KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari tadi. Ini disahkan Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian, yang juga pakar kardiologi dan berpengalaman merawat pemimpin veteran itu.
Adenan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, dimasukkan ke Pusat Jantung HUS kelmarin selepas mengadu mengalami keletihan melampau dan kesukaran bernafas.
Antara yang terawal menziarahi jenazah Adenan ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang bergegas ke Pusat Jantung HUS sejurus dimaklumkan berita berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Abang Openg, dijadualkan mengadakan sidang media berhubung kematian Adenan di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya jam 3.30 petang ini. Ia dijadual dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, adalah antara yang pertama mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Adenan Satem sejurus berita kematian Ketua Menteri Sarawak itu disahkan. "Takziah kepada Puan Sri Jamilah & keluarga & rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah."
Sumber: Berita Harian
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/233170
No comments:
Post a Comment