Friday, 20 May 2016

Ingatlah, pendiri bangsa mewariskan UMNO pada kita - Datuk Mohamed Khaled Nordin

Ucapan YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor
Sempena Sambutan Ulangtahun UMNO Ke 70 peringkat negeri Johor




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor
Politik yang mendukung demokrasi tetapi dipandu dengan kekuatan tauhid. Politik yang progresif, tetapi mendukung dan memuliakan syair Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,Terima kasih atas masa dan kesempatan yang diluangkan untuk hadir pada malam ini. Saya sangat senang melihat ahli kita berkumpul beramai-ramai seperti ini.

Yang berjawatan atau tidak, yang muda dan veteran, yang baharu dan lama, semuanya duduk berdampingan. Bertanya khabar, bermesra dan berdoa bersama-sama.

Perkara ini amat mengingatkan kita kepada siapa dan apa itu UMNO sebenarnya. Inilah UMNO tuan-tuan.

Satu matan yang mengikat anak bangsa. Dengan satu kepercayaan bahawa kita harus hidup dengan cara yang baik, cara yang merdeka, cara terhormat dan cara bermaruah.

Satu wadah yang memberi ruang untuk anak bangsa. Bangkit dan membela agama dan tanahair sendiri. Dengan cara yang bertamadun, dengan cara yang mengangkat persaudaraan dan persahabatan.

Dan inilah yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini. Tiada yang lain.

Jadi, bersempena dengan kesempatan meraikan usia UMNO yang sudah mencecah 7 dekad ini, saya ingin menyentuh beberapa perkara.

Perkara yang saya harap akan mengingatkan kembali kepada kita semua. Tentang siapa UMNO dan siapa kita. Dan setelah UMNO membawa kita semua ke sini, ke mana pula harus kita bawa UMNO ini.


Saya pecahkan perkara yang ingin saya sentuh pada malam ini kepada 3 perkara.

Pertama, perjuangan membela bangsa dan negara atau hizbul watan adalah satu tugas dan kewajipan agama.

Pernah atau tidak kita bertanya, mengapakah orang yang melarikan diri daripada amanah berperang demi agama dan tanahair amat dikecam dalam Islam?

Mengapa pula kecintaan kepada negara atau hubbul watan itu dikira sebagai sebahagian daripada iman?

Dan mengapa pula mereka yang syahid di medan perang yang benar, adalah jiwa yang diangkat tinggi di sisi Allah SWT?

Ketiga-tiga perkara ini sebenarnya menjurus kepada satu kesimpulan yang sama. Yakni betapa membela agama dan tanahair itu adalah tuntutan agama.

Dan betapa kita ini harus menerima dan menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik, dengan ikhlas dan dengan bersungguh-sungguh.

Kita disaran untuk memberi dengan sebanyak-banyaknya pada perjuangan yang benar dan murni. Malah, kita harus memikul tanggungjawab mengajak dan meyakinkan orang di sekeliling kita untuk turut serta dan bersama-sama memberi kepada perjuangan ini.

Ini semua kerana, perjuangan membela bangsa dan tanahair itu selari dengan ajaran agama. Kedua-duanya adalah kutub yang tidak terpisah dan tidak saling bercanggahan.

Sebaliknya, kedua-duanya adalah jalan yang seiring. Yang memimpin kita untuk menjadi bangsa yang lebih baik dan penganut agama yang lebih mendalam keimanannya.

Dan kerana pentingnya peranan agama dalam perjuangan UMNO, maka sudah sampai masanya UMNO memikirkan jalan kehadapan. Bagaimana ideologynya yang nasionalis itu, dapat menjadi instrumen menterjemahkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Yakinlah, masa depan UMNO sangat bergantung pada bagaimana UMNO memperjuangkan politik yang berasaskan Islam. Atau apa yang saya panggil politik Islam.

Sebabnya mudah. Kerana Islam itulah yang memberikan identiti pada bangsa Melayu.

Dalam satu kajian, hampir 70 peratus orang Melayu memberikan identiti mereka sebagai seorang Islam dahulu dan kemudian baru memperkenalkan diri mereka sebagai bangsa Melayu.

Tidaklah mustahil, satu hari nanti, orang Islam akan berfikiran bahawa, tidak menjadi kerugian jika mereka tidak punya UMNO, tetapi siapalah orang Melayu tanpa Islam.

Dan ingatlah, Islam juga yang mendorong orang Melayu menjadi bangsa yang rasional, bangsa yang berkemajuan.

Maka jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO mesti mengangkat politik Islam sebagai agenda masa depannya.


Politik yang menganjurkan pemikiran berkemajuan dan disandarkan dengan nilai-nilai keadilan, pertanggungjawaban, keterangkuman dan kesaksamaan. Nilai dan pegangan Islam secara total dan syumul.

Maka UMNO mesti membuka ruang seluasnya untuk mendakap politik Islam sebagai lebaran baru perjuangannya. Bukan sekadar menjaga kepentingan dan melindungi hak Melayu.

Setelah 70 tahun, kita tidak mahu Islam hanya pelengkap kepada perjuangan dan ideologi nasionalis kita.

Kita mahu, ideologi nasionalisme kita yang menjadi instrumen mempersembahkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Kerana kita tidak mahu Islam dipolitikkan dengan cara PAS. Yang hanya dijadikan instrumen untuk mencapai kepercayaan dan pengaruh dari masyarakat semata.

UMNO mesti menjadikan Islam dan politik yang kita perjuangkan, yang kita dukung, membuahkan sebuah masyarakat, dan sebuah negara yang benar–benar progresif.

Negara dan bangsa yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan illahi. Yang menjadikan Islam sebagai inspirasi, pedoman dan matlamat akhirnya. Untuk membina sebuah bangsa dan negara yang berjaya.

Kedua, tiada tarikh akhir atau titik henti dalam berbakti kepada agama bangsa dan negara.

Ada orang bertanya kepada saya. Sampai bila saya mahu menghabiskan masa untuk UMNO, mengabdikan diri untuk orang Melayu? Tidak penatkah? Tidak berfikir untuk berhenti rehatkah? Sampai bila?

Jawapan saya mudah. Selagi saya mampu, selagi kudrat masih bersatu dengan jasad, saya akan tetap teruskan. Saya tidak akan pernah berhenti.

Kerana saya percaya, perjuangan yang benar, perjuangan yang suci, tidak ada tarikh luputnya. Jangan sesekali kita yang cuba mahu meletakkan titik akhir kepada perjuangan tersebut.

Berbakti itu bukan sahaja pada masa kita muda. Dan apabila sudah berumur, kita boleh melepaskan tanggungjawab kita untuk terus menyumbang. Itu adalah pemikiran yang salah.

Kita harus sentiasa memberi kepada agama dan bangsa. Biarpun usia kita sudah lanjut. Biarpun sudah tidak berjawatan. Dan biarpun hasil pemberian kita itu tidak akan sempat pun untuk kita lihat dan nikmati. Itu semua tidak penting dan tidak seharusnya menjadi pertimbangan.

Tuan-tuan, saya benar-benar ingin menyeru. Dengan penuh rasa insaf dan rasa rendah diri. Selagi nyawa kita dikandung badan, berpenat-penatlah untuk agama dan bangsa.

Marilah kita mengerah segala kudrat yang ada. Menggembleng dan mencanai segala idea dan pemikiran yang baik. Dan merapatkan segala persahabatan dan persaudaraan antara kita.

Agar kita kuat dan dihormati seperti dahulu dan agar kita sentiasa boleh terus memberi kepada parti, kepada bangsa dan kepada agama.

Benar, kita akan penat dan letih. Malah dalam kebanyakkan hal, apabila kita berpecah dan berselisih, kita akan kecewa dan sedih.

Tetapi, percayalah, itu semua sudah lumrah. Lumrah yang tidak boleh kita sangkal dan sanggah. Kita tetap harus berkerja keras untuk parti dan agama.

Dunia ini bukan masa untuk berehat. Dunia ini bukan perjalanan yang mudah untuk mereka yang mahu berbudi dan berbakti.

Dunia ini bukannya pentas dan tempatnya untuk kita mengumpul pengiktirafan dan puji-pujian.

Namun, jika suatu hari nanti kita pergi dengan budi yang baik, dan dengan amal bakti yang membukit, pasti kita akan dapat berehat panjang dan tenang. Menunggu masa untuk dibangkitkan kembali dan bertemu dengan Pencipta Yang Maha Esa.

Dan apa-apa sahaja perhitungan dan balasan dari-Nya selepas itu, kita hanya mampu berserah. Kerana segala ganjaran itu bukan urusan kita. Kita hanya mampu berdoa diterima dan diberikan yang terbaik.

Ketiga, Johor dan UMNO adalah entiti yang saling mengukuhkan.

Kita di Johor ini akan sentiasa mempunyai perasan yang sedikit berbeza dengan orang lain apabila bercakap tentang UMNO. Kita akan ada sedikit rasa sensitif, rasa bangga dan rasa kepunyaan apabila kita sebut dan bercakap tentang UMNO.

Barangkali kerana, di bumi Johor inilah, para pendiri bangsa semasa generasi nenek moyang kita dahulu menubuhkan UMNO. Di bumi Johor inilah UMNO dikembangkan dan diberi penghormatan.

Sehinggalah UMNO menjadi besar, menjadi daya yang akhirnya mendatangkan pula penghormatan kepada kedudukan orang Melayu.

Jadi, kita tidak boleh lari daripada menerima dan menggalas peranan dan tanggungjawab untuk terus mempertahankan parti ini. Dengan cara kita, cara Johor.

Malah, kita harus tampil dan bangkit memberi peringatan kepada seluruh orang Melayu untuk bersama-sama dengan kita mempertahankan UMNO. UMNO yang selama ini mempertahankan kita.

Dan kalau kita gagal melakukannya, malulah buat kita semua tuan-tuan. Malu.

Malu kerana kita tergamak membiarkan sahaja apa yang telah kita lahirkan dan besarkan untuk bangsa, agama dan tanahair, berkubur begitu sahaja.

Malu kerana kita tergamak hanya berpeluk tubuh melihat orang Melayu bercakaran dan berpecah kerana kita memutuskan tali yang selama ini mengikat kita semua.

Ingatlah, pendiri bangsa mewariskan UMNO pada kita. Tujuannya hanya satu. Agar ia membuahkan kebaikan kepada bangsa melayu dan Islam. Zaman berzaman.

Maka kita berkewajipan untuk menghidup-hidupi UMNO ini. Agar ia terus mendatangkan kebaikan pada bangsa dan agama. Dan jangan sesekali kita mencari penghidupan dengannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jadi pada malam ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan dan berdoalah dengan tulus, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga segala yang keruh, Allah jernihkan kembali. Yang lemah, Allah kuatkan kembali.

Mana yang terlupa, akan diingatkan. Mana yang tersasar, akan dipimpin pulang ke jalan yang betul. Mana yang marah dan bergeseran, akan kembali memaafkan dan timbul semula rasa kasih terhadap sesama saudara. Mana yang cuba merosak dan memusnahkan, akan diberi kesedaran dan keinsafan.

Setelah kita padukan segala ikhtiar dan usaha yang termampu, hanya doa yang ikhlas inilah yang boleh menjadi benteng kuat kepada kita. Hanya doa yang ikhlas inilah yang boleh menjadi senjata kita semua. Semoga doa kita semua diterima dan makbulkan oleh-Nya, insyaAllah.



Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a comment