Monday, 13 October 2014

Nasib Nelayan Johor dibela

JOHOR BAHRU: Kebajikan dan masa depan golongan nelayan pesisir pantai di Johor yang terjejas akibat kepesatan projek pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di negeri itu bakal terbela menerusi Yayasan Nelayan Negeri, yang kini di peringkat akhir penubuhan.



Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan Azli Mohamad Aziz berkata pihaknya telah pun mencadangkan supaya kerajaan negeri menyumbang dana permulaan sebanyak RM10 juta kepada yayasan itu.

"Idea di sebalik penubuhan Yayasan Nelayan Negeri Johor itu datang daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan kebajikan dan masa depan golongan nelayan di Johor terbela."

"Menerusi dana permulaan itu, Yayasan Nelayan bercadang untuk menceburi beberapa bidang perniagaan yang boleh menjana keuntungan, yang kemudiannya akan disalurkan kembali kepada nelayan-nelayan terbabit," katanya kepada Bernama dalam temu ramah di sini.

Azli berkata yayasan itu akan memberi tumpuan membela nasib nelayan yang terjejas akibat pembangunan rancak di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia, termasuk projek penambakan laut Forest City di Gelang Patah.

Yayasan Nelayan yang kini masuk peringkat akhir penubuhannya itu juga akan membantu nelayan pesisir pantai yang terjejas akibat projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Beliau difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa penubuhan yayasan itu.

"Yayasan itu apabila ditubuhkan kelak akan cuba membantu sebaik mungkin nelayan-nelayan yang terjejas di Gelang Patah akibat projek penambakan laut Forest City itu serta nelayan di Pengerang akibat projek RAPID," katanya.

Projek RAPID di Pengerang pula dipelopori oleh Petronas, yang komited untuk menjadikan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas di rantau Asia.

Azli berkata Yayasan Nelayan Negeri Johor itu bercadang untuk menceburi bidang pertanian seperti penanaman kelapa sawit dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA) dan industri-industri lain.

Beliau berkata yayasan itu akan menggunakan model perniagaan yang telah pun berjaya dipraktikkan oleh JOSFA dalam usahanya untuk meningkatkan taraf ekonomi nelayan yang terjejas itu.

"Golongan nelayan tidak menolak pembangunan yang sedang pesat berlaku di Johor, tetapi pada masa sama, kami tidak mahu dipinggir atau diketepikan. Kebajikan dan masa depan kami perlu dijaga," katanya.

Monday, 29 September 2014

"Tarif air dinaikkan tidak benar", MB Johor

Tarif air dinaikkan tidak benar. Kerajaan Negeri cadang pinjaman 1.3 billion ditukar kepada geran seperti negeri lain - Mohamed Khaled Nordin 

Khabar angin yang mengatakan kerajaan negeri akan menaikkan tarif air dari 10 hingga 12 peratus adalah tidak benar, begitu juga desas-desus pengambilalihan SAJH.

Kerajaan negeri juga telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Pusat supaya pinjaman berjumlah RM1.3 bilion yang diberikan bagi melengkapkan infrastruktur air di negeri ini ditukar kepada bentuk geran.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan tersebut ada asasnya memandangkan ia turut digunakan bagi menyediakan projek air luar bandar dan berbeza dengan projek air luar bandar di negeri-negeri lain yang menggunakan sepenuhnya geran Kerajaan Persekutuan.

"Perubahan status daripada Syarikat Air Johor (SAJ) kepada Syarikat Air Johor Holding (SAJH) membuatkan bayaran pajakan tinggi berdasarkan pinjaman yang ada. Pertukaran pinjaman kepada geran dapat mengurangkan sewa pajakan yang dikenakan Perbadanan Aset Air Johor Berhad (PAAJB) kepada SAJH.

"Ia juga menjadi faktor penentu kepada sebarang cadangan menaikkan tarif air di Johor kerana mengambil kira kos operasi yang ditanggung SAJH ketika ini. Sebarang cadangan menaikkan tarif air perlu melalui beberapa proses perundangan dengan kelulusan Parlimen dan pendengaran awam terlebih dahulu," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ketujuh Kesatuan Pekerja-Pekerja SAJ (KPPSAJ) di Kukup Golf Resort, di sini semalam.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Sementara itu, beliau turut meminta pihak KPPSAJ agar terus memberi sokongan kepada pihak pengurusan dalam menjayakan segala program pembangunan di negeri ini kerana pekerja adalah faktor utama SAJH menerima anugerah operator pengurusan air terbaik negara.

Krisis Air Kronik Tidak Berlaku di Negeri Johor.

Johor tak pernah dapat geran kerajaan, berbeza dgn negeri lain. Johor bangunkan sumber air masa dulu dgn pinjam duit, bukan bantuan kerajaan, sebab itulah kerajaan negeri usahakan agar pinjaman sediaada dapat ditukar kepada geran.

Kos rawatan air kini meningkat sebanyak dua kali ganda berikutan kenaikan tarif elektrik dan juga masalah pencemaran air bagi memastikan bekalan air bersih dan berkualiti untuk rakyat Johor. Kali terakhir tarif air dinaikkan pada 2010 . 


Bekalan air yang cukup dan berkualiti sudah hampir meliputi 100 peratus kawasan di serata negeri Johor. Hampir semua rakyat sudah menikmati bekalan melalui Syarikat Air Johor tanpa membebankan kerajaan dalam soal kewangan.

Struktur tarif air adalah berbeza di setiap negeri kerana ia bergantung kepada faktor amaun subsidi kerajaan, perkhidmatan kepada pelanggan, liputan perkhidmatan, kepadatan penduduk, bentuk muka bumi, kualiti air mentah dan lain-lain. Infrastruktur dan keluasan liputan penyediaan air bersih di Johor jauh lebih besar berbanding di Pulau Pinang

Golongan miskin di Johor menerima rebat percuma air sebanyak kini ditingkatkan drp 20 000 liter kpd 25,000 liter kini telah diperluaskan. Program ini juga adalah salah satu dari inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk memberi bantuan kepada golongan yang layak menerima. Pelaksanaan di Johor jauh lebih bijak dan menepati golongan sasar.

Air merupakan sumber yang semakin terhad, tercemar dan sukar dirawat. Rakyat perlu menilai air pada tempat sewajarnya. Penjimatan air akan menjadi tidak penting kepada golongan berkemampuan kerana ia diberi secara percuma. Apapun Kadar penggunaan air setiap tahun meningkat lebih besar dan memerlukan penjimatan serta kawalan

Memang benar air adalah anugerah Allah yang bersifat percuma. Tetapi ia adalah air yang tidak dirawat yang tidak memerlukan sebarang proses rawatan dan operasi perbekalan ke dalam kediaman masing-masing. Perkhidmatan merawat dan membekalkan air memerlukan kos.

Krisis air yang kronik tidak berlaku di Johor tetapi di Selangor berlaku.Tidak perlulah diberi rebat air jika airnya pun dicatu hingga kulit kering jadi kematu.Apa guna ada air percuma tetapi percuma sahaja diserang penyakit akibat air lombong yang entah selamat entahkan tidak.

Apa yang lebih penting menyediakan bekalan air yang berterusan dan berkualiti kepada rakyat Johor untuk generasi akan datang dan subsidi Rumah Mampu milik johor lebih besar yang hampir sehingga RM 60 000 jika anda membeli rumah berharga RM 90 000 yang pada harga asalnya 150 000.

Wednesday, 24 September 2014

Kerajaan Johor tidak mahu rakyat terbeban.

Kerajaan Negeri Johor tidak mahu rakyat dibebankan dengan tarif air yang tinggi seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

Cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mencadangan kenaikan tarif air di negeri Johor sebanyak 22 peratus namun ia dianggap agak tinggi.

Kenaikan melebihi 20 peratus dianggap tinggi namun pada masa sama kita faham masalah dihadapi Syarikat Air Johor Holding Berhad (SAJH). Kita melihat kadar kenaikan antara 10 hingga12 peratus mungkin lebih sesuai supaya rakyat tidak terbeban 

Cadangan kenaikan tarif itu adalah kerana meningkatnya kos rawatan air sebanyak dua kali ganda berikutan kenaikan tarif elektrik dan juga masalah pencemaran air bagi memastikan bekalan air bersih dan berkualiti untuk rakyat Johor. Kali terakhir tarif air dinaikkan pada 2010 . 


Menurut Hasni, Exco Infrastruktur dan Kerjaraya Johor, kenaikan tarif elektrik sebanyak dua kali sebelum ini manakala kebanyakan daripada sumber air di negeri ini juga berhadapan dengan masalah pencemaran seperti di Empangan Machap dan Sembrong akibat aktiviti pertanian moden di Kluang.

Hal tersebut, katanya, memaksa SAJH menanggung kos yang besar untuk merawat air bagi memastikan pengguna benar-benar mendapat bekalan air yang berkualiti namun kerajaan negeri sedang berusaha mencari jalan mengatasi pencemaran tersebut.

"Kita akan mengadakan koordinasi bersama Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Hutan dan Pejabat Tanah yang berperanan menjadi penasihat dan bertanggungjawab terhadap sungai-sungai dan punca sumber air.

"Langkah seterusnya ialah apabila Pindaan Enakmen Air 2014 diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti, kerajaan perlulah meningkatkan keberkesanan agensi penguatkuasaan agensi pengurusan sumber air," katanya lagi.

Pindaan tersebut, ujarnya, memberi kuasa kepada BAKAJ untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mencemar bekalan air termasuklah mengenakan kompaun selain menurunkan kuasa kepada penjawat awam yang difikirkan dapat membantu mengatasi masalah tersebut.

Tuesday, 16 September 2014

Wajarkah Singapura naik kadar tol sebagai timbal balas?

September 16, 2014 KUALA TERENGGANU

Langkah kerajaan Singapura menaikkan kadar tol di pusat pemeriksaan Woodlands berkuat kuasa 1 Oktober ini sebagai timbal balas kepada langkah Malaysia menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu. 

Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Luar dan Dalam Negeri Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamed berkata, negaranya memutuskan untuk mengenakan kadar baharu tol kepada kenderaan asing berikutan langkah kerajaan Malaysia menaikkan kadar tol di CIQ berkuat kuasa 1 Ogos lalu. 

"Polisi Singapura begitulah...kita timbal balas, maknanya kalau ada kenaikan kadar tol di pihak pemerintah Malaysia, kita juga akan naikkan kadar tol. "Kalau ada berlaku penurunan (kadar tol), mungkin juga kita akan menyamakan (turunkan) jugalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Masagos Zulkifli dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Terengganu mulai hari ini sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan ekonomi antara Singapura dan negeri-negeri di Malaysia.
 

Kadar baharu tol yang akan dikenakan republik itu bagi kereta yang keluar daripada negara itu adalah S$3.80 (RM9.60) berbanding S$1.20 (RM3) sebelum ini, manakala bagi kenderaan membawa barangan ringan atau van pula adalah S$5.80 (RM14.60) berbanding S$1.90 (RM4.80). Kenderaan barangan berat S$7.70 (RM19.50) berbanding S$2.60 (RM6.60), teksi S$1.90 (RM4.80) berbanding S$0.60 (RM1.50) dan bas S$3.10 (RM7.85) berbanding S$1 (RM2.50). Bayaran tol yang dikenakan bagi kenderaan yang memasuki negara itu adalah kereta S$2.70 (RM6.80), kenderaan membawa barangan ringan atau van S$4 (RM10), kenderaan barangan berat S$5.30 (RM13.40), teksi S$1.40 (RM3.50) dan bas S$2.20 RM5.60). 

Sumber: Bernama

Monday, 8 September 2014

Mengapa Sultan Selangor Kecewa?

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu."Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014."Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini. – 8 September, 2014.




Tuesday, 5 August 2014

Pemandu Bas Kilang di CIQ disaman??

JOHOR BAHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Polis mengeluarkan 100 saman kepada pemandu bas kilang yang menghalang lalu lintas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, 1 Ogos lepas berikutan perlaksanaan kadar tol baharu.


Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Baharu Selatan Supt Mohd Nadzir Ghulam Kadir berkata kesemua mereka yang meletakkan kenderaan di bahu jalan utama terbabit akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka ini (pemandu bas kilang) sengaja beredar membawa kunci dan meninggalkan bas sebelum kemudian berkumpul beramai-ramai.

"Perbuatan ini kemudian menimbulkan kesusahan kepada pengguna jalan yang lain dan orang awam sehingga ada yang terpaksa berjalan kaki ke Singapura," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian terbabit.

Mohd Nadzir berkata polis sentiasa memantau keadaan di kompleks CIQ dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL).

"Para pengguna jalan raya sentiasa diingatkan supaya mematuhi peraturan dan mana-mana yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan kadar baharu tol itu diminta supaya tidak menimbulkan kesulitan sebaliknya berunding dengan pihak yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan BERNAMA dari 5 pagi hingga 8 pagi tadi mendapati kenderaan yang memasuki Singapura melalui Tambak Johor dalam keadaan terkawal.

Berlaku sedikit kesesakan biasa ketika waktu puncak iaitu semasa rakyat Malaysia memasuki Singapura untuk bekerja.

Anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan turut ditempatkan bagi mengawal kenderaan di beberapa jalan masuk ke CIQ dan bersedia jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Difahamkan penempatan anggota polis itu dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya kejadian mogok pada Jumaat lepas berulang.

Dalam kejadian 1 Ogos lepas, 200 pemandu bas kilang dikatakan enggan memasuki Singapura menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ mulai 4 pagi dan berakhir empat jam kemudian.

Tindakan itu menyebabkan ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sebelum menaiki bas penumpang di Woodlands.


Kejadian itu dikatakan berpunca akibat pengumuman LLM berhubung kadar baharu tol arah masuk CIQ itu bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing bernilai RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala bagi kadar arah keluar bernilai RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 yang bermula 1 Ogos.

Sebelum itu, Singapura juga mengumumkan kenaikan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan Permit Kenderaan Barangan (GVP) dari luar ke republik itu berkuat kuasa pada tarikh sama.

VEP dinaikkan daripada S$20 (RM51.37) kepada S$35 (RM89.90) sehari manakala GVP pula S$40 (RM102.74) berbanding S$10 (RM25.68) sebulan.



Sumber: BERNAMA