Dakwaan Pelakon Terlibat Dalam Video Klip: Sitkom 88 Kopitiam Dihentikan Sementara
KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Sitkom 88 Kopitiam yang bersiaran di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dihentikan sementara bagi menyiasat kesahihan dakwaan pembabitan pelakonnya dalam klip video yang dikatakan mencemar imej negara.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata RTM akan memanggil penerbit rancangan berkenaan dalam masa terdekat untuk mengesahkan pembabitan pelakon tersebut.
"Ini untuk memastikan tiada sebarang pihak teraniaya atau dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan Sabtu sebagai mengulas dakwaan yang mengaitkan pelakon sitkom berkenaan dengan video yang mencemar imej negara.
Video yang disiarkan melalui media sosial sempena Tahun Baharu Cina itu membabitkan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Sitkom 88 Kopitiam disiarkan menerusi TV2 pada setiap Isnin, pukul 7 malam dan mengetengahkan isi-isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina berlatarkan kopitiam dengan konsep komedi bersahaja.
RTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelakon yang terlibat dengan penerbitan program sedemikian, katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment