Tuesday 25 March 2014

#TakziahMH370: Antara Penantian dan Harapan



Malaysia Airlines dengan penuh rasa kesal ingin memaklumkan bahawa kami terpaksa menganggap bahawa MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Seperti yang akan anda dengar tidak lama lagi daripada Perdana Menteri Malaysia, analisis baru data satelit membayangkan pesawat itu jatuh di selatan Lautan Hindi.


Bagi pihak semua kami di Malaysia Airlines dan seluruh rakyat Malaysia, doa kami kepada semua insan tersayang kepada 227 penumpang dan 12 sahabat serta rakan kerja kami pada saat-saat yang sukar ini.

Kami tahu tidak ada kata-kata yang boleh kami atau sesiapa pun ucapkan untuk meringankan kepedihan itu. Kami akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada anda, seperti yang telah kami lakukan sejak MH370 mula-mula hilang pada awal pagi 8 Mac lalu semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Operasi mencari yang sedang dijalankan oleh pelbagai negara akan diteruskan sementara kita mencari jawapan kepada persoalan yang masih belum berjawab. Di samping usaha mengesan MH370, ada juga satu siasatan menyeluruh yang kami harapkan akan memberikan jawapan itu.

Kami juga ingin memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan terus memberikan anda sokongan penuh untuk mengharungi minggu-minggu dan bulan-bulan yang akan datang.

Sekali lagi, dengan penuh rendah hati kami panjangkan ingatan, doa dan takziah yang penuh ikhlas kepada semua yang terjejas dengan tragedi itu.



Kenyataan Rasmi Perdana Menteri :
Petang ini saya telah diberikan taklimat oleh wakil daripada Badan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB). Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan, telah menjalankan perkiraan lanjut ke atas data berkenaan.
Menggunakan satu bentuk analisis yang belum pernah digunakan dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberikan beberapa petunjuk yang lebih jelas mengenai laluan penerbangan pesawat  MH370.
Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa pesawat MH370 telah terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang lokasi pendaratan. Oleh itu dengan perasaan yang amat sedih dan terharu, menurut data terkini yang diperolehi, saya ingin memaklumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Kami akan mengadakan satu sidang media esok (Selasa) bagi memberikan butiran lanjut. Buat masa ini, kami akan terus memaklumkan tentang perkembangan baru ini secepat yang mungkin. Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada keterbukaan dan menghormati ahli keluarga yang terlibat, dua prinsip yang sentiasa menjadi panduan dalam siasatan ini.
Malaysia Airlines sudah berhubung dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal untuk memaklumkan kepada mereka perkembangan terbaru ini. Buat mereka, beberapa minggu lepas merupakan masa yang amat memilukan;  saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media agar menghormati privasi mereka dan memberikan mereka sedikit ruang yang amat diperlukan di saat-saat sukar seperti ini.

No comments:

Post a Comment