UCAPAN BAJET NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM TAHUN 2017
‘JOHOR BERKEMAJUAN, RAKYAT SEJAHTERA’
OLEH YANG AMAT BERHORMAT DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN MENTERI BESAR JOHOR
PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR BERTARIKH 17 NOVEMBER 2016
BAJET NEGERI JOHOR 2017
‘Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera’
Tan Sri Speaker,
- Saya mohon izin Dewan Yang Mulia ini untuk membentangkan rancangan dan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi pengurusan dan pembangunan negeri Johor untuk tahun 2017, atau ringkasnya Bajet Negeri Johor 2017.
- MISI BAJET 2017 – Membangun Kemakmuran Material, Mewujud Kesejahteraan Sosial, Memperkasa Potensi Insan
- Bajet 2017 dirangka sebagai sebahagian usaha menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan. Gagasan yang matlamat akhirnya adalah melahirkan masyarakat terbaik dan bukan sekadar negeri maju.
- Ia dirangka secara teliti agar cakupannya seimbang, komprehensif dan inklusif. Pastinya ini adalah kesinambungan kepada pelbagai ikhtiar, program dan agenda yang telah kita perkenalkan sejak tiga tahun lepas.
- Bajet ini dicadangkan hasil pemikiran yang serius pelbagai pihak yang digembleng dalam setiap pertimbangan inisiatif yang dicadangkan.
- Semua cadangan perbelanjaan yang dikemukakan adalah dalam kemampuan kewangan Kerajaan Negeri. Ini bermakna, ia secara realistiknya, telah dirangka dengan mengambil kira kemampuan sebenar kerajaan.
- Kerajaan Negeri Johor mengambil pendirian, disiplin fiskal yang tegas dan berhemah, amat perlu dalam menguruskan ekonomi Johor yang berjaya.
Tan Sri Speaker,
- Bajet 2017 ini mempunyai tiga misi tersendiri, yang menjadi teras penggubalannya.
- Pertama: Mewujudkan Kemakmuran Material.
- Sebuah masyarakat terbaik dan ekonomi yang berjaya hanya akan terhasil melalui usaha gigih mewujudkan kemakmuran material.
- Ini bermakna, ekonomi mesti bertumbuh dengan pesat, lestari, inklusif dan pintar. Hasilnya, ribuan peluang pekerjaan akan terhasil untuk rakyat tempatan. Melalui pekerjaan, kemiskinan dapat dibanteras, kesenjangan dapat dikurangkan, mobiliti sosial menjadi bertambah baik dan pendapatan isi rumah dapat dipertingkatkan.
- Insya-Allah, dengan terhasilnya semua ini, rakyat akan menikmati kemakmuran material. Ia akan membolehkan mereka mempunyai kemampuan untuk memiliki harta, mempunyai simpanan hari tua, meluangkan masa bercuti dengan keluarga dan melabur bagi pendidikan anak-anak.
- Kedua: Kesejahteraan Sosial.
- Matlamat kedua ialah bajet ini mesti boleh mensejahterakan rakyat. Fokus kita ialah menangani kesenjangan dan kos sara hidup serta mewujudkan prasarana awam terbaik untuk kebaikan umum.
- Prestasi ekonomi kita yang memuncak melangit tidak akan bermakna jika kualiti hidup merudum membumi.
- Rakyat mahu kehidupan yang baik, selesa, bermutu dan bermaruah. Sekolah mesti berfungsi, kemudahan asas air, elektrik dan jalur lebar mesti universal.
- Kemudahan kesihatan harus dalam kelas termaju. Alam sekitar mesti dipulihara. Sistem sosial kita mesti berfungsi agar yang miskin dibantu dan yang memerlukan diupayakan. Kesejahteraan sosial adalah sangat kritikal untuk kewujudan masyarakat terbaik.
- Justeru, Kerajaan Negeri dalam Bajet 2017 ini, telah mempelbagaikan pembangunan prasarana awam dan instrumen pembangunan sosial dengan dua tujuan.
- Pertama, untuk memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dimaksimumkan.
- Kedua, memperkenalkan pendekatan inovatif dalam pembangunan sosial dan prasarana awam. Pendekatan inovatif ini perlu untuk merapatkan kesenjangan dalam masyarakat, meningkatkan kualiti kehidupan dan persekitaran, serta menambah baik kecekapan perkhidmatan seperti pengangkutan awam, kesihatan dan pendidikan.
- Ketiga: Keperkasaan Insan.
- Cita-cita membentuk masyarakat terbaik mestilah menjurus kepada ikhtiar berterusan dalam membangunkan bakat, potensi dan kemandirian setiap rakyat Johor melalui pendidikan dan kemahiran terbaik.
- Setiap anak-anak di Johor, walau dari keluarga paling miskin, mesti mendapat pendidikan bermutu. Setiap pemuda dan pemudi, biar dari keluarga paling bermasalah, mesti dibukakan jalan untuk mencipta masa depan. Malah setiap pekerja, setiap gadis dan wanita, setiap orang berkelainan upaya, Orang Asli dan mereka yang pernah gagal, wajar dibongkar potensi dan kemahiran mereka.
- Justeru, usaha besar-besaran untuk membangun dan melatih bakat dan kemahiran Johor dalam pelbagai bidang dan disiplin adalah kemestian. Bukan pilihan.
- Tuntasnya, ketiga-tiga teras ini akan menjadi selangka dan belikat, yang mendasari segala inisiatif dalam bajet ini, agar 2017 menjadi tahun yang lebih baik dan berjaya bagi Johor.
Tan Sri Speaker,
- Sebelum saya menyenaraikan satu persatu cadangan inisiatif Bajet Negeri Johor 2017, saya ingin memanfaatkan kesempatan ini untuk merumus dan membentangkan secara ringkas, pencapaian dan prestasi ekonomi serta kedudukan kewangan negeri Johor bagi tahun 2016.
- Sepanjang tahun 2016, Johor menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang baik dengan beberapa rekod cemerlang dalam pelbagai unjuran dan petunjuk.
- Pertama: Ekonomi Yang Disokong Kukuh oleh Pelbagai Sektor.
- Ekonomi Johor digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor dan tidak terlalu tertumpu kepada hanya satu sektor pendorong. Johor adalah negeri ketiga terbesar bagi semua sektor utama negara kecuali perlombongan.
- Sejak 2010 sehingga 2015, pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar direkodkan untuk Malaysia setiap tahun, dengan purata pada 5.9% berbanding 5.3% bagi Malaysia.
- Johor adalah pendorong pertumbuhan ketiga terpenting untuk Malaysia. Ia menyumbangkan 0.5 mata peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berada pada 5.0% bagi tahun 2015.
- Kedua: Johor Kekal Sebagai Pilihan Utama Pelabur Swasta.
- Untuk setengah tahun pertama 2016, Johor mencatat jumlah pelaburan tertinggi untuk sektor pembuatan, iaitu RM5.4 bilion, atau 27.6% daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.2 bilion adalah dari pelabur asing.
- Ini sekaligus menjadikan Johor negeri yang merekodkan pelaburan langsung asing terbanyak di Malaysia. Iaitu bersamaan 40.8% dari keseluruhan FDI dalam sektor pembuatan negara.
- Ketiga: Johor Adalah Antara Pusat Logistik Maritim Terpenting di Rantau Ini.
- Johor satu-satunya negeri dengan tiga pelabuhan. Dua daripadanya bertaraf hab antarabangsa. Pelabuhan Tanjung Pelepas ialah pelabuhan kontena tercanggih di Malaysia dan menduduki tangga ke-18 dunia.
- Manakala, Pelabuhan Johor adalah terminal terbesar dunia bagi pengendalian minyak sawit dan dinobatkan sebagai pelabuhan keenam terpenting oleh London Metal Exchange untuk logam tidak ferus. Tanjung Langsat pula akan dijadikan hab petrokimia, minyak dan gas yang diproses di Kompleks Integrasi Petroleum Pengerang.
- Keempat: Peningkatan Pendapatan Isi Rumah Johor dan Pengecilan Jurang Antara Bandar dan Luar Bandar.
- Median pendapatan isi rumah Johor adalah sebanyak RM5,197 pada tahun 2014, iaitu lebih tinggi dari tahap nasional iaitu RM4,585. Lebih membanggakan, pendapatan isi rumah di luar bandar di Johor adalah RM1,270 lebih tinggi dari kadar nasional iaitu RM4,393 berbanding hanya RM3,123 bagi Malaysia.
- Kelima: Kadar Kemiskinan Sifar.
- Berikutan penokokan pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan Johor telah menurun dengan ketara, iaitu dari 0.9% pada tahun 2012 kepada 0% pada tahun 2014. Selain Johor, hanya terdapat dua negeri sahaja dengan kadar kemiskinan luar bandar sifar, iaitu Melaka dan Negeri Sembilan. Tetapi kedua-dua negeri ini mempunyai kawasan luar bandar yang jauh lebih kecil berbanding Johor.
- Manakala kemiskinan dalam bandar pula adalah bertambah baik daripada 0.7% kepada sifar. Dan penurunan kadar ini lebih ketara bagi luar bandar, yang menyaksikan kadar kemiskinan luar bandar turun dari 1.4% pada tahun 2012 kepada sifar bagi tahun 2014.
- Keenam: Peningkatan 137% Rizab Berbanding Tahun 2012.
- Jumlah rizab negeri Johor kini sehingga 16 November 2016 adalah sebanyak RM3.43 bilion, dan merupakan jumlah tertinggi yang pernah kita catatkan.
Tan Sri Speaker,
- Seterusnya saya akan merumuskan kedudukan kewangan semasa bagi tahun 2016, dan unjuran kutipan hasil serta pecahan peruntukan perbelanjaan Negeri Johor bagi tahun 2017.
- Pertama: Ringkasan Pencapaian Kewangan 2016.
- Sehingga 16 November 2016, sejumlah RM1,369 juta hasil telah berjaya dikutip. Ini bersamaan dengan kadar prestasi 96% daripada anggaran hasil RM 1,425 juta.
- Kedua: Anggaran Kutipan Hasil bagi Tahun 2017.
- Dijangkakan kutipan hasil negeri pada tahun 2017 mencapai RM1,609 juta, iaitu peningkatan sebanyak 12.86% daripada anggaran hasil dalam Bajet 2016.
- Ketiga: Pecahan Perbelanjaan Tahun 2017.
- Anggaran perbelanjaan pada tahun 2017 adalah sebanyak RM1,607,697,000. Jumlah ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM182,233,000 iaitu bersamaan dengan 12.89% berbanding tahun ini.
- Ini bermakna, Bajet 2017 adalah Bajet Lebihan atau Surplus Budget, dengan izin, iaitu RM1.303 juta.
- Sebahagian besar iaitu 98.77% daripada jumlah kenaikan anggaran perbelanjaan tahun 2017 adalah sebagai tambahan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Dan hanya 1.23% sahaja merupakan kenaikan Perbelanjaan Mengurus.
- Untuk Perbelanjaan Mengurus (tidak termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan), kita memperuntukkan sebanyak RM907.67 juta. Perbelanjaan Mengurus ini terdiri daripada:
- Emolumen, sebanyak RM479.22 juta,
- Perkhidmatan dan Bekalan, sebanyak RM244.61 juta,
- Pembelian Aset Jabatan, sebanyak RM20 juta,
- Perbelanjaan-perbelanjaan Lain, sebanyak RM4.94 juta.
- Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, peruntukan tahun 2017 sekali lagi mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah Bajet Negeri Johor iaitu sebanyak RM763.3 juta. Ini bermakna, daripada jumlah perbelanjaan bagi tahun 2017, 47% adalah untuk pembangunan.
- Pada tahun 2017, kita menjangkakan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi negeri Johor adalah pada 4.5% hingga 5.5% berbanding unjuran di peringkat nasional pada 4.0% hingga 4.5%.
Tan Sri Speaker,
- Berdasarkan lakaran ringkas pencapaian terbaik Johor ini, jelaslah bahawa kita telah meletakkan asas yang kukuh kepada ekonomi Johor.
- Maka, kita bukan sahaja harus berusaha untuk terus melestarikan pencapaian ini. Tetapi yang lebih penting ialah, mempergiatkan usaha besar-besaran untuk menjadikan Johor KUASA EKONOMI SELATAN atau Southern Economic Powerhouse, dengan izin.
- Maksudnya, Johor bukan sekadar menjadi ekonomi termaju di selatan Malaysia, tetapi menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia dan rantau tenggara Asia.
- Johor Berkemajuan tidak akan terjelma tanpa visi dan pelan ekonomi yang radikal. Justeru, mengambil kira kedudukan strategik Johor, pembangunan pesat ekonominya, kecekapan prasarana serta pasaran buruh yang dinamik dan berkemahiran, KUASA EKONOMI SELATAN adalah sasaran dan cita-cita yang realistik.
- Untuk itu, kita menggariskan enam strategi utama untuk merealisasikannya.
- Tahun 2017 akan menjadi ‘tahun pecutan’ untuk Johor. Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor (PPSJ) dan Visi Pertumbuhan Johor yang telah kita lancarkan pada tahun ini, akan dilaksanakan secara besar-besaran sebagai satu usaha melonjakkan Johor menjadi Kuasa Ekonomi Selatan.
- Segala strategi dan pelan tindakan dalam PPSJ ini akan disegerakan pelaksanaannya dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Agar setiap daerah di Johor membangun dengan rancak, sesuai dengan kebitaraan masing-masing.
- Untuk tahun 2017, di peringkat daerah, beberapa inisiatif akan diusahakan iaitu:
- Di Batu Pahat, membangunkan kebitaraan dalam rantaian nilai industri pembuatan ringan,
- Di Johor Bahru, menjayakan inisiatif pelabuhan hijau selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan mengetengahkan Johor Bahru dalam landskap pelancongan kesihatan Malaysia,
- Di Kluang, memperkenalkan pakej bersepadu eko-pelancongan dan pertanian serta melakukan promosi pensijilan buah-buahan dan sayur-sayuran organik,
- Di Kota Tinggi, menubuhkan portal khas tentang pelbagai tarikan pelancongan serta menjalankan inisiatif penghakupayaan penduduk tempatan untuk terlibat dalam industri pelancongan,
- Di Kulai, melakukan promosi antarabangsa tentang tarikan perkhidmatan logistik di Kulai bersama-sama dengan pihak Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),
- Di Mersing, membangunkan produk-produk ekopelancongan termasuk Kampung Tradisi Johor,
- Di Muar, membangunkan Pusat Kecemerlangan Kayu dan Produk Berasaskan Kayu,
- Di Pontian, meningkat dan memantapkan aktiviti pelancongan dan perikanan,
- Di Segamat, berkolaborasi dengan pusat-pusat kecemerlangan pertanian untuk meningkatkan produktiviti kegiatan pertanian,
- Di Tangkak, menganjurkan pelbagai pengisian untuk sektor pelancongan.
- Johor adalah negeri yang telah mencatatkan kemasukan nilai pelaburan sektor pembuatan tertinggi di Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2013. Oleh itu, menjadikan Johor Kuasa Ekonomi Selatan turut bermakna memastikan jumlah pelaburan bukan sahaja konsisten tetapi berganda.
- Beberapa langkah perlu akan dilaksanakan.
- Kerajaan Negeri akan memantapkan peranan Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) sebagai pemudahcara pelaburan dengan menggunakan jenama ‘The Johor Way’. Matlamat kita adalah untuk menghapuskan segala prosedur dan birokrasi yang anti produktif dan tidak mesra pelabur.
- Kerajaan Negeri akan meningkatkan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menganjurkan lebih banyak misi pelaburan berfokus, di negara seperti Jepun, Taiwan, Korea Selatan, India dan Timur Tengah. Ini adalah untuk memastikan Johor terus menjadi destinasi pelaburan utama.
- Kerajaan akan berkerjasama rapat dengan pelbagai pelabur luar yang sudah berada di Johor. Kerjasama ini dilakukan dengan dua tujuan. Pertama, meningkatkan pelaburan yang telah sedia ada. Kedua, menggunakan kepakaran dan jaringan mereka dalam membantu menarik lebih ramai pelabur dari negara mereka untuk datang dan bersama-sama melabur di Johor.
- Bidang pelaburan baru seperti pelancongan, perkhidmatan digital, perkhidmatan kesihatan dan pertanian amat perlu bagi meningkatkan kebolehsaingan Johor. Ini akan memberikan para pelabur lebih banyak pilihan dan tarikan untuk ke Johor.
- Cita-cita menjadikan Johor ekonomi paling pesat bertumbuh di Malaysia juga bermakna ia mesti menjadi tempat bercambahnya peluang pekerjaan bermutu dengan ganjaran dan upah yang baik.
- Yang paling penting ialah, pekerjaan yang diwujudkan itu adalah untuk rakyat Johor. Johor growth means jobs for Johoreans, dengan izin.
- Di Iskandar Malaysia misalnya, inisiatif ini akan diberikan perhatian khusus. Antaranya, dalam sektor Perkongsian Perkhidmatan dan Penyumberan Luar atau Global Business Services (GBS).
- Sasaran GBS ISKANDAR adalah untuk menyediakan 14,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM6.5 bilion.
- Sehingga Jun 2016, GBS ISKANDAR berjaya membawa masuk tujuh syarikat dengan mewujudkan 2,319 peluang perkerjaan bernilai tinggi. Nilai pelaburan yang terlibat ialah sebanyak RM1.3 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang. Kini, 350 orang telah ditawarkan peluang pekerjaan, dan 154 orang merupakan rakyat Johor dan ia dijangka meningkat kepada 1,020 orang menjelang 2020.
- Selain itu, satu Pusat Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran GBS ISKANDAR sedang dalam pertimbangan untuk diwujudkan. Pusat ini akan melatih seramai 3,000 peserta sepanjang lima tahun untuk diserap ke industri GBS di Iskandar Puteri. Fokus khas adalah untuk mereka yang berkelulusan tinggi tetapi telah diberhentikan dan tidak berkerja.
- Selain itu IRDA akan melancarkan Iskandar Malaysia Professional Fund (IMProF) menerusi dana RM20 juta yang diperuntukkan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi melatih tenaga mahir di Iskandar Malaysia.
- Pembiayaan berbentuk ‘soft loan’ ini memberi fokus kepada latihan peningkatan kemahiran (up-skilling), kemahiran semula (re-skilling) dan pensijilan kepada golongan sasar tertentu iaitu pekerja kemahiran terhad (limited skill workers), graduan menganggur, sektor teknikal dan perkhidmatan serta golongan wanita.
- Melalui program ini, setiap individu boleh mendapat pembiayaan latihan sehingga RM24 ribu. Untuk mengelakkan ia dari membebankan pelatih yang menerima pinjaman, hanya caj pentadbiran 1% dikenakan ke atas baki pinjaman setiap tahun. Tempoh bayaran balik pula dipanjangkan sehingga tempoh maksimum lima tahun.
- Kesemua ini adalah sebahagian komitmen IRDA dalam menambahkan bilangan tenaga mahir dan modal insan di Johor khususnya di wilayah Iskandar Malaysia.
- Salah satu perkara yang menjadi kebimbangan masyarakat kita adalah kebanjiran pekerja asing di negeri ini. Maklum balas masyarakat tentang pekerja asing mewajarkan Kerajaan Negeri mencari jalan menanganinya. Untuk itu, kita akan mempertimbangkan empat perkara.
- Pertama, Kerajaan Negeri, melalui Unit Swadaya Insan akan melakukan kajian secara terperinci keperluan sebenar pekerja asing di Johor.
- Kedua, Pelan Rasionalisasi Buruh akan dibangunkan untuk membantu semua sektor ekonomi Johor beralih secara perlahan-lahan kepada penggunaan pekerja tempatan dan teknologi automasi.
- Ketiga, dasar menggalakkan pengambilan pekerja tempatan mesti diperkenal dan diperkemaskan dengan pelbagai insentif selayaknya.
- Keempat, kita akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan tidak berlakunya ketirisan dalam kemasukan buruh asing ke Johor. Aktiviti penguatkuasaan mesti dipertingkatkan.
- Ekonomi yang pelbagai amat penting untuk pertumbuhan yang dinamik. Johor tidak harus hanya bergantung dengan sektor tertentu sahaja. Pendekatan sebegini kurang strategik dan tidak mapan.
- Oleh itu, selain memantapkan sektor-sektor sedia ada, fokus Johor ialah meneroka bidang-bidang keberhasilan baharu, yang berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan Johor.
- Bermula pada tahun hadapan, kita akan mengkaji secara serius bidang-bidang yang boleh menjadi kekuatan negeri Johor. Setakat ini, kita telah mengenal pasti tiga sektor penting.
- Satu usahasama antara Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation (J-Biotech) dengan pihak swasta untuk membangunkan satu kawasan seluas 350 ekar sebagai Hab Halal Johor, yang antara komponennya adalah mewujudkan Hab Kecemerlangan Halal, dengan melaksanakan tiga inisiatif utama.
- Pertama, membangunkan pelan induk dengan peruntukan RM500 ribu yang akan dinamakan Johor Halalan Toyyiban Roadmap (JHTR) bagi memangkin pertumbuhan Johor sebagai sebuah hab halal.
- Kedua, Johor akan menjadi Panel Makmal Halal bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang diakreditasikan mengikut standard tertentu dalam menyediakan perkhidmatan analisis makmal.
- Ketiga, mewujudkan Johor Toyyiban Laboratories Sdn. Bhd. (JTLab) dengan kos RM5 juta. Makmal ini dijangka dapat menyiapkan persediaan pra pengoperasian menjelang suku ketiga 2017. Ia akan menawarkan kepakaran pensijilan dan analisis halal bagi tujuan akreditasi pensijilan halal kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.
- Saiz bioekonomi Malaysia ialah 11.3 % atau RM180.3 bilion daripada KDNK pada 2015. Ia meliputi pelbagai bidang seperti pertanian, bioperubatan dan sektor industri berasaskan bioteknologi.
- Mengambil kira kedudukan Johor sebagai negeri ketiga terbesar di Malaysia dalam bidang pertanian, maka penting untuk Johor membangunkan potensi bioekonominya.
- Untuk itu, satu pelan induk yang dinamakan DNA Bioekonomi Johor (DNA BJ) bagi memperkasa industri bioteknologi secara inklusif dan inovatif akan dilaksanakan segera.
- Matlamat utamanya adalah untuk memajukan aktiviti huluan dan hiliran tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar. Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM700 ribu.
- Kajian Khazanah Research Institute (KRI) 2016 menunjukkan negara membelanjakan sekitar RM45.4 bilion untuk mengimport makanan. Malaysia hanya memenuhi kecukupan makanan bagi daging ayam, khinzir dan ikan.
- Ini bermakna, pelaburan dalam bidang pertanian dan penternakan sangatlah strategik dan berkepentingan nasional. Johor berhasrat untuk menerajui usaha ini dengan menjadi Hab Kecukupan Makanan.
- Susulan daripada ini, Johor Corporation akan membangunkan rangkaian usahawan Bumiputera dalam rantaian halal bagi industri ayam pedaging berskala besar yang melibatkan kos sebanyak RM37.98 juta. Manakala, bagi industri ternakan lembu tenusu pula, ia akan diusahakan oleh pihak swasta yang akan ditentukan kelak.
- Bagi merangsang pembangunan Segamat sebagai daerah pertanian utama, satu program khas yang dinamakan pembangunan Agro Mix Farm (kebun nukleus) akan dilaksanakan di Segamat.
- Program pertanian bersepadu berskala kecil ini akan menjadi projek perintis dalam menyokong pengeluaran produk berasaskan pertanian, penternakan dan juga akuakultur.
- Dengan peruntukan sebanyak RM1.25 juta dan keluasan tanah berjumlah 46 ekar, para peserta akan dilibatkan dalam projek tanaman makanan seperti sayur-sayuran, nanas, kelapa, jagung, belimbing serta projek-projek perikanan tilapia merah dan ternakan rusa.
- Kesenjangan ekonomi akan mencetuskan polarisasi kaum dan kesulitan kepada semua. Johor tidak boleh menjadi negeri yang kesenjangan antara mereka yang kaya dengan kelas pekerja dan kelas menegah bawah begitu lebar.
- Data menunjukkan bahawa Johor mempunyai KDNK keempat tertinggi di Malaysia, namun kesenjangan semakin mengecil. Ini dibuktikan dengan bacaan Pekali Gini Johor hanyalah pada 0.324, iaitu kedua terendah di Malaysia pada 2014.
- Namun, ini tidak bermakna kita harus cepat berpuas hati. Justeru, kita akan mengusahakan inisiatif berikut bagi merapatkan kesenjangan dalam masyarakat.
- Pertama, di wilayah Iskandar, IRDA telah memperkenalkan pelbagai program peningkatan keupayaan dan kesejahteraan untuk golongan minoriti dan mereka yang berisiko terpinggir.
- Misalnya, pelan induk dan rangka kerja Pembangunan Sosial Iskandar Malaysia. Projek keterangkuman sosial ini mensasarkan tujuh golongan iaitu Orang Asli, kaum India yang berpendapatan rendah, nelayan, ibu tunggal, golongan OKU, anak-anak yatim dan warga emas.
- Dua objektif utama program ini adalah untuk membantu golongan sasar untuk mendapat pendapatan tetap melalui Skim Sokongan Pekerjaan, dan juga Skim Bantuan Generasi Kedua yang tertumpu kepada aspek pendidikan anak-anak.
- Aspek kebajikan program ini akan memfokuskan kepada usaha mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
- Di bawah program ini juga, peruntukan dalam bentuk geran akan diberikan kepada NGO yang terpilih untuk membantu golongan sasar, tertakluk kepada penilaian dan jumlah yang dipohon.
- Sebanyak RM4 juta daripada Kumpulan Wang Projek Sosial Iskandar Malaysia diperuntukkan untuk pelaksanaan program ini pada tahun 2017.
- Kedua, satu program yang dikenali sebagai Program Pembangunan Usahawan Hiliran Minyak dan Gas atau PPUHM akan diperkenalkan. Tujuannya bagi membolehkan limpahan pembangunan di kawasan Pengerang turut dinikmati oleh penduduk di sekitarnya.
- Kerjasama Entrepreneur Development Centre (EDC) dengan PETRONAS dan Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) ini akan memfokuskan untuk memberi peluang perniagaan khusus dalam bidang pengurusan kem pekerja yang meliputi penyediaan makanan, penyelenggaraan, pembersihan, dobi, logistik, peruncitan dan keselamatan.
- Mengikut perancangan, PPUHM akan melibatkan sasaran penubuhan 29 syarikat mantee dalam 15 kluster perniagaan. Dan dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500 orang di kawasan Pengerang.
- Ketiga, Pusat Pembangunan Kapasiti Kontraktor akan diwujudkan. Ia bagi merealisasikan pelan induk pembangunan kontraktor melalui peningkatan keupayaan, peningkatan peluang dan peningkatan persekitaran industri. Sebanyak RM2.575 juta diperuntukkan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai salah satu tanggungjawab sosialnya dalam industri pembinaan.
- Keempat, kita akan memperkenalkan satu program khas iaitu Projek Tanaman Fertigasi dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM700 ribu. Daripada jumlah ini, sebanyak RM80 ribu diperuntukkan khusus kepada golongan OKU untuk memberi dorongan, latihan dan semangat agar mereka terlibat dalam sektor pertanian. Inisiatif ini melibatkan 64 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan enam sekolah-sekolah Pendidikan Khas di seluruh Johor.
- Kelima dan terakhir, pemerkasaan dan penghakupayaan golongan OKU akan diteruskan dengan menaiktaraf Bengkel Sampul Surat Orang Kurang Upaya di Batu Pahat. Inisiatif ini bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan, malah meningkatkan ekonomi golongan OKU.
- Buat masa ini terdapat 50 OKU pelbagai kategori bekerja di bengkel sampul surat ini. Dengan peruntukan sebanyak RM200 ribu kita mensasarkan penambahan 50 orang lagi OKU bekerja, menjadikan keseluruhannya 100 orang.
Tan Sri Speaker,
- Kerajaan Negeri amat memahami masalah peningkatan kos sara hidup. Ia mengundang rasa prihatin yang sangat mendalam.
