Tuesday 18 February 2014

#MuafakatJohor RM1.6j bina laluan basikal IM



JOHOR BAHRU 16 Feb. - Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk menambah baik dan menyediakan laluan basikal serta pejalan kaki di Iskandar Malaysia (IM) seiring dengan galakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. 

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah menyalurkan dana tambahan sebanyak RM100,000 dalam usaha menjayakan inisiatif tersebut dalam tempoh terdekat. 

"Ia akan dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Peruntukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ini adalah satu daripada beberapa aktiviti di bawah Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Sihat. 

"Apa yang ingin ditekankan adalah soal keseimbangan dalam pembangunan termasuk faktor kesihatan masyarakat untuk tinggal dalam satu kawasan yang mengamalkan kehidupan yang sihat," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Pintar Iskandar Malaysia di sini semalam. 

Turut disaksikan adalah pelancaran laluan pejalan kaki dan basikal serta dua taman permainan yang diwartakan sebagai taman bebas asap rokok. 

Yang turut hadir, Pengerusi UM Land, Tun Musa Hitam dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim. 

Mohamed Khaled berkata, galakan promosi gaya hidup sihat memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan keberkesanannya. 

"Terutama pemaju perumahan perlu mengambil inisiatif yang sewajarnya kerana kerajaan akan terus komited dalam soal pembangunan khususnya di Johor Bahru, dengan peranan yang dimainkan IRDA dan masyarakat dalam menjadikan Johor Bahru sebagai metropolis. 

"Tetapi pada masa sama berlandaskan konsep gaya hidup sihat. Sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan, bukan semata-mata fokus terhadap pembangunan fizikal serta infrastruktur yang baik tetapi juga menekankan keseimbangan secara holistik," katanya lagi. 

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment