakil dari Selangor.

Jadi, sebagai negeri pemegang carta penerima BR1M dan golongan bankrap tertinggi, adakah ini menggambarkan yang Pembangkang berupaya menguruskan kerajaan dengan lebih baik?

Kedua, sekali pun Penggaram melihat BR1M sebagai perkara yang buruk dan harus menjadi penanda aras kecekapan kerajaan menguruskan ekonomi, saya sangkal perkara ini. Dan saya ingin mengajak semua untuk melihat pemberian BR1M dengan lebih berobjektif dan terbuka. 

BR1M bukanlah satu bantuan kepada golongan susah dan fakir. Kelompok ini sudah kita santuni dengan pelbagai skim dan program bantuan lain termasuklah pemberian zakat kepada golongan asnaf.

Sebaliknya, BR1M merupakan satu bentuk intervensi bersasar yang dilakukan untuk mengurangkan kos sara hidup. Bukan membasmi kemiskinan. 

Kita mempunyai kayu ukur tersendiri untuk mengukur kemiskinan. Dan ia adalah kayu ukur yang ditanda aras mengikut standard antarabangsa. 

Mereka yang menerima BR1M tidak semestinya miskin. Tetapi kebanyakan penerima BR1M adalah rakyat yang berpendapatan rendah dan mengalami kesusahan kerana kos sara hidup meningkat. 

Ada beza antara miskin dan susah. Mereka yang susah adalah yang mempunyai pekerjaan, pendapatan dan kehidupan yang teratur dan munasabah. Yang tidak termasuk dalam garis kemiskinan. Tetapi kehidupan mereka terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat disebabkan pelbagai faktor luar kawalan Kerajaan.

Kerana itulah BR1M di perkenalkan. Ia adalah langkah menangani peningkatan kos sara hidup. Ia dinamik dan luwes. Ia boleh di naikkan, dikurangkan malah dihapuskan, jika kedudukan kos sara hidup berubah. 

Ini adalah satu tindakan bertanggungjawab dari sebuah kerajaan yang prihatin. Sebab itulah sekutu pembangkang dari PPBM atau Bersatu sendiri telah menyatakan secara terbuka untuk mengekalkan BR1M kalau mereka berkuasa.

Jadi, BR1M ini seharusnya dilihat dengan perspektif untuk menambah baik pelaksanaannya. Dan bukan mengeluarkannya dari konteks dan dijadikan modal politik. 

Ketiga, sebenarnya, Kerajaan boleh memilih untuk tidak memberi BR1M dan menyimpan sahaja peruntukan yang besar tersebut dan dibelanjakan kepada perkara-perkara lain. Tetapi, jika kita berbuat demikian, pembangkang akan tetapi tidak berpuas hati.

Barangkali Penggaram terlupa, rakan beliau dari Senai sendiri yang bersungguh-sungguh menggesa bahawa Kerajaan mesti berbelanja lebih banyak dan menggunakan segala hasil yang ada demi melebarkan jaringan keselamatan sosial rakyat. Sebab kata beliau, rakyat kini terpaksa mengikat perut.

Jadi, sekarang ini, idea siapa yang harus kita ikut?

Kalau ikut Penggaram, semakin banyak kita beri pada rakyat, itu petanda ekonomi tenat. Kalau ikut Senai pula, kerajaan janganlah kedekut, berilah lebih banyak, agar rakyat tidak perlu ikat perut. 

Saranan saya, yang diikat sebenarnya bukan perut rakyat. Tetapi kita ikat sahaja kedua-dua mereka untuk duduk semeja dan cari kata sepakat.


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

G. Ketujuh: Ringkasan Laporan Pencapaian dan Kemajuan Johor

Memandangkan wakil rakyat pembangkang tidak hadir ke Ekspo Johor Berkemajuan pada Oktober lalu untuk melihat sendiri pelbagai pencapaian serta kemajuan yang telah dicapai oleh Johor, saya mengambil kesempatan ini untuk membentangkan ke dalam Dewan Yang Mulia ini kedudukan dan prestasi semasa negeri Johor.

Namun, sebelum saya senaraikan satu-persatu, saya ingin menegaskan beberapa keadaan dan perkara penting yang melatari pembangunan negeri Johor berbanding dengan negeri-negeri lain. 

Pertama, Johor adalah negeri yang tidak mempunyai sumber asli bernilai tinggi seperti minyak dan gas asli mahupun balak yang banyak. 

Sebab itulah persoalan Tanjung Surat berhubung tenaga kerja dari anak tempatan Johor yang harus diberikan keutamaan dalam industri gas dan minyak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.

Johor tidak pernah terlibat dalam industri minyak dan gas asli sebelum ini. Johor hanya terdedah dalam industri gas dan minyak semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi, sudah tentulah kita tidak mempunyai tenaga mahir yang tersedia dan mencukupi seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu. 

Malah, kepesatan pembangunan di PIPC Pengerang itu adalah projek mega industri minyak dan gas yang pertama untuk Johor. Kita masih boleh dianggap sebagai negeri yang sedang bertatih dalam industri ini, kita masih setahun jagung, masih banyak yang perlu diperbaiki, masih banyak yang perlu dipelajari dari semua pihak.

Sebab itulah, ia bukan sahaja menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri, malah menjadi tugas semua wakil rakyat di Johor, untuk membantu memupuk minat yang mendalam dalam industri ini di kalangan Orang Muda Johor.

Dan bukannya mengambil tindakan tidak bertanggungjawab seperti memburuk-burukkan industri ini atau untuk menutup sahaja Pengerang seperti yang pernah dicadangkan oleh wakil pembangkang sebelum ini.

Sekalipun begitu, sememangnya menjadi aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan seramai mungkin rakyat Johor berpeluang untuk terlibat dalam industri yang besar ini. Malah dalam banyak ruang dan kenyataan sebelum ini, saya sering menegaskan aspirasi kita adalah Johor Jobs For Johoreans.

Kedua, Johor ini tidak sekecil Pulau Pinang yang mudah diuruskan. Kita mempunyai populasi yang ramai iaitu 3.2 juta, antara yang tertinggi di Malaysia.

Ketiga, Johor juga tidak mendapat manfaat menjadi negeri yang diberikan fokus dan perhatian untuk dibangunkan secara mega sebelum ini, seperti yang diterima oleh Selangor sejak sekian lama kerana kedudukannya di dalam pusat ekonomi negara di Lembah Kelang.

Sebab itulah, atas nama kesamarataan yang sering disebut-sebut oleh pembangkang, Selangor dan Pulau Pinang tidak sepatutnya membandingkan kedudukan dan prestasi mereka dengan Malaysia keseluruhannya.

Kerana Kerajaan Persekutuan masih mempunyai banyak negeri yang memerlukan bantuan dan masih banyak kawasan pedalaman yang memerlukan intervensi khusus. 

Malah, mereka tidak seharusnya membandingkan diri mereka dengan Johor secara keseluruhannya. Kerana, di Johor sendiri masih ada kawasan yang tidak semoden dan membangun seperti mereka.

Tetapi jika masih ingin dibandingkan sekalipun, selayaknya mereka membandingkan diri mereka dengan Wilayah Iskandar Malaysia. Ini barulah satu perbandingan yang adil. Barulah buku bertemu ruas.

Namun, di sebalik segala kekurangan dan kelemahan ini, saya ingin nyatakan bahawa Johor telah berkembang dan membangun pada kadar yang jauh lebih pantas dan holistik berbanding negeri-negeri lain, termasuklah Pulau Pinang dan Selangor.

Jadi, saya senaraikan di sini 10 pencapaian dan kejayaan utama Johor untuk makluman semua.

Pertama: Pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar nasional.

Sejak tahun 2011 sehingga 2016, pertumbuhan ekonomi Johor adalah baik dan melepasi kadar direkodkan untuk Malaysia setiap tahun, iaitu dengan purata pada 5.9% berbanding 5.1% bagi Malaysia.

Kedua: Johor merupakan negeri yang mempunyai kesenjangan yang kecil.

Kesenjangan atau jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar, antara yang kaya dan miskin merupakan satu aspek penting dalam mengukur prestasi sesebuah ekonomi.

Johor merupakan negeri yang merekodkan prestasi cemerlang dalam aspek ini dengan bacaan Pekali Gini antara yang terbaik di Malaysia iaitu serendah 0.354 pada tahun 2016. Mengatasi Selangor pada 0.372 dan Pulau Pinang pada 0.356.

Pada tahun 2014, bacaan kita adalah serendah 0.324, iaitu yang terendah di Malaysia selepas Melaka.

Bacaan yang rendah ini adalah baik kerana ia menunjukkan bahawa jurang atau perbezaan pembahagian kekayaan dan hasil negeri antara rakyat adalah kecil. 

Selain itu, pendapatan isi rumah Johor terus mencatatkan peningkatan demi peningkatan. Setakat ini, pendapatan isi rumah Johor adalah sebanyak RM6,928. 

Jumlah ini adalah lebih baik dan mengatasi Pulau Pinang yang mencatatkan sebanyak RM6,771, walaupun pada hakikatnya pendapatan per kapita mereka sebenarnya lebih tinggi berbanding Johor iaitu sebanyak RM47,322 dan kita hanya pada RM31,952.

Apakah makna semua ini? Ini menunjukkan yang pendapatan dan perolehan di negeri Johor benar-benar sampai kepada rakyat dan tidak hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak atau syarikat-syarikat besar seperti di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, fakta ini tidak digemari oleh Bentayan yang menyatakan wujud kesenjangan pendapatan antara daerah-daerah di Johor. 

Saya akui wujud perbezaan dan jurang antara daerah-daerah di Johor. 

Cuma Yang Berhormat, lain kali semasa pembentangan Bajet, sila berikan perhatian.

Kerana menyedari wujudnya kesenjangan antara daerah-daerahlah Kerajaan Negeri perkenalkan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ). Kita mahu melihat bagaimana potensi sesebuah daerah yang saling berbeza ini, bukan sahaja dibangunkan, tetapi dibangunkan mengikut kearifan tempatan.

Malah, dakwaan bahawa pembangunan terlalu tertumpu di Johor Selatan seharusnya tidak berlaku jika YB Bentayan memberi perhatian kepada komitmen Kerajaan Negeri yang dizahirkan pada perenggan 36 muka surat 11 Buku Bajet 2018.

Perkara ini disentuh sedari awal pembentangan saya bahawa kita sememangnya mahu memberikan perhatian pula kepada pembangunan dan pertumbuhan di Jajaran Johor Timur dan Johor Barat.

Ketiga: Johor menerima jumlah kemasukan FDI tertinggi dalam sektor pembuatan di Malaysia untuk tempoh 4 tahun berturut-turut.

Sejak 2013 hingga 2016, Johor telah merekodkan kemasukan FDI dalam sektor pembuatan sebanyak RM66.6 bilion. Jumlah ini bersamaan 3 kali ganda Selangor dan 6 kali ganda Pulau Pinang.

Bagi tahun 2016 sahaja, kemasukan FDI dalam pembuatan adalah sebanyak RM26.4 bilion jauh meninggalkan negeri kedua terbanyak iaitu Selangor dengan hanya RM7.9 bilion. Dan nilai ini adalah bersamaan 45.1% daripada RM58.5 bilion yang dicatatkan Malaysia. 

Ini bermakna, Selangor perlu menunggu hampir 4 tahun lagi untuk mengejar nilai yang kita peroleh pada tahun 2016.

Keempat: Johor merupakan negeri pertama di Malaysia yang mempunyai pemetaan digital jalan-jalan kampung secara lengkap.

Malah, prasarana jalan raya di kampung-kampung di seluruh Johor adalah lengkap dan baik dengan kira-kira 96.4 km jalan dipanjangkan dan 642 km lagi dilebarkan.

Dan saya suka untuk maklumkan yang pada awal tahun hadapan, kita akan melancarkan Pelan Rejuvenasi Desa Johor yang telah pun disiapkan.

Di dalam Pelan Rejuvenasi Desa ini, pembangunan kawasan luar bandar akan diberikan perhatian khusus yang melibatkan aspek pemerkasaan ekonomi, keselamatan, pembangunan kapasiti, infrastruktur, pendidikan dan sekolah agama serta aspek-aspek lain yang boleh melonjakkan kesejahteraan serta kualiti hidup di luar bandar. 

Malah, Bab 7 pelan ini akan memfokuskan secara khusus kepada masyarakat FELDA di seluruh Johor.

Kelima: Johor mempunyai kualiti alam sekitar yang sangat baik.

Sekalipun Johor mencatatkan kemasukan pelaburan dalam pembuatan yang tertinggi dalam negara sekali gus menjadikannya sebuah negeri industri yang pesat, tetapi tahap dan prestasi alam sekitar kita sangat membanggakan.

Johor mencatatkan 75.74% dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (EPI) 2014 dan merupakan negeri kelima terbaik dalam melindungi ekosistem dan kesihatan manusia dari bahaya alam sekitar.

Sedangkan, bagi negeri-negeri industri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang, mereka masing-masing berada di tangga ke 9 dan 14. Iaitu antara yang tercorot dalam negara.

Pencapaian ini antara lain disumbangkan oleh komitmen kita dengan memperkenalkan Dasar Kelestarian Johor serta inisiatif penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh Johor.

Namun, bagi menjawab persoalan Pekan Nanas yang mahukan perincian tentang berapa banyak pokok dan di manakah akan kita tanam dalam tempoh 10 tahun kelak, saya tidak dapat nyatakan satu-persatu di sini kerana ia melibatkan proses selama 10 tahun.

Tetapi yang jelasnya, Pekan Nenas sendiri sudah dapat membayangkan BN akan terus memerintah Johor, sebab itu beliau bertanya sekarang.

Keenam: Kerajaan Negeri Johor telah berjaya melaksanakan kesemua 84 akujanji BN semasa PRU-13.

Ini bermakna, segala projek serta agenda yang kita umum dan janjikan, sebahagian besarnya sudah disempurnakan.

Ini termasuklah kejayaan menyiapkan sebanyak 16,010 unit rumah mampu milik. Jumlah ini adalah 167% melebihi sasaran awal kita iaitu sebanyak hanya 6 ribu unit sahaja.

Perkara ini sekali gus menjawab pesanan dari YB Parit Yaani bahawa segala projek dan pelan Kerajaan Negeri mestilah dipantau agar pelaksanaannya lancar dan baik. 

Benar, dan perkara ini sudah sememangnya menjadi amalan kita di pihak Kerajaan Negeri.

Cuma, saya harap Parit Yaani akan sampaikan juga pesanan tersebut kepada rakan-rakan pembangkang beliau di Selangor. Kerana, menurut Laporan Ketua Audit Negara (PAC) 2016 Siri 2, 57% projek bagi tahun 2016 oleh Kerajaan Negeri Selangor masih belum dimulakan. 

Sedangkan, tahun 2018 hanya tidak beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna, lebih separuh daripada projek bagi tahun 2016 yang diumumkan semasa pembentangan bajet pada penghujung tahun 2015, masih belum dimulakan. Dan hanya 8% sahaja yang sudah berjaya disiapkan sepenuhnya.

Ketujuh: Johor adalah negeri yang mempunyai skim pinjaman perumahan Kakitangan Awam Tanpa Faedah.

Ini bermakna, jika penjawat awam Johor membuat pinjaman perumahan berjumlah RM300 ribu, jumlah keseluruhan yang mereka perlu bayar juga adalah RM300 ribu. Tidak lebih tidak kurang.

Jadi, tidak hairanlah kalau ada wakil rakyat dari pembangkang sendiri, yang menggunakan skim ini tetapi membeli rumah di Perak. 

Tetapi, di Selangor dan Pulau Pinang, atau di mana-mana negeri lain, jika penjawat awam mereka meminjam RM300 ribu, mereka akhirnya terpaksa membayar kira-kira hampir RM500 hingga RM600 ribu sepanjang tempoh pembiayaan. Iaitu penambahan sebanyak kira-kira RM200 hingga RM300 ribu bagi tujuan faedah atau interest.

Tapi, tidak apa. Kalau di Selangor mereka ada bonus 3 bulan. Jadi bolehlah dibuat simpanan untuk diberikan secara percuma sebagai faedah kepada bank-bank kelak.

Kelapan: Johor adalah Negeri yang mempunyai peruntukan serta program pendidikan Sekolah Agama paling besar dan komprehensif di Malaysia.

Sehingga kini Johor mempunyai 579 buah sekolah agama di seluruh negeri, termasuklah Sekolah Rendah Arab Bersepadu.

Malah, sejak Oktober 2015 sehingga Jun 2017 sahaja, kita telah membina 77 SAKJ dan 18 buah SAKJ telah dibaik pulih dengan kos RM240 juta.

Jadi, kita semua boleh berasa sedikit lega kerana pembangunan di Johor bukanlah bersifat perlumbaan mengejar material semata-mata. Tetapi sekolah agama sebagai benteng moral masyarakat juga kita berikan fokus yang besar.

Kesembilan: Johor adalah negeri selamat dan sejahtera.

Indeks Jenayah Johor menurun 38% dari 20,970 kes pada tahun 2011 kepada 12,941 kes pada tahun 2016 hasil usaha meningkatkan kehadiran polis dan kecekapan kontinjen polis melalui Program Pos Polis Komuniti (CPP) serta peningkatan pemasangan Litar Kamera Tertutup atau CCTV.

Dan kadar jenayah di Johor telah jatuh selama 7 tahun berturut-turut sejak tahun 2008. Sebagai perbandingan, kadar jenayah di Selangor telah menunjukkan peningkatan sebanyak 3.94% pada 8 bulan pertama tahun 2016 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2015.

Jadi, kita tidak terkejut apabila Johor Bahru sendiri telah disenaraikan sebagai bandar raya ketiga terbaik di Asia Tenggara pada tahun 2017 oleh firma perunding Mercer. 

Pengiktirafan ini adalah bukti jelas yang menggambarkan keseimbangan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Kesepuluh: Skim dan Perlindungan Kepada Golongan OKU, Orang Asli dan Muallaf Johor adalah menyeluruh dan pelbagai.

Melalui agenda pembangunan yang inklusif, Johor telah muncul sebagai negeri yang mempunyai perlindungan antara yang terbaik kepada golongan OKU, Orang Asli dan mereka yang disifatkan rentan atau dengan izin, vulnerable.

Antaranya, kita memperkenalkan program-program pembangunan komuniti orang Asli yang dikenali sebagai ProDaya Orang Asli, meletakkan dasar yang menempatkan OKU sebagai kakitangan di PBT-PBT dan menubuhkan taska OKU dan Taska Orang Pekak serta memperkenalkan sekurang-kurangnya 8 skim bantuan dan perlindungan mualaf.



YB Tan Sri Speaker,

Johor adalah satu-satunya negeri yang telah menyediakan laporan pembangunan dan laporan ekonominya. Salinan laporan-laporan ini telah disediakan dan boleh diambil untuk dijadikan rujukan oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri sekalian. 

Tujuannya adalah agar semua hasil dan pencapaian Kerajaan ini dapat dilihat, disemak dan disebarluaskan kepada semua. Ia juga adalah laporan pencapaian kita untuk tempoh mandat yang diberikan dalam pilihanraya lepas. 

Kita percaya adalah penting untuk kita melaporkan pencapaian kita berdasarkan janji kita semasa pilihanraya lepas. Selangor dan Penang pun tidak buat perkara ini. Pastinya kita tidak mengharapkan mereka melakukannya. Mereka bukan dalam kelas Johor!

Jadi, saya sarankan kepada semua wakil rakyat. Ambil dan hadamlah semua data dan statistik ini betul-betul. Dengan akal yang waras, dengan hati yang terbuka, dengan sikap yang baik.

Ambillah. Bacalah. Bawalah pulang semua ini dan sampaikan kepada rakyat di kawasan-kawasan Yang Berhormat semua. 

Dan memandangkan Yang Berhormat Pembangkang tidak ada cerita baik yang terhasil dari usaha sendiri, maka beritahulah rakyat bahawa ini adalah usaha pembangkang. 

Tidak apa, saya tidak kisah. Saya tidak akan ambil hati kalau lembu punya susu, sapi yang dapat nama.

Cuma satu sahaja saya minta. Sampaikan fakta yang sebenar. Bukan cerita yang diputarbelit atau yang digelapkan. Berlaku jujur dan amanahlah.

Bukankah parti-parti yang berhormat semua amat telus, amat ikhlas dan amanah. Nama pun parti Amanah. Jadi, berlaku amanahlah dengan semua rakyat dengan menceritakan fakta yang sebenar.

Dan kalau mampu, tunjukkan bagaimana pembangkang akan dapat capai semua ini dengan lebih baik. 

Jika tidak mampu, tidak mengapa, tiada apa yang perlu dirisaukan pun. Kerana, Barisan Nasional sememangnya atas terus memegang mandat dalam penggal yang akan datang, insya-Allah.


H. Tuduhan Ke Atas Menteri Besar

Seterusnya, untuk isu yang terakhir, saya ingin menjawab YB Senai, berhubung rujukan dan pertanyaan beliau sama ada benar kenyataan seorang saksi dalam satu prosiding soal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah dibocorkan di laman sesawang baru-baru ini.

Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas tersebut. Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya.

Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan kepada saya dan pentadbiran saya. 

Saya percaya tuduhan tersebut dibuat secara mala fide atau dengan niat jahat untuk memalukan dan mencalarkan nama baik saya secara peribadi serta kepimpinan Kerajaan Negeri.

Kedua, semasa Senai menimbulkan isu tersebut di Dewan yang mulia ini, saya ingin menjelaskan bahawa saya sama sekali tidak tahu akan kewujudan dokumen yang mengandungi kenyataan saksi tersebut. 

Saya juga tidak mempunyai cara untuk mengesahkan kebenaran dan ketulenannya. Hanya SPRM sahaja yang layak untuk mengesahkannya. 

Maka kerana itu, saya sangat berterima kasih dengan tindakan pantas SPRM yang mengesahkan bahawa; pertama, dokumen itu adalah dokumen rahsia yang telah dibocorkan. Bermakna, dengan memetik kandungan dokumen tersebut, Senai telah membocorkan rahsia rasmi Kerajaan dalam Dewan Yang mulia ini. Dan kedua, dokumen itu dikeluarkan secara terpilih serta ditokok tambah dari dokumen asal. Ini bermakna, kandungan yang tersebar adalah tidak benar, tidak tepat dan terpesong dari kandungan asal.

Sekalipun Dewan Yang Mulia ini beranggapan saya perlu dan boleh menjawab tuduhan tersebut secara khusus, memadai untuk saya nyatakan di sini bahawa pada tarikh-tarikh yang dirujuk dalam petikan dokumen tersebut, saya berada di luar negara dan tempat-tempat lain dalam pelbagai urusan dan langsung tidak berada di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri. Apatah lagi menerima suapan!

Ketiga, saya mengesahkan bahawa SPRM ada berjumpa dengan saya serta EXCO-EXCO lain berkaitan kes ini semenjak dari mula ia ditimbulkan. Saya telah memberikan keterangan dan semua kami telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

Keempat, perkara ini sekarang adalah sebahagian dari urusan Mahkamah dan perbicaraan akan bermula tidak lama lagi. Saya berpendirian bahawa sebarang ulasan serta kenyataan, yang dipolitikkan sama ada di dalam Dewan ini atau pun di luar sana, termasuk ucapan dari saya sendiri, adalah tindakan yang akan ‘undermine the administration of justice’, dengan izin. Ia adalah tindakan yang akan mengganggu dan memberi kompromi kepada proses keadilan di Mahkamah.

Kelima, sebagai seorang yang mempunyai latar belakang undang-undang, ini nasihat dan ingatan khas saya kepada YB Senai dan semua ahli Pembangkang.

Pertama: Sila faham dengan sejelas-jelasnya bahawa kenyataan OKT dalam mana-mana prosiding siasatan adalah satu kenyataan yang tidak ada nilai keterangan atau bukti. Sehinggalah ia diteliti dan disokong atau corroborated, dengan izin, melalui proses undang-undang yang sah. 

Sekalipun ia ingin dirujuk dan digunakan, ia mesti disemak, disoal balas secara terperinci dan mesti disokong oleh bukti-bukti atau pelbagai keterangan lain yang kukuh.

Maknanya, kenyataan saksi hanya akan menjadi kenyataan yang boleh diterima pakai selepas ia benar-benar dicabar, disokong (‘coroborated’) dan melalui proses soal balas yang panjang lebar yang melibatkan pelbagai saksi, dokumen bertulis dan apa-apa jua material yang mempunyai nilai keterangan atau ‘evidential values, dengan izin. 

Dan selepas semua itu pun, hanya Mahkamah yang berada pada kedudukan yang sesuai untuk memutuskan sama ada kenyataan itu boleh diterima sebagai sebahagian dari bukti atau sebaliknya.

Yang pasti, kita mesti ingat bahawa, kenyataan saksi dalam petikan dokumen tersebut bukanlah satu pengakuan (confession).

Jadi sesiapa yang mendapat salinan petikan atau membacanya, mesti lebih berhati-hati. Kita mesti mengetahui bahawa kandungannya bukanlah kebenaran yang mutlak, ia boleh diragui, boleh dipertikaikan. Lebih-lebih lagi jika yang menerima dan membaca dokumen seperti ini adalah seorang ADUN. Seorang pembuat undang-undang.

Sudah semestinya kita mengharapkan seorang ADUN untuk mengetahui perkara-perkara sebegini.

Kedua: Ketahuilah bahawa kenyataan Orang Kena Tuduh (OKT) atau saksi dalam satu-satu prosiding SPRM atau mana-mana prosiding jenayah adalah sulit dan rahsia. Ia adalah dokumen yang tidak boleh didedah dan dirujuk sehinggalah ia dibawa ke mahkamah atau dibuktikan secara tegas.

Jadi, apabila dokumen rahsia ini dibocorkan dan disebarkan kepada masyarakat umum secara tidak bertanggungjawab oleh individu atau pihak yang tidak diketahui, melalui laman sesawang yang tidak ada kredibiliti, maka ia bukanlah satu rujukan yang baik, wajar dan berlandaskan undang-undang. 

Malah apa yang didedahkan di Dewan yang mulia ini oleh Senai adalah tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. 

Ia tidak sama seperti gosip, seperti khabar angin, seperti cakap-cakap kedai kopi atau sembang-sembang di tepi tingkap. Ini adalah dokumen untuk suatu proses keadilan yang mesti diberikan nilai dan pemberat keadilan. 

Jadi, janganlah cemarkan kewibawaan Dewan ini dengan mendedahkan petikan dokumen yang akan menjejaskan kewibawaan pentadbiran keadilan di Malaysia ini. Itu tindakan orang yang tidak berkemajuan dan tidak bertanggungjawab.

Apa yang berlaku hari ini, YB Senai telah menggunakan petikan dokumen tersebut, yang diambil dari sumber yang diragui, yang hanyalah kenyataan seorang yang kena tuduh, yang belum lagi diterima sebagai kenyataan yang mempunyai ‘evidential value’ di mahkamah, apatah lagi belum diterima sebagai sebahagian dari bukti dalam perbicaraan yang belum lagi berjalan, untuk menggambarkan saya seorang yang korup, melanggar sumpah saya sebagai penjawat awam yang beramanah dan mesti disiasat. 

Yang Berhormat sebenarnya sangat salah, sangat berniat jahat, sangat keterlaluan. Malah telah melanggar undang-undang dan mencemarkan wibawa dewan ini dengan menggunakan Dewan yang Mulia ini untuk membocorkan rahsia rasmi kerajaan untuk melakukan fitnah dan untuk ‘undermine the administration of justice’ di Malaysia.

Ini bukan sesuatu yang kita boleh bertoleransi. 

Saya menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang sesuai dan berlandaskan undang-undang ke atas YB Senai. Beliau harus bertanggungjawab dengan tindakan keji dan tidak bermoral beliau.

Dan seperkara lagi, selepas ini, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang masih sengaja membuat fitnah, spekulasi dan apa-apa tindakan yang tidak wajar.



YB Tan Sri Speaker,

Barangkali saya harus bersangka baik, kerana tidak semua orang mempunyai pengetahuan undang-undang walaupun bergelar ahli dewan undangan negeri. 

Pada sesetengah pihak, Ahli Dewan Undangan Negeri itu tidak lebih dari sekadar nama dan status, yang tidak pun membuktikan apa yang ada di dalam akal fikiran mereka.

Jadi, dengan pencerahan yang saya berikan sebentar tadi, saya harap ia boleh menjadi sedikit panduan pada masa hadapan kepada semua. Saya harap semua akan lebih berpengetahuan selepas ini. 

Kerana, adalah memalukan jika Negeri Johor mempunyai penggubal undang-undang yang sebenarnya tidak tahu pun makna dan nilai keluhuran undang-undang. Ia adalah satu aib yang sangat besar kepada Dewan Yang Mulia.

Sebab itulah saya rasa saya harus mengambil pertanggungjawaban ini untuk memberikan sedikit pengetahuan. Kerana saya tidak mahu turut sama dimalukan dengan kewujudan golongan sebegini. Bak kata pepatah, kerana kerbau seekor, habis semua terpalit lumpur.



YB Tan Sri Speaker,

Kesimpulan dan Penutup

Sekalipun saya berbangga dengan segala pencapaian Johor selama ini, saya juga tidak dapat menyembunyikan rasa kesal dan sedih dengan tingkah laku beberapa pembahas, yang terus menerus mempamerkan kegagalan untuk mengambil kesempatan bersidang di Dewan Yang Mulia ini untuk berhujah dengan objektif, profesional, rasional dan berfakta.

Namun, saya tidak mahu mengulas panjang berhubung perkara ini. Kerana, kita semua sedar, manusia ini bukan sahaja berbeza paras rupa dan bentuk, ada kalanya, tahap dan kapasiti kecerdasan akal juga berbeza-beza.


Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

Dalam Bajet 2018 yang saya bentangkan minggu lalu, saya telah menggagaskan hasrat untuk menjadikan 10 tahun akan datang sebagai Dekad Baharu Johor.

Izinkan saya menerangkan mengapa kita memilih 10 tahun sebagai sasarannya.

Pertama, kerana 10 tahun adalah tempoh yang realistik untuk kita melihat hasil dan manfaat dari misi besar seperti ini. Ia tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat. 

Kedua, kita mahu memastikan kita boleh menunjukkan pencapaian yang nyata. Kita mahu diuji dengan prestasi. Hanya melalui pelan berkala seumpama ini, kita dapat mengukur dengan nyata semua pencapaian kita. Kalau kita tidak mensasarkan tempoh masa sebegini, kita tidak akan berasa kegentingan perkara ini dan tekanan untuk memberikan hasil. 

Dan apakah falsafah yang akan mendasari Dekad Baharu Johor ini?

Ia adalah Johor Berkemajuan. Kerana akhirnya, kemajuan itu dinamik. Ia tidak statik. Tidak ada noktah dan tarikh akhir. Dan ia mesti menjurus kepada visi yang besar, iaitu mewujudkan bukan sahaja negeri yang maju tetapi masyarakat terbaik.

Bagaimana kita akan melaksanakannya?

Ia akan kita laksanakan dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, dengan pemain swasta, dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dengan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dengan individu berpengaruh dan terkemuka, dengan golongan profesional, dengan para intelektual dan ahli agama, malah dengan semua lapisan rakyat. Ringkasnya, ia akan dipikul dan dijayakan oleh TEAM Johor.

Bila kita akan memulakan misi khas ini?

Hari ini. Sekarang. Pembentangan Bajet 2018 kali ini adalah titik mula kita membangun Dekad Baharu Yang Sejahtera Untuk Johor.

Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyokong pentadbiran saya dan rakan-rakan wakil rakyat yang lain dalam jentera Kerajaan Negeri.

Ini merupakan satu penggal yang sarat dengan kejayaan dan pencapaian, dan saya kira semua ahli Yang Berhormat BN boleh berbangga dengan apa yang telah kita semua lakukan selama ini.

Yang pasti, saya tidak akan berhenti di sini. Saya dan rakan-rakan dalam BN akan terus berusaha memberikan yang terbaik untuk negeri Johor.

Kami tidak pernah mensia-siakan mandat yang diberikan. Dan tidak akan sesekali mensia-siakan mandat yang akan sekali lagi diberikan oleh rakyat dalam PRU-14 nanti, Insya-Allah.

Akhir sekali, saya menyeru kepada seluruh Team Johor. Ayuhlah kita bersama-sama mengorak langkah bagi membangun dan menyaksikan, kedatangan satu dekad yang mengujakan, iaitu Dekad Baharu Johor!


Sekian terima kasih.

Saturday 29 July 2017

Gendang Perang Sudah DiPalu, Bersediakah Kita Menghadapinya?

UCAPAN YAB DATO' MOHAMED KHALED HJ NORDIN
PENGERUSI BN JOHOR
Di Konvensyen Barisan Nasional Negeri Johor
2017


Tuan-tuan dan Puan-puan;

1. Saya sangat berasa berbahagia sekali kerana dijemput, pada hari ini, untuk merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Johor 2017.

2. Saya sangat gembira bila saya dapat berkongsi pentas dengan semua Pengerusi Parti Komponen BN Negeri Johor.

3. Kehadiran semua rakan parti dalam BN adalah manifestasi betapa kukuhnya kesatuan kita.

4. Inilah keluarga besar kita. Inilah perikatan politik kita. Ikatan yang telah menjayakan agenda Malaysia pasca merdeka, serta Malaysia moden. Ikatan yang telah membangunkan Malaysia menjadi model dan rujukan sebuah negara majmuk paling berjaya waktu ini.

5. Kerana itu perjumpaan kita pada hari ini sangat penting. Bukan sahaja kerana kita ingin merapatkan persefahaman kita untuk Malaysia yang lebih baik.

6. Tetapi yang paling penting, kita akan menghadapi pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.

7. Pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun BN. Jika kita berjaya dalam persaingan politik sengit ini, maka agenda transformasi Malaysia yang telah kita mulakan, pasti akan boleh berkelangsungan.

8. Tetapi jika kita terkandas, ia adalah titik akhir BN untuk Malaysia. Agenda kita akan terbantut. Segala pelan dan rancangan baik kita untuk Malaysia akan hanya tinggal di atas kertas.

9. Lebih penting, jika itu terjadi, pastinya BN akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan pengaruhnya.

10. Justeru itu, pada hari ini, saya ingin kita semua duduk semula. Duduk bersama-sama. Dan melihat secara jujur segala rencana kita untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.

11. Kerana kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh. Kita tidak boleh lagi bermimpi untuk memang dengan mudah. Malah menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali.

12. Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa BN akan terus memerintah kerana parti lain tidak punya pengalaman untuk memerintah.

13. Pemikiran sedemikian mesti berubah.

14. Percayalah, kita akan menghadapai perang paling getir. Bukan sekadar pertempuran.

15. Pertembungan antara ‘a team that works’ dengan ‘a team that never govern’.

16. Perang antara parti berpengalaman yang selama ini telah membuahkan kemajuan yang sangat dinamik dan progresif. Dengan parti yang tidak pernah punya agenda dan pelannya untuk Johor dan Malaysia.

17. Kepada semua perwakilan yang hadir, hari ini kita memalu gendang perang tersebut. Tetapi perang ini kita akan hadapi dengan akal dan strategi terbaik. Dan kita akan memenangi pilihanraya ini dengan pendekatan paling sistematik, bersih dan bersepadu.

18. Maka hari ini, fokus seruan saya ialah menjelaskan strategi BN negeri yang mesti dipertimbangkan oleh semua perwakilan. Agar kita mempunyai persefahaman atau ‘common understanding’ dengan perkara-perkara paling dasar dalam menghadapi pilihanraya kali ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

19. Pertama, saya rasa kita harus membanding bezakan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara terbuka.

20. Kedua-dua pakatan ini sangat berbeza dari sudut sejarah penubuhan, kejelasan aspirasi dan idealogi, pengalaman memerintah serta jalan ke hadapan.

21. Antara perikatan yang terbukti berjaya sejak ditubuhkan 70 tahun dulu, dengan pertunangan politik mentah, yang hanya tercapai persepakatannya pada Jun yang lalu.

22. Kerana itu, kita mesti memberitahu rakyat. UMNO, MIC dan MCA telah membentuk perikatan lebih enam dekad dahulu. Bermula dengan Parti Perikatan, kita semua bersama-sama membentuk kesatuan dan persefahaman politik, demi mengasaskan sebuah Negara Kesepakatan iaitu Malaysia.

23. Jadi ini bukan ikatan politik setahun dua. Ia telah bermula 70 tahun dahulu. Seawal penubuhan parti masing-masing.

24. Ini persahabatan yang sangat panjang. Sangat akrab. Sangat ikhlas. Dan yang lebih penting, ini adalah satu ikatan yang telah teruji dan terbukti mampu mengemudi Malaysia.

25. Malaysia moden tidak pernah mengenali pakatan politik lain kecuali Barisan Nasional.

26. Benar ada saat dan ketikanya kita berbeza pendapat, berselisih dan bermasam wajah. Tetapi itukan sudah lumrah dalam bersahabat. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula kita sesama sahabat dan saudara yang berjuang bersama-sama.

27. Akan ada masanya kita semua tersinggung sesama sendiri. Tetapi kesemua itulah yang menyebabkan kita lebih matang dan saling mengenali.

28. BN tidak pernah keanak-anakan. Tidak seperti Pakatan Tiada Harapan itu. Lihat sahaja bagaimana Pakatan Rakyat yang mereka gagaskan sebelum ini.

29. Namanya gah, idealogi mereka kononnya terbuka, bebas dan liberal.

30. Namun, ia gagal dengan teruk. Gagal mencari kesefahaman. Gagal mencari identiti dan idealogi yang tulen dan jujur.

31. Sebab itulah, sekali berselisih, ibarat berkerat rotan berpatah arang. Seolah-oleh sudah tidak ada esoknya. Habis mahu diputuskan segala hubungan dan persaudaraan.

32. Akhirnya, ia berkubur begitu sahaja. Yang rugi dan melopong, pastinya rakyat, yang kini sudah tidak lagi berpakat.

33. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, adalah sangat penting untuk kita meyakinkan rakyat bahawa BN adalah sebuah kesatuan dan perikatan yang benar-benar teruji dan terbukti.

34. Masakan kita boleh yakin dengan Pakatan yang baru tertubuh beberapa senja lepas. Bila segala ufuk Malaysia ini telah BN taburkan dengan pelbagai kemakmuran dan kebaktian sehingga menjadikannya antara negara paling pesat membangun di dunia.

Tuan-tuan dan Puan-puan

35. Kedua, kita mesti menghadapi pilihanraya akan datang sebagai Barisan Nasional. Bukan sebagai hanya parti komponen Barisan Nasional.

36. Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat. Bahawa BN adalah team Malaysia. Bukan sekadar UMNO, MCA dan MIC, PPP< Gerakan secara berasingan. Tetapi, BN seluruhnya sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia yang terbaik.

37. BN telah membuktikan, bahawa kita tidak boleh memerintah negeri ini secara sendirian. Kita mesti bersepakat untuk mentadbirnya.

38. Jika dulu kita boleh bersepakat menentang penjajah, mengapa tidak sekarang kita terus bersepakat untuk mengurus dan membangunkan negara ini?

39. Jadi, saya mengajak semua yang hadir, marilah kita sama-sama kembali kepada semangat Barisan Nasional serta berusaha bersama-sama mengukuhkannya.

40. Di pentas manapun, di program apa pun, terutamanya dalam pilihanraya akan datang, semua parti komponen mesti berpadu dan diwakili.

41. Jangan sendiri-sendiri. Kita mesti berdiri sebagai BN, dan kita mesti menawarkan kepada Johor dan Malaysia sebuah masa depan yang cerah dan maju sebagai Kerajaan BN.

42. Dan saya mempunyai sebab-sebab yang kukuh mengapa saya menganjurkan perkara ini.

43. Pertama, kerana selama ini, formula BN terbukti berjaya dalam menguruskan Malaysia.

44. Kita sedar Malaysia ini sangat berbilang kaum. Formula kesepakatan antara kita semua ini terbukti berjaya menjadikan Malaysia negara yang berjaya dari banyak segi. Bukan sahaja dari segi politik, tetapi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial kita berada pada garis yang memberangsangkan.

45. Selama 13 penggal berturut-turut, kita telah memenangi pilihanraya umum dengan cemerlang secara bersama-sama. Ini pastinya bukan satu kebetulan. Ini satu bukti kukuh kepada sebuah resepi kejayaan yang betul.

46. Jelaslah betapa jenama Barisan Nasional ini mempunyai keunggulannya yang tersendiri. Jadi manfaatkan jenama ini.

47. Kedua, BN adalah platform inklusif yang terbuka untuk semua.

48. Kalau kita lihat, semua keputusan dalam BN mesti didasarkan kepada keputusan sebulat suara, atau konsesus. Tidak ada perkara yang diputuskan secara sendirian tanpa mengambil kira suara dan pandangan pihak lain.

49. Di bawah model BN, semua pihak, walau sekecil mana pun keanggotaan partinya, akan punya suara, punya tempat, punya ruang. Tidak ada yang diketepikan dan dinafikan haknya. Termasuk pribumi Sabah dan Sarawak.

50. Tidak seperti keanggotaan Pakatan Harapan. Yag sampai sekarang gagal mendapat kepercayaan parti dari Sabah dan Sarawak untuk menggangotainya. Malah sampai sekarang belum pun didaftarkan secara sah!

51. Jadi BN itu lebih besar. Lebih inklusif. Lebih memberi ruang dan membuka peluang. Dan dek sifatnya yang inklusif inilah, BN kekal menjadi wadah kesatuan Malaysia yang mampu berhadapan dengan ujian dan cabaran perpaduan.

52. Inilah BN yang kita kenal. Dan inilah BN yang kita mahu terus kekal.

53. Ketiga, kita bukan sekadar tampak kuat, tetapi benar-benar kuat sebagai sebuah pasukan BN.

54. Lihat sahaja dalam pelbagai pilihanraya yang kita telah tempuhi. Jentera parti kita senantiasa membantu satu sama lain.

55. Kerana kita semua percaya, hanya bila BN kuat, UMNO dengan sendirinya akan kuat. MIC dengan sendirinya akan kuat. Dan MCA dengan sendirinya akan kuat.

56. Maka janganlah kita membuang masa bercakaran sesama kita rakan dalam BN. Khususnya pada saat banyak parti komponen berada pada kedudukan yang lemah. Dengan pelbagai krisis dalaman parti komponen kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

57. Ketiga, kita mesti memastikan pilihanraya ini bukannya pilihanraya berdasarkan persepsi, tetapi berpandukan informasi.

58. PRU-14 ini mesti disandarkan kepada maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita mestilah disokong dengan data. Disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

59. Saya sangat bimbang bila pancapaian sebenar Kerajaan tidak dijadikan ukuran sebenar. Sebaliknya rakyat disajikan dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi.

60. Akhirnya kita jadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

61. Jadi saya mahu kita membetulkan kembali semua persepsi yang salah dan digantikan dengan maklumat sahih. Maklumat yang benar. Maklumat dan data yang emperikal.

62. Berapa peruntukan pembangunan yang telah kita belanjakan. Berapa rumah yang telah kita bina dan serah. Berapa pekerjaan yang telah kita wujudkan. Berapa subsidi yang telah kita sumbangkan.

63. Semua ini adalah komitmen dan pencapaian sebenar kita. Jadi ia mesti dijelaskan secara ‘clinical’. Semuanya mesti disebar luaskan dengan pelbagai cara.

64. Cara terbaik untuk membetulkan persepsi ialah dengan melumpuhkanya menggunakan kenyataan yang benar dan sahih.

65. Saya sangat yakin rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya.

66. Yang menjadi masalah adalah apabila kita membiarkan sahaja segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang sampai kepada masyarakat.

67. Kita harus sedar, walaupun segala persepsi dah tohmahan tersebut adalah salah dan tidak benar sama sekali, namun jika ia dibiar diulang berkali-kali tanpa jawapan dari kita, ia akan dianggap betul dan benar oleh rakyat.

68. Saya perhatikan dalam banyak keadaan kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak objektif.

69. Dan jika cubaan menjawab dan membidas ini tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.

70. Keempat, kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’.

71. Kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan membiarkan BN karam dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan.

72. Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-oleh menggambarkan kita lemah. Menggambarkan kita senantiasa melakukan kesilapan. Dan menggambarkan seolah-oleh mereka yang betul.

73. Kita sudah tidak boleh dilihat seakan menerima dan mengakui segala persepsi negatif yang direka dan dihamburkan terhadap kita.

74. Saya kadang-kadang berasa sangat kesal atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji puak-puak tersebut dengan radikal dan berkesan.

75. Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakan!

76. Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini mesti segera berakhir.

77. Kita mesti terkehadapan dalam membongkar betapa gagalnya wakil pembangkang menyantuni para pengundi mereka. Kita mesti tunjukkan betapa, di banyak kawasan, wakil rakyat pembangkang langsung tidak kelihatan.

78. Mereka hadir hanya bermusim. Satu, semasa musim pilihanraya. Dua, jika ada inisiatif baik yang dibuat oleh Kerajaan. Lalu, datanglah mereka tanpa malu. Mengutip nama dari segala kebaikan yang terhasil dari usaha gigih kita. Lembu punya susu, sapi dapat nama!

79. Sedangkan terdapat seribu satu isu yang boleh kita gunakan untuk menghentam mereka.

80. Misalnya, pertama, jika berkuasa, DAP mahu menutup dan menghentikan pembangunan di Pengerang.

81. Apa jenis pemikiran ini? Cetek. Pemikiran bahalol.

82. Hanya kerana tidak bersetuju dengan Kerajaan Negeri, projek bermanfaat kepada rakyat juga mahu dihentikan?

83. Saya tidak hairan kalau mereka berkuasa, segala projek yang memberi manfaat kepada rakyat selama ini, seperti im-Coop, Johor Wifi, Johor Skill Hub, rebat air, RMMJ dan sebagainya, akan turut mereka hentikan, sebab semua itu adalah inisiatif kita dan bukannya dari mereka.

84. Malah, kalau kita lihat mentaliti DAP di Yong Peng, bas percuma Muafakat Johor pun mereka desak untuk dibuka penggunaanya kepada warga asing.

85. Itu belum lagi kita bercakap tentang perkara-perkara yang lebih besar. Seperti pelan pembangunan strategik di setiap daerah, dasar yang menggalakkan orang Melayu tinggal di bandar, pemerkasaan sekolah agama, agenda mengembangkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam menggunakan instrumen waqaf serta agenda RMMJ.

86. Kesemua ini, tidak pernah, tidak pernah sekalipun, mereka sentuh dan ulas.

87. Lebih penting, pembangkang di Johor, tidak pernah sekalipun sepanjang penggal ini, memberikan cadangan konstruktif atau mengemukakan apa-apa pelan pembangunan untuk Johor.

88. Mereka tidak pernah memberitahu rakyat apa yang akan mereka lakukan dengan negeri Johor.

89. DAP dan rakan-rakan mereka, tiada Plan untuk Johor.

90. Tiada Plan untuk ekonomi Johor. Tiada Plan untuk orang Melayu Johor. Tiada plan untuk pendidikan agama di Johor.

91. Malah tiada plan untuk sekolah Cina dan Tamil di Johor.

92. Yang ada, hanyalah Trak Bina Semula Negara oleh Rafizi. Itupun kini, kita dapat lihat yang beliau semakin dipinggirkan oleh rakan-rakan dalam PKR sendiri, sehingga terpaksa bergerak secara solo dan menumpang populariti dari parti-parti lain.

93. Lebih penting, semasa di Johor, isu yang beliau perjuangkan adalah tentang pekerja asing dan kenaikan gaji.

94. Apa beliau lupa, bahawa isu pekerja asing, dan keperluan mengurangkannya adalah antara perkara utama yang saya sebut dalam Bajet Negeri Johor 2017?

95. Malah saya adalah orang pertama yang mencadangkan agar Johor membangunkan Pelan Rasionalisasi Buruh Johor untuk menanggani lambakan pekerja asing.

96. Saya juga adalah orang yang mengagaskan IMCOOP untuk mengurangkan beban hidup dan meluaskan kuasa beli rakyat.

97. Mereka baru bercakap, saya dan pentadbiran saya telah melaksanakan penyelesiannya.

98. Rafizi dan rakan-rakanya hanya mampu menciplak dan mengulang semula isu tersebut dengan membaca Bajet Johor. Mereka sudah kehabisan modal untuk menyerang kita.

99. Yang kelakarnya, dalam kempen bina semula negara ini, mereka gambarkan negara kita sudah rosak, bakal muflis dan perlu diselamatkan.

100. Saya gambarkan perkara ini dalam satu analogi ringkas.

101. Kita ini ada rumah. Dan rumah kita ini kononnya rosak, bocor dan perlu dibina semula. Bukan dibaiki ya tuan-tuan, tapi dibina semula. Kerana keseluruhannya sudah tidak selamat, sudah tidak sesuai didiami.

102. Untuk bina semula rumah tersebut, kalau ikut logik akal, kita mesti ada strategi dan fasa-fasanya. Kita lakukan satu persatu. Bukannya robohkan kesemuanya, dan bina semula. Bina semula menggunakan tukang yang baharu, yang lebih baik, yang lebih pandai.

103. Tetapi, yang mencuit hati kita, setelah mereka menuduh negara ini dirosakkan oleh parti pemerintah, mereka sendiri mahu membinanya semula menhgunakan pemimpin-pemimpin lama dari parti pemerintah.

104. Keadaan ini samalah seperti dalam usaha membaiki rumah tadi. Untuk membinanya semula, mereka panggil kembali tukang rumah yang lama. Tukang yang dahulunya membina rumah tersebut.

105. Bukankah rumah tadi telah dibina oleh Tun Mahathir. Dibina oleh Anwar. Dibina juga dengan kerjasama Tan Sri Mahyuddin dan rakan-rakannya.

106. Jadi, apa bezanya?

107. Tetapi, rakyat ramai tidak sedar semua ini. Jadi, kita mesti bekerja keras untuk mendedahkan semua ini. Rakyat mesti dibimbing untuk melihat dan menilai kebenaran.

108. Kita tidak boleh biarkan pembangkang tidur nyenyak setiap malam. Kita mesti menghantui malam-malam mereka dengan segala macam igauan.

109. Biar segala fitnah, serangan serta tohmahan yang mereka buat selama ini kembali kepada mereka.

110. Kita mesti pastikan yang setiap hari mereka akan terbeban untuk menjawab semua serangan berasas kita. Hanya dengan bertindak sedemikian, kita akan mengajar mereka bahawa kita bukan lemah dan ‘naive’.

111. Kita bukan pasif. Kita punya pelbagai senjata yang boleh kita gunakan untuk menewaskan mereka.

112. Biar mereka tahu, langit ini tinggi atau rendah.

113. Biar mereka sedar, BN adalah parti yang semakin hari semakin kuat. Dan segala tohmahan serta serangan mereka tidak berjaya untuk melemahkan semangat dan fokus kita.

114. Dan tidak ketinggalan, segala serangan, penjelasan serta kempen kita ini, mestilah turut diselarikan dengan aspirasi dan pendirian peringkat pusat.

115. Johor dan kerajaan Pusat mesti bekerjasama. BN Johor dan BN Pusat mesti bergerak seiring.

Tuan-tuan dan puan-puan,

116. Bagi memastikan gerak kerja kempan kita dipandu dengan maklumat dan strategi yang betul dan sahih, saya telah megarahkan Bait Al Amanah untuk turun ke semua bahagian.

117. Turun dan menjelaskan semua dapatan mereka. Turun dan membantu merangka strategi pilihanraya yang lebih terfokus untuk setiap bahagian.

118. Permukiman BN untuk tujuan pilihanraya ini sangat penting. Kerana strategi pilihanraya kita mesti disesuaikan mengikut keperluan setempat.

119. Ia tidak lagi boleh ‘across the board’. Masalah di mersing tidak sama dengan kepeluan di Johor Bahru.

120. Dimensi pembangunan di Kota tinggi tidak sama dengan Segamat.

121. Justeru itu, kita memerlukan pendekatan berbeza. Pasukan Bait Al Amanah akan membantu setiap bahagian dalam perkara ini.

122. Agar kempen kita benar-benar bersandarkan data sentimen pengundi setempat.

123. Pemukiman ini akan bermula pada 2 Ogos hingga minggu kedua September. Dan akan melibatkan semua pemegang taruh jentera pilihanraya di setiap bahagian.

124. Saya mahu semua jentera BN mengambil serious permukiman ini. Ita mesti manfaatkan sessi sebegini untuk memeastikan kempen kita lebih terancang dan teratur.

125. Isnyallah, saya akan menyususl ke semua bahagian untuk melihat tindakan susulan dari Permukiman ini, setelah Bait Al Aamanh menjalankan taklimat mereka di setiap bahagian.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

126. Saya sedar dan amat akui bahawa segala apa yang saya sebutkan pagi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itulah kita semua mesti bergerak bersama-sama.

127. Kita tidak boleh membiarkan hanya sesetengah daripada kita sahaja yang bekerja keras dan bertungkus lumus. Semua pihak mesti berfungsi.

128. Kita mesti turun ke gelanggang bersama-sama. Berjuang bersama-sama dan menang bersama-sama.

129. Saya harap kepimpinan dan ahli semua parti komponen BN akan memberi perhatian serius kepada apa yang saya tegaskan ini.

Terima kasih.