- Tetapi kita juga seharusnya ingat, bahawa semua ini di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Keputusan Kerajaan Pusat, dalam banyak keadaan, mesti ditangani sebaiknya oleh Kerajaan Negeri. Agar rakyat tidak terus terbeban.
- Justeru, Kerajaan Negeri akan mengemukakan beberapa pendekatan dan mekanisme khusus untuk berhadapan dengan perkara ini.
- Pertama, memperbanyak penubuhan koperasi imCoop di seluruh negeri Johor. Satu peruntukan sebanyak RM2 juta akan diberikan khusus bagi tujuan ini.
- Dana ini akan dipecahkan dalam bentuk geran padanan tambahan bernilai RM100 ribu daripada Kerajaan Negeri untuk 20 buah koperasi yang menerima bantuan kewangan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan berminat untuk membuka kedai harga patut imCoop.
- Kedua, menggalakkan rakyat menghasilkan bahan makanan sendiri. Program Pertanian Rakyat yang kita perkenalkan pada tahun ini, dengan menyediakan bantuan berbentuk benih, baja, dan lain-lain keperluan, telah memanfaatkan seramai 404 orang peserta.
- Program ini akan diperluaskan pada tahun hadapan dengan melibatkan 37 buah sekolah, 3 buah universiti dan 37 taman perumahan. Kesemua program ini akan dilaksanakan menggunakan peruntukan sebanyak RM400 ribu.
- Ketiga, bagi meringankan beban dan kos sara hidup yang dihadapi golongan nelayan yang terjejas kerana pelbagai aktiviti pembangunan dan penambakan di selatan Johor, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta bagi meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM2 ribu kepada 1,800 orang nelayan berdaftar dan layak.
- Keempat, memperluaskan perkhidmatan Bas Muafakat Johor. Sejak dilancarkan pada tahun ini, perkhidmatan percuma Bas Muafakat Johor mendapat sambutan yang sangat baik. Sehingga kini, 1.34 juta pengguna telah memanfaatkan perkhidmatan ini sejak April hingga Oktober 2016.
- Justeru, pada tahun 2017, kita akan menambah peruntukan daripada RM11 juta pada tahun ini, kepada RM14.5 juta. Ini bermakna, akan turut berlaku pertambahan jarak iaitu daripada 813.6 km yang ada sekarang kepada 1,357 km pada tahun hadapan.
- Air adalah keperluan yang sangat asasi. Demi kesejahteraan mereka yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri akan memperluaskan Program Air Percuma melalui Syarikat Air Johor (SAJ) kepada golongan sasar di seluruh Johor.
- Di bawah program ini, sebanyak 25 meter padu akan disalurkan secara percuma kepada penerima dalam senarai E-Kasih dan Jabatan Kemajuan Orang Asli. Program Air Percuma ini akan menelan belanja sebanyak RM3 juta dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk, iaitu peningkatan seramai 2,108 penerima berbanding 2,892 penerima pada tahun ini.
Tan Sri Speaker,
- Menyediakan prasarana terbaik untuk semua adalah sangat mustahak dalam persekitaran Johor yang semakin berubah deras. Ia sangat perlu kerana beberapa pertimbangan.
- Pertama, jumlah kepadatan penduduk yang semakin meningkat kesan penghijrahan dari luar bandar ke bandar.
- Kedua, ia adalah prasyarat penting dalam meyakinkan pelabur untuk ke Johor.
- Ketiga, kerana meningkatnya jangkaan dan tuntutan rakyat. Mereka mahukan kemudahan awam terbaik sesuai keperluan kehidupan moden.
- Oleh itu, pelaburan untuk prasarana terbaik adalah keutamaan Kerajaan Johor. Kaedah pembiayaan yang akan kita gunakan adalah pelbagai. Ada yang akan dibiayai oleh Kerajaan Pusat. Ada yang menggunakan kaedah penswastaan dan sebahagian lainnya pula akan memerlukan pembiayaan oleh Kerajaan Negeri.
- Kesemua pelaburan dan proses pemantapan prasarana ini boleh dipecahkan seperti berikut.
- Kerajaan Negeri berazam untuk menyelesaikan masalah air Johor dengan segera dan sebaiknya. Begitu juga masalah banjir di sesetengah kawasan. Penyelesaian kita mestilah inovatif, menyeluruh dan radikal. Ia akan melibatkan beberapa cakupan seperti berikut.
- Saya suka mengumumkan bahawa sebanyak 7 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjayakan sekurang-kurangnya 14 inisiatif yang melibatkan infrastruktur air. Secara khususnya, rangkaian inisiatif Kerajaan Negeri yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan adalah seperti berikut:
- Pertama: Melaksanakan Projek Pemindahan Air Mentah dari Sungai Lenggor ke Empangan Congok, dengan peruntukan sebanyak RM65 juta,
- Kedua: Melaksanakan pembinaan 2 buah telaga tiub di Kota Tinggi dengan peruntukan sebanyak RM1 juta,
- Ketiga: Melaksanakan penyelenggaraan kawasan tadahan Empangan Layang Hulu dan Layang Hilir dengan peruntukan sebanyak RM900 ribu,
- Keempat: Melaksanakan projek pemasangan sistem pemantauan kualiti air di Sungai Johor, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta,
- Kelima: Melaksanakan pelan pengurusan kawasan tadahan air (Water Catchment Management Plan) di Sungai Gembut, Kota Tinggi dengan peruntukan sebanyak RM600 ribu,
- Keenam: Melaksanakan pemetaan udara menggunakan Unmanned Aerial Vehicle (UAV), dengan izin, di kawasan tadahan Empangan Linggiu dan cadangan Empangan Ulu Sedili Besar dengan peruntukan sebanyak RM700 ribu,
- Ketujuh: Pelaksanaan pengurusan lembangan sungai secara bersepadu (IRBM) di Sungai Johor. Untuk inisiatif ini kita memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk tempoh lima tahun, iaitu bersamaan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun,
- Kelapan: Melakukan pembenihan awan di kawasan tadahan air dengan kekerapan penerbangan sebanyak 10 kali dengan peruntukan sebanyak RM400 ribu,
- Kesembilan: Melakukan projek pemasangan paip dari Outfall Sungai Johor ke Empangan Upper Layang, dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta,
- Kesepuluh: Kita akan memperuntukan sebanyak RM500 ribu bagi melakukan kerja-kerja pembaikan dan pemasangan peralatan pengukuran gegaran di Loji Rawatan Air Gunung Pulai,
- Kesebelas: Melakukan kajian kebolehupayaan bagi pembinaan Empangan Pantai (Coastal Reservoir) di Muara Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Mersing dengan peruntukan sebanyak 8 juta,
- Kedua belas: Mewartakan Kawasan Tadahan (Enakmen Air 1921 – Pindaan 2014) dan Kawasan Larangan & Tempat Larangan 1959 (Akta 298). Proses ini akan dilengkapkan menggunakan peruntukan sebanyak RM500 ribu,
- Ketiga belas: Penyediaan Pelan Kecemasan Empangan (ERP) bagi Empangan Juaseh dan Lebam dengan peruntukan sebanyak RM800 ribu, dan
- Keempat belas: Melakukan Kajian Kebolehupayaan Sumber Air Bawah Tanah dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Proses ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.
- Lanjutan kepada 14 inisiatif ini, kita akan menjalankan beberapa inisiatif lain bagi memantapkan pengetahuan dan kepakaran kita berhubung pengurusan air.
- Ini termasuklah penganjuran Johor Water Forum 2017 dan memperkasakan forum ini menjadi sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai penasihat kepada Majlis Sumber Air Negeri Johor.
- Kerjasama antara pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan badan-badan profesional amat penting bagi menjayakan Johor Water Forum Untuk itu, sebanyak RM300 ribu diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut.
- Selain daripada inisiatif-inisiatif di pihak Kerajaan Negeri ini, kita juga akan menjayakan beberapa inisiatif lain melalui peruntukan Kerajaan Pusat. Antaranya:
- Pertama, Projek Penyaluran Air Mentah Iskandar Malaysia (PAMIM) berharga RM560 juta. Dan sebagai permulaan sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan pada tahun hadapan.
- Kedua, projek Empangan Kahang yang telah kita mulakan pembinaannya pada Mei 2014 masih berjalan dan hanya akan siap pada 2017. Manakala Loji Rawatan Air Kahang yang bernilai RM125 juta pula akan siap pada 2018. Maka, pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan membina satu saluran pemindahan air sementara yang menghubungkan Empangan Kahang ke Loji Rawatan Air Sembrong Timur yang bernilai RM15 juta, yang dijangka siap pada 2017. Inisiatif ini adalah bagi menyelesaikan masalah air daerah Kluang bagi jangka masa panjang.
- Ketiga, menaik taraf Empangan Congok di Mersing. Projek ini menelan kos sebanyak RM7 juta secara keseluruhannya. Dan sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan pada tahun hadapan.
- Bagi menambahbaik pengurusan sumber air pula, Kerajaan Negeri akan meningkatkan hasil penguatkuasaan lesen jeti dan penambakan laut.
- Perkara ini akan dilakukan oleh Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) menggunakan beberapa cara. Antaranya adalah dengan menguatkuasakan secara lebih tegas dan berkesan undang-undang terhadap pencemaran air seperti peruntukan dalam Enakmen Air 1921 (Pindaan 2014) dan meningkatkan hasil negeri seperti melesenkan abstraksi sumber air, jeti dan penambakan laut melalui Enakmen yang sama.
- Melalui Kajian Pelan Tindakan Banjir Negeri Johor, kawasan yang berada pada paras tertinggi dalam senarai kawasan banjir adalah Kampung Tui, Tangkak dan Kampung Bukit Kepung di Muar. Namun, melalui projek tebatan Sungai Kesang, permasalahan ini telah berjaya diselesaikan.
- Untuk itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM37.8 juta bagi kerja-kerja menaik taraf parit di Kampung Paya Pupuk dan Parit Othman; pembinaan Tebatan Banjir di Kampung Sialang Dalam; projek pemuliharaan Muara Sungai Kesang, di daerah Tangkak dan penambakan pemecah ombak di Pengkalan Sri Menanti, Muar.
- Selain itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir di Kampung Sungai Lui, Segamat; Kampung Melayu Sengkang, Kulai; dan daerah Mersing yang melibatkan peruntukan RM4.7 juta.
- Sebanyak RM13.5 juta juga diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk Rancangan Saliran Bandar yang melibatkan daerah Johor Bahru, Segamat, Kulai dan Muar.
- Johor mesti terhubung dengan baik jika ia ingin menjadi kuasa ekonomi baru Malaysia. Bagi mempelbagaikan keperluan prasarana perhubungan di Johor, dua projek rel berskala besar sedang dan akan dilaksanakan.
- Pertama, pembinaan landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru yang berharga RM9 bilion. Projek ini akan dijalankan pada tahun hadapan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Pusat.
- Kedua, projek Tren Berkelajuan Tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura. 70% pelaksanaan projek ini akan melibatkan Johor kerana ia akan melalui beberapa bandar utama di Johor dan dijangka mula dilaksanakan apabila persetujuan dicapai antara kedua-dua negara kelak.
- Kedua-dua projek ini dijangka akan merubah dinamik ekonomi dan mobiliti di Johor.
- Jalan raya terbaik di luar bandar adalah sangat penting untuk melonjakkan kualiti hidup masyarakat kita. Melaluinya, hasil pertanian dapat segera dipasarkan dan akses ke hospital semasa kecemasan dapat dipercepatkan. Malah ia membolehkan ekonomi kawasan luar bandar bertumbuh dengan lebih cerdas.
- Untuk tahun 2017, kita akan melakukan tiga inisiatif pembinaan dan pembaikpulihan jalan yang utama.
- Pertama, sebanyak RM650 juta diperuntukkan melalui Sistem Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), untuk antara lain, menambah baik penyelenggaraan jalan-jalan negeri, jalan-jalan kampung dan perabot jalan, seperti papan tanda dan ramp, lampu jalan serta pengukuhan bahu jalan.
- Kedua, sebanyak RM79.2 juta pula akan diperuntukkan bagi tujuan pembinaan pelbagai jalan dan jambatan negeri. Ia termasuklah:
- Pembinaan jalan-jalan baharu di Jalan Sri Dayong ke Sejagong; laluan merentasi Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading di Batu Pahat; dan menaiktaraf Jalan Parit Ibrahim dan Jalan Parit Jawa di Pontian. Malah, kita akan turut melebarkan Jalan Pagoh-Muar dengan menjadikannya laluan dua hala.
- Manakala, bagi pembinaan jambatan-jambatan negeri pula, kawasan yang terlibat merangkumi, penggantian Jambatan Sungai Gunung Pulai di Kulai, jambatan sempit di Jalan Sengkang, Bukit Gambir di Tangkak, dan jambatan sempit di Jalan Endau-Penyabong di Mersing dan melebar persimpangan di Gelang Patah ke Pendas.
- Kesemua ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memastikan prasarana luar bandar kita berada dalam keadaan terbaik. Malah, saya ingin memaklumkan bahawa Johor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai sistem pemetaan jalan desa yang lengkap, meliputi 4,000 kilometer jalan bandar.
- Bagi merealisasi visi menjadikan Iskandar Malaysia sebagai ‘Sebuah Metropolis Bertaraf Antarabangsa yang Kukuh dan Mapan’ menjelang tahun 2025 Program Bandar Pintar Iskandar Malaysia (Smart City Iskandar Malaysia) akan dilaksanakan. Keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat Global Science and Innovation Advisory Council atau GSIAC di Amerika Syarikat pada 1 November 2012.
- Program mega ini merangkumi enam dimensi utama iaitu; Ekonomi, Tadbir Urus, Persekitaran, Mobiliti, Gaya Hidup dan Masyarakat Pintar. Sebanyak 80 projek telah disenaraikan di dalam program ini yang diselaras dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif ii (CDPii) Iskandar Malaysia.
- Sehingga kini 20% hingga 50% daripada prinsip dan strategi CDPii telah diselaraskan di setiap PBT yang berkaitan. Selain itu, PBT juga, turut memberi komitmen untuk mencapai Visi Iskandar Malaysia dengan melaksanakan Pelan Langkah Terperinci Masyarakat Rendah Karbon.
- Pada tahun 2017, satu projek persediaan awal akan dilaksanakan oleh IRDA dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP). Projek yang diberi nama Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO) akan dibangunkan bagi merangka model pengurusan bandar, serta memantau pembangunan dan infrastruktur pintar seperti keadaan lalu lintas dan kualiti udara dan air.
- Ia juga akan dijadikan sebagai pusat untuk menyimpan dan menganalisis data. Fasa pertama pembangunan ini akan melibatkan kos awalan sejumlah USD570 ribu oleh pihak UNDP dan RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
- Kita sedar bahawa perancangan bandar, kawasan kediaman dan polisi hartanah yang teratur adalah amat penting. Ia bukan sahaja akan menjadikan landskap bandar kita menarik, malah membolehkan pola pembangunan berada dalam keadaan yang baik dan seimbang.
- Daripada aspek perumahan, setakat ini, sukacita saya melaporkan bahawa sebanyak 8,766 unit rumah telah kita siapkan manakala 11,049 unit lagi sedang dalam pembinaan. Baki 40,022 unit daripada sasaran 60,000 unit akan mula dibina pada tahun hadapan sehingga 2020.
- Bagi tahun 2017, kita memutuskan untuk melakukan beberapa tindakan radikal bagi menyusun semula kawasan kediaman dan menambahbaik polisi serta pembangunan hartanah di Johor.
- Antara inisiatif yang akan kita lakukan adalah seperti berikut:
- Dengan pengambil alihan tanah di Kem Tebrau seluas 330 ekar oleh Johor Corporation, Kerajaan Negeri akan memberi hak milik tanah seluas 32 ekar keseluruhannya kepada 171 penduduk Desa Perwira, dan kampung ini akan dijadikan Rizab Melayu. Baki daripada tanah tersebut, antara lain, akan dibina rumah mampu milik dan ditawarkan kepada setinggan yang layak, yang berada di atas tanah tersebut ketika ini.
- Unit-unit yang akan dibina terdiri daripada 132 unit Perumahan Komuniti Johor A, 263 unit Perumahan Komuniti Johor B, dan 635 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
- Secara anggarannya, kos hanya untuk pengambilan tanah oleh Johor Corporation adalah sebanyak RM328.75 juta.
- Selain membangunkan semula kawasan setinggan, kita juga akan membuka dua kawasan pertumbuhan dan perumahan baru di Kota Tinggi. Inisiatif ini akan melibatkan Johor Corporation di Sungai Papan dan YPJ Holdings di Kledang.
- Bagi projek yang pertama di Sungai Papan, ia melibatkan keluasan berjumlah 7,900 ekar dan akan memberi tumpuan kepada pembangunan berkonsepkan eko yang mempunyai pelbagai komponen pembangunan seperti perumahan, perdagangan, perindustrian, pendidikan dan penyelidikan. Projek ini mensasarkan penjanaan 95,000 peluang pekerjaan dan penyediaan 60,000 unit kediaman.
- Manakala projek yang kedua di Kledang pula, akan melibatkan tanah berkeluasan 1,500 ekar dengan sasaran pembinaan sebanyak 6,000 unit RMMJ.
- Sebagai tambahan kepada pembukaan kawasan pembangunan dan perumahan baharu yang bersifat umum, kita juga akan melakukan projek pembangunan perumahan berfokus yang dikhaskan hanya kepada golongan sasar tertentu.
- Untuk tahun 2017, kita akan mulakan dengan membina rumah bagi pekerja-pekerja ladang di bawah Kulim Berhad di Ladang REM, Kota Tinggi.
- Dengan kawasan seluas 99 ekar, projek ini akan menyediakan pembinaan sebanyak 908 unit rumah yang terdiri daripada dua jenis. Iaitu Rumah Berbandung bagi anggota pekerja berpendapatan RM2 ribu ke atas sebulan. Dan Rumah Teres bagi anggota pekerja berpendapatan RM900 hingga RM1,999 sebulan.
- YPJ Holdings akan membina Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) khusus kepada kakitangan awam, di kawasan-kawasan berikut:
- Mersing, 355 unit,
- Kluang, 910 unit,
- Tangkak, 130 unit,
- Muar,1,040 unit, dan
- Batu Pahat, 442 unit.
- Melalui Program Rumah Mesra Rakyat Johor pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif pemberian subsidi pembinaan rumah atas tanah sendiri. Pada tahun hadapan, kita akan membantu membina 200 unit rumah lagi dalam sasaran menjadikan kesemuanya 3,000 unit menjelang 2018 nanti.
- Seperti tahun ini, Kerajaan Negeri akan memberi subsidi pembinaan rumah ini berdasarkan skala berikut:
- Subsidi RM10,000 kepada rumah berharga RM64,000,
- Subsidi RM12,500 kepada rumah berharga RM72,500, dan
- Subsidi RM15,000 kepada rumah berharga RM85,000.
- Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Johor yang menyambut baik dan memberi sokongan padu dalam menjayakan agenda perumahan Johor.
- Untuk tahun 2017 sahaja, GLC-GLC negeri Johor akan terus komited dalam menyumbang dan membina pelbagai lagi rumah di seluruh negeri Johor. Misalnya:
- Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) akan membangunkan dua buah lagi Taman Perbadanan Islam:
- Pertama: Di Labis, Segamat, dengan keluasan 20 ekar, melibatkan 81 unit rumah PKJ A dan PKJ B dan 105 unit RMMJ.
- Kedua: Di Pagoh, Muar dengan keluasan 30 ekar, melibatkan 210 unit RMMJ (berkonsep Townhouse) dan 180 unit rumah Teres Dua Tingkat.
- KPRJ akan membina sebanyak 1,743 unit rumah secara keseluruhannya, yang dipecahkan seperti berikut:
- Pertama: 760 unit rumah teres RMMJ, iaitu sebanyak 88 unit di Sagil, Tangkak; 192 unit di Batu 6, Tenglu, Mersing; dan 480 unit di Kong Kong, Masai, Tebrau.
- Kedua: 813 unit rumah pangsa PKJ A, iaitu 520 unit di Kampung Hjh. Hasnah, Johor Bahru; dan 293 unit rumah pangsa di Kampung Senibong, Permas Jaya.
- Ketiga: 170 unit rumah pangsa PKJ B, iaitu di Sungai Lunchoo B, Plentong.
- Manakala Johor Corporation akan membina:
- Pertama, 70 unit rumah PKJ di Lenga, Muar.
- Kedua, 168 unit RMMJ, 72 unit Rumah Kos Sederhana Rendah dan 17 unit Kedai Kos Sederhana Rendah di Kong Kong, Masai.
- Dan terakhir, pihak Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan membina 21,540 ribu unit rumah di seluruh negeri Johor bagi menampung keperluan golongan pertengahan. Kesemua unit ini akan ditawarkan pada harga dalam lingkungan RM150 ribu sehingga RM350 ribu. Setakat ini, sebanyak 1,960 unit telah dalam proses pembinaan, manakala sebanyak 19,580 unit lagi masih dalam perancangan. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah seperti berikut:
- Kota Tinggi – 1,595 unit;
- Johor Bahru – 1,284 unit sedang dalam pembinaan, dan 9,561 unit lagi akan dibina;
- Pasir Gudang – 2,665 unit sedang dalam pembinaan, dan 475 unit lagi akan dibina;
- Segamat – 1,323 unit;
- Kluang – 2,323 unit;
- Simpang Renggam – 700 unit;
- Batu Pahat – 455 unit; dan
- Gelang Patah – 968 unit.
- Bagi memperkemas pemilikan RMMJ, inisiatif-inisiatif berikut akan dikuatkuasakan:
- Pertama, pengenalan 10% kuota pemilikan kepada golongan belia;
- Kedua, pengenalan 10% kuota kepada golongan OKU dan keutamaan kepada golongan OKU dalam pemilikan rumah aras bawah atau aras satu bagi kediaman strata.
- Berdasarkan maklum balas umum, kita dapati bahawa isu perumahan tidak hanya berkisar tentang jumlah yang tidak mencukupi. Tetapi turut mencakupi ketidaklayakan mendapatkan pinjaman dan pembiayaan.
- Untuk 2017, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk membeli rumah mampu milik berharga RM42 ribu dan RM80 ribu yang akan seterusnya ditawarkan kepada mereka yang layak melalui Skim Sewa Beli. Inisiatif ini diteruskan atas keprihatinan Kerajaan Negeri bahawa ramai yang tidak berjaya mendapat pembiayaan perumahan daripada bank. Lokasi-lokasi terlibat dalam inisiatif ini akan ditentukan kemudian.
- Untuk 2017, Kerajaan Negeri akan mengurniakan hak milik tanah di kawasan-kawasan berikut:
- Pertama: Di daerah Johor Bahru, yang melibatkan 392 pemohon ke atas tanah seluas 53 ekar yang merentasi Kampung Pulai Sungai Kim-Kim, Kampung Desa Bakti, Kampung Sentosa dan Kampung Cahaya Baru di Mukim Plentong serta Kampung Bukit Tempurung di Mukim Jelutong.
- Kedua: Di daerah Kulai, yang melibatkan 195 pemohon ke atas tanah seluas 364 ekar, meliputi Kampung Rahmat di Bukit Batu, Kampung Sungai Besoi, Kampung Pengkalan Indah dan Kampung Baru Bukit Batu dalam Mukim Sedenak serta Kampung Sri Paya, di Mukim Kulai.
- Ketiga: Di daerah Batu Pahat, yang melibatkan 125 pemohon ke atas tanah seluas 1,378 ekar meliputi Parit Sri Wangi dalam Mukim Sri Medan dan Kampung Sri Semangat dalam Mukim Tanjung Sembrong.
- Keempat: Di daerah Kluang, melibatkan 641 pemohon ke atas tanah seluas 1,123 ekar meliputi Kampung Ilham dan Kampung Sri Cahaya dalam Mukim Kluang, Kampung Isnin Maarof dalam Mukim Machap dan Kampung Sri Pekan dalam Mukim Layang-layang.
- Kelima: Di daerah Mersing, melibatkan 81 pemohon ke atas tanah seluas 979 ekar merentasi Felda Tenggaroh 4.
- Keenam: Di daerah Tangkak pula, ia melibatkan 54 pemohon ke atas tanah seluas 88 ekar di Sawah Ring Blok 16 di Mukim Grisek dan Kampung Gemeh di Mukim Tangkak.
- Ketujuh: Di daerah Kota Tinggi, melibatkan 134 pemohon ke atas tanah seluas 239 ekar meliputi Kampung Sri Aman di Mukim Ulu Sungai Johor dan Kawasan Batu 15 di Mukim Ulu Sungai Sedili Besar.
- Seterusnya, Kerajaan Negeri akan mempertingkat dan meluaskan inisiatif pengangkutan awam bagi memudahkan pergerakan rakyat di Johor. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut.
- Pertama, cadangan meluaskan perkhidmatan Bas Muafakat Johor di daerah-daerah lain menggunakan sebahagian hasil Vehicle Entry Permit (VEP) yang baru sahaja dilaksanakan.
- Kedua, Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) yang bernilai RM1 bilion dengan peruntukan awal daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM50 juta untuk tahun 2017. Bagi IMBRT Fasa 1, ia terdiri daripada tiga jajaran dengan jarak 51 kilometer dan 42 stesen melibatkan:
- Johor Bahru Central Business District (JB CBD) ke Hab Desa Jaya – 18.2 kilometer
- JB CBD ke Hab UTM – 19.6 kilometer
- JB CBD ke Hab Iskandar Puteri – 25.1 kilometer
- IRDA akan memulakan Design Detail Engineering melalui pendekatan bidaan terbuka atau open tender, dengan izin, pada tahun 2017.
- Ketiga, menubuhkan Jawatankuasa Pengangkutan Awam Johor. Antara fungsi dan cakupan tugas jawatankuasa ini kelak adalah untuk:
- Melakukan perancangan pengangkutan dan hal-hal pembangunan yang berkaitan dengan pengangkutan awam seluruh negeri Johor,
- Menjadi platform bagi memudahkan dan mempercepatkan proses membuat keputusan mengenai perancangan dan pembangunan pengangkutan awam Johor,
- Menimbang dan menilai kesesuaian setiap projek pembangunan perkhidmatan pengangkutan awam sebelum Pihak Berkuasa Negeri memberi kelulusan, dan
- Memberi nasihat serta pandangan kepada projek Kerajaan Persekutuan di negeri Johor yang melibatkan pengangkutan awam.
- Pengukuhan operasi dan keberkesanan perkhidmatan PBT adalah perkara penting yang tidak boleh dipandang remeh. Pada tahun 2017, usaha pemantapan PBT akan diteruskan dengan melibatkan peruntukan yang dipecahkan seperti berikut.
- Pertama, pembangunan infrastruktur pengangkutan awam seperti menaik taraf perhentian bas, tempat letak kereta, dan laluan pejalan kaki dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.1 juta.
- Kedua, membina dan menaik taraf ruang-ruang perniagaan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM24.6 juta. Ini termasuklah:
- Membina gerai baharu di Taman Teratai, Skudai dengan peruntukan RM2.5 juta;
- Membina dan menaik taraf konsep ruang niaga gerai dan pasar di Pasar Awam Senai dengan peruntukan RM700 ribu; dan
- Membina 6 unit gerai di Jalan Johor, Kota Tinggi dengan peruntukan RM300 ribu.
- Ketiga: Membina dan menaik taraf taman rekreasi dan riadah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM45.6 juta. Ini termasuklah:
- Melakukan kerja-kerja menaik taraf Taman Permainan Kanak-kanak Jalan Abdul Aziz di Kota Tinggi menggunakan peruntukan RM200 ribu;
- Menaik taraf Hutan Bandar Kulai dengan memasukkan, antaranya, laman ekstrem dan kompleks penempatan penjaja yang setiap satunya mendapat peruntukan sebanyak RM2 juta; dan
- Menaik taraf Hutan Bandar Mutiara Rini, Skudai dengan peruntukan RM500 ribu.
- Keempat: Pembinaan dan penambahbaikan bangunan, pejabat dan dewan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM87.9 juta. Peruntukan ini akan digunakan untuk, antara lain:
- Membaik pulih dan menaik taraf Dewan Orang Ramai Semerah, Parit Raja, Senggarang dan Rengit dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.5 juta;
- Membina dewan raya di Taman Scientex, Kulai dengan kos RM250 ribu;
- Membina dewan utama kedua di Kulai dengan kos RM1.5 juta; dan
- Menaik taraf Muzium Layang-layang di Pasir Gudang dengan kos sebanyak RM500 ribu.
- Kelima: Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Johor akan melakukan transformasi Pihak Berkuasa Tempatan dengan menaiktaraf PBT berikut:
- Majlis Bandaraya Johor Bahru, dinaik taraf kepada Dewan Bandaraya Johor Bahru;
- Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, dinaik taraf ke Majlis Bandaraya Johor Bahru Tengah; dan
- Majlis Daerah Segamat, dinaik taraf ke Majlis Perbandaran Segamat.
- Selain itu, untuk menambah baik dan menaik taraf kemudahan awam pula, pelbagai inisiatif akan dijalankan yang merangkumi projek-projek berikut.
- Program Tandas Sejahtera yang melibatkan pembinaan, baik pulih dan sistem pengurusan tandas awam yang lebih sempurna oleh PBT terlibat dengan peruntukan sehingga RM300 ribu setiap satu.
- Ini merupakan kesinambungan daripada projek baik pulih dan naik taraf tandas awam PBT di bawah NBOS ke-10 bagi Program My Beautiful Malaysia (MyBM) Tahun 2016.
- Bagi meningkatkan keindahan landskap dan kemudahan taman awam pula, satu projek pembangunan taman awam yang dikenali sebagai SIREH Park @ Iskandar Puteri akan dimulakan pada tahun hadapan.
- SIREH Park ini adalah sebuah taman awam kategori
taman wilayah yang memiliki keluasan 343 ekar. Ia akan dibangunkan sebagai sebuah taman warisan semula jadi bertaraf dunia.
- Antara kemudahan dan fasiliti taman ini ialah ruang taman yang padat dengan koleksi flora dan fauna serta warisan biodiversiti tempatan, kawasan lapang tapak ekspo dan pameran serta ruang dan kemudahan untuk riadah dan rekreasi.
- Pembangunan fasa pertama SIREH Park ini akan dilakukan dengan anggaran kos sebanyak RM16 juta dan dijangka siap pada hujung tahun 2017. Selepas siap kelak, ia akan dibuka kepada umum secara percuma.
- Sukan adalah aspek pembangunan sosial dan keperkasaan insan yang sangat penting. Malah sukan juga adalah instrumen penting perpaduan serta mempunyai nilai ekonomi yang strategik.
- Justeru, melalui peruntukan Kerajaan Negeri, sektor sukan akan menerima peruntukan sebanyak RM32.16 juta yang akan disalurkan untuk menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif berikut.
- Pertama, program pembangunan jangka panjang yang dikenali sebagai Johor Gemilang 2020.
- Menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), program ini akan menggembleng kerjasama pelbagai GLC Negeri Johor, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi melonjakkan pencapaian keseluruhan sukan Johor. Mereka akan menjadi rakan strategik Majlis Sukan Negeri Johor serta persatuan-persatuan sukan.
- Program ini adalah sebahagian daripada pelan persediaan kita dalam menghadapi SUKMA 2020 yang akan berlangsung di negeri Johor.
- Kedua, suntikan dana berjumlah RM505 ribu bagi tujuan mencungkil dan membangunkan bakat atlet muda. Dana ini akan disalurkan untuk menambah baik pelbagai program pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.
- Ketiga, kita juga akan memberikan tawaran biasiswa pendidikan kepada 5 atlet berkelayakan di bawah Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Setiap atlet berkelayakan ini akan diberikan biasiswa bernilai RM7 ribu setahun yang dipecahkan kepada RM3.5 ribu bagi setiap semester.
- Keempat, satu peruntukan sebanyak RM10 juta akan diteruskan sama seperti tahun ini bagi pembangunan bola sepak khususnya di peringkat akar umbi.
- Antaranya, pertama, program pembangunan bola sepak 17 tahun ke bawah di bawah Akademi Johor Darul Ta’zim, yang melibatkan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Borusia Dortmund (BVD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Di bawah program ini sebanyak 12 Pusat Latihan Daerah (DTC) telah diwujudkan bagi menempatkan para pemain yang terpilih, yang menjadi pusat latihan dan perlawanan persahabatan.
- Bagi para pemain terpilih pula, mereka turut diberikan pendedahan latihan dan perlawanan persahabatan di luar negara.
- Kedua, Program Pembangunan Bola Sepak Belia (Bawah 19 Tahun), yang merupakan pasukan amatur yang menyertai Pertandingan Piala Malaysia FAM setiap tahun.
- Ketiga, Pembangunan Pasukan Bola Sepak Bawah 21 Tahun, yang merupakan pasukan amatur yang menyertai pertandingan Piala Presiden FAM setiap tahun.
- Melalui peruntukan pembangunan seperti ini, kecemerlangan bakat pasukan bola sepak di kalangan anak tempatan negeri Johor akan dapat dilahirkan.
- Selain daripada peruntukan oleh Kerajaan Negeri, akan terdapat dua pembinaan infrastruktur sukan yang dibiayai oleh pihak GLC dan swasta.
- Pertama, pembinaan Kompleks Sukan ‘Lee Chong Wei International Sports City‘ di atas tanah pajakan milik Kerajaan Negeri berkeluasan 11.18 ekar di Bandar Seri Alam. Projek ini akan dilaksanakan oleh pihak swasta dengan kos keseluruhan berjumlah RM100 juta.
- Kompleks ini akan terdiri daripada stadium badminton, asrama serta akademi badminton, pusat kesihatan dan beberapa kemudahan sukan lain.
- Ia akan menempatkan Johor sebagai salah satu destinasi akademi latihan badminton bertaraf antarabangsa di peta dunia seperti Frederikshavan Badminton Academy di Denmark, Yeomju Gymnasium di Korea, Dongguan LYB Badminton School di China dan Taufik Hidayat Arena di Indonesia.
- Kedua, pembinaan Stadium Sport City yang terletak di kawasan Mount Austin, Johor Bahru.
- Kemudahan ini bakal menjadi pusat sukan dan riadah rakyat. Ia terdiri daripada stadium olahraga berkapasiti 5,000 orang, padang latihan serbaguna, infrastruktur dalaman serta kemudahan utiliti. Pembinaan ini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM89 juta.
- Stadium ini akan dibina oleh KPRJ.
Tan Sri Speaker,
- Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat sangat penting untuk dipertingkatkan. Malah segala pencapaian Johor yang memberangsangkan selama ini adalah hasil kerjasama erat dengan Kerajaan Pusat. Lihat sahaja pembangunan beberapa projek penting seperti Iskandar Malaysia, RAPID di Pengerang, Projek Trek Berkembar dan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi.
- Pada kesempatan ini, bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas peruntukan sebanyak 406 bilion kepada negeri Johor dalam Bajet Persekutuan yang telah diumumkan baru-baru ini.
- Daripada jumlah ini, sebanyak 38 juta akan diperuntukkan untuk projek-projek baharu, manakala baki sebanyak RM2,090.09 juta akan diperuntukkan untuk meneruskan projek dan inisiatif sedia ada.
- Kerajaan Negeri akan menggiatkan lagi kerjasama dengan East Coast Economic Region (ECER) bagi membangunkan kawasan Pantai Timur Johor. Ia mesti menjadi kawasan pertumbuhan penting dan berjaya seperti Iskandar Malaysia.
- Kerajaan Negeri amat berharap agar Kerajaan Pusat akan terus merujuk pandangan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan pelbagai projek Kerajaan Pusat di negeri Johor.
Tan Sri Speaker,
- Bajet kali ini memberikan satu perhatian khusus terhadap Agenda Kebolehsaingan Melayu, Bumiputera dan Orang Asli.
- Agenda ini bertujuan memantap dan memperkukuh keupayaan orang Melayu, Bumiputera dan Orang Asli untuk bersaing dan merebut peluang dalam bidang-bidang kritikal dan penting. Misalnya:-
- Pertama, dalam sektor pembinaan, satu Program Kontraktor Patuh Syariah akan dijalankan bagi melatih 500 kontraktor Bumiputera melalui kursus, peperiksaan dan persijilan.
- Usaha ini bertujuan membantu membangunkan ekosistem ekonomi Islam dan Bumiputera melalui pelaksanaan projek seperti pembangunan sekolah agama, surau, wakaf dan sebagainya secara patuh syariah. akan memperuntukkan sebanyak RM1.625 juta untuk menjayakannya.
- Kedua, Program Pembangunan Komuniti Orang Asli bersama Yayasan PBT dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu. Ia akan melibatkan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan pendapatan, kepimpinan serta galakan dalam pendidikan di kalangan Orang Asli.
Tan Sri Speaker,
- Salah satu matlamat besar Johor Berkemajuan ialah membangunkan peradaban yang unggul. Ini termasuklah mengukuhkan kesepaduan pelbagai bangsa di Johor melalui konsep Bangsa Johor dan Muafakat Johor.
- Sesungguhnya, segala kemajuan yang terhasil di Johor ini adalah kerana sumbangan semua kaum. Tiada yang terkecuali.
- Bagi mengukuhkan lagi agenda Bangsa Johor dan Muafakat Johor ini, Kerajaan Negeri menyarankan agar semua program di Johor, mestilah sedaya upaya dianjurkan dengan penglibatan pelbagai kaum. Ia mesti memaparkan kepelbagaian yang menjadi kekuatan sebenar Bangsa Johor.
- Kerajaan Negeri juga menyeru agar rakyat Johor merancakkan pelbagai aktiviti di bawah obor Bangsa Johor untuk mengukuhkan penjiwaan konsep positif ini sesama kita.
- Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan menjadi penggerak sebenar perpaduan di Johor. Dan bukannya menganggap perkara ini sebagai tanggungjawab rasmi Kerajaan Negeri.
- Sebagai salah satu inisiatif meraikan semangat Bangsa Johor dan kehidupan bermuafakat ini, kita akan menjenamakan semula satu kawasan di pusat bandaraya Johor Bahru sebagai The Street of Harmony atau Jalan Muafakat Bangsa Johor. Projek ini bernilai RM5 juta dan dijalankan secara berperingkat.
- Projek ini akan menyaksikan pelbagai rumah ibadat dan bangunan yang menjadi identiti pelbagai kaum, dihubung dan dijadikan mercu tanda keharmonian dan semangat muafakat Bangsa Johor.
- Ia melibatkan kerjasama daripada Tourism Johor, Yayasan Warisan Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru. Manakala, pihak Think City akan melakukan kajian terperinci pelaksanaannya.
Tan Sri Speaker,
- Seterusnya Bajet 2017 juga akan memfokuskan kepada usaha memperkukuh dan menambah baik pelaksanaan tujuh Agenda Besar yang telah kita perkenalkan pada tahun ini.
- Abad ke-21 menuntut satu set kemahiran yang jauh berbeza dengan apa ditawarkan oleh sistem dan struktur pendidikan sekarang. Laporan Forum Ekonomi Dunia terkini menunjukkan bahawa kesan daripada teknologi cloud computing, dengan izin, 67% daripada pekerjaan sedia ada di ASEAN akan terkesan.
- Malah di seluruh dunia, lebih daripada 7 juta pekerjaan akan digantikan dengan ‘artificial intelligence’ dan teknologi automasi termaju. Perkara ini sedang berlaku dengan rancak dan akan memberi kesan besar kepada dunia pekerjaan.
- Maka, adalah kritikal untuk kita menyelaras kembali cara kita menguruskan bakat dan kemahiran yang ada di negeri Johor.
- Kesedaran Kerajaan Negeri tentang kepentingan pengurusan dan pembangunan bakat akan turut diterjemahkan melalui Tabung Latihan Kemahiran Johor. Bertujuan mengukuhkan agenda pendidikan TVET dengan peruntukan sebanyak RM5 juta, tabung ini melibatkan 2,500 pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di institut-institut kemahiran dalam negeri Johor.
- Di samping itu, bagi meneruskan momentum ini, 5 buah Pusat Jaya Diri akan diwujudkan di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat dengan peruntukan sebanyak RM500 ribu yang akan dilaksanakan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT). Pusat Jaya Diri ini akan berfungsi menyediakan kursus serta latihan peningkatan kemahiran diri khusus kepada golongan ibu tunggal, wanita berpendapatan rendah dan golongan wanita OKU.
- Seterusnya, Unit Swadaya Insan yang telah saya rasmikan penubuhannya pada awal Oktober lalu, akan menggandakan usaha memantapkan pengurusan dan pembangunan modal insan yang lestari dengan peruntukan sebanyak5 juta.
- Saya suka kongsikan bahawa sehingga September 2016, 3,578 orang telah dilatih di bawah Program Johor Bio Talent dan sebanyak 95% peserta telah berjaya mendapat pekerjaan selepas bergraduat.
- Maka, selari dengan keperluan pihak industri yang menunjukkan bahawa 72% unjuran modal insan adalah di peringkat pekerja separa mahir, progam ini akan diteruskan pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM500 ribu.
- Bilangan penerima insentif di kalangan mahasiswa yang mengikuti program ijazah sarjana akan dipertingkatkan kepada 200 penerima dengan setiap seorang menerima RM5 ribu. Pemberian insentif melalui Tabung Pendidikan Sarjana PDT ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta secara keseluruhannya. Jumlah ini disumbangkan oleh Permodalan Darul Ta’zim (PDT) sebanyak RM500 ribu dan baki RM500 ribu lagi disumbangkan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
- Biasiswa Kenangan Dato’ Onn (BKDO) akan diteruskan dengan penglibatan 400 orang pelajar baru. Peruntukan sebanyak RM300 ribu disediakan khusus untuk pelajar baru manakala syarat permohonan bagi pendapatan ibu bapa / penjaga ditambahbaik daripada RM1,500 ke bawah kepada RM2,000 ke bawah bagi memperluas peluang kepada pelajar. Ketika ini, seramai 1,100 orang pelajar Melayu, 150 orang pelajar Cina dan 50 orang pelajar India sedang menerima manfaat BKDO.
- Program Duta Jauhar akan diperkemaskan melalui versi 4.0 dalam usaha memberi platform kepada mahasiswa menyumbang idea dan sokongan dalam mentransformasikan masyarakat. Untuk itu, sebanyak RM1.5 juta akan diperuntukkan, dengan sasaran penglibatan seramai 450 mahasiswa pada tahun 2017.
- YPJ akan memperuntukkan RM500 ribu untuk menjayakan English Language Camp / Program Pengayaan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. Sasarannya ialah 200 pelajar bagi tahun 2017.
- Kem Kepimpinan Generasi Ta’zim akan diteruskan dan dijenamakan sebagai Karisma Ta’zim. Program ini bertujuan mendedah bakat kepimpinan mahasiswa dengan sejarah kepimpinan tokoh Johor serta dasar-dasar semasa pentadbiran Kerajaan Johor seperti Johor Berkemajuan. Kem ini melibatkan 600 mahasiswa dengan peruntukan RM500 ribu.
- Program Kepimpinan Muda diteruskan dan dikenali sebagai Johor Youth Leadership Camp khusus untuk pelajar sekolah menengah yang menerima bantuan BKDO dan merupakan Ketua Pengawas Sekolah. Ia bertujuan mencungkil bakat kepimpinan pelajar dan membina sahsiah tinggi. Sasarannya adalah seramai 440 pelajar dan akan menelan belanja sebanyak RM500 ribu.
- Kerajaan Negeri bersama-sama dengan pihak Yayasan PBT akan berkerjasama melakukan usaha pengukuhan karakter pelajar dalam pembelajaran abad ke-21. Usaha ini melibatkan peruntukan sebanyak RM800 ribu daripada Kerajaan Negeri.
- Penyertaan kursus-kursus jangka pendek kepada Penjawat Awam Johor akan diperluaskan kepada Guru-guru KAFA melalui Tabung Latihan Kemahiran Penjawat Awam Johor dengan peruntukan sebanyak RM500 ribu yang disalurkan oleh PDT.
- Program Inklusif Masyarakat India yang diumumkan tahun lalu akan diteruskan pada tahun hadapan. Peranan ini dipertanggungjawabkan kepada Yayasan Sultanah Rogayah dengan peruntukan sebanyak
RM6 juta. Peruntukan ini akan dipecahkan untuk membiayai ikhtiar-ikhtiar berikut:
- Keusahawanan – RM2.5 juta;
- Pendidikan – RM1.5 juta; dan
- Kebajikan – RM2 juta.
- Selain itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan baik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
- Bagi pembangunan masyarakat Cina pula, sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan. Jumlah ini terdiri daripada peruntukan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM2 juta bagi tujuan baik pulih prasarana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Johor.
- Manakala baki RM2 juta lagi akan disalurkan melalui Yayasan Sultanah Fatimah. Daripada jumlah ini, sebanyak RM1 juta akan dikhususkan untuk membantu golongan miskin bagi tujuan pendidikan kaum Cina. Baki RM1 juta lagi akan diperuntukkan untuk skim pinjaman kepada peniaga kecil Cina.
- Bagi menyokong pendidikan peringkat tinggi masyarakat Tiong Hua di Johor, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan sebanyak
RM500 ribu kepada Kolej Universiti Selatan. Ini merupakan inisiatif khas yang bermatlamat membantu pendidikan tinggi masyarakat Cina di Johor.
- Selain itu, kita akan menubuhkan Taska Orang Kelainan Upaya di YPJ Youth Center, Bukit Senyum, khusus untuk OKU pekak dan bisu dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu. Dan saya suka memaklumkan bahawa Johor adalah negeri pertama yang mengusahakan inisiatif ini.
- Bagi terus membudayakan masyarakat Johor yang prihatin, kita akan melaksanakan inisiatif berikut.
- Kerajaan Negeri sedar bahawa golongan belia, pertubuhan NGO dan para sukarelawan adalah nadi penggerak aktiviti sosial yang sangat penting. Justeru untuk tahun 2017, kita akan terus menggalakkan aktiviti kesukarelawan di Johor, dengan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM2 juta. Antara aktiviti-aktivitinya ialah:
- Pertama, menjadikan Sukarelawan Darul Ta’zim sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum di sekolah dengan melibatkan, sebagai permulaan, 56 buah sekolah menengah dari pelbagai DUN.
- Kedua, menganjurkan secara dwi tahunan Jambori Sukarelawan Darul Ta’zim. Perkhemahan ini akan diisi dengan program kesukarelawanan bersama komuniti setempat. Ia merupakan satu pengiktirafan peranan belia dalam aktiviti kesukarelawanan, mendidik belia berorganisasi dan meningkatkan jati diri mereka. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM100 ribu akan diberikan.
- Ketiga, pada Februari tahun ini, Kumpulan Duta Jauhar INSTEDT telah diiktiraf di peringkat nasional dengan menerima Anugerah Inisiatif Sukarelawan Terbaik sempena Volunteer Malaysia Awards anjuran 1Malaysia For Youth (1M4U) menerusi projek Knowledge For Wellness. Melalui projek ini para mahasiswa INSTEDT membuat lawatan rumah dan memberi latihan mengenai penjagaan kesihatan. Lanjutan daripada inisiatif tersebut, satu gerakan sukarelawan akan ditubuhkan bagi memastikan kesinambungan usaha murni mereka.
- Maka, bagi mengiktiraf usaha baik ini, sebanyak RM150 ribu akan diperuntukkan pada tahun hadapan bagi menyokong penubuhan 10 kumpulan sukarelawan yang menggunakan modul projek mahasiswa INSTEDT di seluruh daerah negeri Johor.
- Seterusnya, Kerajaan Negeri akan memberikan insentif pengurusan persatuan belia kepada Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah dan Pertubuhan Belia 4B Negeri Johor. Keseluruhan insentif pengurusan ini berjumlah RM210 ribu.
- Sebagai menghargai pergerakan sivil yang aktif dan progresif dalam menghakupayakan rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan pemberian geran berjumlah RM2 juta bagi menggerakkan pelbagai NGO di Johor dengan lebih aktif.
- Dan yang terakhir, selaras dengan pemindahan pejabat YPJ ke Bukit Senyum, satu pusat aktiviti pelajar yang dinamakan Johor Youth Professional Academic Center akan turut ditempatkan di sini. Pusat ini akan dijadikan Hab Aktiviti Pelajar, yang antara lain, bertujuan meningkatkan keberkesanan perancangan dan pelaksanaan program Duta Jauhar.
- Menjaga anak-anak yatim adalah tanggungjawab yang sangat penting. Untuk itu, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah meluluskan satu peruntukan keseluruhan berjumlah RM2 juta bagi membina Pusat Jagaan dan Pengupayaan Anak-anak Yatim di Bandar Tenggara yang mempunyai kapasiti menampung 50 penghuni. Untuk tahun 2017, sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan terlebih dahulu bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan.
- Kerajaan Negeri akan menyediakan khairat kematian sebanyak RM300 seorang kepada semua kaum.
- Bagi pelaksanaan program–program kesedaran, peruntukan-peruntukan berikut akan diberikan:
- Pertama, RM1 juta daripada Kerajaan Negeri untuk usaha pencegahan penyalahgunaan dadah.
- Bagi meningkatkan tahap keprihatinan dan keselamatan lingkungan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS).
- Johor yang berkemajuan bukan sahaja akan menyaksikan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi yang rancak. Namun, kelestarian alam sekitarnya juga mesti terjaga dengan baik.
- Pertama, bagi meminimumkan penggunaan dan kebergantungan kepada bahan pembungkusan berasaskan plastik dan polisterin yang mencemarkan alam sekitar, satu Rangka Tindakan dan Pelan Hala Tuju Biorosot dan Biokompos Johor akan dijalankan. Usaha ini adalah untuk memastikan kerancakan pembangunan ekonomi dan tabiat konsumerisme domestik kita tidak membelakangkan kepentingan kelestarian alam sekitar.
- Ia akan meliputi pelaksanaan menyeluruh di kalangan peserta industri sedia ada, pemborong, pengedar dan pengguna melalui pemantauan, penguatkuasaan dan penambahbaikan kepada pelan asal. Untuk ini, kita memperuntukkan RM250 ribu.
- Kedua, penglibatan masyarakat melalui pendidikan dan kesedaran akan diperluaskan melalui Program Community in River (COIR 2017) yang memberi tumpuan khusus pada Sungai Skudai bagi melahirkan sifat tanggungjawab bersama dalam pemeliharaan sungai. Program ini mensasarkan penglibatan 1,500 penduduk dan 50 industri, pemaju serta sekolah. Penglibatan belia terutamanya Majlis Belia Negeri Johor ke arah memperkenalkan program komuniti ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM200 ribu dan melibatkan kawasan Pasir Gudang, Johor Bahru, Segamat, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kulai.
- Ketiga, Kerajaan Negeri akan mewartakan sebuah lagi Taman Negara di negeri Johor di Bukit Tukau, Bukit Belading dan Reban Kambing yang dikenalpasti sebagai kawasan yang kaya dengan tumbuhan spesifik yang tiada di tempat lain seperti cycas cantafonia (pakis berlagu). Proses ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 juta. Inilah hadiah penting Johor untuk kelestarian alam sekitar. Hadiah yang tidak mampu dinilai dengan apa-apa jua ukuran.
- Keempat, kita juga sedar keperluan mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan kelestarian Kampung-kampung Tradisional yang terletak dalam Iskandar Malaysia.
- Untuk itu, sebuah pelan tindakan menyeluruh bagi meningkatkan potensi dan seterusnya mentransformasikan kampung tersebut perlu disediakan dan dilaksanakan.
- Pada tahun 2016, Kampung Kuala Masai dan Kampung Pasir Gudang Baru telah dipilih sebagai projek perintis program ini. Program ini akan diteruskan pada tahun 2017 melibatkan kampung di sekitar Mukim Tanjung Kupang dan kawasan Gelang Patah yang berpotensi sebagai koridor ekonomi sekunder di antara Iskandar Puteri dan kawasan Tanjung Pelepas.
- Agenda kesejahteraan penduduk sekitar akan menjadi keutamaan. Ia akan mengambil kira penambahbaikan infrastruktur fizikal dan pengwujudan aktiviti sosio ekonomi ke arah peningkatan kualiti hidup yang lebih baik untuk penduduk setempat.
- Sebanyak RM1 juta daripada Kumpulan Wang Projek Sosial (Social Projects Fund) Iskandar Malaysia akan diperuntukkan untuk tujuan ini, tidak termasuk peruntukan daripada pihak swasta melalui kerjasama dan pelaksanaan projek tanggungjawab sosial korporat yang sedang dikenalpasti.
- Apabila kita mempunyai persekitaran yang lestari dan terjaga, secara tidak langsung ia akan menarik kemasukan pelancong dan pengunjung ke Johor.
- Johor mencatatkan peningkatan jumlah pelancong yang positif setiap tahun sejak 2012, daripada 3.90 juta orang pada tahun tersebut kepada 6.95 juta orang pada tahun 2015. Ini bersamaan peningkatan sebanyak 3 juta pelancong dalam tempoh tiga tahun.
- Untuk itu, kita akan memperuntukkan sebanyak RM17.153 juta secara keseluruhannya bagi menjadikan Johor tempat pelancongan yang lebih menarik pada tahun hadapan. Jumlah ini terdiri daripada:
- Pembangunan infrastruktur dan agro pelancongan – RM7 juta;
- Pelbagai program promosi XPLORE JOHOR – RM8 juta; dan
- Perbelanjaan mengurus Tourism Johor – RM2.153 juta.
- Secara spesifik dan perinciannya pula, inisiatif-inisiatif yang akan kita jalankan adalah seperti berikut.
- Pertama, menganjurkan pelbagai ekspo pelancongan di dalam dan luar negara, serta merancakkan publisiti melalui pelbagai medium dan saluran. Untuk ini, Tourism Johor akan berkolaborasi dengan GoAsean bagi mempromosikan pelancongan Johor secara berimpak tinggi di rantau ini.
- Kedua, penganjuran Johor Tourism Award 2017 pada tahun depan.
- Selain itu, di mana-mana destinasi pelancongan di dunia, khidmat pemandu pelancong, malim gunung atau mereka yang mahir dengan selok-belok sesuatu kawasan amat penting. Ia bukan sahaja menjadikan pengalaman pelancong lebih menarik, selesa, dan selamat. Tetapi turut menambah ilmu pengetahuan kita.
- Justeru, sebagai inisiatif pelancongan yang ketiga, satu Kursus Pemandu Pelancong yang komprehensif akan dijalankan. Ia bertujuan melahirkan pemandu pelancong yang terlatih, mahir dengan salasilah, budaya serta tempat bersejarah di Johor.
- Dengan sasaran melahirkan seramai 100 orang pemandu pelancong bertauliah, inisiatif ini akan dijalankan dalam dua peringkat, iaitu Kursus Pensijilan dan Kursus Spesifik.
- Keempat, konsep Agro Stay akan diperluaskan sebagai salah satu tarikan pelancongan dalam negeri Johor.
- Lokasi-lokasi Agro Stay yang telah dikenalpasti akan diberikan penambah baikan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik serta keselesaan kepada pengunjung. Ia dijangka akan meningkatkan pendapatan sampingan antara 20 hingga 30 % melalui aktiviti agro pelancongan. Sebanyak RM1.867 juta akan kita peruntukan untuk inisiatif ini.
- Kelima, melalui Pelan Transformasi Kota Tinggi, Program Kembara Wangsa akan terus dilaksanakan dan dibiayai oleh Johor Corporation merangkumi:
- Membuka potensi persisiran Sungai Johor dan bandar Kota Tinggi sebagai destinasi pelancongan di negeri Johor;
- Meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat dan menjana peluang pekerjaan di dalam industri pelancongan dan perkhidmatan; dan
- Menaiktaraf bangunan lama serta tinggalan sejarah agar dapat lebih dimanfaatkan dan dihargai.
- Untuk Fasa 1B Program Kembara Wangsa (2016-2019), ia akan melibatkan kos berjumlah 5 juta yang merangkumi:
- Pembinaan amphitheatre berhampiran Pusat Informasi Pelancong (PIP);
- Pembinaan jeti terapung di tebing sungai berhampiran PIP;
- Lagenda Laksamana Bentan Showcase; dan
- Jeti terapung di Lagenda Laksamana Bentan Showcase.
- Seterusnya, di bawah Fasa 2 (2019- 2021) pula, kita akan melakukan:
- Pembinaan Jambatan Gantung Pejalan Kaki di Kampung Makam;
- Pembinaan Pasar Terapung; dan
- Pembinaan replika Kapal Jong
- Keenam dan terakhir, satu peruntukan sebanyak RM200 ribu akan diberikan bagi tujuan pembukaan Caravan Park secara berperingkat di 14 lokasi berikut:
- Di Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman, Pantai Sekakap, Pantai Penyabong dan Hutan Lipur Gunung Arong di Daerah Mersing,
- Di Pantai Punggai, Pantai Tanjung Sedili dan Hutan Lipur Panti di Daerah Kota Tinggi,
- Di Hutan Lipur Gunung Pulai, di Daerah Kulai,
- Di Tanjung Piai di Daerah Pontian,
- Di Hutan Lipur Sungai Bantang, di Daerah Segamat,
- Di Hutan Lipur Gunung Ledang di Daerah Tangkak,
- Di Hutan Lipur Gunung Soga di Daerah Batu Pahat, dan
- Hutan Lipur Gunung Belumut di Daerah Kluang.
- Untuk menjayakan agenda Johor Islami, kita tidak seharusnya meletakkan perkara ini sekadar sebagai slogan dan semangat semata-mata. Sebaliknya, inisiatif yang benar-benar mencerminkan Islam dan syariatnya harus diterjemahkan dengan baik.
- Untuk tahun 2017, sebanyak RM320.32 juta diperuntukkan secara keseluruhan bagi tujuan pembangunan Islam termasuklah belanja mengurus dan pembayaran gaji. Jumlah ini bertambah sebanyak RM34.32 juta berbanding RM286 juta pada tahun ini.
- Bermula dalam pembentangan bajet pada tahun lalu, kita telah menegaskan yang Johor akan melakukan ikhtiar secara besar-besaran bagi membudayakan waqf di Johor. Kita mensasarkan waqf akan menjadi instrumen baharu kita untuk membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat, serta, menjadi mekanisme yang lebih inovatif dalam membudayakan sifat memberi di kalangan masyarakat Johor.
- Suka saya mengumumkan kepada Dewan Yang Mulia ini, bahawa pada 8 haribulan November yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor telah berkenan mencemar duli melancarkan Badan Wakaf Johor. Setakat ini, badan ini telah menerima sumbangan sebanyak RM12 juta hasil pemberian wakaf oleh pelbagai pihak.
- Bagi tahun 2017, kita akan memastikan waqf terus menjadi agenda utama kita. Setakat ini, kita merancang untuk melakukan inisiatif-inisiatif berikut:
- Pertama, membina Hospital Pakar Waqf Johor yang mempunyai 280 katil di kawasan seluas 5.4 ekar di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
- Kedua, pembinaan Dewan Serbaguna Waqf Johor yang mempunyai kapasiti 1,500 orang di atas tanah seluas 5.5 ekar di Jalan Datin Halimah, Johor Bahru.
- Ketika, melancarkan Skim Wakaf Saham Larkin Sentral sebagai model bagi membolehkan penglibatan orang ramai dalam mengembangkan peranan institusi wakaf.
- Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan meneruskan pembinaan Sekolah-sekolah Agama Johor melalui fasa 5 melibatkan pembinaan sebanyak 25 buah sekolah baru iaitu:
- Dua di Muar;
- Enam di Kulai;
- Empat di Kluang;
- Tiga di Tangkak;
- Enam di Johor Bahru;
- Tiga di Pontian; dan
- Satu di batu Pahat.
- Projek ini menelan kos sebanyak RM141.1 juta secara keseluruhannya dengan peruntukan dana permulaan sebanyak RM8 juta akan diberikan pada tahun hadapan.
- Kenaikan gaji bulanan bagi 154 orang guru Tadika Islam dari RM800 kepada RM1,000 selaras dengan gaji minimum bulanan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.
- Program Pendidikan Islam Digital akan diteruskan pelaksanaannya dengan peruntukan RM2.3 juta oleh JAINJ. Program ini akan melibatkan sebuah sekolah di Kluang dan empat buah sekolah di Johor Bahru.
- Program-program penghakupayaan asnaf pada tahun 2017 akan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM89.5 juta. Ia boleh dipecahkan seperti berikut.
- Pertama, Program Peningkatan Pendapatan Asnaf. Program ini bertujuan untuk membantu mereka berniaga agar mereka dapat keluar daripada kategori asnaf. Bagi memperkasa program ini, sebanyak 10 unit Lori Penjaja Bergerak akan disediakan bagi asnaf terpilih.
- Program ini turut melibatkan bantuan dan latihan agar mereka menjadi lebih mandiri dan berdikari, pemberian peralatan dan penganjuran pelbagai kursus dan latihan serta motivasi kepada anak-anak asnaf. Ia melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3 juta.
- Kedua, Program Kesihatan Asnaf. Bagi memastikan kesihatan golongan asnaf berada pada tahap yang baik, mulai 2017, MAINJ akan memperkenalkan satu skim bantuan kesihatan yang baharu khas kepada pesakit jantung dengan peruntukan khusus sebanyak RM2 juta. Bantuan ini akan diurus secara kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan dijangka seramai 1,000 pesakit Muslim berdaftar yang akan menerima bantuan ini.
- Selain itu, bantuan-bantuan kesihatan yang lazim seperti pemakanan sihat, dialisis dan lain-lain rawatan perubatan akan diteruskan. Keseluruhan program ini menelan belanja RM60 juta.
- Ketiga, Program Pendidikan Asnaf. Meningkatkan akses dan kualiti pendidikan anak-anak Asnaf Zakat dari peringkat rendah hingga pengajian tinggi akan dilakukan dengan meneruskan 9 Skim Bantuan Pendidikan di bawah MAINJ.
- Ia merangkumi bantuan pakaian sekolah, makanan sihat, yuran sekolah, pengangkutan, dermasiswa luar negara, pinjaman pendidikan luar negara, tambang ke pusat pengajian tinggi dan pendaftaran di IPT. Keseluruhan skim ini melibatkan peruntukan sebanyak RM26.5 juta dan melibatkan kira-kira 70 ribu anak asnaf.
- Melalui peruntukan Kerajaan Pusat, sebanyak RM22.02 juta disediakan bagi membina baharu dan membaik pulih 11 buah masjid di seluruh Johor, seperti berikut:
- Masjid Jamek Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat berharga RM2.22 juta;
- Masjid Felda Pemanis Dua, Segamat berharga RM2 juta;
- Masjid Jamek Kampung Seri Jaya, Tangkak berharga RM1.5 juta;
- Membaik pulih Masjid Al-Taqwa, Kampung Jeram Masjid, Bakri, Muar berjumlah RM200 ribu;
- Membina Masjid Habib Hassan Alattas di Johor Bahru berharga RM3 juta;
- Masjid Parit Kerimon, Benut, Pontian berharga RM1.8 juta;
- Masjid Al Mukminin, Jalan Chengal, Bandar Putra, Kulai berharga RM2.6 juta;
- Masjid Parit Sulaiman, Pontian berharga RM1 juta;
- Masjid Jamek Irsyadiah Batu 16 Air Hitam, Muar berharga RM2.5 juta;
- Masjid Parit Masjid, Pontian berharga RM1 juta; dan
- Masjid Taman Pulai Indah, Kangkar, Pulai berharga RM4.2 juta.
- Kita percaya, Johor yang Berkeusahawanan adalah Johor yang Berkemajuan. Maka, untuk terus memantapkan pembangunan koperasi dan pembudayaan Keusahawanan Johor, kita akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta pada tahun 2017. Secara terperincinya, kesemua inisiatif Keusahawanan Johor adalah seperti berikut.
- Selain perniagaan konvensional, penerokaan pasaran digital akan turut diberikan perhatian. Untuk ini, Program Usahawan Digital akan diperkenalkan dengan kerjasama MAGICX, bagi meningkatkan kapasiti dan persaingan dalam kalangan usahawan digital di Johor. Ia akan dilaksanakan dalam tiga fasa utama melibatkan pemupukan kesedaran, penyediaan latihan dan penempatan ke inkubator.
- Seterusnya hasrat membangun dan membudayakan Keusahawanan Johor ini dilonjakkan lagi dengan mengangkat kekuatan jenama Johor. Untuk itu, Program Inisiatif Jenama Johor (IJJ) akan diperkenalkan bagi menyediakan platform kepada para usahawan memperkenalkan produk mereka sebagai sebahagian identiti Johor.
- Sebagai permulaan, kita mensasarkan penglibatan seramai 20 orang usahawan dalam tiga peringkat utama perlaksanaan. Iaitu pertandingan penciptaan logo; pengenalan prosedur dan proses permohonan; serta pengumuman produk-produk yang berjaya mendapat pengiktirafan IJJ.
- Bercakap tentang jenama, kita akan menubuhkan dua kawasan khas yang akan mengetengahkan konsep dan identitinya yang tersendiri.
- Pertama, Youth Fashion and Lifestyle Street di Taman Mutiara Rini yang akan mengetengahkan rangkaian perniagaan fesyen mengikut trend dan jenama terkini.
- Kedua, Johor Local Brand Street di Taman Setia Eco Cascadia, yang akan mengetengahkan rangkaian perniagaan berasaskan produk negeri Johor.
- Menyedari perkembangan peranan golongan wanita dalam bidang ekonomi, khususnya keusahawanan atas talian, seramai 200 usahawan wanita akan dikenalpasti untuk diberikan kursus strategi pemasaran produk atas talian menggunakan laman sosial dan internet.
- Bagi memastikan kejayaan inisiatif ini, mereka yang terpilih akan dibimbing oleh pakar berpengalaman daripada Universiti Kebangsaan Malaysia melalui kursus intensif.
- Bagi melengkapkan cakupan agenda Keusahawanan Johor, kita tidak hanya memfokuskan kepada prospek perniagaan yang menggunakan pendekatan konvensional semata-mata.
- Sebaliknya, konsep ekonomi merdeka akan disokong agar menjadi tarikan baharu golongan muda berniaga. Inovasi yang dikenali sebagai Indienomics ini, akan memberi perhatian kepada 50 usahawan muda terpilih yang berminat memajukan perniagaan mereka.
- Pada tahun ini, sejumlah RM700 ribu telah diperuntukkan untuk program-program BISTARI. Sebagai kesinambungan, Johor Corporation akan meneruskan aktiviti keusahawanan BISTARI pada tahun 2017 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1 juta.
- Peningkatan peruntukan dana sebanyak RM300 ribu ini akan diiringi dengan beberapa penambahan. Misalnya, lebih banyak IPT akan dilibatkan dalam program Biz-siswa, 11 buah sekolah akan dilibatkan dalam program Kelas Rancangan Usahawan, Cabaran Catur BISTARI dan Cilik BISTARI akan diteruskan di peringkat kebangsaan.
- Berdasarkan kejayaan dan perkembangan positif yang ditunjukkan pada tahun ini, Program Pembangunan Usahawan Belia Islam, yang bertujuan menjadikan para usahawan belia Islam tampil lebih berdaya saing, akan diteruskan.
- Program lanjutan ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta yang disumbangkan oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan akan dipecahkan kepada empat program utama, iaitu:
- Program Bantuan Usahawan Belia Islam – RM1 juta;
- Program Bantuan Mengembangkan Perniagaan Usahawan Belia Islam (Indienomics Challenge) – RM400 ribu;
- Program Kursus Kewangan dan Rancangan Perniagaan Usahawan Belia Islam – RM500 ribu; dan
- Program My Home Shop – RM100 ribu
- Strategi melibatkan penyertaan pelbagai agensi dalam membudayakan Keusahawanan Johor ini tidak terhad kepada agensi negeri Johor sahaja. Sebaliknya, kita turut berkerjasama dengan pelbagai agensi persekutuan yang lain.
- Misalnya, bagi merancakkan perniagaan dalam industri kecil dan sederhana (IKS), satu program yang dinamakan Johor Desaprenuers Food & Beverages Product Improvement Program akan dijalankan melalui peruntukan dan kerjasama daripada SME Corp.
- Program penarafan ini akan memilih 100 usahawan IKS untuk dilatih bagi menerima empat jenis sijil perakuan iaitu, Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI), Sijil Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) , Sijil Good Manufacturing Practices (GMP) dan HALAL Certification Clinic Attendance.
- Sebagai penyumbang 60% daripada jumlah eksport perabot Malaysia, dan sejajar dengan Pelan Halatuju Pembangunan Industri Perabot Negeri Johor, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Malaysian Timber Industry Board (MTIB) akan merangka dan melaksanakan beberapa program keusahawanan dalam industri perkayuan. Ini termasuklah:
- Program Pembangunan Vendor melibatkan kerjasama antara KPRJ dan MTIB untuk projek-projek KPRJ termasuklah pembinaan sekolah-sekolah agama di Johor;
- Pembangunan Rekabentuk Baru Perabot Sekolah Agama Johor,
- Program Rekabentuk Perabot (Branding),
- Latihan praktikal graduan rekabentuk perabot di kilang-kilang perabot yang terletak di Muar, dan
- Proses sumbang saran (brainstorming) Pembangunan Bangunan Tinggi berasaskan kayu dengan menggunakan teknologi CLT.
- Melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), kita akan memperuntukkan RM4.3 juta bagi pembangunan usahawan muda Johor melalui Program Youth To Biz. Program berbentuk Geran Padanan ini diberikan kepada perniagaan yang berkonsepkan Mobile Business dan Business Shared Facilities di Iskandar Malaysia.
- Di bawah program ini, geran maksimum yang akan disalurkan bagi setiap projek adalah sebanyak RM150 ribu bagi perniagaan berkonsepkan Mobile Business dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta.
- Manakala bagi perniagaan berkonsepkan Business Shared Facilities pula, geran maksimum yang akan diberikan adalah sebanyak RM125 ribu bagi setiap jenis perniagaan dengan jumlah peruntukan RM2.5 juta. Baki RM300 ribu lagi akan dikhususkan untuk pembangunan kapasiti dan latihan keusahawanan.
- Di samping menggalakkan budaya berniaga dengan memberikan geran padanan, bantuan modal dan latihan berkaitan dengan jenama dan kapasiti, kita juga akan mengambil langkah yang lebih terkehadapan. Termasuklah penyediaan Kedai Mampu Milik berharga RM200 ribu seunit, yang akan ditawarkan kepada mereka yang berminat untuk berniaga. Pada tahun ini kita telah siap membina sebanyak 384 unit dan pada tahun hadapan pula, sebanyak 271 unit lagi akan dibina. Secara keseluruhannya, kita mensasarkan untuk membina sebanyak 4,850 unit menjelang tahun 2020.
- Melihatkan potensi besar koperasi dalam merancakkan ekonomi serta keusahawanan sosial di Johor, Kerajaan Negeri dengan kerjasama SKM akan menyediakan satu pelan komprehensif 5 tahun yang dikenali sebagai Pelan Strategik Pembangunan Koperasi Negeri Johor 2017-2021.
- Pelan ini akan memperincikan pembangunan sektor koperasi dengan mengetengahkan pelbagai strategi baharu. Termasuklah memodenkan halatuju dan mendorong koperasi menceburi bidang-bidang keberhasilan yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
- Kita sedar bahawa sebagai sebuah bangsa, Johor mempunyai sejarah peradaban dan warisan yang kaya dan pelbagai. Adalah penting untuk kita tidak mengenepikan aspek ini dalam keghairahan kita mengejar kemajuan dan kemodenan. Untuk itu, pada tahun 2017, kita akan memperuntukkan sebanyak RM7.95 juta bagi pelbagai program pembangunan, pemeliharaan dan promosi warisan dan budaya Johor.
- Antaranya adalah enam inisiatif berikut:
- Pertama, Penganjuran Festival Antarabangsa Zapin dan Ghazal dalam usaha untuk memelihara dan mengetengahkan warisan Johor selari dengan usaha untuk menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu serantau yang pernah diumumkan pada tahun 2016. Sebagai permulaan, ia akan melibatkan penyertaan dari negara rantau ASEAN.
- Kedua, Program Permata Warisan Johor untuk mencungkil bakat belia di dalam bidang seni dengan penubuhan orkestra. Latihan khusus dalam muzik moden dan tradisional akan diadakan bagi mewujudkan pelapis aktivis seni muzik tradisional, agar mereka mampu membuat persembahan setanding dengan kumpulan muzik profesional.
- Ketiga, Semarak Seni Muafakat Johor merupakan program yang berteraskan rakyat agar masyarakat terlibat aktif dalam persembahan seni budaya.
- Keempat, insentif RM200 ribu sebagai galakan kepada persatuan-persatuan sejarah Johor agar terus bergiat aktif dalam menyediakan bahan penulisan ilmiah di Pusat Dokumentasi Johor.
- Kelima, Yayasan Warisan Johor Summer Camp akan diperkenalkan. Ia merupakan program kursus kebudayaan jangka pendek sebagai pendedahan awal kepada anak-anak muda berkenaan seni budaya Johor.
- Keenam, dalam usaha merealisasikan hasrat Johor yang berbudaya dan bersifat lestari, saya ingin memaklumkan bahawa satu pasukan penyelidik bagi menyediakan pelan induk, Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa telah dikenalpasti, yang akan diusahakan oleh sekumpulan penyelidik universiti awam. Justeru, peruntukan sebanyak RM250 ribu akan disediakan.
- Johor Inovatif dan Digital merupakan agenda besar terakhir yang akan diberikan penekanan pada tahun hadapan.
- Kita percaya, dalam mengorak langkah menjadi negeri berkemajuan, persekitaran digital mesti dikembangkan dengan sewajarnya selari dengan ledakan globalisasi dan cara hidup abad ke-21.
- Malah, dalam merealisasikan agenda ini, kita juga akan terus mempergiat segala inovasi yang boleh memberikan kesejahteraan kepada negeri dan masyarakat Johor. Untuk itu, kita akan melakukan inisiatif berikut:
- Bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat luar bandar dan bandar, kita akan memperluaskan kemudahan Johor Wifi ke luar bandar dengan pemasangan 50 hotspot di daerah-daerah dan 20 hotspot baharu di kawasan-kawasan PBT sedia ada.
- Sebagai tambahan, kita akan turut menaik taraf kapasiti kelajuan talian di 135 lokasi Johor Wifi sedia ada. Sebanyak RM4.31 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk inisiatif tersebut.
- Dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), satu Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) telah ditubuhkan pada tahun ini.
- Bagi menggandakan impak penubuhannya, pada tahun hadapan, IISJ akan melaksanakan tujuh inisiatif strategik berkepentingan umum yang utama, merangkumi peningkatan kesejahteraan hidup, keusahawanan, alam sekitar dan pelancongan. Secara keseluruhannya, ketujuh-tujuh inisiatif di bawah IISJ ini, akan menelan belanja sebanyak RM420 ribu. Tempoh perlaksanaannya adalah selama enam bulan dan dijangka selesai pada bulan Jun 2017.
- Pertama: Mempertingkat Industri Hiliran Sumber Mineral Johor.
- Projek ini bertujuan mengenalpasti dan mempertingkatkan sebanyak 10% nilai tambah sumber mineral secara kejuruteraan bagi perkembangan industri hiliran. Ia akan turut mencari peluang industri hiliran bagi industri berasaskan sumber mineral. Peruntukan yang disediakan untuk inisiatif ini adalah sebanyak RM50 ribu dan pelaksanaannya akan melibatkan kerjasama antara Jabatan Mineral dan Galian dan Jabatan Alam Sekitar.
- Kedua: Pengenalan Sistem Pengawasan Pengangkutan Awam Pintar untuk Negeri Johor.
- Inisiatif ini bertujuan membangunkan aplikasi Internet of Things (IoT), dengan izin, agar para pengguna pengangkutan awam boleh memantau lokasi bas terkini yang ingin dinaiki serta pergerakan semasa trafik, sekaligus dapat merancang perjalanan dengan lebih mudah dan tepat.
- Sistem ini dijangka dapat mengurangkan hampir 50% kos operasi pengawasan pengangkutan awam. Sebanyak RM90 ribu diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif ini dan ia akan melibatkan kerjasama antara PAJ dan IRDA.
- Ketiga: e-Pembelajaran untuk Mualaf (e-Mualaf) bagi Institut Latihan Saudara Baru Johor.
- Bagi memperkasakan Institut Latihan Saudara Baru kepada lebih 40,000 mualaf di Johor, IISJ akan membangunkan satu sistem e-Pembelajaran untuk Mualaf bagi memudahkan mereka mendapat akses pendidikan Islam yang tepat dan berkualiti. Peruntukan yang disediakan adalah sebanyak RM50 ribu dengan kerjasama antara MAIJ dan JAINJ.
- Keempat: Pengurusan dan Penggunaan Sisa Sawit Yang Lebih Baik
- Satu proses pengurusan sisa sawit yang menerapkan prinsip Waste-To-Wealth, dengan izin, akan dilaksanakan.
- Melalui inisiatif ini, bahan buangan sawit dengan nilai rendah PSK RM200 per tan akan digunakan untuk menghasilkan bahan karbon pengaktifan penyerapan, iaitu satu sumber baru bagi kegunaan industri, yang bernilai tinggi. Peruntukan yang disediakan untuk menjayakan inisiatif ini adalah sebanyak RM50 ribu dan akan melibatkan kerjasama antara J-BIOTECH dan Johor Corporation.
- Kelima: Membangunkan Proses Pengayaan Gas Metana Menggunakan Kaedah Anaerobic Sequencing Batch Reactor (ASBR).
- Projek ini adalah satu dari kaedah masa depan dalam penghasilan gas metana dari rawatan cecair buangan minyak kelapa sawit. Selain dapat menjaga alam sekitar, gas metana yang terhasil ini akan dapat menggantikan bahan api diesel yang digunakan sebagai bahan bakar dandang, sekaligus dapat menjimatkan berjuta ringgit. Sebanyak RM50 ribu diperuntukkan dan akan melibatkan kerjasama antara J-BIOTECH dan Johor Corporation.
- Keenam: Membangunkan Platform Atas Talian Untuk Rangkaian Pembangunan Belia Johor.
- Projek ini akan melibatkan 2,500 hingga 5,000 belia dan mensasarkan penglibatan 50 hingga 80 perusahaan IKS di negeri Johor melalui platform atas talian.
- Ia bertujuan membangunkan satu rangkaian perkongsian sumber dan kemahiran yang lebih cekap berhubung aktiviti kesukarelawanan dan keusahawanan daripada daerah-daerah yang berlainan. Sebanyak RM50 ribu diperuntukkan yang akan melibatkan kerjasama antara Johor Youth Development Centre (JOYDEC) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
- Ketujuh: Membangunkan Dasar dan Garis Panduan Senibina Masjid Johor.
- Projek ini akan melibatkan lebih 400 masjid di seluruh negeri Johor dalam membentuk satu dasar dan garis panduan senibina masjid berasaskan senibina Johor dan patuh syariah.
- Ia akan dibangunkan sebagai panduan dan rujukan kepada para arkitek, pereka cipta, pereka bentuk, perancang, pembuat dasar dan pihak berkuasa di samping menjadikan masjid sebagai mercu tanda yang mampu menjadi salah satu destinasi pelancongan, dengan peruntukan
RM80 ribu dan ia akan melibatkan kerjasama antara MAINJ, JAINJ dan YWJ.
Tan Sri Speaker,
- Seperti yang saya maklumkan pada permulaan ucapan saya, bahawa Negeri Johor telah merekodkan pelbagai pencapaian yang membanggakan sejak kebelakangan ini, khususnya pada tahun 2016.
- Pastinya semua ini tidak akan dapat kita lihat dan capai jika tidak kerana kerja keras, komitmen dan pengorbanan semua pihak. Terutamanya Kakitangan Kerajaan Negeri Johor dan para wakil rakyat.
- Maka, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus atau insentif sekaligus dalam jumlah bersamaan dengan setengah bulan gaji semasa kepada semua Kakitangan Kerajaan Negeri Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor.
- Kerajaan Negeri mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan dan kerja keras semua dalam membangunkan negeri Johor. Semoga budaya kerja yang cemerlang ini akan dapat diterus dan digandakan pada tahun hadapan.
- Sebelum berakhir, saya ingin menegaskan bahawa keseluruhan 127 titik sentuhan yang dinyatakan dalam Bajet 2017 ini hanya mempunyai satu sasaran. Iaitu mewujudkan negeri Johor yang berkemajuan dengan rakyatnya yang berkesejahteraan.
- Mantan Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt pernah mengungkapkan:
“Bahawa, ujian sebenar kemajuan kita bukanlah pada berapa banyakkah yang kita tambahkan kepada mereka yang sudah berada. Tetapi, berapa banyakkah yang telah kita berikan kepada mereka yang tidak punya apa-apa”.
- Maka, dengan penuh rendah diri, saya ingin mengajak semua pihak untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri menjayakan agenda ini. Agar tahun 2017 menjadi tahun terbaik buat Johor dan rakyatnya.
- Kepada rakan-rakan pemimpin masyarakat dan ahli politik. Dan kepada semua ahli Dewan Yang Mulia ini, ketepikanlah segala perbezaan dan pertembungan ideologi antara kita.
- Biar apapun ideologi kita, biar apa pun parti kita, biar apa pun pendirian kita. Marilah kita, untuk kali ini, bergerak seiringan, sebagai Bangsa Johor, menggembleng segala kekuatan kita, menjadikan Johor dan masyarakatnya, teladan masyarakat yang terbaik.
- Kepada para penjawat awam, marilah berkerja keras bersama-sama saya, melaksanakan rancangan yang kita lakarkan hari ini untuk tahun 2017. Tanpa dukungan tuan-tuan dan puan-puan, apa jua yang kita rancangkan pasti akan sukar dilaksanakan. Marilah kita utamakan keperluan masyarakat, lunaskan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas, dan jayakanlah Johor Berkemajuan ini.
- Kepada masyarakat umum di luar sana, ketahuilah bahawa tidak ada sehari pun yang berlalu, tanpa kami semua memikirkan bagaimana hidup kalian, hidup keluarga dan anak-anak kalian, perlu menjadi lebih baik dan berkesejahteraan.
- Ketahuilah, betapa Kerajaan Negeri yang sedia ada, sentiasa percaya bahawa setiap daripada warga Johor harus diberikan ruang. Ruang untuk berkembang, ruang untuk membangunkan diri dan menyumbang kepada masyarakat.
- Kerana Johor ini adalah satu-satunya rumah untuk kita semua. Rumah untuk anak-anak cucu kita, zaman berzaman.
- Terima kasih. Mohon mencadang.
ReplyDeleteTuan Nyonya
Terutama di seluruh dunia, Anda perlu pinjaman uang antar individu untuk mengatasi kesulitan keuangan akhirnya memecahkan kebuntuan diprovokasi oleh bank, oleh penolakan file aplikasi pinjaman Anda. Kami adalah jaringan ahli keuangan swasta mampu membuat pinjaman untuk jumlah yang Anda butuhkan dan dengan kondisi yang membuat hidup Anda lebih mudah. Kami dapat membantu Anda dalam bidang berikut:
Keuangan *
* Home Loan
* Investasi Pinjaman
* Auto Pinjaman
* Konsolidasi hutang
* Line of Credit
* Kedua Mortgage
* Akuisisi kreditan
Anda terjebak, Bank dilarang dan Anda tidak mendapatkan manfaat dari bank atau Anda lebih baik memiliki sebuah proyek dan membutuhkan pembiayaan, kredit buruk atau membutuhkan uang untuk membayar tagihan, uang untuk berinvestasi pada bisnis. Sementara kami siap melayani anda untuk aplikasi pinjaman pribadi Anda dari € 500 sampai € 10 juta untuk masing-masing tertentu dapat membayar tingkat bunga 1,5%. Kami berada dalam posisi untuk memenuhi peminjam kami dalam waktu 12 jam sejak diterimanya permohonan mereka.
Silahkan hubungi kami untuk lebih jelasnya;
dangotegrouploandepartment@gmail.com
dangotegrouploan.wordpress.com