Monday, 3 February 2014

Tindakan Jejas Nama Negara

KITA jangan lagi terjajah minda dan tingkah laku dengan budaya yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka akan senantiasa menyalahgunakan akan hak, kebebasan dan demokrasi sehingga sanggup menjejaskan hubungan diplomatik, imej dan kedaulatan negara serta kepentingan rakyat.

Mereka sanggup menjemput penjajah pihak luar mencampuri urusan negara kita yang berdaulat. Kita perlu mengambil iktibar daripada setiap perhimpunan dan demonstrasi yang pada awalnya menggunakan nama perhimpunan aman tetapi akhirnya menggadai keamanan rakyat dan negara.

Oleh sebab demonstrasi tanpa kawalan yang berlaku di negara jiran, Thailand akhirnya terpaksa diisytiharkan darurat. Jangan disebabkan kepentingan politik pihak tertentu dan juga segelintir masyarakat, akhirnya kepentingan 28 juta rakyat Malaysia terpaksa dikorbankan.
Demonstrasi di Taiwan

Pada April 2008 , seramai 700 pelajar Malaysia yang memakai baju kuning dan hijau di Taiwan telah mengadakan demonstrasi di Dewan Chiang Kai-sek. Demonstrasi itu bertujuan untuk menuntut pilihan raya bersih di Malaysia .

Pada masa yang sama , pelajar Malaysia di luar negara lupa bahawa rakyat ini sudah dibenarkan mengundi. Mengapa keterbukaan dan transformasi pilihan raya yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi tidak dilihat sebagai satu kesuburan demokrasi? Rakyat Malaysia perlu mengetahui hakikat bahawa, demokrasi yang membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengundi di luar negara sesuatu yang tidak pernah wujud selama 17 tahun Anwar Ibrahim berada dalam kerajaan.

Demonstrasi di Singapura
Seramai 21 pelajar Malaysia di Singapura melancarkan demonstrasi di Merlion Park bagi menentang pilihan raya Malaysia yang didakwa tidak telus. Keadaan ini akhirnya menyebabkan mereka ditahan pihak berkuasa Singapura. Hal ini disebabkan, tuduhan dan fitnah pemimpin pakatan pembangkang yang menuduh bahawa terdapatnya isu pengundi hantu selain isu blackout dalam memanipulasi keputusan pilihan raya. Namun begitu, isu ini akhirnnya terbukti tidak benar dan hanya disebarkan oleh Red Bean Army dan pemimpin pakatan pembangkang.

Puluhan ribu penyokong pakatan pembangkang yang menyertai perhimpunan blackout tidak ditahan di Malaysia tetapi hanya 21 orang yang berdemonstrasi di Singapura pula ditangkap. Oleh itu, adakah Malaysia benar-benar merupakan sesebuah negara yang anti kebebasan dan demokrasi seperti yang didakwa oleh mereka?

Petisyen Pilihan Raya kepada Obama
Kita masih ingat 220,000 ribu rakyat Malaysia selepas PRU-13 telah menghantar petisyen kepada Presiden Barack Obama bulan Mei 2013. Adakah Malaysia sebuah negara yang berdaulat akan tunduk kepada kuasa asing yang cuba campur tangan dalam urusan negara kita? Sebarang bentuk bantuan yang diminta oleh penyokong pakatan pembangkang terhadap pihak asing merupakan satu langkah penjajahan asing secara terbuka. Namun begitu, pada bulan Oktober 2013, Obama telah memuji Malaysia sebagai sebuah negara model dunia dari segi demokrasi, toleransi dan kemajuan melalui Setiausaha Negara, John Kerry.


Demonstrasi Pemuda Parti Keadilan Rakyat terhadap Jepun
Pada 21 Januari lepas, sekumpulan anggota pemuda PKR diketuai, Shamsul Iskandar telah membakar bendera Jepun dan melancarkan demonstrasi di hadapan kedutaan Jepun. Penyokong Anwar ketika itu bersama Red Bean Army di alam maya pula melancarkan kempen boikot barangan Jepun, hanya kerana beliau ditahan daripada memasuki negara itu. Malaysia akan dilihat sebagai sebuah negara yang tidak bertamadun berikutan tindakan membakar bendera Jepun hanya disebabkan oleh seorang rakyat Malaysia tidak memahami prosedur dalam isu ini. Anwar sendiri tidak mematuhi prosedur memasuki negara Jepun tanpa memohon kebenaran khas yang termaktub dalam Akta Kawalan Imigresen Jepun.

Individu dan selebriti terkemuka seperti Sir Paul McCartney, Bobby Fischer, Paris Hilton dan Russell Brand juga pernah ditahan kemasukan mereka tetapi tiada sebarang bantahan oleh peminat mereka, apatah lagi membakar bendera serta berkempen memboikot produk Jepun. Pada pandangan penyokong dan ahli pakatan pembangkang, kekebalan Anwar itu lebih penting daripada kedaulatan negara Jepun.


Demonstrasi terhadap Australia
Pada 22 Januari lepas, bekas calon DAP di Parlimen Bentong pada PRU-13, Wong Tack telah membawa sekumpulan rakyat Malaysia mencerobohi Majlis Hari Australia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pencerobohan ini disebabkan penentangan mereka tentang isu Lynas di Kuantan. Kekecohan ini akhirnya terpaksa dileraikan oleh Pengurus Keselamatan Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, Llyold Laughlin. Sifat hipokrit ini sekali lagi terpancar apabila Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Dr. Che Rosli Che Mat berpendapat bahawa Lynas bukanlah loji nuklear seperti didakwa oleh pihak pembangkang dan ia adalah selamat.

Oleh itu, sekiranya Wong Tack dan DAP ikhlas menentang Lynas maka mereka perlu terlebih dahulu melancarkan demonstrasi terhadap kepimpinan dan parti Pas terlebih dahulu. Tambahan pula, pada 1 Mei 2013, Penasihat Tenaga White House, Jack Lifton mengukuhkan lagi kenyataan bahawa Lynas adalah salah satu fasiliti yang selamat jika dibandingkan kilang yang sama di seluruh dunia.


Shen Yee Aun
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140202/re_12/Tindakan-jejas-nama-negara#ixzz2sGkvrvsw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

02 Februari 2014

No comments:

Post a comment