Wednesday 22 March 2017

Daulat Tuanku : Ini yang Bangsa Johor mahu.


JOHOR BAHRU, 22 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan melancarkan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (RIBJ YSI) bagi membantu setiap rakyat Johor memiliki rumah sendiri.




Bagi tujuan itu, Bank Rakyat bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan.


Manakala pembeli yang layak juga hanya perlu membayar wang deposit serendah RM1.00 dengan tawaran pinjaman 100 peratus.


Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata pembangunan projek tersebut akan dilaksanakan di tiga lokasi di kawasan bandar raya Johor Bahru, selain rancangan untuk membinanya di daerah-daerah lain di negeri Johor.


“Ia akan dibina di Bandar Dato’ Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana, yang merangkumi dua kategori iaitu Rumah Impian Sultan Ibrahim dan Rumah Impian Bangsa Johor.


“Bagi Kategori Rumah Impian Sultan Ibrahim di Bandar Dato’ Onn, sebanyak 520 unit rumah akan dibina melibatkan komponen 190 unit rumah teres, 130 unit rumah berkembar dan 200 unit rumah sebuah.


“Ia akan dibina di atas tanah seluas 52.7 ekar, yang berharga dari RM80,000 hingga RM100,000 seunit.


“Bagi Kategori Rumah Impian Bangsa Johor di Bandar Baru Majidee, sebanyak 320 unit rumah akan dibina terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman.


“Ia ditawarkan dengan harga kurang dari RM150,000 seunit, dan akan dibina di atas tanah seluas 6.8 ekar,” katanya.


Kerja-kerja pembinaan bagi kedua-dua kategori tersebut akan bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2019.


Menurutnya lagi, bagi Rumah Impian Bangsa Johor di Bukit Saujana pula, sebanyak 1,000 unit rumah ditawarkan dengan harga dari RM297,000 hingga RM420,000 seunit.


“Ia akan dibina di atas tanah rizab Melayu seluas 7.55 ekar dengan keluasan 850 kaki persegi, 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi per unit.


“Kesemua jenis kategori rumah akan turut dilengkapi kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan ‘cook tap’,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-pelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim di Galleria @ Kotaraya, di sini hari ini.



Turut berangkat Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Kira-kira 10,000 orang memenuhi Galleria @ Kotaraya bagi membuat pra-pendaftaran, bertempat di aras bawah Galleria @ Kotaraya.


Bagi orang ramai yang tidak dapat mendaftar pada petang ini, mereka boleh melayari laman sesawang www.yayasansultanibrahim.org.my yang akan dibuka pada pukul 5.00 petang ini.

Friday 10 March 2017

Khaled Nordin: Jangan beremosi, fokus kepada tugasan untuk Johor.

KENYATAAN AKHBAR
YAB DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
BERHUBUNG PENAHANAN YB DATUK ABD. LATIF BANDI
10 MAC 2017 & 2.30 PETANG



1. Kerajaan Negeri Johor menghormati penahanan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi yang masih bercuti daripada kerajaan, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Penahanan beliau semalam (9 Mac 2017) adalah susulan siasatan yang dilakukan oleh SPRM ke atas ahli keluarga dan pegawai khas beliau sebelum ini.

3. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa kita akan memberikan sepenuh kerjasama yang diperlukan oleh pihak berkuasa dan tidak akan mencampuri sebarang proses siasatan yang dijalankan.

4. Kerajaan Negeri berpendirian adalah penting dan kritikal untuk pihak berkuasa dan proses penguatkuasaan undang-undang dipastikan berjalan dengan lancar dan bebas.

5. Adalah menjadi ikrar dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan dan pentadbiran Johor bebas daripada sebarang masalah penyelewengan dan korupsi.

6. Saya menyeru kepada seluruh anggota kerajaan, kakitangan serta masyarakat awam untuk bersama-sama memberikan kerjasama dan tidak melihat isu ini secara terburu-buru dan beremosi.

7. Sebaliknya, marilah kita memfokuskan kepada tugas dan memberikan yang terbaik dalam memastikan pengurusan Kerajaan Negeri tidak terganggu.

8. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berharap keadilan dan kebenaran akan dicapai oleh semua pihak.

Thursday 2 March 2017

MB: Kerajaan Negeri Johor akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

KENYATAAN AKHBAR MENTERI BESAR JOHOR
(Berhubung Isu Penukaran Status Rumah Bumiputera dan Siasatan SPRM)

Image result for khaled nordin

Kerajaan Negeri Johor amat mengutamakan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan yang telus, bersih dan beramanah.

Justeru Kerajaan Negeri memandang serius siasatan dan penangkapan terhadap beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan di Negeri Johor.

Setelah meneliti dan mengambil kira perkembangan mutakhir, Kerajaan Negeri Johor ingin membuat beberapa penjelasan dan penegasan.

Pertama: Kerajaan Negeri Johor akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Kerajaan Negeri Johor berpendirian bahawa SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjalankan siasatan.

Adalah menjadi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak. Ini bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan yang dijalankan.
Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri juga akan dipastikan memberi kerjasama terbaik agar siasatan yang adil dapat dilakukan.

Kerajaan Negeri turut ingin memaklumkan bahawa Datuk Haji Abd Latif bin Haji Bandi, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perumahan dan kerajan tempatan telah memohon untuk bercuti dari perkhidmatannya dalam Kerajaan sehingga siasatan ini selesai.

Tindakan ini amat bersesuaian agar proses siasatan dapat berjalan dengan lancar dan bebas demi mengangkat integriti dan ketelusan yang senantiasa menjadi pegangan kukuh Kerajaan Negeri.

Kedua: Pelepasan Status Bumiputera adalah dasar yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri berasa bertanggungjawab untuk ambil kesempatan bagi menjelaskan kekeliruan tentang isu yang melibatkan penukaran atau pelepasan status rumah-rumah Bumiputera kepada status awam atau bukan Bumiputera.

Dasar yang membenarkan pelepasan ini tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Secara asasnya, penukaran dan pelepasan status atau kouta Bumiputera untuk rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos Rendah adalah dibenarkan dan menjadi amalan Kerajaan Negeri dari dahulu lagi.

Ia terpakai kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar kategori RMMJ yang telah melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.

Permohonan ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan untuk mengelakkan kerugian yang besar dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan projek pembangunan mereka.

Sejak akhir tahun 2013, penambahbaikan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan menetapkan bahawa salah satu syarat yang mesti dipenuhi oleh pemaju dalam membuat permohonan pelepasan status Bumiputera tersebut ialah dengan pemaju memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri. Jumlah yang ditetapkan ialah sebanyak 7.5%, iaitu bersamaan dengan 50% daripada 15% diskaun Bumiputera.

Selain itu, terdapat juga permohonan untuk membayar atau membuat sumbangan pada jumlah yang lebih rendah daripada peratusan yang ditetapkan ini terutamanya bagi projek-projek lama sebelum tahun 2013.

Kesemua keputusan berhubung kelulusan bagi setiap permohonan sebegini diputuskan oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh EXCO Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status Bumiputera ini kemudiaannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera. Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah sebanyak kira-kira RM600 juta.

Dana ini seterusnya digunakan oleh Kerajaan Negeri melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai sumber dana dan perbelanjaan untuk, antara lain:
(a) Mengenalpasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian untuk dibina rumah mampu milik di seluruh Johor;
(b) membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti yang ditawarkan dalam skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ);
(c) membina gerai-gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera;
(d) membolehkan Kerajaan Negeri membeli tanah-tanah milik Bumiputera yang strategik dan bersesuaian supaya ia kekal dimiliki Bumiputera;
(e) menjadi sebahagian daripada sumbangan dana pusingan di bawah skim pembiayaan perumahan rumah mampu milik Johor di bawah AmBank Islamic.

Maka, adalah ditegaskan, dana yang dikumpul hasil dari dasar ini, telah menjadi sumber pendapatan kepada Kerajaan Negeri untuk menjayakan lebih banyak lagi projek perumahan golongan Bumiputera.

Penjelasan ini sekaligus menjawab tuduhan tidak berasas wakil DAP bahawa kes yang dalam siasatan SPRM ini melibatkan rumah-rumah mampu milik Bumiputera dan kerana itu, terdapat kekurangan yang serius dalam jumlah rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh Bumiputera.

Ketiga: Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur dan tadbir urus
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya untuk memastikan pemantapan prosedur dan tadbir urus Kerajaan Negeri diperkemaskan.
Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman selanjutnya dalam sedikit masa lagi tentang langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan Negeri bagi mengelakkan segala bentuk ketirisan dan penyalahgunaan.
Pihak Kerajaan Negeri berharap yang siasatan ini akan berjalan dengan lancar dan dapat dilengkapkan dengan sebaiknya. Adalah menjadi harapan kerajaan Negeri agar ia membuahkan keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin
Menteri Besar Johor
2 Mac 2017