Monday, 19 March 2012

Pembangkang mahu julang ‘imam baling selipar’ sebagai hero.

Utusan Malaysia Online 
Rencana oleh Noraini Razak

ADAKAH selayaknya Hoslan Hussin disamatarafkan dengan Muntadar al-Zaidi? Apa persamaan kedua-duanya sehingga Hoslan mahu disamakan dengan Muntadar?

Hoslan, imam di sebuah masjid di Kampung Pandan, manakala Muntadar, wartawan dari Iraq – kaitan antara mereka adalah perbuatan Muntadar membaling kasut dan Hoslan membaling selipar.

Ketika nama Muntadar menggemparkan dunia kerana tindakan membaling kasut ke arah George W. Bush, Hoslan pula dijulang pembangkang Malaysia gara-gara melempar selipar ke arah tiga hakim Mahkamah Persekutuan.

Kasut Muntadar yang melayang hampir mengenai kepala Bush adalah lontaran kemarahan wartawan itu terhadap keganasan, penindasan serta penganiayaan Amerika Syarikat (AS) terhadap rakyat Iraq.

Apa pula kaitan selipar Hoslan dengan tiga hakim yang ternyata amat terkejut apabila benda yang sepatutnya tersarung di kaki melayang sedemikian rupa.

Hoslan berang apabila mahkamah menolak permohonannya mencabar tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengarahkan dia mengosongkan kuarters yang didudukinya lantaran dia tidak lagi menjadi imam di situ.

Kupasan perihal tindakan Hoslan telah pun dibuat sebelum ini. Yang ingin disentuh di sini adalah kesungguhan beberapa pihak terutamanya pembangkang menjulang Hoslan seakan-akan lelaki itu ‘maksum’ sehingga tidak boleh dikenakan hukuman penjara kerana menghina mahkamah.

Ketika ditemu ramah, bapa kepada tujuh anak itu membangkitkan kononnya dia mahu menegakkan keadilan. Dia mahu membongkar penyelewengan di masjid, justeru adalah satu penganiayaan apabila dia dilayan begitu oleh ketiga-tiga hakim itu.

Tidak ramai yang mahu tahu cerita sebenar semasa prosiding di mahkamah. Tiada siapa peduli dengan kesabaran ketiga-tiga hakim dengan tindak-tanduk Hoslan yang tidak mampu mempertahankan ciri-ciri seorang imam ketika berhadapan dengan secebis cabaran di mahkamah dunia.

Meniti di mulut Hoslan, dia digari. Katanya hakim berat sebelah. Tetapi tidak pula diberitakan tentang berhati-hatinya petugas mahkamah termasuk polis menenangkannya dan para hakim pula mengawal tutur kata supaya tidak menyakiti imam yang telah melemparkan sepasang seliparnya di muka pengadilan.

Mengapa Hoslan membangkitkan perihal penyelewengan masjid sedangkan para hakim di Mahkamah Persekutuan mendengar permohonannya untuk mencabar kesahihan tindakan MAIWP mengarahkan dia mengosongkan kuarters di situ.

Biar pun mungkin ada kaitan antara pemecatan Hoslan, arahan pengosongan dan dakwaannya ada penyelewengan di masjid itu, tetapi di mana kewajarannya apabila tiga hakim mendengar kes yang berbeza itu dilayan begitu.

Lebih mengecewakan apabila Hoslan ditemu ramah, dia memberi versi yang berbeza. Portal pembangkang, akhbar milik parti dan peguam-peguam hebat melonjakkan Hoslan sebagai hero sehingga menyamai Muntadar yang antikeganasan. Kononnya, kasut yang dibaling Hoslan mewakili kekecewaannya yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Dia mendakwa memberitahu para hakim tidak pernah dalam sejarah seorang imam dihadapkan ke mahkamah kerana cuba menegakkan prinsip Islam yang menentang penyelewengan.

Soalnya adakah Mahkamah Persekutuan pada hari permohonannya ditolak membicarakan tuduhan salah laku pengurusan masjid atau keengganan Hoslan mengosongkan premis yang diduduki lantaran dia tidak lagi menjadi imam di masjid tersebut.

Hoslan sepatutnya tampil dengan bukti. Jika laporan polis dibuat beribu kali tetapi imam itu tidak bekerjasama memberikan bukti wujudnya penyelewengan, tentunya keadilan yang cuba diangkat akan tergantung begitu sahaja.

Sebagai seorang imam yang dadanya dipenuhi ajaran Islam dan nilai-nilai murni, bukankah Hoslan sepatutnya sangat arif untuk membezakan antara tohmahan, fitnah dan kebenaran. Dia juga patutnya amat peka tentang keperluan saksi, bukti, perbicaraan dan penghakiman dalam proses mengangkat keadilan seperti yang dicanang dalam siri temu ramah selepas insiden tersebut.

Perlu diingat bahawa keputusan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Hoslan bukan saja kerana tragedi melempar selipar. Sebaliknya Hoslan juga didapati menghina mahkamah apabila membuat kenyataan demi kenyataan kononnya dia tidak diberi hak untuk didengar secara adil sebelum permohonannya ditolak.

Pendek kata, imam itu memperlekehkan institusi kehakiman bukan saja melalui perbuatan di dalam mahkamah malah kata-katanya di luar mahkamah yang kemudian disebar luas oleh portal berita.

Kesan perbuatan dan kata-kata itu sehingga ke satu peringkat dia dilihat sebagai hero seperti mana Muntadar yang diangkat kerana keberaniannya memalukan Bush di mata dunia.

Portal berita seperti Malaysiakini dan lidah rasmi Pas langsung tidak menyentuh tentang maki hamun serta ugutan Hoslan. Penulis-penulis di itu hanya menonjolkan cerita sebelah pihak tanpa memberi ruang kepada berita sebenar semasa prosiding mahkamah yang menyaksikan Hoslan sewenang-wenangnya menghina barisan hakim yang mendengar kes pengosongan kuarters dan bukannnya kes pemecatan jawatan, jauh sekali penyelewengan.

“Saya tidak akan begitu bermurah hati. Seorang imam itu dipandang tinggi, berhemah tinggi dan berbudi pekerti tinggi. Namun awak tidak begitu, tindakan sedemikian saya tidak boleh terima,” kata Hakim Zulkefli.

Biar pun Hoslan memohon maaf dan mengaku keliru terhadap prosiding sivil yang pada fahamannya patut didengar Mahkamah Syariah, namun masih ada suara mahu hukuman penjara setahun itu dibatalkan seolah-olah menidakkan kekeliruan imam tersebut.

Lim Kit Siang misalnya mahu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria campur tangan terhadap keputusan yang disifatkan ‘keras dan keterlaluan’ itu.

Jika Muntadar ketika berkempen di Paris bagi mengheret Bush ke mahkamah antarabangsa turut dibaling kasut, apa pula paras tindakan menghina mahkamah yang dikenakan ke atas Hoslan? Mengapa pula mahkamah dianggap keras dan keterlaluan jika penghinaan dijaja sedemikian rupa.

PENULIS ialah Ketua Biro Putrajaya
Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment