Tuesday 16 September 2014

Wajarkah Singapura naik kadar tol sebagai timbal balas?

September 16, 2014 KUALA TERENGGANU

Langkah kerajaan Singapura menaikkan kadar tol di pusat pemeriksaan Woodlands berkuat kuasa 1 Oktober ini sebagai timbal balas kepada langkah Malaysia menaikkan kadar tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Baharu. 

Menteri Negara Kanan Hal Ehwal Luar dan Dalam Negeri Singapura, Masagos Zulkifli Masagos Mohamed berkata, negaranya memutuskan untuk mengenakan kadar baharu tol kepada kenderaan asing berikutan langkah kerajaan Malaysia menaikkan kadar tol di CIQ berkuat kuasa 1 Ogos lalu. 

"Polisi Singapura begitulah...kita timbal balas, maknanya kalau ada kenaikan kadar tol di pihak pemerintah Malaysia, kita juga akan naikkan kadar tol. "Kalau ada berlaku penurunan (kadar tol), mungkin juga kita akan menyamakan (turunkan) jugalah," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Masagos Zulkifli dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Terengganu mulai hari ini sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan ekonomi antara Singapura dan negeri-negeri di Malaysia.
 

Kadar baharu tol yang akan dikenakan republik itu bagi kereta yang keluar daripada negara itu adalah S$3.80 (RM9.60) berbanding S$1.20 (RM3) sebelum ini, manakala bagi kenderaan membawa barangan ringan atau van pula adalah S$5.80 (RM14.60) berbanding S$1.90 (RM4.80). Kenderaan barangan berat S$7.70 (RM19.50) berbanding S$2.60 (RM6.60), teksi S$1.90 (RM4.80) berbanding S$0.60 (RM1.50) dan bas S$3.10 (RM7.85) berbanding S$1 (RM2.50). Bayaran tol yang dikenakan bagi kenderaan yang memasuki negara itu adalah kereta S$2.70 (RM6.80), kenderaan membawa barangan ringan atau van S$4 (RM10), kenderaan barangan berat S$5.30 (RM13.40), teksi S$1.40 (RM3.50) dan bas S$2.20 RM5.60). 

Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment