Thursday 13 November 2014

#BAJETJOHOR2015 - ‘MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF’

BAJET
NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM
TAHUN 2015

‘MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF’

YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR

PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR
BERTARIKH 13 NOVEMBER 2014
MEMBANGUNKAN JOHOR SECARA INKLUSIF





A. MUKADIMAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Muafakat Johor
1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya untuk membentang dan menerangkan kepada Dewan yang Mulia ini, cadangan Belanjawan Negeri Johor bagi tahun 2015. Namun, terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini, mewakili seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, ahli-ahli Dewan serta semua lapisan rakyat Negeri Johor, merafakkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor atas termeterainya ikatan perkahwinan bersama Che’ Puan Khaleeda binti Bustamam yang berlangsung baru-baru ini.

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,
2. Saya bersama-sama dengan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri menegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa tanggungjawab kami adalah melakukan perkara yang paling wajar dan adil untuk Johor dan rakyatnya; yakni memberikan yang terbaik untuk Negeri Johor Darul Ta’zim. Namun tugas ini jauh dari selesai. Banyak lagi yang harus dirancang dan dilakukan. Dan hari ini, saya ingin melakar agenda seterusnya untuk Johor yang lebih membangun dan sejahtera; justeru Bajet 2015 adalah permulaan sebahagian daripada ikhtiar besar ini.

3. Berdasarkan segala yang akan dibentangkan hari ini, Dewan ini akan dapat melihat betapa pertumbuhan ekonomi kita adalah kukuh, berdaya saing, peluang pekerjaan berkualiti semakin bertambah serta jumlah defisit telah dan akan terus dikecilkan serta ditangani dengan baik. Namun begitu, jalan hadapan bagi Johor ialah manfaat kemakmuran ekonomi yang diagih adil secara inklusif, kehidupan rakyat disejahterakan dan perbendaharaan Kerajaan ditadbir dengan penuh telus dan amanah. Insya-Allah, dengan semangat muafakat, muhibah, pemikiran berpandangan jauh, dan kerja keras semua rakyat, Johor akan menjadi ‘the new economic powerhouse’ bagi Malaysia.

4. Maka, izinkan saya membentangkan Belanjawan Negeri Johor dengan tema ‘Membangunkan Johor Secara Inklusif’. Agenda ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat Johor dan lingkungannya, akan terus menikmati kehidupan aman, damai serta sejahtera. Malah akan berupaya untuk terus mara mencatatkan kejayaan demi kejayaan.

5. Apakah itu pembangunan inklusif? Pembangunan inklusif adalah pendekatan terkini dalam pembangunan ekonomi. Ia bertujuan memperbaiki taraf sosio-ekonomi dan memberikan pelbagai kesejahteraan hidup secara lebih adil, saksama dan menyeluruh. Pendekatan ini sangat relevan terutamanya untuk negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia; yang menyaksikan jurang keberadaan semakin melebar. Ada dua sebab utama mengapa pertumbuhan ekonomi dan program pembangunan kita mesti bersifat inklusif.

Pertama : Memulihkan Kesenjangan Agihan Kekayaan Dan Kemakmuran Ekonomi

6. Pertumbuhan ekonomi global menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan, konsisten serta meyakinkan. Namun pada masa yang sama, jurang keberadaan antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar. Kajian Oxfam ‘Oxford Committee for Famine Relief’ menyatakan bahawa 80 individu terkaya dunia menguasai separuh dari milikan kekayaan global. Ini adalah jurang keberadaan yang meruncing dan harus dibetulkan. Maka fokus kita bukan sahaja memastikan pertumbuhan ekonomi terus segar dan pesat tetapi dividen kesejahteraan mesti dinikmati secara lebih saksama dan menyeluruh oleh masyarakat. Apa maknanya pembangunan yang pesat ini sekiranya meminggirkan ramai anggota masyarakat daripada mengecap peluang ekonomi dan kehidupan sosial yang lebih baik.

Kedua : Memberikan Kesejahteraan Hidup Yang Melangkaui Aspek Material

7. Jurang dalam kerangka pembangunan seringkali dikaitkan dengan kadar pendapatan. Malah kemiskinan selalu diukur dengan hanya merujuk angka pendapatan. Namun, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup melangkaui hanya jumlah pendapatan. Isu dasar seperti peluang dan kualiti pekerjaan yang rendah dan terhad, tahap kesihatan yang tidak setaraf negara maju, kualiti pendidikan yang terkebelakang serta keupayaan untuk menjadi mandiri dan berupaya menjana pendapatan yang boleh mensejahterakan adalah turut termasuk dalam cakupan sesebuah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan. Ini semua adalah ukuran sebenar dan tanda aras yang sah bagi sesebuah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan.

8. Berdasarkan kedua-dua alasan utama ini, pentadbiran saya telah mengambil pendekatan komprehensif untuk menilai semula strategi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor yang mesti melihat dan mengambil kira melangkaui indikator kewangan tradisional, ‘beyond traditional monetary indicators’.

9. Oleh yang demikian, Belanjawan 2015 yang akan saya bentangkan pada hari ini akan mempunyai tiga fokus utama iaitu:
Pertama; menggariskan dengan jelas dasar, strategi, pelan tindakan dan pendekatan baharu yang boleh merangsang dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor dengan kadar yang lebih pesat dan mapan;
Kedua; memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang direncanakan bersifat inklusif; dan
Ketiga; melaksanakan amalan perbelanjaan yang berhemah, terancang serta berorientasikan pencapaian.

10. Saya yakin ketiga-tiga fokus ini akan mampu menangani ‘kesenjangan’ dan ‘jurang’ agihan kekayaan dalam masyarakat kita sekaligus memberikan kesejahteraan hidup melangkaui aspek material.

B. PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI MALAYSIA

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

11. Bagi memberikan konteks yang lebih jelas, izinkan saya merumuskan secara ringkas prestasi dan kedudukan semasa ekonomi Malaysia, yang menunjukkan trend yang memberangsangkan. Dalam tempoh suku pertama 2014 sahaja, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar adalah sebanyak 6.2%, iaitu kadar tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku keempat 2012. Malah, pencapaian ini adalah lebih baik berbanding Filipina (5.7%), Indonesia (5.2%), Singapura (5.1%) dan Thailand (- 0.6%).

12. Prestasi dan pencapaian ini adalah hasil daripada langkah positif program transformasi Kerajaan yang dilaksanakan sejak 2009. Selain daripada aktiviti ekonomi domestik yang kekal cergas serta perdagangan luar yang bertambah baik, keadaan ini turut disokong oleh asas-asas ekonomi yang mantap seperti paras simpanan domestik yang tinggi, rizab antarabangsa yang kukuh, sistem perbankan yang teguh, kadar pengangguran yang rendah dan momentum kegiatan pelaburan yang terus rancak.

13. Berdasarkan Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDICI) yang dikeluarkan oleh firma perunding pengurusan global, A.T. Kearney, Malaysia kini berada di kedudukan ke-15, berbanding tempat ke-25 yang dicatatkan pada tahun 2013. Keyakinan ini turut dicerminkan dengan peningkatan tertinggi pelaburan langsung asing sebanyak RM 38.2 bilion pada tahun 2013 berbanding RM 28.5 bilion pada tahun 2012.

PRESTASI DAN KEDUDUKAN EKONOMI JOHOR

14. Bagi negeri Johor, seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia, ekonominya telah berkembang pada kadar 4.9% pada tahun 2013 melebihi kadar nasional iaitu 4.7%. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan, bagi tahun 2013 Johor menjadi di antara penyumbang utama kepada momentum pertumbuhan nasional selain kawasan Lembah Klang. KDNK bagi negeri Johor telah merekodkan nilai sebanyak RM 72.28 bilion yang secara konsisten didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.

15. Sektor perkhidmatan telah mencatatkan pertumbuhan 4.1% dengan nilai KDNK sebanyak RM 35.16 bilion yang didorong oleh kerancakan aktiviti subsektor penginapan & restoran serta perdagangan borong dan runcit. Manakala sektor pembuatan negeri Johor telah merekodkan pertumbuhan 4.6% dengan nilai RM 24.4 bilion pada 2013. Pertumbuhan ini dijangka akan bertumbuh pesat pada beberapa tahun akan datang setelah menerima jumlah pelaburan yang besar iaitu lebih RM 33 bilion bagi tempoh 19 bulan bermula Januari 2013 sehingga Julai 2014.

16. Kerancakan pertumbuhan juga dapat dilihat dalam sektor perlombongan & pengkuarian serta pembinaan yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan 14.3% dan 8.1% dengan nilai masing-masing sebanyak RM 96 juta dan RM 2.5 bilion. Meskipun sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu sebanyak 2.9% dengan nilai RM 8.75 bilion, Johor kekal sebagai penyumbang kedua utama sektor pertanian nasional dengan sumbangan 15.6% daripada jumlah KDNK pertanian Malaysia.

17. KDNK Johor dijangka mampu mencapai pertumbuhan 5.6%-6.1% pada tahun 2014. Ini didokong oleh pelaburan tinggi pada tahun 2013 yang dijangka dapat direalisasikan sepanjang tahun ini. Statistik terkini berkaitan pelaburan bagi sektor pembuatan, Johor sekali lagi mencatatkan nilai pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM 18.7 bilion sehingga Julai 2014 sekaligus mengatasi nilai pelaburan tahun 2013 iaitu RM 14.4 bilion. Daripada jumlah tersebut RM 12.7 bilion merupakan pelaburan langsung tempatan (DDI) dan RM 5.9 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI).

18. Peningkatan ini merupakan penerimaan pelaburan yang tertinggi yang belum pernah dicapai pada tahun-tahun sebelumnya. Ini memberi keyakinan bahawa negeri Johor mempunyai potensi dan kekuatan dalaman yang besar dan tidak hanya bergantung kepada pelaburan langsung asing sahaja.

19. Meskipun pola pelaburan telah berubah kepada pelaburan domestik, kerajaan tidak menafikan sumbangan pelaburan asing dengan pelbagai negara termasuk Jepun, Singapura dan China terus menyuntik modal pelaburan mereka ke dalam ekonomi Johor. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di atas usaha gigih dan pelbagai kerjasama di dalam pelbagai aspek yang ditunjukkan bagi merealisasikan pencapaian negeri Johor di dalam bidang pelaburan ini.

20. Bagi memastikan prestasi pembangunan ekonomi di Negeri Johor kekal berdaya maju, Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir penyediaan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor yang merupakan kesinambungan kepada Pelan Induk Ekonomi Negeri Johor 2010-2020. Pelan ini turut mengambil kira perancangan terkini yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh dan memanfaatkan lebih ramai rakyat Negeri Johor.


C. PERUNTUKAN BAJET 2015

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

21. Bajet 2015 menganggarkan Kutipan Hasil berjumlah RM 1,239.23 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM 1,235.41 juta. Oleh itu, lebihan bagi Bajet Mengurus tahun 2015 adalah sebanyak RM 3.82 juta. Bajet 2015 juga menyediakan peruntukan pembangunan dengan anggaran berjumlah RM 366.20 juta.

22. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2015, jumlahnya dianggarkan sebanyak RM 1,239.23 juta berbanding anggaran tahun 2014 yang berjumlah RM 1,064.60 juta. Daripada jumlah tersebut, Hasil Cukai dianggarkan sebanyak RM 425.96 juta, Hasil Bukan Cukai RM 607.97 juta dan Terimaan RM 205.29 juta.

23. Di bawah Peruntukan Mengurus berjumlah RM 1,235.41 juta, sejumlah RM 384.60 juta adalah bagi Emolumen, RM 307.49 juta disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan, manakala RM 494.15 juta diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM 21.22 juta disediakan untuk Pembelian Aset dan RM 27.95 juta untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

24. Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2015 adalah berjumlah RM 366.20 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 260.03 juta disediakan bagi perbelanjaan Infrastruktur serta Kemudahan Pentadbiran, RM 39.09 juta bagi Program Pembangunan Agama Islam, RM 20.74 juta bagi Program Pertanian dan Kemudahan Asas, RM 31.52 juta bagi Projek Pengairan Dan Saliran, RM 2.16 juta bagi Perumahan dan sejumlah RM 12.16 juta disediakan bagi Perhutanan dan Pelancongan manakala selebihnya sebanyak RM 0.5 juta diperuntukkan bagi wang cadangan belanja mengejut.


D. LIMA STRATEGI UTAMA BAJET 2015

Yang Berhormat Tan Sri Speaker,

25. Walaupun prestasi ekonomi Johor tampak kukuh dan berdaya saing, namun seperti yang saya katakan sebentar tadi, pertumbuhan ekonomi bukanlah segala-galanya. Saya sedar dan peka bahawa cabaran yang lebih besar ialah menangani ‘cakupan ketaksamaan yang mencapah’ atau ‘the multidimensional nature of inequalities’.

26. Dalam konteks ini, pentadbiran saya percaya rakyat lebih tahu apa yang mereka perlu dan mahu. Justeru, melalui aduan, saranan, harapan dan luahan rasa rakyat dalam Pelan Suara Hati Johor, yang merupakan suatu pendekatan inovatif dalam membangunkan satu bentuk baharu kerjasama dan penyertaan dalam tadbir urus, kerajaan akan memastikan pembangunan yang dirancang akan bersifat menyeluruh dan inklusif. Terutamanya semasa proses penggubalan dan pelaksanaan polisi yang memberi kesan besar kepada rakyat. Tidak kiralah sama ada dalam bentuk perolehan monetari mahupun kesan dimensi-dimensi ekonomi yang lain.

27. Menyedari hakikat ini, kerajaan memberikan tumpuan untuk menterjemahkan aspirasi pembangunan inklusif ini dengan menggariskan LIMA STRATEGI UTAMA yang akan didukung oleh pelbagai program dan inisiatif strategik iaitu;

STRATEGI PERTAMA:
MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANGSANG PELABURAN

STRATEGI KEDUA:
MEMANGKIN KESEJAHTERAAN HIDUP RAKYAT

STRATEGI KETIGA:
MEMBANGUNKAN MASYARAKAT BERILMU DAN BERKEMAHIRAN BAGI MENDUKUNG PERALIHAN KE ARAH EKONOMI BERASAS PENGETAHUAN

STRATEGI KEEMPAT:
MEMBUDAYAKAN INOVASI, KREATIVITI DAN KEUSAHAWAN YANG BERDAYA SAING GLOBAL

STRATEGI KELIMA:
MEMODENKAN PRASARANA SERTA MENGUKUHKAN KEPERCAYAAN AWAM TERHADAP PENTADBIRAN DAN INSTITUSI KERAJAAN

Sumber: https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin?fref=ts

1 comment:

  1. Saya Husnah dan saya sedang mengambil masa saya keluar untuk memberi keterangan Puan Amanda kerana dia akhirnya menawarkan saya.
    Saya dan suami saya mendapat ke dalam hutang yang sangat besar dengan Bank dan kami memohon pinjaman daripada syarikat pinjaman yang berbeza tetapi semua datang tidak berjaya. sebaliknya mereka mendapat kita ke dalam hutang lebih meninggalkan kita bankrap sehingga saya datang dalam hubungan dengan Puan Amanda, yang menawarkan saya pinjaman. Sekarang kita telah akhirnya menetap hutang kami dan memulakan perniagaan baru dengan wang kiri dari pinjaman. Anda boleh menghubungi beliau hari ini untuk pinjaman dalam apa jua bentuk dan jumlah.
    Hubungi Puan Amanda melalui mana-mana e-mel yang berikut. amandarichardssonloanfirm@gmail.com atau amandarichardson686@gmail.com atau anda boleh menghubungi saya melalui e-mel saya untuk arahan lanjut ikmahusnah@gmail.com

    ReplyDelete