Tuesday 31 January 2017

Annuar Musa digantung tugas Pengerusi MARA, PMB

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa digantung tugas sebagai Pengerusi, masing-masing Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta-merta.

Mengumumkan perkara itu, Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusan berkenaan diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman dikendalikan agensi berkenaan berhubung salah laku dan penyelewangan kuasa dikaitkan dengan Annuar Musa.





Katanya mesyuarat tergempar yang dihadiri semua Ahli Majlis MARA, hari ini sebulat suara bahawa keputusan itu selaras hasrat agensi dalam memastikan kepentingan  dan amanah rakyat sentiasa dipelihara.

"Hari ini kita bermesyuarat mengenai isu semasa dan keperluan untuk mempertahankan integriti serta pengurusan korporat MARA, justeru Ahli Majlis sebulat suara dalam beberapa keputusan.

"Kita bersetuju membincangkan isu tajaan MARA melalui PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) terhadap pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warrior (TRW) yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.

"Sehubungan itu, MARA terpaksa mengambil tindakan tuntas dengan menggantung tugas Annuar Musa supaya isu ini tidak berlarutan sehingga menyebabkan keyakinan rakyat kepada pengurusan kerajaan semakin terhakis," katanya pada sidang media, di ibu pejabat MARA, di sini sebentar tadi.

Isu salah guna kuasa berkenaan tercetus selepas Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa MARA dan UniKL mengeluarkan dana bagi menaja TRW.

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Ditanya sama ada laporan mengenai isu terbabit akan dibuat terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusof berkata langkah itu belum dibincangkan.

Beliau berkata MARA sebaliknya berhasrat menyelesaikan siasatan dalaman agensi berkenaan sebelum mengemukakan sebarang laporan rasmi kepada SPRM.

"Biarlah kita buat siasatan dalam rumah sendiri dulu sebelum ajukan perkara ini kepada SPRM jika mendapati wujud salah guna membabitkan Annuar Musa.

"Annuar Musa juga sudah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan beliau akur supaya siasatan beehubung isu terbabit perlu dijalankan," katanya.

Susulan keputusan itu, Yusof berkata beliau akan memangku kedua-dua tugas Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA dan Pengerusi PMB selepas mendapat persetujuan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Ends..

Sumber Berita Harian

No comments:

Post a Comment