Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengumuman inisiatif itu akan diumumkan sempena pembentangan bajet negeri pada Khamis ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mencari pendekatan baharu bagi membantu dan meringankan beban rakyat untuk memiliki kediaman sendiri.

“Kerajaan negeri faham bahawa rumah sangat penting kerana ia adalah asas kepada keluarga bahagia dan kehidupan yang lebih baik, sebab itulah kita akan umumkan beberapa inisiatif baharu pada pembentangan bajet nanti.

“Kita bukan sahaja akan menolong pembeli malah juga pemaju terlibat membina rumah di negeri ini,” katanya selepas majlis pelancaran projek RMMJ Denai Nusantara yang dibangunkan UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) di Gelang Patah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latiff Bandi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

RMMJ Denai Nusantara yang mempunyai lima blok setinggi 12 tingkat dan menempatkan 1,109 unit rumah akan dilengkapi dengan lot kedai, rumah pengawal, dewan serbaguna, surau, tadika, taman rekreasi dan pejabat pengurusan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pembinaan RMMJ Denai Nusantara diharap dapat menepis persepsi tidak tepat segelintir pihak bahawa pembangunan di Iskandar Malaysia hanya tertumpu untuk pembangunan hartanah dan perumahan mewah.

“Kita juga mahu menghapuskan persepsi bahawa rumah mampu milik ini hanya dibina di kawasan yang jauh, sempit dan tiada kemudahan awam. Malah kita akan membina lebih banyak RMMJ seperti Denai Nusantara ini pada masa depan,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit rumah mampu milik di Gelang Patah menjelang 2018 di mana sebanyak 3,563 unit rumah akan dilaksanakan menerusi empat projek berasingan oleh UEM Sunrise.