UCAPAN
Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS AMANAT Y.A.B. MENTERI BESAR JOHOR
BERSAMA PEGAWAI-PEGAWAI DAN
ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM
NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM TAHUN 2014
DI DEWAN UNDANGAN NEGERI, BANGUNAN SULTAN ISMAIL,
KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA
PADA HARI KHAMIS, 13 FEBRUARI 2014
JAM 2.30 PETANG
1. Alhamdullilah, pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita berhimpun pada petang ini sempena Majlis Amanat kepada Kakitangan dan Agensi Kerajaan bagi tahun 2014. Memandangkan ini adalah amanat sulung sejak menyandang jawatan selaku Menteri Besar, izinkan saya majukan segulung kata-kata penghargaan dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan yang terus komited terhadap kerja serta prestasi cemerlang sepanjang tahun 2013 yang lepas. Saya ingin memulakan amanat sulung saya ini dengan membuat penegasan bahawasanya saya sangat optimis dengan masa depan Negeri Johor.
2. Keyakinan saya bukan hanya kerana pertumbuhan positif ekonomi Johor yang pesat dan mapan. Kelestarian ekonomi dan pembangunan hanyalah sebahagian dari pertumbuhan. Keyakinan saya ialah kerana saya sangat mempercayai keupayaan perkhidmatan awam Johor. Saya yakin bahawa saya boleh, dengan kerjasama erat semua penjawat awam dalam negeri Johor, menjadikan negeri ini, dalam lingkungan negeri paling membangun di Malaysia, InsyaAllah.
3. Saya ingin menjadikan perkhidmatan Kerajaan Negeri diteladani integriti dan keberkesanannnya. Tetapi saya juga percaya, disebalik semua pencapaian perkhidmatan awam Johor, memodenkan perkhidmatan secara menyeluruh atau“a complete modernization of the civil service”, adalah tuntutan yang wajar diperjuangkan. Saya mendambakan perkhidmatan awam Johor yang lebih telus, mendahului persaingan dan berhemah. Saya menyimpan hasrat pegawai-pegawai dibawah pentadbiran saya dapat mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Dan pada waktu yang sama, mempunyai kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab demi rakyat dengan penuh amanah dan profesional.
4. Sesungguhnya, tiada siapa harus meragui keyakinan saya terhadap penjawat awam ini. Saya percaya setiap daripada kita mempunyai pengalaman yang luar biasa dengan penjawat awam. Daripada saat kita di lahirkan, pendidikan kita, sehinggalah kita bekerja sekarang. Secara politiknya, saya memerlukan perkhidmatan awam yang berwibawa dan progresif. Saya yakin Johor dan Malaysia, boleh menjadi sebuah cerita kejayaan yang dibanggakan dalam dekad ini. Kita mempunyai tenaga dan kreativiti, pengalaman dan citra, ketekunan dan kegigihan, untuk menjadi sebuah bangsa dan negara berbudaya tinggi dan maju. Kita boleh melakukannnya kerana kita mempunyai perkhidmatan awam yang berfungsi ‘functioning’.
5. Lalu kerana itulah saya berazam untuk memodenkan perkhidmatan awam negeri Johor. Kita mesti melakukannya dengan membudayakan nilai kecemerlangan dan dedikasi yang tinggi. Jika tidak, saya dan Barisan Nasional akan ditolak oleh rakyat dan Johor, serta Malaysia akan terus tersisih dek kemajuan dampak globalisasi. Yakinlah, kita tidak boleh menjadi sebuah cerita kejayaan dalam era ini jika kita tidak mempunyai perkhidmatan awam yang moden dan berwibawa.
6. Justeru, saya percaya bahawa 3 dasar utama pentadbiran saya, yang saya ulas sebelum ini termasuk semasa pembentangan ucapan Bajet 2014, iaitu Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro-Rakyat dan Muafakat Johor hanya akan berkesan dilaksanakan dengan dokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada semua penjawat awam.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Prestasi pertumbuhan ekonomi Negeri Johor dari tahun 2005 hingga 2012 telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berkembang secara purata pada kadar 6.5%. Pertumbuhan konsisten ini telah menjadikan Johor, sebagai negeri penyumbang keempat tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sebanyak 9.2%.
8. Semua ini tidak mampu dilakukan tanpa dokongan dan dedikasi luar biasa penjawat awam, dasar yang pro-pertumbuhan dan persekitaran ekonomi yang luas dan progresif. Namun, petunjuk pertumbuhan ini bukanlah pencapaian terbaik yang boleh kita hasilkan. Saya yakin, kita boleh mencapai angka pertumbuhan ekonomi dua digit, jika kita bersama dapat menonjolkan potensi sebenar rakyat Johor. Jika negara Singapura dan Vietnam boleh melakukannya, kenapa tidak kita. Inilah dilema kita; usaha pembangunan kita masih lagi tidak didokong dengan sepenuh hati oleh rakyat Johor.
9. Benar kita mempunyai perkhidmatan awam yang baik, tetapi ia mempunyai ruang untuk lebih berdaya saing. Benar kita mempunyai sumber asli dan khazanah strategik, tetapi kita juga memerlukan ‘the mindset change’ yang sangat sukar untuk dilakukan. Bila saya merenung kembali kenapa pertumbuhan Johor hanya pada paras yang sederhana disebalik potensi kita yang luar biasa, maka jawapan saya ialah; rakyat Johor berada dalam ‘a confusing crossroad’. Dilema ini lebih mudah saya ungkapkan sebagai sebuah masyarakat yang inginkan pembangunan, namun sikap dan perlakuan, seperti enggan ‘reluctant’ dengan pembangunan. Khuathir akan merugikan dan bimbang akan mengakibatkan kehilangan‘status quo’.
10. Mereka mahukan pembangunan tetapi juga selesa dengan keadaan semasa dan akhirnya perubahan jadi semacam ‘retorik’. Sentimen ini, saya rasa sudah berbudaya dalam masyarakat Johor. Maka pentadbiran saya harus menangani dilema ini dengan objektif. Kerana jika dibiarkan, ianya akan membantutkan usaha-usaha pembangunan. Ia akan menjadi halangan kepada usaha Johor mendahului persaingan. Oleh kerana itulah, salah satu agenda besar yang ingin saya nyatakan pada hari ini ialah, kita harus bersungguh-sungguh dalam melakukan ‘anjakan pemikiran ini’ ke arah pembaikan (islah) dan pembaharuan.
11. Semua rakyat Johor mesti punyai cita-cita besar, menjadikan Johor mutiara di selatan Asia Tenggara. Johor mesti menjadi negeri paling maju dan berdaya saing di rantau ini. Johor mesti menjadikan tanggapan bahawa ia adalah ‘The Backyard of Singapore’suatu sejarah. Johor mesti menjadi Negeri yang bukan sahaja geografinya berhampiran dengan negara maju kelas pertama, tetapi ekonominya juga relevan dan saling berhubungan;‘geographically close to a first world country, but economically relevant and connected’.
12. Sejajar dengan itu, kita harus memerangi sikap mundur dan liat untuk berubah ini. Kita mesti menanamkan keyakinan baharu dalam setiap lapisan masyarakat bahawa tahun ini, dekad ini, ketika ini, adalah saat Johor dengan citra baharu. Kita mesti bersama membangunkan Johor yang moden dan menjadi teladan dalam pembangunan. Kita harus keluar dari ‘status quo’ sebagai negeri yang pembangunannya sangat sederhana. Kita melakukannya kerana kita tidak mahu hasil bumi, sumber alam, demografi penduduk yang unik dan khazanah warisan serta alam sekitar ini hanya memberi keuntungan kepada orang lain tetapi tidak kepada anak-anak Johor itu sendiri.
13. Kita mesti melakukannnya, kerana setiap industri yang kita bangunkan, setiap pelaburan yang kita bawa masuk, setiap pekerjaan yang kita wujudkan, adalah untuk manfaat seluruh penduduk dan rakyat Johor jua. Justeru, saya ingin meyakinkan semua penjawat awam bahawa usaha kita bukan sekadar hanya untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkesan. Ia perlu pergi lebih jauh. Ia harus membangunkan semula nilai positif semua rakyat untuk merubah Johor menjadi negeri termaju. Kita punya tanggungjawab untuk membangunkan keyakinan baharu, bahawa pembangunan itu wajar, perlu dan didambakan. Tiada siapa yang akan ketinggalan jika kita merancangnya dengan baik, dengan bekerja kuat dan dengan perubahan. Saya yakin, kita juga tidak akan membenarkan sesiapa jua menuai kesenangan di atas kelemahan kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Adalah sangat tidak objektif untuk menilai kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Johor hanya bersandarkan pembangunan Iskandar Malaysia sahaja. Johor bukan hanya Iskandar dan Iskandar hanya sebahagian daripada pertumbuhan Johor. Benar, Iskandar adalah ‘an orchestrated state intervention’untuk memastikan Malaysia memanfaatkan limpahan pertumbuhan ekonomi dari tanah seberang. Tapi kita juga berjaya memastikan Iskandar bukan hadir hanya menampung limpahan ekonomi Singapura. Ia punyai keupayaan dan tarikan tersendiri serta istimewa.
15. Pada hari ini kita telah berjaya menjadikan Iskandar sangat unik dengan kepelbagaian bentuk pelaburan dan kedatangan pelabur bermutu. Kalau kita boleh melakukannya di Iskandar, pastinya pengalaman tersebut boleh kita manfaatkan untuk merakayasa (menerapkan) strategi baharu untuk pertumbuhan di kawasan lain di seluruh Negeri Johor. Saya telah lakarkan visi pembangunan ini dalam ucapan Bajet 2014 yang lepas. Maka adalah sewajarnya kita susuli perkara ini dengan lebih bersungguh.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16. Sukalah juga saya mengingatkan bahawa strategi pertumbuhan kita janganlah hanya berkisar tentang angka-angka semata;“It cannot be purely based on economic parameters”. Masalah dengan ahli ekonomi ialah semuanya ingin diukur. Tetapi sebaliknya, kita harus memilih pembangunan dalam konteks keseimbangan antara tuntutan material, sosial dan spiritual. Ini adalah strategi pencerahan kepada pembangunan yang lebih mapan. Dengan strategi sedemikian, suatu masa kelak Johor bukan sahaja berupaya menjadi negeri yang boleh melengkapi keperluan orang lain tetapi juga mampu menjadi negeri pesaing yang makmur. Hakikatnya samada suka atau tidak, memilih pembangunan sebenarnya mengundang cabaran. Antara masalah dan cabaran; Kerajaan Negeri pada hari ini serta rakyat Johor sudah pastinya lebih rela untuk memilih cabaran. Belum pernah dalam sejarah kita, Johor tunduk kepada cabaran atau takut mengambil risiko untuk menguruskan cabaran.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
17. Model pembangunan ekonomi untuk Johor dan Malaysia moden memerlukan rekayasa yang serius. Seperti yang telah saya lakarkan dalam ucapan Bajet 2014, Johor perlu mula beralih kepada ekonomi berlandaskan idea dan kreativiti. Sektor ekonomi tradisional walau bagaimanapun akan terus mempunyai tempatnya tersendiri. Sektor ekonomi berteraskan perkhidmatan dan kreatif adalah model ekonomi baharu yang akan menunjangi kelangsungan pembangunan Johor dan Malaysia.
18. Menyedari keperluan Johor menukar model ekonominya, maka Johor Growth Vision sedang dirangka. Ini merupakan komitmen kita untuk menukar orientasi ekonomi negeri Johor secara transformatif. Natijah yang diharapkan, bukan hanya menjadikan Johor sebuah lingkungan ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi apa yang lebih penting mewujudkan ekonomi yang kelestariannya dipacu oleh prasarana termaju, teknologi moden dan penemuan saintifik.
19. Suka saya menegaskan 3 faktor kejayaan kritikal Johor Growth Vision ini.Pertama ialah pekerja berilmu dengan kemahiran global. Kedua, ekosistem perniagaan yang kompetitif serta terbuka. Ketiga ialah peranan Kerajaan yang progresif dan perkhidmatan awam yang efektif. Semestinya peranan Kerajaan adalah yang paling penting. Dalam soal ini, kita perlu lihat kepada apa yang saya panggil‘the governance gap’ yang serius antara pemikiran dan pendekatan kerajaan semasa dengan persekitaran pantas dek derasnya arus globalisasi.
20. Keupayaan perkhidmatan awam melakukan penyesuaian yang pantas dan radikal bagi memanfaatkan perubahan, adalah persoalan paling kritikal terhadap masa depan Johor dan Malaysia. Kegagalan untuk berubah akan menjadikan Johor dan Malaysia terus terperangkap dalam ‘the middle income trap’. Implikasinya, semua dasar yang diperkenalkan hanya akan menjadi retorik. Johor dan Malaysia pasti akan ketinggalan.
21. Bagi membina asas yang kukuh dalam menjayakan Johor Growth Vision ini, kita sedang merangka beberapa dasar intervensi. Antaranya ialah kemasukan para pelabur ke Johor, mestilah lebih selektif. Kita berkehendakkan pemain yang berkualiti. Hanya mereka yang mempunyai ‘the competitive edge’ akan dapat membantu kebolehsaingan Johor dalam jangka masa panjang. Ia juga dapat menjadikan Johor lebih bersedia dalam peralihannya kepada liberalisasi pasaran dan perdagangan yang lebih terbuka. Kebolehsaingan Johor penting kerana ia akan menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan Negara. Pendapatan inilah yang akan membolehkan kita mempunyai sekolah kelas dunia, guru berwibawa, perkhidmatan perubatan termaju, prasarana kelas pertama dan menarik bakat bakal penjawat awam yang terbaik.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
22. Sesungguhnya, saya amat berterima kasih kepada para penjawat awam kerana kita sedang menyaksikan pertumbuhan hasil negeri secara signifikan. Alhamdulillah, negeri Johor pada hari ini telah berjaya mengatasi masalah defisit terkumpul dalam akaun hasil disatukan sejak dari tahun 2000. InsyaAllah pada hujung tahun ini, kita juga akan berusaha mengurangkan hutang kerajaan Negeri secara signifikan.
23. Tidak lengkap jika segala yang telah saya nyatakan dilaksanakan tanpa sasaran yang boleh diukur. Setiap perancangan Kerajaan perlu ‘the measure of success’ atau ukuran kejayaannya. Ini wajar kerana kita mempunyai pertanggungjawaban. Kita bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat. Dekad ini, semuanya harus telus. Kita juga tidak boleh menjadi pentadbiran moden dan diteladani sekiranya kita gagal menginstitusikan pendekatan untuk mengukur kejayaan. Sejajar dengan dasar ini, Kerajaan Negeri akan mensyaratkan Penunjuk Keberhasilan Utama atau Key Performance Indicator (KPI) kepada setiap agensi kerajaan untuk mengukur dan menilai sasaran mahupun gerak kerja yang telah ditetapkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
24. Dasar membangunkan keupayaan rakyat adalah strategi penting yang telah dilakarkan dalam Bajet 2014. Johor memerlukan rakyat yang mandiri untuk kelestarian pembangunannya. Tiada strategi lain yang ‘can last the test of time’kecuali melalui pendidikan dan latihan yang baik. Melalui peluang pendidikan, potensi setiap insan boleh ditonjolkan. Ia bukan sahaja tuntutan biasa, ia juga adalah tuntutan agama dan moral, penyuluh jalan yang boleh menerangi kehidupan manusia. Dan pentadbiran saya amat mengutamakan pendidikan. Ini bukan bermakna semua orang harus ke menara gading. Tetapi setiap orang, mesti merasakan mereka punyai ruang dan laluan untuk menonjolkan bakat mereka. Samada ia dilaksanakan melalui pendidikan tinggi atau latihan kemahiran untuk pasaran kerja global, Johor berhasrat menjadi contoh kepada seluruh Malaysia dalam mendemokrasikan ilmu dan kemahiran. Johor tidak mungkin mampu beranjak kepada ekonomi berasaskan ilmu dan kreativiti serta bersifat saintifik tanpa rakyatnya yang mendambakan pengetahuan.
25. Sektor perkhidmatan, industri gas dan petroleum, bioteknologi, industri kreatif, pertanian termaju, pelancongan serta pelbagai lagi sektor ekonomi moden memerlukan ‘a globally competitive workforce’. Oleh itu, Johor berhasrat untuk menjadikan pendidikan tinggi dan latihan sebagai agenda besar perubahannya.
26. Selain menjadikan Iskandar Malaysia dan Pagoh sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi, Johor juga berhasrat untuk menjadi ‘the technical and vocational education hub’ bagi rantau ini. Saya yakin, Johor berpotensi untuk menjadi penyumbang utama kepada keperluan tenaga kerja teknikal dan vokasional di arena antarabangsa.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
27. Satu lagi dasar penting yang telah saya utarakan dalam Bajet 2014 ialah peri pentingnya Kerajaan bertindak mengurangkan kos sara hidup rakyat. Walaupun kita menyedari peningkatan kos kehidupan adalah disebabkan dinamika ekonomi yang saling bergantungan ‘the dynamics of the interdependence economy’, rakyat yakin Kerajaan ada penyelesaiannya. Kerajaan yang bertanggungjawab pasti akan melakukan sesuatu, kerana berdiam diri dan menyatakan pasaran ekonomi global adalah ‘beyond government’, tidak akan meyakinkan rakyat. Oleh yang demikian, langkah-langkah penyelesaian perlu dicari. Langkah seperti memperbanyakkan projek rumah mampu milik adalah amat bertepatan. Ini bermakna Kerajaan tidak hanya membiarkan kuasa pasaran untuk menentukan kos rumah. Spekulasi pasaran sebenarnya amat merbahaya. Ia hanya memanfaatkan kaum pemodal dan membebankan pembeli. Begitu juga penyediaan prasaran seperti pengangkutan awam. Pengangkutan awam yang efisyen adalah lumrah dan sinomin dengan kualiti hidup negara maju. Selain membolehkan rakyat menikmati kemudahan awam dengan kos yang murah, ia juga mengurangkan ‘the carbon footprint’.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
28. Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang meningkat, kita harus realistik. Intervensi Kerajaan tidak mungkin dapat mempengaruhi keseluruhan struktur harga barangan. Kuasa pasaran cukup luar biasa pengaruhnya. Namun, kita boleh melakukannya melalui pendekatan lain. Kedai Rakyat 1 Malaysia umpamanya, boleh diperbanyakkan bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah. Ini memberikan rakyat pilihan dan jika dilaksanakan secara berkesan ianya akan membantu mengurangkan beban rakyat secara relatif.
29. Keputusan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pelajaran Negeri Johor untuk menjalankan Program Tuisyen SPM YPJ juga adalah langkah penting bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. Program ini akan dikendalikan oleh pihak sekolah dan dibiayai bersama oleh PIBG dan YPJ. Ia mempunyai dua matlamat. Pertama, mengurangkan beban ibu bapa dalam membiayai tuisyen untuk anak-anak mereka yang bakal menduduki SPM. Kedua untuk meningkat prestasi akademik pelajar-pelajar terpilih dengan pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka tidak melebihi RM 4,000. Ini adalah langkah progresif Kerajaan Johor untuk memastikan ruang meningkatkan prestasi pendidikan terus terbuka luas walaupun dengan peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.
30. Kerajaan Negeri melalui pembentangan Bajet Persekutuan juga telah bersetuju menaikkan kelayakkan pendapatan isi rumah penjawat awam daripada RM 3,000 kepada RM 5,000 bagi tujuan pemberian subsidi yuran pengasuhan TASKA di tempat kerja sektor awam. Kadar subsidi yang layak diberi adalah mengikut kadar yuran sebenar atau maksimum RM 180.00 bagi seorang anak. Sekiranya yuran TASKA tersebut melebihi RM 180, baki selebihnya akan ditanggung oleh pegawai berkenaan.
31. Seterusnya adalah melalui inisatif penubuhan Yayasan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Johor. Tujuannya antara lain bagi mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat dalam lingkungan sesuatu PBT terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Yayasan ini akan melaksanakan program-program seperti Pembasmian Kemiskinan, Bantuan Persekolahan, Bantuan Sewa Rumah, Latihan Kemahiran dan sebagainya. Setiap PBT dikehendaki menyumbangkan 1 peratus daripada hasil mereka kepada Yayasan tersebut.
32. Selain itu, kerajaan Negeri pada hari ini ingin mengumumkan suatu Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah. Melalui skim ini kerajaan negeri akan menghapuskan kadar faedah sebanyak 4 peratus bagi pinjaman perumahan kakitangan awam negeri berkuatkuasa 1 Mac 2014. Manakala bagi peminjam yang masih mempunyai baki dan dipotong dari gaji bulanan, baki pinjaman terkini akan disediakan pada bulan April hingga Mei 2014 dan bayaran balik mengikut jadual baru skim ini akan dilaksanakan pada bulan Mei atau Jun tahun ini.
33. Tuntasnya, mesej daripada kesemua langkah ini adalah Kerajaan senantiasa inovatif dalam mendepani permasalahan rakyat. Dan yang paling penting ialah, semua ini disumbang melalui inovasi dasar yang dilakukan oleh penjawat awam.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
34. Daripada semua pernyataan dasar yang telah saya jelaskan secara ringkas, ternyata peranan penjawat awam sangat penting. Namun yang lebih penting ialah memodenkan perkhidmatan awam. Tetapi soalnya bagaimana kita boleh laksanakan ia dengan peruntukan yang terbatas dan perbelanjaan berhemah. Adakah kita yakin bahawa memodenkan perkhidmatan awam itu akan berjaya kerana banyak sekali Kerajaan yang telah gagal melakukannya. Dan akhirnya, perlukah ia berlaku secepat mungkin dan pada waktu ini?
35. Jawapan saya mudah. Benar, kita memerlukan peruntukan untuk melakukan pembaharuan. Tetapi kita juga boleh melakukannya tanpa melibatkan kos. Meningkatkan disiplin penjawat awam tidak memerlukan kos. Memastikan kerja disiapkan segera tanpa tertangguh juga tidak melibatkan kos. Komitmen yang tinggi terhadap standard dan mutu tidak melibatkan peruntukan. Memastikan ketelusan dalam pelbagai perkara tidak melibatkan pembiayaan. Malah, keupayaan mengoptimumkan penggunaan teknologi ICT secara signifikan bukan sahaja memodenkan sektor perkhidmatan awam, tetapi menjimatkan kos operasi dengan signifikan. Jadi isunya ialah perspektif; kita boleh melakukannya jika kita melihat usaha memodenkan perkhidmatan awam secara lebih inovatif.
36. Kedua, bolehkan kita melakukannya? Pasti boleh. Bayangkan perkhidmatan pasport Malaysia boleh disiapkan dalam masa hanya satu jam. Pernahkah kita terfikir bahawa semua urusan di pejabat tanah tidak lagi dilakukan secara manual. Carian boleh dilakukan hanya dalam masa kurang dari 5 minit. Malah urusan pembayaran zakat dan nikah kahwin semuanya secara online! Saya yakin kita boleh melakukannya. Kerana kita belajar dari semua kesilapan lepas. Kita memahami di mana kita pernah gagal. Kita juga mempunyai kualiti penjawat awam yang semakin baik dan berwibawa.
37. Pasti tiada siapa boleh menafikan kita berupaya melakukan modenisasi perkhidmatan awam. Akhirnya, perlukah kita melakukannnya sekarang, waktu ini, detik ini? Jawapan saya, Perlu! kerana kita harus seiring dengan perubahan persekitaran. Dunia disekeliling kita dinamikanya amat luar biasa. Pelbagai sektor ekonomi deras berubah, masyarakat berubah,“The state” juga harus berubah. Kita harus berubah sekarang kerana kita harus bertanggungjawab terhadap rakyat dan bukan birokrasi. Perkhidmatan kerajaan sekarang adalah lebih inklusif, lebih bertanggungjawab, lebih peribadi sifatnya. Rakyat adalah keutamaan. Mereka lebih mendesak, lebih kritikal, dan lebih berpengetahuan. Perkhidmatan awam juga adalah tentang kehidupan rakyat, keselesaan rakyat dan kebajikan rakyat.
38. Pendekatan kita bukan lagi seperti dahulu. Sekarang, bukan lagi ‘top down bureaucracy tetapi ‘bottom up innovation’. Bukan lagi sistem yang ‘opeque’ dan tertutup, tetapi lebih terbuka dan telus. Bukan lagi‘state’ tetapi ‘society’. Percayalah bahawa kualiti perkhidmatan awam yang ingin kita persembahkan sebenarnya adalah kayu ukur sebenar kejayaan sebuah kerajaan, sebuah negara dan sebuah bangsa.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
39. Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan iltizam untuk mentadbir Negeri Johor Darul Takzim dengan adil, bertanggungjawab dan inklusif. Pada bahu saya, terpikul beban yang sangat berat. Saya tidak boleh gagal. Saya yakin saya mampu merubah wajah Johor menjadi negeri paling membangun di Malaysia. Keyakinan saya diperteguh oleh kerana saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan dan pengalaman perkhidmatan awam. Saya percaya, saudara-saudari akan memberikan yang terbaik pada bangsa dan tanahair.
40. Lalu saya mengharapkan agar tiga agenda besar saya untuk tahun 2014 ini didukung dan dijayakan dengan bersungguh dan beramanah. Pertama, marilah kita bersama-sama memoden dan melaksanakan transformasi perkhidmatan awam. Pepatah Arab ini bolehlah kita jadikan sandaran. Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan mencari jalan. Jika anda tidak mahu melakukan sesuatu, anda akan mencari alasan.
41. Kedua, marilah kita, dengan gigih, menjayakan perubahan ‘pemikiran dan sikap’ masyarakat agar sedia bersaing, berkorban dan bekerja kuat untuk pembangunan dan kemakmuran Johor. Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia atau martabat. Dan ketiga, marilah kita menjayakan dasar-dasar utama yang telah dilakarkan dalam ucapan Bajet 2014 agar kejayaan pelaksanaannya, akan dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat. Insyallah, jika kita boleh menjayakan tiga agenda besar ini, natijahnya pasti luar biasa pada Johor dan negara.
Sumber: http://muafakatjohor.com/
No comments:
Post a Comment