Saturday, 29 July 2017

Gendang Perang Sudah DiPalu, Bersediakah Kita Menghadapinya?

UCAPAN YAB DATO' MOHAMED KHALED HJ NORDIN
PENGERUSI BN JOHOR
Di Konvensyen Barisan Nasional Negeri Johor
2017


Tuan-tuan dan Puan-puan;

1. Saya sangat berasa berbahagia sekali kerana dijemput, pada hari ini, untuk merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Johor 2017.

2. Saya sangat gembira bila saya dapat berkongsi pentas dengan semua Pengerusi Parti Komponen BN Negeri Johor.

3. Kehadiran semua rakan parti dalam BN adalah manifestasi betapa kukuhnya kesatuan kita.

4. Inilah keluarga besar kita. Inilah perikatan politik kita. Ikatan yang telah menjayakan agenda Malaysia pasca merdeka, serta Malaysia moden. Ikatan yang telah membangunkan Malaysia menjadi model dan rujukan sebuah negara majmuk paling berjaya waktu ini.

5. Kerana itu perjumpaan kita pada hari ini sangat penting. Bukan sahaja kerana kita ingin merapatkan persefahaman kita untuk Malaysia yang lebih baik.

6. Tetapi yang paling penting, kita akan menghadapi pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.

7. Pilihanraya yang akan menentukan jatuh bangun BN. Jika kita berjaya dalam persaingan politik sengit ini, maka agenda transformasi Malaysia yang telah kita mulakan, pasti akan boleh berkelangsungan.

8. Tetapi jika kita terkandas, ia adalah titik akhir BN untuk Malaysia. Agenda kita akan terbantut. Segala pelan dan rancangan baik kita untuk Malaysia akan hanya tinggal di atas kertas.

9. Lebih penting, jika itu terjadi, pastinya BN akan mengambil masa yang lama untuk mengembalikan pengaruhnya.

10. Justeru itu, pada hari ini, saya ingin kita semua duduk semula. Duduk bersama-sama. Dan melihat secara jujur segala rencana kita untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.

11. Kerana kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh. Kita tidak boleh lagi bermimpi untuk memang dengan mudah. Malah menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali.

12. Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa BN akan terus memerintah kerana parti lain tidak punya pengalaman untuk memerintah.

13. Pemikiran sedemikian mesti berubah.

14. Percayalah, kita akan menghadapai perang paling getir. Bukan sekadar pertempuran.

15. Pertembungan antara ‘a team that works’ dengan ‘a team that never govern’.

16. Perang antara parti berpengalaman yang selama ini telah membuahkan kemajuan yang sangat dinamik dan progresif. Dengan parti yang tidak pernah punya agenda dan pelannya untuk Johor dan Malaysia.

17. Kepada semua perwakilan yang hadir, hari ini kita memalu gendang perang tersebut. Tetapi perang ini kita akan hadapi dengan akal dan strategi terbaik. Dan kita akan memenangi pilihanraya ini dengan pendekatan paling sistematik, bersih dan bersepadu.

18. Maka hari ini, fokus seruan saya ialah menjelaskan strategi BN negeri yang mesti dipertimbangkan oleh semua perwakilan. Agar kita mempunyai persefahaman atau ‘common understanding’ dengan perkara-perkara paling dasar dalam menghadapi pilihanraya kali ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

19. Pertama, saya rasa kita harus membanding bezakan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan secara terbuka.

20. Kedua-dua pakatan ini sangat berbeza dari sudut sejarah penubuhan, kejelasan aspirasi dan idealogi, pengalaman memerintah serta jalan ke hadapan.

21. Antara perikatan yang terbukti berjaya sejak ditubuhkan 70 tahun dulu, dengan pertunangan politik mentah, yang hanya tercapai persepakatannya pada Jun yang lalu.

22. Kerana itu, kita mesti memberitahu rakyat. UMNO, MIC dan MCA telah membentuk perikatan lebih enam dekad dahulu. Bermula dengan Parti Perikatan, kita semua bersama-sama membentuk kesatuan dan persefahaman politik, demi mengasaskan sebuah Negara Kesepakatan iaitu Malaysia.

23. Jadi ini bukan ikatan politik setahun dua. Ia telah bermula 70 tahun dahulu. Seawal penubuhan parti masing-masing.

24. Ini persahabatan yang sangat panjang. Sangat akrab. Sangat ikhlas. Dan yang lebih penting, ini adalah satu ikatan yang telah teruji dan terbukti mampu mengemudi Malaysia.

25. Malaysia moden tidak pernah mengenali pakatan politik lain kecuali Barisan Nasional.

26. Benar ada saat dan ketikanya kita berbeza pendapat, berselisih dan bermasam wajah. Tetapi itukan sudah lumrah dalam bersahabat. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula kita sesama sahabat dan saudara yang berjuang bersama-sama.

27. Akan ada masanya kita semua tersinggung sesama sendiri. Tetapi kesemua itulah yang menyebabkan kita lebih matang dan saling mengenali.

28. BN tidak pernah keanak-anakan. Tidak seperti Pakatan Tiada Harapan itu. Lihat sahaja bagaimana Pakatan Rakyat yang mereka gagaskan sebelum ini.

29. Namanya gah, idealogi mereka kononnya terbuka, bebas dan liberal.

30. Namun, ia gagal dengan teruk. Gagal mencari kesefahaman. Gagal mencari identiti dan idealogi yang tulen dan jujur.

31. Sebab itulah, sekali berselisih, ibarat berkerat rotan berpatah arang. Seolah-oleh sudah tidak ada esoknya. Habis mahu diputuskan segala hubungan dan persaudaraan.

32. Akhirnya, ia berkubur begitu sahaja. Yang rugi dan melopong, pastinya rakyat, yang kini sudah tidak lagi berpakat.

33. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, adalah sangat penting untuk kita meyakinkan rakyat bahawa BN adalah sebuah kesatuan dan perikatan yang benar-benar teruji dan terbukti.

34. Masakan kita boleh yakin dengan Pakatan yang baru tertubuh beberapa senja lepas. Bila segala ufuk Malaysia ini telah BN taburkan dengan pelbagai kemakmuran dan kebaktian sehingga menjadikannya antara negara paling pesat membangun di dunia.

Tuan-tuan dan Puan-puan

35. Kedua, kita mesti menghadapi pilihanraya akan datang sebagai Barisan Nasional. Bukan sebagai hanya parti komponen Barisan Nasional.

36. Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat. Bahawa BN adalah team Malaysia. Bukan sekadar UMNO, MCA dan MIC, PPP< Gerakan secara berasingan. Tetapi, BN seluruhnya sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia yang terbaik.

37. BN telah membuktikan, bahawa kita tidak boleh memerintah negeri ini secara sendirian. Kita mesti bersepakat untuk mentadbirnya.

38. Jika dulu kita boleh bersepakat menentang penjajah, mengapa tidak sekarang kita terus bersepakat untuk mengurus dan membangunkan negara ini?

39. Jadi, saya mengajak semua yang hadir, marilah kita sama-sama kembali kepada semangat Barisan Nasional serta berusaha bersama-sama mengukuhkannya.

40. Di pentas manapun, di program apa pun, terutamanya dalam pilihanraya akan datang, semua parti komponen mesti berpadu dan diwakili.

41. Jangan sendiri-sendiri. Kita mesti berdiri sebagai BN, dan kita mesti menawarkan kepada Johor dan Malaysia sebuah masa depan yang cerah dan maju sebagai Kerajaan BN.

42. Dan saya mempunyai sebab-sebab yang kukuh mengapa saya menganjurkan perkara ini.

43. Pertama, kerana selama ini, formula BN terbukti berjaya dalam menguruskan Malaysia.

44. Kita sedar Malaysia ini sangat berbilang kaum. Formula kesepakatan antara kita semua ini terbukti berjaya menjadikan Malaysia negara yang berjaya dari banyak segi. Bukan sahaja dari segi politik, tetapi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial kita berada pada garis yang memberangsangkan.

45. Selama 13 penggal berturut-turut, kita telah memenangi pilihanraya umum dengan cemerlang secara bersama-sama. Ini pastinya bukan satu kebetulan. Ini satu bukti kukuh kepada sebuah resepi kejayaan yang betul.

46. Jelaslah betapa jenama Barisan Nasional ini mempunyai keunggulannya yang tersendiri. Jadi manfaatkan jenama ini.

47. Kedua, BN adalah platform inklusif yang terbuka untuk semua.

48. Kalau kita lihat, semua keputusan dalam BN mesti didasarkan kepada keputusan sebulat suara, atau konsesus. Tidak ada perkara yang diputuskan secara sendirian tanpa mengambil kira suara dan pandangan pihak lain.

49. Di bawah model BN, semua pihak, walau sekecil mana pun keanggotaan partinya, akan punya suara, punya tempat, punya ruang. Tidak ada yang diketepikan dan dinafikan haknya. Termasuk pribumi Sabah dan Sarawak.

50. Tidak seperti keanggotaan Pakatan Harapan. Yag sampai sekarang gagal mendapat kepercayaan parti dari Sabah dan Sarawak untuk menggangotainya. Malah sampai sekarang belum pun didaftarkan secara sah!

51. Jadi BN itu lebih besar. Lebih inklusif. Lebih memberi ruang dan membuka peluang. Dan dek sifatnya yang inklusif inilah, BN kekal menjadi wadah kesatuan Malaysia yang mampu berhadapan dengan ujian dan cabaran perpaduan.

52. Inilah BN yang kita kenal. Dan inilah BN yang kita mahu terus kekal.

53. Ketiga, kita bukan sekadar tampak kuat, tetapi benar-benar kuat sebagai sebuah pasukan BN.

54. Lihat sahaja dalam pelbagai pilihanraya yang kita telah tempuhi. Jentera parti kita senantiasa membantu satu sama lain.

55. Kerana kita semua percaya, hanya bila BN kuat, UMNO dengan sendirinya akan kuat. MIC dengan sendirinya akan kuat. Dan MCA dengan sendirinya akan kuat.

56. Maka janganlah kita membuang masa bercakaran sesama kita rakan dalam BN. Khususnya pada saat banyak parti komponen berada pada kedudukan yang lemah. Dengan pelbagai krisis dalaman parti komponen kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

57. Ketiga, kita mesti memastikan pilihanraya ini bukannya pilihanraya berdasarkan persepsi, tetapi berpandukan informasi.

58. PRU-14 ini mesti disandarkan kepada maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita mestilah disokong dengan data. Disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

59. Saya sangat bimbang bila pancapaian sebenar Kerajaan tidak dijadikan ukuran sebenar. Sebaliknya rakyat disajikan dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi.

60. Akhirnya kita jadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

61. Jadi saya mahu kita membetulkan kembali semua persepsi yang salah dan digantikan dengan maklumat sahih. Maklumat yang benar. Maklumat dan data yang emperikal.

62. Berapa peruntukan pembangunan yang telah kita belanjakan. Berapa rumah yang telah kita bina dan serah. Berapa pekerjaan yang telah kita wujudkan. Berapa subsidi yang telah kita sumbangkan.

63. Semua ini adalah komitmen dan pencapaian sebenar kita. Jadi ia mesti dijelaskan secara ‘clinical’. Semuanya mesti disebar luaskan dengan pelbagai cara.

64. Cara terbaik untuk membetulkan persepsi ialah dengan melumpuhkanya menggunakan kenyataan yang benar dan sahih.

65. Saya sangat yakin rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya.

66. Yang menjadi masalah adalah apabila kita membiarkan sahaja segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang sampai kepada masyarakat.

67. Kita harus sedar, walaupun segala persepsi dah tohmahan tersebut adalah salah dan tidak benar sama sekali, namun jika ia dibiar diulang berkali-kali tanpa jawapan dari kita, ia akan dianggap betul dan benar oleh rakyat.

68. Saya perhatikan dalam banyak keadaan kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak objektif.

69. Dan jika cubaan menjawab dan membidas ini tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.

70. Keempat, kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’.

71. Kita tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan membiarkan BN karam dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan.

72. Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-oleh menggambarkan kita lemah. Menggambarkan kita senantiasa melakukan kesilapan. Dan menggambarkan seolah-oleh mereka yang betul.

73. Kita sudah tidak boleh dilihat seakan menerima dan mengakui segala persepsi negatif yang direka dan dihamburkan terhadap kita.

74. Saya kadang-kadang berasa sangat kesal atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji puak-puak tersebut dengan radikal dan berkesan.

75. Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakan!

76. Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini mesti segera berakhir.

77. Kita mesti terkehadapan dalam membongkar betapa gagalnya wakil pembangkang menyantuni para pengundi mereka. Kita mesti tunjukkan betapa, di banyak kawasan, wakil rakyat pembangkang langsung tidak kelihatan.

78. Mereka hadir hanya bermusim. Satu, semasa musim pilihanraya. Dua, jika ada inisiatif baik yang dibuat oleh Kerajaan. Lalu, datanglah mereka tanpa malu. Mengutip nama dari segala kebaikan yang terhasil dari usaha gigih kita. Lembu punya susu, sapi dapat nama!

79. Sedangkan terdapat seribu satu isu yang boleh kita gunakan untuk menghentam mereka.

80. Misalnya, pertama, jika berkuasa, DAP mahu menutup dan menghentikan pembangunan di Pengerang.

81. Apa jenis pemikiran ini? Cetek. Pemikiran bahalol.

82. Hanya kerana tidak bersetuju dengan Kerajaan Negeri, projek bermanfaat kepada rakyat juga mahu dihentikan?

83. Saya tidak hairan kalau mereka berkuasa, segala projek yang memberi manfaat kepada rakyat selama ini, seperti im-Coop, Johor Wifi, Johor Skill Hub, rebat air, RMMJ dan sebagainya, akan turut mereka hentikan, sebab semua itu adalah inisiatif kita dan bukannya dari mereka.

84. Malah, kalau kita lihat mentaliti DAP di Yong Peng, bas percuma Muafakat Johor pun mereka desak untuk dibuka penggunaanya kepada warga asing.

85. Itu belum lagi kita bercakap tentang perkara-perkara yang lebih besar. Seperti pelan pembangunan strategik di setiap daerah, dasar yang menggalakkan orang Melayu tinggal di bandar, pemerkasaan sekolah agama, agenda mengembangkan perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta pengangkutan awam menggunakan instrumen waqaf serta agenda RMMJ.

86. Kesemua ini, tidak pernah, tidak pernah sekalipun, mereka sentuh dan ulas.

87. Lebih penting, pembangkang di Johor, tidak pernah sekalipun sepanjang penggal ini, memberikan cadangan konstruktif atau mengemukakan apa-apa pelan pembangunan untuk Johor.

88. Mereka tidak pernah memberitahu rakyat apa yang akan mereka lakukan dengan negeri Johor.

89. DAP dan rakan-rakan mereka, tiada Plan untuk Johor.

90. Tiada Plan untuk ekonomi Johor. Tiada Plan untuk orang Melayu Johor. Tiada plan untuk pendidikan agama di Johor.

91. Malah tiada plan untuk sekolah Cina dan Tamil di Johor.

92. Yang ada, hanyalah Trak Bina Semula Negara oleh Rafizi. Itupun kini, kita dapat lihat yang beliau semakin dipinggirkan oleh rakan-rakan dalam PKR sendiri, sehingga terpaksa bergerak secara solo dan menumpang populariti dari parti-parti lain.

93. Lebih penting, semasa di Johor, isu yang beliau perjuangkan adalah tentang pekerja asing dan kenaikan gaji.

94. Apa beliau lupa, bahawa isu pekerja asing, dan keperluan mengurangkannya adalah antara perkara utama yang saya sebut dalam Bajet Negeri Johor 2017?

95. Malah saya adalah orang pertama yang mencadangkan agar Johor membangunkan Pelan Rasionalisasi Buruh Johor untuk menanggani lambakan pekerja asing.

96. Saya juga adalah orang yang mengagaskan IMCOOP untuk mengurangkan beban hidup dan meluaskan kuasa beli rakyat.

97. Mereka baru bercakap, saya dan pentadbiran saya telah melaksanakan penyelesiannya.

98. Rafizi dan rakan-rakanya hanya mampu menciplak dan mengulang semula isu tersebut dengan membaca Bajet Johor. Mereka sudah kehabisan modal untuk menyerang kita.

99. Yang kelakarnya, dalam kempen bina semula negara ini, mereka gambarkan negara kita sudah rosak, bakal muflis dan perlu diselamatkan.

100. Saya gambarkan perkara ini dalam satu analogi ringkas.

101. Kita ini ada rumah. Dan rumah kita ini kononnya rosak, bocor dan perlu dibina semula. Bukan dibaiki ya tuan-tuan, tapi dibina semula. Kerana keseluruhannya sudah tidak selamat, sudah tidak sesuai didiami.

102. Untuk bina semula rumah tersebut, kalau ikut logik akal, kita mesti ada strategi dan fasa-fasanya. Kita lakukan satu persatu. Bukannya robohkan kesemuanya, dan bina semula. Bina semula menggunakan tukang yang baharu, yang lebih baik, yang lebih pandai.

103. Tetapi, yang mencuit hati kita, setelah mereka menuduh negara ini dirosakkan oleh parti pemerintah, mereka sendiri mahu membinanya semula menhgunakan pemimpin-pemimpin lama dari parti pemerintah.

104. Keadaan ini samalah seperti dalam usaha membaiki rumah tadi. Untuk membinanya semula, mereka panggil kembali tukang rumah yang lama. Tukang yang dahulunya membina rumah tersebut.

105. Bukankah rumah tadi telah dibina oleh Tun Mahathir. Dibina oleh Anwar. Dibina juga dengan kerjasama Tan Sri Mahyuddin dan rakan-rakannya.

106. Jadi, apa bezanya?

107. Tetapi, rakyat ramai tidak sedar semua ini. Jadi, kita mesti bekerja keras untuk mendedahkan semua ini. Rakyat mesti dibimbing untuk melihat dan menilai kebenaran.

108. Kita tidak boleh biarkan pembangkang tidur nyenyak setiap malam. Kita mesti menghantui malam-malam mereka dengan segala macam igauan.

109. Biar segala fitnah, serangan serta tohmahan yang mereka buat selama ini kembali kepada mereka.

110. Kita mesti pastikan yang setiap hari mereka akan terbeban untuk menjawab semua serangan berasas kita. Hanya dengan bertindak sedemikian, kita akan mengajar mereka bahawa kita bukan lemah dan ‘naive’.

111. Kita bukan pasif. Kita punya pelbagai senjata yang boleh kita gunakan untuk menewaskan mereka.

112. Biar mereka tahu, langit ini tinggi atau rendah.

113. Biar mereka sedar, BN adalah parti yang semakin hari semakin kuat. Dan segala tohmahan serta serangan mereka tidak berjaya untuk melemahkan semangat dan fokus kita.

114. Dan tidak ketinggalan, segala serangan, penjelasan serta kempen kita ini, mestilah turut diselarikan dengan aspirasi dan pendirian peringkat pusat.

115. Johor dan kerajaan Pusat mesti bekerjasama. BN Johor dan BN Pusat mesti bergerak seiring.

Tuan-tuan dan puan-puan,

116. Bagi memastikan gerak kerja kempan kita dipandu dengan maklumat dan strategi yang betul dan sahih, saya telah megarahkan Bait Al Amanah untuk turun ke semua bahagian.

117. Turun dan menjelaskan semua dapatan mereka. Turun dan membantu merangka strategi pilihanraya yang lebih terfokus untuk setiap bahagian.

118. Permukiman BN untuk tujuan pilihanraya ini sangat penting. Kerana strategi pilihanraya kita mesti disesuaikan mengikut keperluan setempat.

119. Ia tidak lagi boleh ‘across the board’. Masalah di mersing tidak sama dengan kepeluan di Johor Bahru.

120. Dimensi pembangunan di Kota tinggi tidak sama dengan Segamat.

121. Justeru itu, kita memerlukan pendekatan berbeza. Pasukan Bait Al Amanah akan membantu setiap bahagian dalam perkara ini.

122. Agar kempen kita benar-benar bersandarkan data sentimen pengundi setempat.

123. Pemukiman ini akan bermula pada 2 Ogos hingga minggu kedua September. Dan akan melibatkan semua pemegang taruh jentera pilihanraya di setiap bahagian.

124. Saya mahu semua jentera BN mengambil serious permukiman ini. Ita mesti manfaatkan sessi sebegini untuk memeastikan kempen kita lebih terancang dan teratur.

125. Isnyallah, saya akan menyususl ke semua bahagian untuk melihat tindakan susulan dari Permukiman ini, setelah Bait Al Aamanh menjalankan taklimat mereka di setiap bahagian.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

126. Saya sedar dan amat akui bahawa segala apa yang saya sebutkan pagi ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sebab itulah kita semua mesti bergerak bersama-sama.

127. Kita tidak boleh membiarkan hanya sesetengah daripada kita sahaja yang bekerja keras dan bertungkus lumus. Semua pihak mesti berfungsi.

128. Kita mesti turun ke gelanggang bersama-sama. Berjuang bersama-sama dan menang bersama-sama.

129. Saya harap kepimpinan dan ahli semua parti komponen BN akan memberi perhatian serius kepada apa yang saya tegaskan ini.

Terima kasih.


Wednesday, 3 May 2017

Muafakat Ke Arah Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera

UCAPAN YAB DATO MOHAMED KHALED BIN NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
EXCO AWAYDAY 2017
PADA HARI SELASA, 02 MEI 2017
DI PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PERSADA JOHOR,
JOHOR BAHRU
JAM 9.00 PAGI

Tuan-tuan dan puan-puan #TeamJohor sekalian,
1. Pertama sekali, marilah kita bersama-sama merafakkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T., kerana dengan izinNya kita diberikan ruang dan kesempatan menjayakan EXCO Awayday 2017 pada pagi ini. Marilah kita turut mengambil peluang ini memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W dan ahli keluarga baginda.

2. Pemukiman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau EXCO Awayday ini adalah satu acara penting dalam kalendar pentadbiran kerajaan Johor. Ia merupakan kemuncak kepada Agenda Kepimpinan
Berprestasi Kerajaan Negeri. Segala pencapaian dan laporan yang kita dengar hari ini, adalah rumusan dan kompilasi pencapaian semua Pengerusi Jawatankuasa Negeri atau EXCO, mengikut KPI masing-masing bagi tahun 2016.

3. Jadi, acara pada hari ini mensasarkan dua matlamat penting. Pertama, ia harus menjadi satu platform umum kepada setiap EXCO untuk berkongsi dan membentangkan pencapaian tahunan portfolio masing-masing.

4. Dan kedua, EXCO Awayday ini adalah sesi memantapkan sinergi, kebersamaan serta kerjasama antara Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para pelaksana, penjawat-penjawat awam dari
agensi negeri mahupun persekutuan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri.


Untuk makluman semua,
5. Selari dengan dasar inklusif Kerajaan Negeri, serta peralihan kita untuk menjadi sebuah kerajaan digital, program EXCO Awayday ini turut disiarkan secara langsung melalui FB live di akaun media sosial Facebook saya.

6. Kepada mereka yang sedang mengikuti majlis ini di FB live saya, saya harap anda semua akan turut mendapat maklumat yang lebih jelas dan tepat mengenai dasar, perancangan dan prestasi semasa Kerajaan Negeri Johor.

Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Dalam tempoh 12 hari lagi iaitu pada 14 Mei, genap empat tahun saya memikul amanah dan mandat sebagai Menteri Besar Johor. Saya masih ingat, pada Mei 2013, apabila saya dan rakan-rakan
EXCO yang lain mengangkat sumpah menerima jawatan, kami mencapai konsensus bahawa terdapat 3 cabaran atau kebimbangan yang menuntut perhatian dan fokus segera di Johor.

8. Pertama, seperti di kebanyakan negeri di Malaysia, wujud sentimen perkauman, terutamanya yang diburukkan oleh gimik dan polemik politik, yang berpotensi merebak menjadi budaya dan mentaliti
harian.

9. Perkara ini dikeruhkan lagi dengan pendekatan populist yang sering diambil mudah dan dijadikan gula-gula politik tanpa mementingkan kesahihan fakta dan pertimbangan kesan jangka masa panjang.
Justeru, sebagai remedi, kita perkenalkan konsep Muafakat Johor yang berlandaskan kepada seruan Muafakat Itu Berkat. Dan perkara ini kita perkemas pula dengan seruan #Team Johor yang mengajak
semua pihak untuk turut serta dalam sebarang ikhtiar menjadikan Johor negeri terbaik.

10. Kedua, seperti yang turut dialami oleh mana-mana ekonomi dunia yang lain, pertumbuhan ekonomi Johor yang pesat turut membawa bersamanya cabaran-cabaran yang besar kepada rakyat seperti isu pemilikan rumah, pekerjaan berkualiti serta peningkatan kos sara
hidup.

11. Namun, adalah tidak tepat untuk pihak Kerajaan Negeri sekadar meneka dan menentukan apakah enigma dan isu kehidupan rakyat Johor yang mesti difokuskan. Maka, kita santuni dan selami
masalah, keperluan dan harapan rakyat melalui Pelan Suara Hati Johor, yang menjadi asas kepada perancangan dasar serta agenda pembangunan kita.

12. Dan ketiga, kita melihat bahawa kerangka pemikiran, dasar dan pendekatan Kerajaan Negeri mesti dirancang agar sentiasa segar, bertepatan dengan perubahan zaman. Dan yang lebih penting, ia
mestilah disusun mengikut keperluan rakyat.

13. Kerajaan Negeri bukan sekadar menguruskan operasi negeri. Tetapi, Kerajaan Negeri perlu menjadi arkitek, katalis dan pendukung kepada potensi setiap rakyat, mencari jalan membongkar kebitaraan dan keperluan segenap penjuru negeri, dan pada masa yang sama,
memastikan sumber kewangan diguna dan dibelanjakan dengan
berhemah.

14. Justeru, kita perkenalkan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), Agenda Johor Mahir, Johor Prihatin, Johor Lestari, Johor Islami, Keusahawanan Johor serta pelbagai lagi dasar dan program, yang kesemuanya kita himpunkan di bawah Gagasan Johor Berkemajuan. Dan alhamdullilah, dalam tempoh hampir 4 tahun ini, segala usaha ini membuahkan pelbagai hasil dan pulangan yang
memberangsangkan.

15. Oleh itu, hari ini saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi dan
mengulas 4 perkara penting.

16. Pertama, kemajuan semasa hasil pelaksanaan agenda kepimpinan berprestasi. Tahun lalu, dalam majlis ini, saya telah menerangkan secara terperinci mengenai kaedah yang Kerajaan Negeri gunakan dalam melaksanakan Agenda Kepimpinan Berprestasi.

17. Melalui pendekatan 5 langkah yang pernah saya terangkan sebelum ini, Kerajaan Negeri telah berjaya memastikan yang setiap EXCO Negeri Johor mempunyai KPI yang tersendiri.

18. Selepas 12 suku tahun perlaksanaannya, bilangan EXCO yang telah memperolehi skor 86% dan ke atas adalah seperti berikut:
a. Tahun 2014 - 9 EXCO;
b. Tahun 2015 - 7 EXCO; dan
c. Tahun 2016 - 7 EXCO.

19. Pada tahun 2015, iaitu tahun kedua perlaksanaan Agenda Kepimpinan Berprestasi ini, kita telah memperluaskannya dengan menetapkan pula KPI kepada beberapa Majlis, Perbadanan dan GLC negeri Johor. Kumpulan sasar kedua ini merangkumi 9 buah organisasi yang memainkan peranan penting sebagai instrumen Kerajaan Negeri membangunkan Johor.

20. Dan momentum tersebut diteruskan apabila pada awal tahun ini, semasa menyampaikan Amanat Tahun 2017 pada 26 Januari lalu, saya telah meminta supaya semua Pegawai Kanan Negeri Johor
pula diberikan KPI masing-masing.

21. Perkara ini mendapat sambutan dan maklum balas yang baik. Dan pada 25 April yang lalu, kita telah berjaya melancar dan memulakan peringkat pertama perlaksanaan KPI kepada pegawai-pegawai
Kanan Kerajaan Negeri Johor.

22. Sebagai permulaan, seramai 57 orang Ketua-ketua Jabatan dari kalangan Pegawai Tadbir Negeri Johor telah diberikan KPI rasmi. Ini termasuklah Pegawai Kewangan Negeri, Timbalan Setiausaha
Kerajaan (SUK) Pembangunan dan Pengurusan, Pegawai-pegawai Daerah, Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah dan YDP-YDP.

23. Jadi, saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada YB Dato Haji Azmi selaku Setiausaha Kerajaan Johor dan semua pegawai yang terlibat dalam menjayakan perkara ini.

Hadirin sekalian,
24. Sepanjang 4 pembentangan Bajet Johor oleh saya bermula pada tahun 2014 sehinggalah 2017, Kerajaan Negeri telah mengumumkan
sebanyak 436 titik sentuhan, iaitu:
a. 87 titik sentuhan pada tahun 2014;
b. 104 titik sentuhan pada tahun 2015;
c. 119 titik sentuhan pada tahun 2016; dan
d. 126 titik sentuhan pada tahun ini.


25. Seluruh jentera kerajaan yang berkaitan telah bekerja keras memastikan yang setiap titik sentuhan yang diumumkan tersebut dilaksanakan dengan tersusun dan mendatangkan manfaat terbaik.

26. Sukacita saya maklumkan bahawa status titik-titik sentuhan yang telah melebihi 85% kemajuan berbanding sasaran tahunan adalah seperti berikut:
a. Tahun 2014 - 55 titik sentuhan;
b. Tahun 2015 - 74 titik sentuhan; dan
c. Tahun 2016 - 70 titik sentuhan.


27. Daripada segi disiplin fiskal serta kemasukan pelabur pula, pentadbiran Kerajaan Negeri telah berjaya merekodkan beberapa pencapaian yang membanggakan. Antaranya, kutipan hasil tahunan Kerajaan Negeri bagi 4 tahun terkini adalah melebihi RM1.5 bilion.

28. Dan jumlah ini antara yang tertinggi di Malaysia. Pengurusan fiskal yang terancang dan berdisiplin turut membolehkan kita mencatatkan lebihan tahunan atau surplus. Sekaligus mencatatkan baki berjumlah RM1.1 bilion untuk Akaun Disatukan Kerajaan Negeri bagi tempoh sehingga 31 Disember tahun lalu.

29. Malah, kecemerlangan Johor turut terserlah apabila mencatatkan jumlah penerimaan pelaburan diluluskan terbesar di Malaysia bagi sektor perkilangan untuk 4 tahun berturut-turut. Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) adalah contoh-contoh yang menunjukkan kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan.


30. Syarikat milik negara seperti PETRONAS dan Khazanah Nasional telah melabur dengan jumlah yang amat besar di Johor. Begitu juga dengan syarikat-syarikat asing seperti Dyson Manufacturing daripada United Kingdom dan Lotte Chemical Titan daripada Korea.

31. Selain itu, salah satu cara yang adil untuk menilai prestasi dan pencapaian semasa Kerajaan Negeri adalah dengan mengimbas kembali Manifesto Negeri Johor pada PRU-13 yang lalu.

32. Manifesto bertemakan Mensejahterakan Rakyat tersebut merangkumi 20 perkara utama yang diperincikan melalui 84 akujanji. Dan saya suka memaklumkan bahawa kesemua 84 akujanji tersebut
telah dan sedang dalam tindakan seperti yang dijadualkan.

33. Apabila laporannya siap dalam sedikit masa lagi, kita akan mengeluarkan satu kad laporan Kerajaan Negeri bagi membolehkan seluruh rakyat Johor menyemak dan menilai sendiri prestasi dan kemampuan Kerajaan Negeri dalam mengotakan janji.

Hadirin dan hadirat,
34. Perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah Kepentingan Budaya Kerja Berpasukan. Saya ingin tegaskan di sini. Segala perkembangan, kemajuan, dan pencapaian cemerlang yang saya kongsikan sebentar tadi bukan hasil kerja tunggal mana-mana individu secara berseorangan.

35. Ia adalah hasil kudrat, idea, usaha dan kerjasama setiap orang dalam #TeamJohor. Kesemua ini saya nyatakan untuk mengiktiraf bahawa ia adalah cerminan sebenar kepada komitmen serta kerja kuat semua pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

36. Ini kerana, kejayaan dan pencapaian Johor tidak akan boleh dicapai dengan ikhtiar atau tindakan seorang individu sahaja atau one man show.


37. Saya ingin berikan dua contoh hasil kerja berpasukan dalam kerangka #TeamJohor yang telah menyumbang kepada kejayaan kita hari ini.

38. Contoh pertama, bagaimana kita menjayakan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi. Salah satu komponen pembangunan di kawasan berkeluasan 6,242 ekar ini sebenarnya, bukan di atas tanah kosong.

39. Sebaliknya melibatkan sebidang tanah yang telah mempunyai penduduk atau dipanggil brownfield. Namun, demi menjayakan pelaburan terbesar PETRONAS di Malaysia yang bernilai USD27 bilion, Kerajaan Negeri harus menggalas tanggungjawab yang amat sukar dan mencabar. Iaitu mengalihkan penempatan sedia ada yang meliputi 7 buah kampung melibatkan populasi seramai 3,122 orang dan 1,000 buah rumah.

40. Selain itu, kita turut perlu memindahkan sebanyak 2,151 kubur Islam dan 3,286 kubur Cina, yang dikira sebagai sesuatu yang taboo dan boleh mengundang rasa marah.

41. Namun, demi memastikan penduduk yang terlibat bukan sahaja mendapat wang pampasan tetapi turut memiliki rumah, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif yang adil dan segera dengan mewujudkan Skim Penempatan Semula di Taman Bayu Damai, Pengerang.

42. Alhamdullilah, sehingga kini, 949 daripada keseluruhan 1,000 unit rumah di kawasan penempatan baharu telah pun diduduki. Bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tai Sin juga telah siap dan sudah mula digunakan.

43. Ketahuilah bahawa tidak mudah sebenarnya untuk melaksanakan proses ini. Ia memerlukan perancangan yang teliti, kemahiran rundingan yang tinggi, kecekalan melaksanakan tugas dan juga
integriti.

44. Hasil kerja keras dan kesungguhan semua pihak, di peringkat persekutuan, negeri, daerah serta pegawai daerah, projek pembangunan mega ini tidak menerima bantahan penduduk sehingga menjadi isu nasional.

45. Malah, kerjasama yang baik daripada semua telah menyumbang kepada 54 peratus kemajuan pembangunan PIC sehingga akhir tahun lepas.

Tuan-tuan dan puan,
46. Contoh kedua ialah apabila berlaku musibah kebakaran di tingkat dua Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 25 Oktober tahun lalu.

47. Kita semua berasa sedih dan bersimpati kepada kesemua ahli keluarga 6 mangsa yang terkorban. Namun, di sebalik musibah yang tidak diingini ini, kita dapat melihat munculnya sikap murni dan jiwa mulia Bangsa Johor.

48. Pelbagai gerakan sukarela, petugas beruniform dari pelbagai unit, pemimpin masyarakat, sehinggalah kepada masyarakat umum. Kesemuanya hadir memberikan bantuan, menolong dengan kapasiti serta daya masing-masing.

49. Cuma harapan saya, kita akan terus mencari jalan untuk memantapkan budaya muafakat di kalangan #Team Johor. Biar ia menjadi ikatan terkuat yang memastikan kita kekal sebagai sebuah masyarakat yang saling memberi demi menjadikan Johor negeri terbaik, InsyaAllah.

Hadirin sekalian,
50. Perkara ketiga yang ingin saya sentuh pagi ini ialah keutamaan dalam memastikan keberhasilan atau delivering real results. Dalam ucaptama EXCO Awayday tahun lepas, saya telah menggariskan 3 mekanisme penting Agenda Kepimpinan Berprestasi, iaitu Mengukur Prestasi, Memacu Prestasi dan
Menghebah Prestasi.

51. Sepanjang setahun yang lepas, saya telah memberi penekanan khusus kepada proses Memacu Prestasi. Contoh terbaik yang saya ingin kongsi ialah apabila kita adakan Siri Lawatan Daerah oleh Menteri Besar. Siri lawatan rasmi ini telah diadakan dari semasa ke semasa bermula tahun 2013. Bagi tahun 2017, kita susun pula lawatan tersebut mengikut Parlimen, agar tiada kawasan Parlimen yang terlepas atau diabaikan. Maka, sejak Januari sehingga kini, saya telah melawat sebanyak 23 daripada keseluruhan 26 Parlimen di dalam Johor.

52. Matlamat segala lawatan ini mudah. Kita mahu memastikan yang segala agenda dan program pembangunan yang kita umumkan, dilaksanakan dengan cara terbaik dan mendatangkan keberhasilan
yang optimum kepada semua.

53. Untuk melihat contoh hasil kepada semua usaha ini, saya ingin kongsikan cerita 4 orang penerima manfaatnya.

54. Pertama, cerita Puan Meena yang menetap di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru. Beliau mempunyai 3 orang anak dan suaminya Encik A. Manogaran adalah seorang pesakit diabetes yang telah kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2013.

55. Bagi membuka punca pendapatan, Kerajaan Negeri melalui program Azam Kerja Muafakat Johor telah memberi bantuan peralatan memasak bagi menyokong perniagaan catering secara kecil-kecilan. Hari ini, walaupun Puan Meena turut mengalami masalah kesihatan, beliau telah berjaya menjana pendapatan mencecah sekitar RM1,000 sebulan hasil perniagaannya.

56. Selain itu, bagi meringankan kos sara hidup isi rumah ini, Puan Meena turut mendapat bantuan kewangan secara one-off di bawah Program Inklusif Masyarakat India. Manfaat yang diperolehi di
bawah Kerajaan Persekutuan pula adalah elaun khas bulanan kepada suami beliau yang merupakan pemegang kad OKU.

57. Tanpa kita sedari, sebenarnya, ramai yang telah menerima manfaat daripada pelbagai dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri yang bersifat inklusif dan pro rakyat. Selain Puan Meena, bersama-sama kita pada pagi ini adalah Puan Zamzarina, Encik Chong dan Encik Zamri yang hari ini mereka semua menjadi tetamu saya.

58. Saya amat tertarik mengetahui latar belakang mereka dan bagaimana keberkesanan dasar Kerajaan Negeri telah sedikit sebanyak membantu menyelesaikan keperluan mereka. Puan Zamzarina misalnya. Beliau ialah ibu kepada 3 orang anak, dan mula menyara hidup sebagai guru tuisyen pada umur 23 tahun.

59. Bagi menarik minat pelajar ketika sesi pembelajaran, beliau telah mencipta resepi coklat sendiri, yang pada mulanya hanya untuk hidangan di meja belajar. Kemudiannya, resepi ini telah membawa
beliau menceburi perniagaan coklat.

60. Sebagai usahawan muda dan kecil-kecilan, beliau telah menerima bantuan peralatan dan mesin di bawah Program Galakan Usahawan (PGU) dan Skim Agropreneur Muda. Hasilnya, beliau telah berjaya mengembangkan perniagaan sendiri di bawah jenama Coco Damia, yang bukan sahaja dipasarkan di sekitar Johor. Tetapi telah berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura.

61. Kita ikuti perbualan saya dengan beliau tempoh hari. Sekalung tahniah dan syabas kepada Puan Zamzarina.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
62. Cerita mengenai Puan Meena dan Puan Zamzarina ini menunjukkan kita sentiasa jelas bahawa antara peranan utama Kerajaan Negeri adalah memastikan keseimbangan peluang dan kesejahteraan bagi setiap rakyat.

63. Namun, kita sedar yang tidak ada gunanya pelbagai peluang yang banyak ini jika rakyat kita tidak dapat memanfaatkannya. Khususnya dalam aspek peluang pekerjaan. Kerana kita sedar bahawa Johor
jobs are for Johoreans.

64. Bertitik tolak daripada pendirian inilah, kita menggalakkan lebih ramai anak muda Johor mendalami bidang kemahiran, atau mendapatkan kelulusan melebihi peringkat sarjana muda.

65. Apabila kita kaji, ramai yang sebenarnya berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Tetapi mereka perlu terus menjana pendapatan untuk menyara keluarga ataupun sememangnya tidak
mampu menanggung kos pengajian. Ini berlaku terutamanya, kepada mereka yang datang daripada keluarga miskin atau berpendapatan rendah.

66. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah berkerjasama dengan Permodalan Darul Tazim (PDT), Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Yayasan Zarith Sofiah melalui inisiatif Tabung Pendidikan Sarjana PDT. Tahun lepas, seramai 50 mahasiswa telah menerima bantuan bernilai RM10,000 seorang. Tahun ini, kita pertingkatkan jumlah penerima kepada 245 orang, dengan jumlah dana sebanyak RM5,000 seorang.

67. Antara penerimanya adalah Encik Chong yang berasal daripada Labis, Segamat, yang telah menerima bantuan ini tahun lepas. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Kimia Sumber daripada Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dan kemudiannya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

68. Bagi mengurangkan kos sara hidup, beliau tinggal bersama kakaknya yang secara kebetulan menetap tidak jauh daripada kampus utama UTM di Skudai. Kakaknya dahulu terpaksa melepaskan tawaran melanjutkan pengajian peringkat sarjana disebabkan tiada sumber kewangan. Ini perbualan saya bersama Encik Chong tempoh hari.


Tuan-tuan dan puan-puan,
69. Ini semua adalah contoh bagaimana Kerajaan Negeri menterjemahkan inisiatif berteraskan ekonomi berkesejahteraan dan inklusif. Kita faham kumpulan isi rumah B40 dan kumpulan isi rumah
sederhana M40, adalah golongan yang ramai terhimpit dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi.

70. Oleh itu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengambil langkah intervensi. Ini termasuklah, pertama, memperbanyakkan perkhidmatan bas percuma di negeri ini iaitu Bus Muafakat Johor. Kedua, membuka lebih banyak koperasi yang menawarkan barangan harian pada harga berpatutan seperti Kedai Harga Patut Muafakat Johor (ImCoop). Dan ketiga, memberikan rebat air kepada penerima dalam senarai e-kasih.

71. Dan inisiatif terbesar kita dalam aspek kesejahteraan hidup ini pastinya adalah agenda Rumah Mampu Milik kita yang berharga hanya RM150,000 dan ke bawah. Dalam manifesto PRU-13, kita menjanjikan untuk membina 6,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

72. Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 11,334 unit telah disiapkan. Selari dengan permintaan yang tinggi dan dasar perumahan Johor yang menetapkan perlunya ada RMMJ bagi setiap pembangunan, kita telah menambah sasaran awal ini menjadi 60,000 buah RMMJ, akan disiapkan dalam tempoh sehingga 2020.

73. Daripada jumlah ini, setakat 28 Februari 2017, seramai 14,925 pemohon telah menerima tawaran. Dan daripada jumlah penerima tawaran ini, ada yang berjaya mendapat pembiayaan daripada
institusi kewangan, dan ada yang gagal. Mereka yang tidak lulus ini tidak kita biarkan.

74. Sebaliknya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperkenalkan Skim Pembiayaan RMMJ melalui kerjasama strategik dengan AmBank, yang melibatkan saiz dana pembiayaan sehingga RM300 juta.

75. Antara keluarga yang telah menerima manfaat dasar RMMJ ini adalah keluarga Encik Zamri. Isterinya Puan Sumiati tidak berkerja dan setelah mendirikan rumah tangga selama 21 tahun, mereka kini mempunyai 3 orang anak.

76. Sebelum berpindah ke Taman Nusa Bayu, Iskandar Puteri, beliau terpaksa menyewa sebuah rumah milik mertuanya di Kampung Sungai Melayu selama 18 tahun.

77. Saya juga telah berkesempatan berbual dengan Encik Zamri yang berasal dari Batu Pahat tempoh hari, mendengar suara hati beliau. Ini sedutan perbualan saya dengan Encik Zamri.

Tuan-tuan dan puan-puan,
78. Perkara keempat dan terakhir yang saya juga ingin sentuh adalah fokus yang kita telah tetapkan untuk tahun ini.

79. Pertama, memastikan perlaksanaan lancar semua titik sentuhan Bajet Johor 2017 serta tahun-tahun sebelumnya yang masih dalam peringkat perlaksanaan. Ini semua telah dijadikan KPI-KPI kepada para EXCO, Ketua-ketua Jabatan dan GLC-GLC Negeri.

80. Kedua, kita mesti berusaha menjayakan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) serta Pelan Pertumbuhan Daerah. Agar semua daerah di Johor dibangunkan mengikut perancangan dan
keperluan masing-masing.

81. Ketiga, kita mesti mencari jalan persediaan yang sewajarnya bagi berhadapan dengan gelombang Ekonomi Digital serta sektor ekonomi masa hadapan. Berhubung dengan perkara ini, saya suka
untuk maklumkan bahawa kita sedang di peringkat akhir menyiapkan kertas penubuhan Jawatankuasa Pemandu Ekonomi Masa Hadapan atau Special Committee on the Economic of the Future.

82. Ke-empat dan terakhir, sebagai rujukan dan rumusan kepada pelbagai pencapaian pembangunan Johor pada tahun lalu, saya dengan ini mengumumkan yang Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan Bait Al Amanah telah menyiapkan Johor Development Report 2016.

83. Laporan ini bukan sahaja menganalisis pelbagai aspek pembangunan negeri Johor bagi tahun 2016. Tetapi turut memuatkan saranan serta kajian kes yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan
Negeri. Jadi, ambillah masa untuk bersama-sama menyemak dan meneliti laporan ini apabila penerbitan dan percetakannya siap sepenuhnya sedikit masa lagi. Ia adalah salah satu dokumen penting yang merekodkan segala prestasi, kedudukan serta pencapaian kita.


Tuan-tuan dan puan-puan,
84. Sebelum berakhir, marilah kita bersama-sama menerima segala pencapaian dan prestasi ini dengan minda yang terbuka dan positif. Mana yang baik, kongsi dan sebarkan dengan yang lain di luar sana. Mana yang kurang, datanglah beritahu saya dan seluruh jentera Kerajaan Negeri. Agar, kami semua berpeluang untuk membaiki keadaan dan terus memberikan yang terbaik untuk kita semua.

85. Saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras memastikan kejayaan dan pencapaian cemerlang Johor selama ini. Marilah kita menanam tekad untuk memastikan lebih banyak kejayaan mampu kita capai, terutamanya yang dilakukan secara bersama atas nama #TeamJohor.

Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Wednesday, 22 March 2017

Daulat Tuanku : Ini yang Bangsa Johor mahu.


JOHOR BAHRU, 22 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan melancarkan Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim (RIBJ YSI) bagi membantu setiap rakyat Johor memiliki rumah sendiri.




Bagi tujuan itu, Bank Rakyat bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM500 juta untuk kemudahan pembiayaan.


Manakala pembeli yang layak juga hanya perlu membayar wang deposit serendah RM1.00 dengan tawaran pinjaman 100 peratus.


Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata pembangunan projek tersebut akan dilaksanakan di tiga lokasi di kawasan bandar raya Johor Bahru, selain rancangan untuk membinanya di daerah-daerah lain di negeri Johor.


“Ia akan dibina di Bandar Dato’ Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana, yang merangkumi dua kategori iaitu Rumah Impian Sultan Ibrahim dan Rumah Impian Bangsa Johor.


“Bagi Kategori Rumah Impian Sultan Ibrahim di Bandar Dato’ Onn, sebanyak 520 unit rumah akan dibina melibatkan komponen 190 unit rumah teres, 130 unit rumah berkembar dan 200 unit rumah sebuah.


“Ia akan dibina di atas tanah seluas 52.7 ekar, yang berharga dari RM80,000 hingga RM100,000 seunit.


“Bagi Kategori Rumah Impian Bangsa Johor di Bandar Baru Majidee, sebanyak 320 unit rumah akan dibina terdiri daripada dua blok yang masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman.


“Ia ditawarkan dengan harga kurang dari RM150,000 seunit, dan akan dibina di atas tanah seluas 6.8 ekar,” katanya.


Kerja-kerja pembinaan bagi kedua-dua kategori tersebut akan bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2019.


Menurutnya lagi, bagi Rumah Impian Bangsa Johor di Bukit Saujana pula, sebanyak 1,000 unit rumah ditawarkan dengan harga dari RM297,000 hingga RM420,000 seunit.


“Ia akan dibina di atas tanah rizab Melayu seluas 7.55 ekar dengan keluasan 850 kaki persegi, 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi per unit.


“Kesemua jenis kategori rumah akan turut dilengkapi kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan ‘cook tap’,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-pelancaran Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim di Galleria @ Kotaraya, di sini hari ini.



Turut berangkat Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Kira-kira 10,000 orang memenuhi Galleria @ Kotaraya bagi membuat pra-pendaftaran, bertempat di aras bawah Galleria @ Kotaraya.


Bagi orang ramai yang tidak dapat mendaftar pada petang ini, mereka boleh melayari laman sesawang www.yayasansultanibrahim.org.my yang akan dibuka pada pukul 5.00 petang ini.

Friday, 10 March 2017

Khaled Nordin: Jangan beremosi, fokus kepada tugasan untuk Johor.

KENYATAAN AKHBAR
YAB DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
BERHUBUNG PENAHANAN YB DATUK ABD. LATIF BANDI
10 MAC 2017 & 2.30 PETANG



1. Kerajaan Negeri Johor menghormati penahanan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi yang masih bercuti daripada kerajaan, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

2. Penahanan beliau semalam (9 Mac 2017) adalah susulan siasatan yang dilakukan oleh SPRM ke atas ahli keluarga dan pegawai khas beliau sebelum ini.

3. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa kita akan memberikan sepenuh kerjasama yang diperlukan oleh pihak berkuasa dan tidak akan mencampuri sebarang proses siasatan yang dijalankan.

4. Kerajaan Negeri berpendirian adalah penting dan kritikal untuk pihak berkuasa dan proses penguatkuasaan undang-undang dipastikan berjalan dengan lancar dan bebas.

5. Adalah menjadi ikrar dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan dan pentadbiran Johor bebas daripada sebarang masalah penyelewengan dan korupsi.

6. Saya menyeru kepada seluruh anggota kerajaan, kakitangan serta masyarakat awam untuk bersama-sama memberikan kerjasama dan tidak melihat isu ini secara terburu-buru dan beremosi.

7. Sebaliknya, marilah kita memfokuskan kepada tugas dan memberikan yang terbaik dalam memastikan pengurusan Kerajaan Negeri tidak terganggu.

8. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berharap keadilan dan kebenaran akan dicapai oleh semua pihak.

Thursday, 2 March 2017

MB: Kerajaan Negeri Johor akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

KENYATAAN AKHBAR MENTERI BESAR JOHOR
(Berhubung Isu Penukaran Status Rumah Bumiputera dan Siasatan SPRM)

Image result for khaled nordin

Kerajaan Negeri Johor amat mengutamakan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan yang telus, bersih dan beramanah.

Justeru Kerajaan Negeri memandang serius siasatan dan penangkapan terhadap beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dengan penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan di Negeri Johor.

Setelah meneliti dan mengambil kira perkembangan mutakhir, Kerajaan Negeri Johor ingin membuat beberapa penjelasan dan penegasan.

Pertama: Kerajaan Negeri Johor akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Kerajaan Negeri Johor berpendirian bahawa SPRM harus diberikan kerjasama sepenuhnya dalam menjalankan siasatan.

Adalah menjadi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tidak ada campur tangan dari mana-mana pihak. Ini bagi memastikan ketelusan dan kelancaran dalam siasatan yang dijalankan.
Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri juga akan dipastikan memberi kerjasama terbaik agar siasatan yang adil dapat dilakukan.

Kerajaan Negeri turut ingin memaklumkan bahawa Datuk Haji Abd Latif bin Haji Bandi, Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal perumahan dan kerajan tempatan telah memohon untuk bercuti dari perkhidmatannya dalam Kerajaan sehingga siasatan ini selesai.

Tindakan ini amat bersesuaian agar proses siasatan dapat berjalan dengan lancar dan bebas demi mengangkat integriti dan ketelusan yang senantiasa menjadi pegangan kukuh Kerajaan Negeri.

Kedua: Pelepasan Status Bumiputera adalah dasar yang dibenarkan oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri berasa bertanggungjawab untuk ambil kesempatan bagi menjelaskan kekeliruan tentang isu yang melibatkan penukaran atau pelepasan status rumah-rumah Bumiputera kepada status awam atau bukan Bumiputera.

Dasar yang membenarkan pelepasan ini tidak sama sekali melibatkan rumah kos rendah dan mampu milik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Secara asasnya, penukaran dan pelepasan status atau kouta Bumiputera untuk rumah-rumah mewah dan bukan dalam kategori Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau Rumah Kos Rendah adalah dibenarkan dan menjadi amalan Kerajaan Negeri dari dahulu lagi.

Ia terpakai kepada rumah-rumah mewah dan harganya di luar kategori RMMJ yang telah melepasi tempoh dan syarat tertentu, bagi mengelakkan lambakan rumah sedemikian yang tidak terjual kepada pembeli Bumiputera.

Permohonan ini lazimnya dibuat oleh pemaju perumahan untuk mengelakkan kerugian yang besar dan menjadi beban kepada komitmen pembiayaan projek pembangunan mereka.

Sejak akhir tahun 2013, penambahbaikan dilakukan oleh Kerajaan Negeri dengan menetapkan bahawa salah satu syarat yang mesti dipenuhi oleh pemaju dalam membuat permohonan pelepasan status Bumiputera tersebut ialah dengan pemaju memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri. Jumlah yang ditetapkan ialah sebanyak 7.5%, iaitu bersamaan dengan 50% daripada 15% diskaun Bumiputera.

Selain itu, terdapat juga permohonan untuk membayar atau membuat sumbangan pada jumlah yang lebih rendah daripada peratusan yang ditetapkan ini terutamanya bagi projek-projek lama sebelum tahun 2013.

Kesemua keputusan berhubung kelulusan bagi setiap permohonan sebegini diputuskan oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh EXCO Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sumbangan atau kutipan yang diperolehi hasil bayaran penukaran dan pelepasan status Bumiputera ini kemudiaannya dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera. Sumbangan yang diperolehi sejak 2013 adalah sebanyak kira-kira RM600 juta.

Dana ini seterusnya digunakan oleh Kerajaan Negeri melalui Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) seperti PIJ Holding dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sebagai sumber dana dan perbelanjaan untuk, antara lain:
(a) Mengenalpasti dan membeli tanah-tanah yang bersesuaian untuk dibina rumah mampu milik di seluruh Johor;
(b) membina lebih banyak rumah kos rendah dan rumah mampu milik untuk rakyat Johor seperti yang ditawarkan dalam skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ);
(c) membina gerai-gerai atau pusat berniaga mampu milik untuk golongan Bumiputera;
(d) membolehkan Kerajaan Negeri membeli tanah-tanah milik Bumiputera yang strategik dan bersesuaian supaya ia kekal dimiliki Bumiputera;
(e) menjadi sebahagian daripada sumbangan dana pusingan di bawah skim pembiayaan perumahan rumah mampu milik Johor di bawah AmBank Islamic.

Maka, adalah ditegaskan, dana yang dikumpul hasil dari dasar ini, telah menjadi sumber pendapatan kepada Kerajaan Negeri untuk menjayakan lebih banyak lagi projek perumahan golongan Bumiputera.

Penjelasan ini sekaligus menjawab tuduhan tidak berasas wakil DAP bahawa kes yang dalam siasatan SPRM ini melibatkan rumah-rumah mampu milik Bumiputera dan kerana itu, terdapat kekurangan yang serius dalam jumlah rumah mampu milik yang boleh dibeli oleh Bumiputera.

Ketiga: Kerajaan Negeri akan memperkemas prosedur dan tadbir urus
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya untuk memastikan pemantapan prosedur dan tadbir urus Kerajaan Negeri diperkemaskan.
Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman selanjutnya dalam sedikit masa lagi tentang langkah-langkah penambahbaikan tadbir urus dan tatakelola pentadbiran Kerajaan Negeri bagi mengelakkan segala bentuk ketirisan dan penyalahgunaan.
Pihak Kerajaan Negeri berharap yang siasatan ini akan berjalan dengan lancar dan dapat dilengkapkan dengan sebaiknya. Adalah menjadi harapan kerajaan Negeri agar ia membuahkan keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.

YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin
Menteri Besar Johor
2 Mac 2017

Thursday, 23 February 2017

AHLI POLITIK LUAR JANGAN CUBA TUNJUK PANDAI - SULTAN JOHOR

TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN 
GALERI DARURAT BUKIT KEPONG 

DI BUKIT KEPONG, MUAR.

PADA
HARI KHAMIS,
 23 FEBRUARI 2017


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH   LAGI MAHA MENGASIHANI.   SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH   TUHAN PENTADBIR SELURUH ALAM.   SELAWAT DAN SEJAHTERA KEPADA JUNJUNGAN BESAR KITA  NABI MUHAMMAD SEMULIA MULIA RASUL,   SERTA KELUARGA DAN PARA SAHABATNYA SEKALIAN.

ALHAMDULILLAH,   SYUKUR SAYA KE HADRAT ALLAH SUBHANAHU WATAALA,   KERANA DENGAN LIMPAH KURNIA DAN IZINNYA    DAPAT SAYA HADIR   DALAM MAJLIS PERASMIAN   GALERI DARURAT BUKIT KEPONG   PADA HARI YANG BERBAHAGIA INI. 
SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SEJARAH PEMBERONTAKAN   DAN KEGANASAN PIHAK KOMUNIS, SELEPAS DARIPADA TAMATNYA PENJAJAHAN JEPUN   PADA TAHUN 1945, MENINGGALKKAN BANYAK DETIK  HITAM   KEPADA NEGARA KITA.

SALAH SATU PERISTIWA YANG PALING DI-INGATI   ADALAH KISAH SERANGAN KOMUNIS   TERHADAP BALAI POLIS BUKIT KEPONG   PADA 23 FEBRUARI 1950, IAITU GENAP 67 TAHUN YANG LALU.
DALAM SERANGAN TERSEBUT   PIHAK KOMUNIS TELAH BERJAYA   MENAWAN BALAI POLIS INI   DAN MEMBAKAR SEMUA BANGUNAN-NYA.  MANAKALA 25 NYAWA PEJUANG TANAHAIR,  IAITU 19 ANGGOTA POLIS   DAN 6 ORANG AHLI KELUARGA DAN ORANG AWAM, JUGA TELAH TERKORBAN.

NAMUN BEGITU, DALAM PERTEMPURAN TERSEBUT   ANGGOTA POLIS YANG SEDIKIT TELAH MEMBERIKAN TENTANGAN YANG CUKUP HEBAT   DALAM MEMPERTAHANKAN BALAI POLIS TERSEBUT    SEHINGGA KE TITISAN DARAH YANG TERAKHIR.

SEPERTI KATA ALLAHYARHAM SARJAN JAMIL MD SHAH, KETUA BALAI BUKIT KEPONG PADA KETIKA ITU, “BERPANTANG MAUT SEBELUM AJAL”.

SAYA BERHARAP, SEJARAH HITAM SERANGAN TERSEBUT   TERUS MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT   DAN SUMBER KEKUATAN   KEPADA SEMUA ANGGOTA POLIS UNTUK SETIA BERKHIDMAT   DAN SEDIA BERKORBAN   DEMI MEMPERTAHANKAN MARUAH   DAN KEDAULATAN TANAHAIR.
SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,  

SAYA MENGALU-ALUKAN USAHA KERAJAAN   DALAM MEMBINA GALERI DARURAT BUKIT KEPONG INI   UNTUK MENJADI SATU MERCU TANDA SEJARAH   DAN SEBAGAI TANDA INGATAN   KEPADA GENERASI YANG AKAN DATANG   TENTANG PERJUANGAN DAN PENGORBANAN   YANG TELAH DICURAHKAN OLEH ANGGOTA KESELAMATAN NEGARA   PADA MASA DAHULU. KEPERCAYAAN YANG DIBERIKAN OLEH RAKYAT DAN KERAJAAN   TERHADAP PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA   ADALAH AMAT TINGGI   DAN MEREKA SENTIASA DIHORMATI   DAN DIANGGAP SEBAGAI TULANG BELAKANG KEPADA KETENTERAMAN TANAHAIR.

OLEH ITU SUKA SAYA INGATKAN   KEPADA SEMUA PEGAWAI DAN ANGGOTA POLIS, SUPAYA TERUS BERKHIDMAT DENGAN PENUH DEDIKASI, BERDISIPLIN, JUJUR DAN AMANAH   UNTUK MENGEKALKAN KEAMANAN NEGARA.

SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,
SEMUA PIHAK MESTILAH BERSATU HATI   DAN SENTIASA BERUSAHA   UNTUK MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA.

