Wednesday, 26 March 2014

#PRKKajang: Bila Menang Senyap Tidak Berkutik, Tetapi Bila Kalah Bising Satu Dunia

Oleh Wan Hafiz Hamzah


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang yang memihak kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Wan Azizah jelas  membuktikan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini benar-benar telus, tidak berat sebelah dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding, demikian jelas bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim.
Menurut beliau, jelas terbukti bahawa tuduhan dan tohmahan pembangkang selama ini terhadap SPR tidak benar sama sekali dan ia hanyalah satu provokasi pembangkang untuk memburukkan imej badan tersebut di mata rakyat.
“Bila PKR menang dalam PRK DUN Kajang, senyap sunyi tidak ada sebarang tuduhan pun yang keluar dari mulut kepimpinan PKR yang SPR tak adillah, ada pengundi hantulah dan sebagainya. Tetapi kalau mereka kalah, macam-macam tuduhan dan tohmahan yang mereka katakan pada SPR.
“Inilah sikap pembangkang. Mereka ini sebenarnya yang berat sebelah. Merasakan dirinya mereka lebih baik dari orang lain. Kalau menang, itu adil bagi mereka, tetapi kalau mereka kalah, itu tidak adil. Kemudian, buat provokasi  hasut rakyat kononnya SPR tidak adil dan berat sebelah kepada mereka. Tetapi bila menang, mereka senyap sunyi langsung tak berbunyi, malah sepatah pujian terhadap SPR pun tidak ada,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Tambahnya lagi, jelas bahawa pembangkang meletakkan kayu ukur dalam  hal ini dengan cara yang berbeza dan sekiranya keputusan pilihan raya itu berpihak kepada mereka, maka ianya dianggap sebagai telus serta adil dan sekiranya mereka kalah, mereka akan tuduh SPR bersekongkol dengan BN untuk mengalahkan mereka.
“Mentaliti pembangkang bagi saya masih ditakuk lama dan tidak terbuka. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa dalam perjuangan ini, ada kalah dan ada menang. Jika menang, mereka bergembira tetapi jika kalah, mereka tidak mahu bermuhasabah sebaliknya menyalahkan pihak lain kononnya menjadi punca kekalahan mereka.
“Sikap dan pemikiran seperti ini amat merbahaya dalam kepimpinan sesebuah negara. Jika ditakdirkan pembangkang memerintah negara, maka corak pemerintahan mereka mungkin akan menjurus kepada pentadbiran kuku besi di mana siapa saja mengkritik mereka dianggap musuh dan tidak betul belaka,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru rakyat agar menilai sikap dan mentaliti kepimpinan pembangkang yang masih berada di takuk lama yang tidak dapat menerima sebarang keputusan yang tidak memihak kepada mereka.
“Contohnya seperti kes liwat Anwar. Bila mahkamah melepaskan beliau, maka bagi Anwar itulah keadilan. Keadilan bagi puak pembangkang ini adalah apa yang memihak kepada mereka. Kezaliman pula adalah apa juga perkara yang tidak memihak dan memberikan keuntungan politik pada mereka.
“Inilah satu contoh pemikiran yang bias dan sudah ketinggalan zaman. Mereka berfikir dengan cara yang salah, sentiasa bersikap syak wasangka buruk terhada orang lain dan merupakan golongan yang tidak dapat menerima apa jua perkara yang tidak memihak kepada mereka, walaupun perkara itu benar.
“Pada pandangan saya, pemimpin-pemimpin yang mempunyai pemikiran jumud dan tidak terbuka seperti ini, yang hanya tahu menyalahkan orang lain dan tidak mahu mengakui kesilapan sendiri, tidaklah layak untuk memimpin sebuah negara yang berbilang bangsa seperti Malaysia,” jelasnya. 

Sumber-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment