Saturday 29 July 2017

Gendang Perang Sudah DiPalu, Bersediakah Kita Menghadapinya?

UCAPAN YAB DATO' MOHAMED KHALED HJ NORDIN
PENGERUSI BN JOHOR
Di Konvensyen Barisan Nasional Negeri Johor
2017


Tuan-tuan dan Puan-puan;

1. Saya sangat berasa berbahagia sekali kerana dijemput, pada hari ini, untuk merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Johor 2017.

2. Saya sangat gembira bila saya dapat berkongsi pentas dengan semua Pengerusi Parti Komponen BN Negeri Johor.

3. Kehadiran semua rakan parti dalam BN adalah manifestasi betapa kukuhnya kesatuan kita.

4. Inilah keluarga besar kita. Inilah perikatan politik kita. Ikatan yang telah menjayakan agenda Malaysia pasca merdeka, serta Malaysia moden. Ikatan yang telah membangunkan Malaysia menjadi model dan rujukan sebuah negara majmuk paling berjaya waktu ini.

5. Kerana itu perjumpaan kita pada hari ini sangat penting. Bukan sahaja kerana kita ingin merapatkan persefahaman kita untuk Malaysia yang lebih baik.

6. Tetapi yang paling penting, kita akan menghadapi pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.

7. Pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun BN. Jika kita berjaya dalam persaingan politik sengit ini, maka agenda transformasi Malaysia yang telah kita mulakan, pasti akan boleh berkelangsungan.

8. Tetapi jika kita terkandas, ia adalah titik akhir BN untuk Malaysia. Agenda kita akan terbantut. Segala pelan dan rancangan baik kita untuk Malaysia akan hanya tinggal di atas kertas.

9. Lebih penting, jika itu terjadi, pastinya BN akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan pengaruhnya.

10. Justeru itu, pada hari ini, saya ingin kita semua duduk semula. Duduk bersama-sama. Dan melihat secara jujur segala rencana kita untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.

11. Kerana kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh. Kita tidak boleh lagi bermimpi untuk memang dengan mudah. Malah menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali.

12. Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa BN akan terus memerintah kerana parti lain tidak punya pengalaman untuk memerintah.

13. Pemikiran sedemikian mesti berubah.

14. Percayalah, kita akan menghadapai perang paling getir. Bukan sekadar pertempuran.

15. Pertembungan antara ‘a team that works’ dengan ‘a team that never govern’.

16. Perang antara parti berpengalaman yang selama ini telah membuahkan kemajuan yang sangat dinamik dan progresif. Dengan parti yang tidak pernah punya agenda dan pelannya untuk Johor dan Malaysia.

17. Kepada semua perwakilan yang hadir, hari ini kita memalu gendang perang tersebut. Tetapi perang ini kita akan hadapi dengan akal dan strategi terbaik. Dan kita akan memenangi pilihanraya ini dengan pendekatan paling sistematik, bersih dan bersepadu.

18. Maka hari ini, fokus seruan saya ialah menjelaskan strategi BN negeri yang mesti dipertimbangkan oleh semua perwakilan. Agar kita mempunyai persefahaman atau ‘common understanding’ dengan perkara-perkara paling dasar dalam menghadapi pilihanraya kali ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

19. Pertama, saya rasa kita harus membanding bezakan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara terbuka.

20. Kedua-dua pakatan ini sangat berbeza dari sudut sejarah penubuhan, kejelasan aspirasi dan idealogi, pengalaman memerintah serta jalan ke hadapan.

21. Antara perikatan yang terbukti berjaya sejak ditubuhkan 70 tahun dulu, dengan pertunangan politik mentah, yang hanya tercapai persepakatannya pada Jun yang lalu.

22. Kerana itu, kita mesti memberitahu rakyat. UMNO, MIC dan MCA telah membentuk perikatan lebih enam dekad dahulu. Bermula dengan Parti Perikatan, kita semua bersama-sama membentuk kesatuan dan persefahaman politik, demi mengasaskan sebuah Negara Kesepakatan iaitu Malaysia.

23. Jadi ini bukan ikatan politik setahun dua. Ia telah bermula 70 tahun dahulu. Seawal penubuhan parti masing-masing.

24. Ini persahabatan yang sangat panjang. Sangat akrab. Sangat ikhlas. Dan yang lebih penting, ini adalah satu ikatan yang telah teruji dan terbukti mampu mengemudi Malaysia.

25. Malaysia moden tidak pernah mengenali pakatan politik lain kecuali Barisan Nasional.

26. Benar ada saat dan ketikanya kita berbeza pendapat, berselisih dan bermasam wajah. Tetapi itukan sudah lumrah dalam bersahabat. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula kita sesama sahabat dan saudara yang berjuang bersama-sama.

27. Akan ada masanya kita semua tersinggung sesama sendiri. Tetapi kesemua itulah yang menyebabkan kita lebih matang dan saling mengenali.

28. BN tidak pernah keanak-anakan. Tidak seperti Pakatan Tiada Harapan itu. Lihat sahaja bagaimana Pakatan Rakyat yang mereka gagaskan sebelum ini.

29. Namanya gah, idealogi mereka kononnya terbuka, bebas dan liberal.

30. Namun, ia gagal dengan teruk. Gagal mencari kesefahaman. Gagal mencari identiti dan idealogi yang tulen dan jujur.

31. Sebab itulah, sekali berselisih, ibarat berkerat rotan berpatah arang. Seolah-oleh sudah tidak ada esoknya. Habis mahu diputuskan segala hubungan dan persaudaraan.

32. Akhirnya, ia berkubur begitu sahaja. Yang rugi dan melopong, pastinya rakyat, yang kini sudah tidak lagi berpakat.

33. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, adalah sangat penting untuk kita meyakinkan rakyat bahawa BN adalah sebuah kesatuan dan perikatan yang benar-benar teruji dan terbukti.

34. Masakan kita boleh yakin dengan Pakatan yang baru tertubuh beberapa senja lepas. Bila segala ufuk Malaysia ini telah BN taburkan dengan pelbagai kemakmuran dan kebaktian sehingga menjadikannya antara negara paling pesat membangun di dunia.

Tuan-tuan dan Puan-puan

35. Kedua, kita mesti menghadapi pilihanraya akan datang sebagai Barisan Nasional. Bukan sebagai hanya parti komponen Barisan Nasional.

36. Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat. Bahawa BN adalah team Malaysia. Bukan sekadar UMNO, MCA dan MIC, PPP< Gerakan secara berasingan. Tetapi, BN seluruhnya sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia yang terbaik.

37. BN telah membuktikan, bahawa kita tidak boleh memerintah negeri ini secara sendirian. Kita mesti bersepakat untuk mentadbirnya.

38. Jika dulu kita boleh bersepakat menentang penjajah, mengapa tidak sekarang kita terus bersepakat untuk mengurus dan membangunkan negara ini?

39. Jadi, saya mengajak semua yang hadir, marilah kita sama-sama kembali kepada semangat Barisan Nasional serta berusaha bersama-sama mengukuhkannya.

40. Di pentas manapun, di program apa pun, terutamanya dalam pilihanraya akan datang, semua parti komponen mesti berpadu dan diwakili.

41. Jangan sendiri-sendiri. Kita mesti berdiri sebagai BN, dan kita mesti menawarkan kepada Johor dan Malaysia sebuah masa depan yang cerah dan maju sebagai Kerajaan BN.

42. Dan saya mempunyai sebab-sebab yang kukuh mengapa saya menganjurkan perkara ini.

43. Pertama, kerana selama ini, formula BN terbukti berjaya dalam menguruskan Malaysia.

44. Kita sedar Malaysia ini sangat berbilang kaum. Formula kesepakatan antara kita semua ini terbukti berjaya menjadikan Malaysia negara yang berjaya dari banyak segi. Bukan sahaja dari segi politik, tetapi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial kita berada pada garis yang memberangsangkan.

45. Selama 13 penggal berturut-turut, kita telah memenangi pilihanraya umum dengan cemerlang secara bersama-sama. Ini pastinya bukan satu kebetulan. Ini satu bukti kukuh kepada sebuah resepi kejayaan yang betul.

46. Jelaslah betapa jenama Barisan Nasional ini mempunyai keunggulannya yang tersendiri. Jadi manfaatkan jenama ini.

47. Kedua, BN adalah platform inklusif yang terbuka untuk semua.

48. Kalau kita lihat, semua keputusan dalam BN mesti didasarkan kepada keputusan sebulat suara, atau konsesus. Tidak ada perkara yang diputuskan secara sendirian tanpa mengambil kira suara dan pandangan pihak lain.

49. Di bawah model BN, semua pihak, walau sekecil mana pun keanggotaan partinya, akan punya suara, punya tempat, punya ruang. Tidak ada yang diketepikan dan dinafikan haknya. Termasuk pribumi Sabah dan Sarawak.

50. Tidak seperti keanggotaan Pakatan Harapan. Yag sampai sekarang gagal mendapat kepercayaan parti dari Sabah dan Sarawak untuk menggangotainya. Malah sampai sekarang belum pun didaftarkan secara sah!

51. Jadi BN itu lebih besar. Lebih inklusif. Lebih memberi ruang dan membuka peluang. Dan dek sifatnya yang inklusif inilah, BN kekal menjadi wadah kesatuan Malaysia yang mampu berhadapan dengan ujian dan cabaran perpaduan.

52. Inilah BN yang kita kenal. Dan inilah BN yang kita mahu terus kekal.

53. Ketiga, kita bukan sekadar tampak kuat, tetapi benar-benar kuat sebagai sebuah pasukan BN.

54. Lihat sahaja dalam pelbagai pilihanraya yang kita telah tempuhi. Jentera parti kita senantiasa membantu satu sama lain.

55. Kerana kita semua percaya, hanya bila BN kuat, UMNO dengan sendirinya akan kuat. MIC dengan sendirinya akan kuat. Dan MCA dengan sendirinya akan kuat.

56. Maka janganlah kita membuang masa bercakaran sesama kita rakan dalam BN. Khususnya pada saat banyak parti komponen berada pada kedudukan yang lemah. Dengan pelbagai krisis dalaman parti komponen kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

57. Ketiga, kita mesti memastikan pilihanraya ini bukannya pilihanraya berdasarkan persepsi, tetapi berpandukan informasi.

58. PRU-14 ini mesti disandarkan kepada maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita mestilah disokong dengan data. Disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

59. Saya sangat bimbang bila pancapaian sebenar Kerajaan tidak dijadikan ukuran sebenar. Sebaliknya rakyat disajikan dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi.

60. Akhirnya kita jadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

61. Jadi saya mahu kita membetulkan kembali semua persepsi yang salah dan digantikan dengan maklumat sahih. Maklumat yang benar. Maklumat dan data yang emperikal.

62. Berapa peruntukan pembangunan yang telah kita belanjakan. Berapa rumah yang telah kita bina dan serah. Berapa pekerjaan yang telah kita wujudkan. Berapa subsidi yang telah kita sumbangkan.

63. Semua ini adalah komitmen dan pencapaian sebenar kita. Jadi ia mesti dijelaskan secara ‘clinical’. Semuanya mesti disebar luaskan dengan pelbagai cara.

64. Cara terbaik untuk membetulkan persepsi ialah dengan melumpuhkanya menggunakan kenyataan yang benar dan sahih.

65. Saya sangat yakin rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya.

66. Yang menjadi masalah adalah apabila kita membiarkan sahaja segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang sampai kepada masyarakat.

67. Kita harus sedar, walaupun segala persepsi dah tohmahan tersebut adalah salah dan tidak benar sama sekali, namun jika ia dibiar diulang berkali-kali tanpa jawapan dari kita, ia akan dianggap betul dan benar oleh rakyat.

68. Saya perhatikan dalam banyak keadaan kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak objektif.

69. Dan jika cubaan menjawab dan membidas ini tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.

70. Keempat, kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’.

71. Kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan membiarkan BN karam dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan.

72. Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-oleh menggambarkan kita lemah. Menggambarkan kita senantiasa melakukan kesilapan. Dan menggambarkan seolah-oleh mereka yang betul.

73. Kita sudah tidak boleh dilihat seakan menerima dan mengakui segala persepsi negatif yang direka dan dihamburkan terhadap kita.

74. Saya kadang-kadang berasa sangat kesal atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji puak-puak tersebut dengan radikal dan berkesan.

75. Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakan!

76. Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini mesti segera berakhir.

77. Kita mesti terkehadapan dalam membongkar betapa gagalnya wakil pembangkang menyantuni para pengundi mereka. Kita mesti tunjukkan betapa, di banyak kawasan, wakil rakyat pembangkang langsung tidak kelihatan.

78. Mereka hadir hanya bermusim. Satu, semasa musim pilihanraya. Dua, jika ada inisiatif baik yang dibuat oleh Kerajaan. Lalu, datanglah mereka tanpa malu. Mengutip nama dari segala kebaikan yang terhasil dari usaha gigih kita. Lembu punya susu, sapi dapat nama!

79. Sedangkan terdapat seribu satu isu yang boleh kita gunakan untuk menghentam mereka.

80. Misalnya, pertama, jika berkuasa, DAP mahu menutup dan menghentikan pembangunan di Pengerang.

81. Apa jenis pemikiran ini? Cetek. Pemikiran bahalol.

82. Hanya kerana tidak bersetuju dengan Kerajaan Negeri, projek bermanfaat kepada rakyat juga mahu dihentikan?

83. Saya tidak hairan kalau mereka berkuasa, segala projek yang memberi manfaat kepada rakyat selama ini, seperti im-Coop, Johor Wifi, Johor Skill Hub, rebat air, RMMJ dan sebagainya, akan turut mereka hentikan, sebab semua itu adalah inisiatif kita dan bukannya dari mereka.

84. Malah, kalau kita lihat mentaliti DAP di Yong Peng, bas percuma Muafakat Johor pun mereka desak untuk dibuka penggunaanya kepada warga asing.

85. Itu belum lagi kita bercakap tentang perkara-perkara yang lebih besar. Seperti pelan pembangunan strategik di setiap daerah, dasar yang menggalakkan orang Melayu tinggal di bandar, pemerkasaan sekolah agama, agenda mengembangkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam menggunakan instrumen waqaf serta agenda RMMJ.

86. Kesemua ini, tidak pernah, tidak pernah sekalipun, mereka sentuh dan ulas.

87. Lebih penting, pembangkang di Johor, tidak pernah sekalipun sepanjang penggal ini, memberikan cadangan konstruktif atau mengemukakan apa-apa pelan pembangunan untuk Johor.

88. Mereka tidak pernah memberitahu rakyat apa yang akan mereka lakukan dengan negeri Johor.

89. DAP dan rakan-rakan mereka, tiada Plan untuk Johor.

90. Tiada Plan untuk ekonomi Johor. Tiada Plan untuk orang Melayu Johor. Tiada plan untuk pendidikan agama di Johor.

91. Malah tiada plan untuk sekolah Cina dan Tamil di Johor.

92. Yang ada, hanyalah Trak Bina Semula Negara oleh Rafizi. Itupun kini, kita dapat lihat yang beliau semakin dipinggirkan oleh rakan-rakan dalam PKR sendiri, sehingga terpaksa bergerak secara solo dan menumpang populariti dari parti-parti lain.

93. Lebih penting, semasa di Johor, isu yang beliau perjuangkan adalah tentang pekerja asing dan kenaikan gaji.

94. Apa beliau lupa, bahawa isu pekerja asing, dan keperluan mengurangkannya adalah antara perkara utama yang saya sebut dalam Bajet Negeri Johor 2017?

95. Malah saya adalah orang pertama yang mencadangkan agar Johor membangunkan Pelan Rasionalisasi Buruh Johor untuk menanggani lambakan pekerja asing.

96. Saya juga adalah orang yang mengagaskan IMCOOP untuk mengurangkan beban hidup dan meluaskan kuasa beli rakyat.

97. Mereka baru bercakap, saya dan pentadbiran saya telah melaksanakan penyelesiannya.

98. Rafizi dan rakan-rakanya hanya mampu menciplak dan mengulang semula isu tersebut dengan membaca Bajet Johor. Mereka sudah kehabisan modal untuk menyerang kita.

99. Yang kelakarnya, dalam kempen bina semula negara ini, mereka gambarkan negara kita sudah rosak, bakal muflis dan perlu diselamatkan.

100. Saya gambarkan perkara ini dalam satu analogi ringkas.

101. Kita ini ada rumah. Dan rumah kita ini kononnya rosak, bocor dan perlu dibina semula. Bukan dibaiki ya tuan-tuan, tapi dibina semula. Kerana keseluruhannya sudah tidak selamat, sudah tidak sesuai didiami.

102. Untuk bina semula rumah tersebut, kalau ikut logik akal, kita mesti ada strategi dan fasa-fasanya. Kita lakukan satu persatu. Bukannya robohkan kesemuanya, dan bina semula. Bina semula menggunakan tukang yang baharu, yang lebih baik, yang lebih pandai.

103. Tetapi, yang mencuit hati kita, setelah mereka menuduh negara ini dirosakkan oleh parti pemerintah, mereka sendiri mahu membinanya semula menhgunakan pemimpin-pemimpin lama dari parti pemerintah.

104. Keadaan ini samalah seperti dalam usaha membaiki rumah tadi. Untuk membinanya semula, mereka panggil kembali tukang rumah yang lama. Tukang yang dahulunya membina rumah tersebut.

105. Bukankah rumah tadi telah dibina oleh Tun Mahathir. Dibina oleh Anwar. Dibina juga dengan kerjasama Tan Sri Mahyuddin dan rakan-rakannya.

106. Jadi, apa bezanya?

107. Tetapi, rakyat ramai tidak sedar semua ini. Jadi, kita mesti bekerja keras untuk mendedahkan semua ini. Rakyat mesti dibimbing untuk melihat dan menilai kebenaran.

108. Kita tidak boleh biarkan pembangkang tidur nyenyak setiap malam. Kita mesti menghantui malam-malam mereka dengan segala macam igauan.

109. Biar segala fitnah, serangan serta tohmahan yang mereka buat selama ini kembali kepada mereka.

110. Kita mesti pastikan yang setiap hari mereka akan terbeban untuk menjawab semua serangan berasas kita. Hanya dengan bertindak sedemikian, kita akan mengajar mereka bahawa kita bukan lemah dan ‘naive’.

111. Kita bukan pasif. Kita punya pelbagai senjata yang boleh kita gunakan untuk menewaskan mereka.

112. Biar mereka tahu, langit ini tinggi atau rendah.

113. Biar mereka sedar, BN adalah parti yang semakin hari semakin kuat. Dan segala tohmahan serta serangan mereka tidak berjaya untuk melemahkan semangat dan fokus kita.

114. Dan tidak ketinggalan, segala serangan, penjelasan serta kempen kita ini, mestilah turut diselarikan dengan aspirasi dan pendirian peringkat pusat.

115. Johor dan kerajaan Pusat mesti bekerjasama. BN Johor dan BN Pusat mesti bergerak seiring.

Tuan-tuan dan puan-puan,

116. Bagi memastikan gerak kerja kempan kita dipandu dengan maklumat dan strategi yang betul dan sahih, saya telah megarahkan Bait Al Amanah untuk turun ke semua bahagian.

117. Turun dan menjelaskan semua dapatan mereka. Turun dan membantu merangka strategi pilihanraya yang lebih terfokus untuk setiap bahagian.

118. Permukiman BN untuk tujuan pilihanraya ini sangat penting. Kerana strategi pilihanraya kita mesti disesuaikan mengikut keperluan setempat.

119. Ia tidak lagi boleh ‘across the board’. Masalah di mersing tidak sama dengan kepeluan di Johor Bahru.

120. Dimensi pembangunan di Kota tinggi tidak sama dengan Segamat.

121. Justeru itu, kita memerlukan pendekatan berbeza. Pasukan Bait Al Amanah akan membantu setiap bahagian dalam perkara ini.

122. Agar kempen kita benar-benar bersandarkan data sentimen pengundi setempat.

123. Pemukiman ini akan bermula pada 2 Ogos hingga minggu kedua September. Dan akan melibatkan semua pemegang taruh jentera pilihanraya di setiap bahagian.

124. Saya mahu semua jentera BN mengambil serious permukiman ini. Ita mesti manfaatkan sessi sebegini untuk memeastikan kempen kita lebih terancang dan teratur.

125. Isnyallah, saya akan menyususl ke semua bahagian untuk melihat tindakan susulan dari Permukiman ini, setelah Bait Al Aamanh menjalankan taklimat mereka di setiap bahagian.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

126. Saya sedar dan amat akui bahawa segala apa yang saya sebutkan pagi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itulah kita semua mesti bergerak bersama-sama.

127. Kita tidak boleh membiarkan hanya sesetengah daripada kita sahaja yang bekerja keras dan bertungkus lumus. Semua pihak mesti berfungsi.

128. Kita mesti turun ke gelanggang bersama-sama. Berjuang bersama-sama dan menang bersama-sama.

129. Saya harap kepimpinan dan ahli semua parti komponen BN akan memberi perhatian serius kepada apa yang saya tegaskan ini.

Terima kasih.


No comments:

Post a Comment