SUKA SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN DI SINI   UNTUK MENGUCAPKAN SYABAS   KEPADA PEGUAM NEGARA   DAN PASUKAN PEGAWAI-PEGAWAINYA   YANG TELAH BERJAYA MENJUMPAI    BUKTI-BUKTI BAHARU YANG AMAT PENTING   DALAM KES TUNTUTAN PULAU BATU PUTIH   DAN TELAH MEMFAILKAN SEMAKAN SEMULA PENGHAKIMAN   KEPADA MAHKAMAH KEADILAN DUNIA (I.C.J)   BARU-BARU INI.

SAYA MASIH INGAT PESANAN ALMARHUM AYAHANDA SAYA  IAITU PULAU BATU PUTIH ITU ADALAH MILIK NEGERI JOHOR.  WALAUPUN SAIZ PULAU ITU DIANGGAP KECIL, NAMUN SETIAP INCI TANAH NEGERI JOHOR   MESTI DIPERTAHANKAN   KERANA ITU ADALAH LAMBANG KEDAULATAN NEGERI JOHOR   DAN MENJADI SEBAHAGIAN DARIPADA KEDAULATAN NEGARA MALAYSIA.
SAYA MINTA SEMUA RAKYAT MALAYSIA TERUS MEMBERIKAN SOKONGAN DAN BERDOA   SUPAYA KITA BEROLEH KEJAYAAN   DI DALAM KES TUNTUTAN TERSEBUT.


SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SEJAK AKHIR-AKHIR INI, SAYA PERHATIKAN BANYAK PEMIMPIN POLITIK   TELAH MULA MEMAINKAN PELBAGAI ISU.  MUNGKIN INI MENGGAMBARKAN BAHAWA   PILIHANRAYA UMUM AKAN DIADAKAN TIDAK LAMA LAGI,  DAN SETIAP PEMIMPIN POLITIK   MULA MENGATUR LANGKAH   UNTUK MENARIK PERHATIAN RAKYAT. 

SUKA SAYA INGATKAN   KEPADA ORANG POLITIK DI LUAR JOHOR   SUPAYA JANGAN MASUK CAMPUR   DALAM URUSAN DI NEGERI INI, DAN JANGAN CUBA UNTUK MENGELIRUKAN RAKYAT SAYA   ATAU MEMECAH-BELAHKAN PERPADUAN BANGSA JOHOR.

RAKYAT DI NEGERI JOHOR TELAH MENIKMATI HIDUP YANG SELESA, AMAN DAN DAMAI, SEHINGGA KE HARI INI.  ORANG LUAR TIDAK PERLU HENDAK TUNJUK PANDAI   ATAU MENGAJAR APA YANG PATUT DI BUAT.
RAKYAT JOHOR  TIDAK AKAN TERPENGARUH DENGAN TIPU-HELAH ORANG LUAR   YANG CUBA MENAKUT-NAKUTKAN RAKYAT   DENGAN CERITA-CERITA DONGENG YANG DI REKA-REKA. 

MUNGKIN ORANG LUAR INI TELAH LUPA   YANG ZAMANNYA TELAH BERLALU. DAHULU DIA SERING MENYINDIR ORANG MELAYU   SEBAGAI BANGSA YANG MUDAH LUPA,  NAMUN HARI INI DIA SENDIRI MENUNJUKKAN SIFAT PELUPA-NYA.
DULU DIA KATA PEMBANGKANG ITU MUSUH KETAT, TAPI SEKARANG SUDAH BOLEH DUDUK SEMEJA   DAN MENJADI KAWAN RAPAT.

DULU DIA KATA MEDIA BARAT SUKA BUAT CERITA, TAPI SEKARANG,  CERITA MEDIA BARAT DIKATANYA FAKTA.

JIKA DIA BUKAN PELUPA   MUNGKIT ADA SEDIKIT NYANYUK AKIBAT FAKTOR USIA.

NASIHAT SAYA KEPADA DIA, CUKUP-CUKUP-LAH. DUNIA INI ADA SIANG DAN MALAM, BUKAN BOLEH SIANG BERTERUSAN. 
JANGAN SIBUK JAGA TEPI KAIN ORANG,  LEBIH BAIK BETULKAN KAIN SENDIRI   YANG TELAH REPUT DAN KOYAK.  ATAU ORANG KATA “THE BEST BUSINESS YOU CAN HAVE TODAY   IS MIND YOU OWN BUSINESS”.

Image result for sultan johor dan MB

SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SELAGI SAYA MEMERINTAH NEGERI INI,  SAYA AKAN TERUS MEMPERTAHANKAN NEGERI JOHOR.  SAYA HARAP SEMUA RAKYAT   AKAN BERSAMA-SAMA SAYA. JANGAN PULA BILA SAYA TOLEH BELAKANG,  SEMUA ORANG SUDAH TIDAK ADA.

DARI KECIL LAGI SAYA TELAH DI DIDIK   UNTUK MENJAGA NEGERI JOHOR. SAYA TAHU APA YANG TERBAIK UNTUK NEGERI SAYA. TAK AKAN SAYA HENDAK ANIAYA   RAKYAT SAYA SENDIRI.

LIHAT SAHAJA PEMBANGUNAN DAN KEMAJUAN   YANG KITA CAPAI HARI INI   BERBANDING 10 ATAU 20 TAHUN YANG LALU. KALAU DULU KERAJAAN NEGERI SAMPAI TIADA WANG UNTUK BAYAR GAJI KAKITANGAN, TAPI HARI INI   KERAJAAN ADA LEBIHAN HASIL BERBILION RINGGIT. 

KEJAYAAN YANG DI CAPAI INI   ADALAH KERANA ADANYA HUBUNGAN YANG BAIK   ANTARA SAYA DENGAN MENTERI BESAR SEKARANG, BUKAN SEPERTI DUA MENTERI BESAR YANG DAHULU, YANG ANGKUH DAN SOMBONG   DAN HANYA MENGIKUT TELUNJUK KERAJAAN PERSEKUTUAN.

KITA MESTI SEDAR YANG USIA KITA AKAN TERUS MENINGKAT   DAN KESIHATAN KITA PULA AKAN MENURUN. SAYA JUGA AKAN BERTAMBAH TUA. 

BILA SAMPAI SATU TAHAP   SAYA SUDAH TIADA KEDERAT   UNTUK MEMERINTAH NEGERI INI, SAYA AKAN TURUN TAKHTA   DAN SERAHKAN KEPADA ANAK SAYA, DAN SAYA TIDAK AKAN CAMPUR TANGAN   ATAU KECAM RAJA BARU YANG MEMERINTAH. 

LEPAS ITU AWAK TERIMALAH RAJA BARU   DAN IKUT PERINTAH DIA.   JANGAN NANTI SAYA DI HANTAR KE RUMAH ORANG TUA SUDAH-LAH.



SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SEMUA PIHAK MESTILAH INGAT DAN FAHAM   TENTANG  ASAS PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU,  IAITU JIKA TIADA NEGERI-NEGERI, TIDAK AKAN WUJUD PERSEKUTUAN. 

KUASA PENTADBIRAN PERSEKUTUAN   ADALAH DIBERIKAN OLEH PERSETUJUAN RAJA-RAJA MELAYU   YANG BERKUASA TERHADAP NEGERI MASING-MASING   SEMASA PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948   DI TANDA-TANGANI.

OLEH YANG DEMIKIAN, HUBUNGAN YANG BAIK ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN KERAJAAN NEGERI   MESTILAH DIJAGA DAN DIHORMATI   UNTUK MEMBENTUK SEBUAH NEGARA MALAYSIA   YANG AMAN DAN MAKMUR. SAYA TIDAK BERNIAT   UNTUK BERPECAH DARIPADA PERSEKUTUAN,  TETAPI MAHU MENGINGATKAN   KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN DI PERINGKAT PERSEKUTUAN   SUPAYA JANGAN LUPA   TENTANG HAK DAN KEPENTINGAN NEGERI-NEGERI,   SERTA KUASA RAJA-RAJA MELAYU   YANG TIDAK BOLEH DISENTUH ATAU DIKURANGKAN. 

SAYA BERHARAP, KERAJAAN PERSEKUTUAN AKAN TERUS MEMBANTU KERAJAAN NEGERI,   KERANA NEGERI-NEGERI YANG MAJU MEMBANGUN   AKAN MEMBENTUK SATU PERSEKUTUAN YANG KUKUH   DAN NEGARA YANG MAKMUR.  

DASAR-DASAR PEMIMPIN DAHULU YANG GILA KUASA,  SEPERTI  MEMBERIKAN DESAKAN   DAN PELBAGAI SYARAT KEPADA KERAJAAN NEGERI   JIKA MAHUKAN PERUNTUKAN KEWANGAN PERSEKUTUAN, HENDAKLAH DIKAJI SEMULA.

SEBAGAI CONTOH, KERAJAAN NEGERI DIDESAK UNTUK MENYERAHKAN HAKMILIK TANAH   ATAS NAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN, SEBELUM PERUNTUKAN PEMBANGUNAN DISALURKAN   

MALAH BARU-BARU INI   ADA JUGA MENTERI PERSEKUTUAN YANG KURANG BIJAK   INGIN MEMBESARKAN WILAYAH PERSEKUTUAN   DENGAN MENGAMBIL LEBIH BANYAK  TANAH NEGERI.


MUNGKIN DIA LUPA   TENTANG KEDAULATAN NEGERI-NEGERI.  MALAH HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN YANG DIKUTIP   ADALAH DARIPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA   DAN HARUS DIAGIHKAN KEPADA SEMUA NEGERI,  BUKAN UNTUK WILAYAH PERSEKUTUAN SAHAJA.


PEMIMPIN BERFIKIRAN SEMPIT SEPERTI INILAH   YANG AKAN MERETAKKAN HUBUNGAN   ANTARA KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN   DAN MENIMBULKAN RASA KEBENCIAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN.
SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SAYA INGIN MENYERU KEPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN   SUPAYA MENGKAJI SEMULA   PERANAN PIHAK BERKUASA ISKANDAR MALAYSIA   ATAU IRDA. SETAHU SAYA, IRDA HANYA SATU BADAN   YANG MEMBANTU KERAJAAN NEGERI   UNTUK MEMPROMOSIKAN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR  DAN MENARIK PELABUR UNTUK DATANG KE KAWASAN TERSEBUT.
IRDA TIDAK BOLEH MENGATASI KUASA NEGERI   DALAM HAL TANAH, KERAJAAN TEMPATAN, KERJA-KERJA NEGERI DAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN NEGERI. IRDA SEPATUTNYA MENGIKUT KEHENDAK KERAJAAN NEGERI   ATAU MAJLIS TEMPATAN, BUKANNYA KERAJAAN NEGERI YANG KENA IKUT SYARAT-SYARAT IRDA.
BANYAK PROJEK PEMBANGUNAN IRDA   YANG KADANG-KALA TIDAK SELARI   DENGAN KEHENDAK MAJLIS BANDARAYA,  DAN MENIMBULKAN BANYAK MASALAH KEPADA RAKYAT SAYA.  CONTOHNYA PROJEK MENAIKTARAF SUNGAI SEGGET   YANG TELAH MENGAKIBATKAN BANJIR KILAT   SERING BERLAKU DI TENGAH BANDARAYA JOHOR BAHRU.
IRDA HARUS BERTANGGUNG JAWAB   TERHADAP  PERANCANGAN DAN PERLAKSANAAN PROJEK   YANG BERMASALAH INI.
SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN, 
 
BARU-BARU INI, KERAJAAN NEGERI TELAH MENGUMUMKAN SATU CADANGAN   UNTUK MEMBINA SEBUAH LAPANGAN TERBANG DI DAERAH MERSING.
SAYA MENGUCAPKAN SYABAS KEPADA MENTERI BESAR, DATO’ KHALED NORDIN, YANG TELAH MENERIMA IDEA SAYA TENTANG PEMBINAAN LAPANGAN TERBANG TERSEBUT. 
MUNGKIN ADA RAKYAT YANG SANGSI   DENGAN CADANGAN TERSEBUT, TETAPI BAGI SAYA   ITU ADALAH SALAH SATU CARA   UNTUK MENAIKKAN KEMAJUAN EKONOMI DAERAH MERSING.   
SAYA JUGA YAKIN, JIKA KERAJAAN BOLEH MENYEDIAKAN   LEBIH BANYAK INFRASTRUKTUR AWAM DI MERSING, SEPERTI LEBUH RAYA, JAJARAN KERETAPI   DAN TERMINAL FERI YANG LEBIH BAIK,  LEBIH BANYAK PELABUR AKAN DATANG KE MERSING   UNTUK SAMA-SAMA MEMAJUKAN   INDUSTRI PELANCONGAN DAN HARTANAH DI SANA.
SAYA TAHU APA DIPERLUKAN OLEH NEGERI JOHOR   DAN SAYA PERCAYA KERAJAAN NEGERI SAYA JUGA   FAHAM AKAN KEHENDAK NEGERI DAN RAKYAT JOHOR.

SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,
SEJAK SAYA MENAIKI TAKHTA PADA TAHUN 2010, BANDAR MUAR TELAH MENJADI   TEMPAT KESUKAAN SAYA UNTUK BEREHAT. MALAH PADA TAHUN 2012, SAYA TELAH MENGISYTIHARKAN MUAR   SEBAGAI BANDAR DIRAJA.
SETIAP KALI SAYA DATANG KE MUAR, PERKARA UTAMA YANG AKAN SAYA PERHATIKAN   ADALAH SOAL KEBERSIHAN. SAYA TAHU SETIAP KALI ADA BERITA   TENTANG KEBERANGKATAN SAYA KE MUAR, PEGAWAI DAERAH AKAN MENGARAHKAN ANAK BUAHNYA   MEMBERSIHKAN KAWASAN ISTANA DAN BANDAR MUAR. NAMUN HARI INI, SEGALA TEKANAN DAN TEGURAN SAYA,  TELAH MENAMPAKKAN HASIL. LIHATLAH KEADAAN BANDAR MUAR PADA HARI INI   DAN BANDINGKAN-NYA DENGAN 10 TAHUN DAHULU.
MALAH BARU-BARU INI, BANDAR MUAR TELAH MENCAPAI SATU KEJAYAAN YANG AMAT MEMBANGGAKAN, APABILA BANDAR MUAR  TELAH DI IKTIRAF   SEBAGAI BANDAR YANG PALING BERSIH DI MALAYSIA. SYABAS SAYA UCAPKAN   KEPADA PEGAWAI DAERAH, YANG DIPERTUA MAJLIS DAN SEMUA KAKITANGAN YANG TERLIBAT, DARIPADA MANDUR HINGGALAH TUKANG SAPU, YANG TELAH MENJALANKAN TUGAS DENGAN CEMERLANG.
TAHNIAH JUGA SAYA UCAPKAN   KEPADA SEMUA PENDUDUK DI BANDAR MUAR   KERANA MEMBERIKAN KERJASAMA YANG BAIK   UNTUK SAMA-SAMA MENJAGA KEBERSIHAN DI BANDAR INI. SAYA BERHARAP, PRESTASI KEBERSIHAN INI DAPAT DIKEKALKAN   DAN BUDAYA MENJAGA KEBERSIHAN   AKAN MENJADI SATU IDENTITI   KEPADA BANGSA JOHOR.
SAYA JUGA BERHARAP   KEJAYAAN BANDAR MUAR INI AKAN MENJADI CONTOH DAN INSPIRASI   KEPADA BANDAR-BANDAR LAIN DI DALAM NEGERI JOHOR. SELEPAS DARIPADA INI, BANDAR MUAR AKAN MENGALAMI TRANFORMASI   KEARAH PENGINDAHAN PESISIR SUNGAI MUAR   DAN PEMBANGUNAN ‘WATERFRONT’ YANG MESRA ALAM.
SEBAGAI RUJUKAN, LIHATLAH PEMBANGUNAN BANDAR DI TEPI SUNGAI SEPERTI DI BANGKOK, SINGAPURA, ATAUPUN MELAKA. JANGAN PULA MEMBAZIR DUIT   UNTUK MENGADAKAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR   KE HOLLAND ATAU MELBOURNE   YANG TIDAK SAMA KEADAAN DENGAN KITA.

SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,

SEJARAH KESULTANAN JOHOR MODEN   TELAH BERMULA PADA TAHUN 1855, APABILA TEMENGGONG IBRAHIM MEMBUKA PUSAT PENTADBIRAN BARU   DI ISKANDAR PUTERI. PADA MASA ITU JUGALAH   PASUKAN POLIS JOHOR DITUBUHKAN   DENGAN NAMA “PASUKAN SETIA NEGERI JOHOR”.
ALMARHUM SULTAN ABU BAKAR PULA   MENUBUHKAN PASUKAN TENTERA JOHOR, YANG DI GELAR SEBAGAI “PASUKAN TIMBALAN SETIA NEGERI” PADA TAHUN 1885, YANG MANA HANYA DIBUKA   UNTUK ANAK-ANAK MELAYU JOHOR   YANG BERAGAMA ISLAM SAHAJA.
PADA TAHUN 1905 PULA, ALMARHUM SULTAN IBRAHIM MENUBUHKAN SEBUAH PASUKAN KESELAMATAN SUKARELA   YANG DINAMAKAN “JOHOR VOLUNTEER FORCES” ATAU J.V.F, YANG AHLINYA DIBUKA KEPADA ORANG BUKAN MELAYU.
TUJUAN PENUBUHAN PASUKAN SUKARELA J.V.F. TERSEBUT   ADALAH UNTUK MENGGALAKKAN PENYERTAAN ORANG RAMAI   DALAM BIDANG PERTAHANAN AWAM   DAN MEMBENTUK DISIPLIN DIRI BAGI PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN.
SAYA PERCAYA, SALAH SATU CARA UNTUK MEMBENTUK DISIPLIN DIRI   ADALAH DENGAN MENYERTAI BADAN BERUNIFORM   KERANA APABILA KITA MEMAKAI UNIFORM   DAN DILATIH UNTUK BERKAWAD   KITA AKAN SENTIASA MENGIKUT PERATURAN DAN ARAHAN YANG DIBERIKAN.
SAYA SENDIRI TELAH MENJALANI BERMACAM-MACAM LATIHAN KETENTERAAN   DAN SAYA AMAT FAHAM TENTANG KESANNYA   DALAM MEMBENTUK DISIPLIN DIRI SESEORANG.
OLEH ITU, SAYA MENYERU KEPADA KERAJAAN NEGERI   SUPAYA SEGERA BERTINDAK   UNTUK MENGHIDUPKAN SEMULA PASUKAN  J.V.F.  BAGI MEMBERI PELUANG KEPADA SEMUA BANGSA JOHOR   MEMILIKI UNIFORM DAN BERBANGGA MENJADI SEORANG YANG BERDISIPLIN.
NAMUN PEMILIHAN AHLI-AHLINYA NANTI, MESTI MENGIKUT SYARAT-SYARAT DAN TAPISAN KESELAMATAN YANG DITETAPKAN. PASUKAN J.V.F. INI KELAK   AKAN DILATIH OLEH PASUKAN J.M.F. DAN BOLEH DIPANGGIL UNTUK BERKHIDMAT   DALAM PERTAHANAN AWAM APABILA DIPERLUKAN.

SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN,
PADA KESEMPATAN INI JUGA   SAYA INGIN MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN   KEPADA SEMUA ANGGOTA PASUKAN POLIS DIRAJA MALAYSIA   YANG SENTIASA MEMIKUL AMANAH DENGAN PENUH DEDIKASI DEMI MENCURAHKAN KHIDMAT BAKTI KEPADA AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.
  TIDAK DILUPAKAN JUGA   KEPADA ANGGOTA POLIS YANG TELAH TERKORBAN   SEMASA MENJALANKAN TUGAS   DEMI MEMIKUL TANGGUNGJAWAB   DAN MENGHARUMKAN NAMA BAIK P.D.R.M.
 MARILAH KITA BERDOA KEHADRAT ALLAH S.W.T.   SEMOGA ROH MEREKA DICUCURI RAHMAT    DAN DITEMPATKAN DI KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN. 

AKHIR KATA, SAYA MENGUCAPKAN TAHNIAH   DAN BERBANYAK TERIMA KASIH   KEPADA SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT   DALAM MENGANJURKAN MAJLIS PERASMIAN PADA HARI INI.  

DENGAN LAFAZ:   BISMILLAH HIRRAHMAN NIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA   MERASMIKAN PEMBUKAAN GALERI DARURAT BUKIT KEPONG,  PADA HARI YANG BERSEJARAH INI.

SEKIAN   WABILLAAHI TAUFIQ   WALHIDAAYAH   WASSALAAMU ALAIKUM   WARAMATULLAAHI WABARAKAATUH.