Tuesday 5 August 2014

Pemandu Bas Kilang di CIQ disaman??

JOHOR BAHARU, 4 Ogos (Bernama) -- Polis mengeluarkan 100 saman kepada pemandu bas kilang yang menghalang lalu lintas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, di sini, 1 Ogos lepas berikutan perlaksanaan kadar tol baharu.


Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Baharu Selatan Supt Mohd Nadzir Ghulam Kadir berkata kesemua mereka yang meletakkan kenderaan di bahu jalan utama terbabit akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka ini (pemandu bas kilang) sengaja beredar membawa kunci dan meninggalkan bas sebelum kemudian berkumpul beramai-ramai.

"Perbuatan ini kemudian menimbulkan kesusahan kepada pengguna jalan yang lain dan orang awam sehingga ada yang terpaksa berjalan kaki ke Singapura," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian terbabit.

Mohd Nadzir berkata polis sentiasa memantau keadaan di kompleks CIQ dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL).

"Para pengguna jalan raya sentiasa diingatkan supaya mematuhi peraturan dan mana-mana yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan kadar baharu tol itu diminta supaya tidak menimbulkan kesulitan sebaliknya berunding dengan pihak yang bertanggungjawab bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan BERNAMA dari 5 pagi hingga 8 pagi tadi mendapati kenderaan yang memasuki Singapura melalui Tambak Johor dalam keadaan terkawal.

Berlaku sedikit kesesakan biasa ketika waktu puncak iaitu semasa rakyat Malaysia memasuki Singapura untuk bekerja.

Anggota polis trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan turut ditempatkan bagi mengawal kenderaan di beberapa jalan masuk ke CIQ dan bersedia jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Difahamkan penempatan anggota polis itu dilakukan untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya kejadian mogok pada Jumaat lepas berulang.

Dalam kejadian 1 Ogos lepas, 200 pemandu bas kilang dikatakan enggan memasuki Singapura menyebabkan laluan trafik sesak di CIQ mulai 4 pagi dan berakhir empat jam kemudian.

Tindakan itu menyebabkan ribuan pekerja terpaksa berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sebelum menaiki bas penumpang di Woodlands.


Kejadian itu dikatakan berpunca akibat pengumuman LLM berhubung kadar baharu tol arah masuk CIQ itu bagi kenderaan Kelas 1 hingga Kelas 5 masing-masing bernilai RM9.70, RM14.70, RM19.70, RM4.80 dan RM7.80, manakala bagi kadar arah keluar bernilai RM6.80, RM10.20, RM13.60, RM3.40 dan RM5.50 yang bermula 1 Ogos.

Sebelum itu, Singapura juga mengumumkan kenaikan bayaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan Permit Kenderaan Barangan (GVP) dari luar ke republik itu berkuat kuasa pada tarikh sama.

VEP dinaikkan daripada S$20 (RM51.37) kepada S$35 (RM89.90) sehari manakala GVP pula S$40 (RM102.74) berbanding S$10 (RM25.68) sebulan.



Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment