Sunday, 21 August 2016

Bersetialah dalam UMNO tanpa takut untuk berkata benar



Ucapan YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh.
Tuan-tuan dan Puan-puan
1. Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, atas jemputan pada hari ini. Saya berasa sangat bertanggungjawab untuk hadir.
2. Saya tahu betapa terkesannya UMNO Pagoh susulan beberapa episod yang mendukacitakan, yang melibatkan pemimpin penting bahagian ini.
3. Maka kerana itu, saya perlu hadir. Sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri, saya mesti tampil ke hadapan. Dan memikul tanggungjawab untuk menjelaskan pendirian UMNO Johor dalam isu yang melibatkan Ketua UMNO Pagoh.
4. Tetapi sebelum saya pergi lebih jauh. Biarlah saya nyatakan satu perkara. Betapa sejujurnya, saya berasa begitu janggal sekali, berkunjung ke Pagoh, tanpa kehadiran dan melihat kelibat Tan Sri Muhyiddin.
5. Pagoh ini sudah terlalu sinonim dengan beliau. Saya secara peribadi, menganggap Tan Sri sebagai sahabat, sebagai rakan seperjuangan dan bekas ahli parti yang sangat berjasa. Berjasa pada UMNO, berjasa pada Pagoh dan Johor. Berjasa pada agama dan negara.
6. Beliau sudah lama mengabdikan dirinya untuk perjuangan agama dan bangsa melalui UMNO. Bukan sehari atau semalam dua. Tetapi, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.


7. Jadi tidak pelik kalau Tan Sri Muhyiddin adalah seorang yang sangat dekat di hati, sangat dikasihi dan disanjungi oleh warga Pagoh.
8. Dalam hal ini, UMNO Johor berpendirian bahawa, walau apa pun yang telah terjadi antara Tan Sri Muhyiddin dengan UMNO, kita tidak akan sesekali melupakan jasa beliau selama ini.
9. Kita pasti akan mengenangnya. Kita tidak akan melupakan sahabat. Kita akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada kita.
10. Kerana, inilah cara kita di Johor. Johor yang mengamalkan politik matang, politik berpendirian.
11. Dan yang lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik. Hanya kerana perbezaan pandangan dan pendirian.
12. Kita mesti terbuka dan menerima hakikat. Bahawa Tan sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri. Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau.
13. Dan kita pula memilih untuk setia dengan pendirian dan prinsip kita. Setia dengan haluan dan kesatuan kita. Tanpa mengalah dan berputus asa dengan segala cabaran dan kesukaran yang terpaksa kita tempuhi.
14. Bukan kerana kita ini feudal. Bukan kerana kita mendambakan kuasa, kedudukan atau pengaruh. Bukan.
15. Tetapi kerana hidup berprinsip dan berpendirian itu adalah mulia. Harus kita berpijak di tanah. Dengan tegas, dengan tetap, dengan berpendirian.
16. Janganlah kita sesekali meminjam resmi kiambang. Yang hidupnya hanya terapungan di permukaan air. Sekadar mengikut gelombang. Akarnya tak cecah ke bumi. Pucuknya jauh menggapai awan.
17. Dan yang lebih penting, kita memilih pendirian ini bukan kerana suka-suka. Tetapi kerana kita mempunyai sebab-sebab kita yang tersendiri. Yang hanya kita tahu dan faham.
18. Pertama, kerana UMNO ini, wadah yang kita sendiri bina.
19. Wadah yang meletakkan kita semua ini pada kedudukan sekarang. Kedudukan terbaik dalam sejarah pembangunan bangsa Melayu. Malah dalam sejarah perjalanan kita sebagai sebuah negara moden yang stabil.
20. Wadah inilah yang memberikan kita nikmat kemerdekaan. Wadah inilah yang memberikan makna pada sebuah kebebasan dan harga diri.
21. Wadah inilah yang membolehkan pelbagai dasar, pelbagai program, pelbagai insentif, diperkenalkan untuk memajukan orang Melayu. Membangunkan bangsa dan agama.
22. Jadi, mana mungkin kita sanggup meninggalkan wadah ini begitu sahaja. Hanya kerana ada pergeseran. Hanya kerana ada perbezaan.
23. Kita ini bukan anak-anak kecil. Yang menyangka bahawa hidup ini hanyalah tentang kegembiraan dan perkara-perkara yang manis. Kita bukan anak-anak kecil yang melihat perbezaan itu sebagai permusuhan yang hakiki.
24. Kita ini adalah generasi pewaris kepada sebuah wadah yang mengumpul kekuatan dan kesatuan orang Melayu.
25. Walau apapun perbezaannya dan biar sehebat manapun ribut dan gelora politik yang melanda, wadah inilah yang selama ini menjadi pengikat untuk kita bergerak. Dalam kerangka demokrasi dan membentuk Malaysia yang moden dan berkemajuan.
26. Lalu, mana mungkin wadah UMNO ini, boleh kita buang dan tinggalkan begitu sahaja.
27. Kedua, pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO Johor, insyaAllah, akan kita pertahankan.
28. Dalam politik, ia sudah menjadi lumrah. Bahawa akan ada sahaja pemimpin yang memilih untuk meninggalkan kita. Sudah resam. Akan ada yang datang. Akan ada yang pergi. Akan ada yang meninggalkan. Akan ada yang tewas.
29. Namun yang pasti, semua pemimpin, semua ahli, mesti sedar bahawa UMNO ini bukan milik peribadi. Ia juga bukan kisah tentang seorang individu.
30. Ia adalah institusi, yang lebih basar dari mana-mana kehebatan seorang pemimpin. Ia lebih gah dari pesona hebat seorang negarawan.
31. Maka berlapang dadalah bila ada pemimpin yang tidak lagi bersama kita. Bersabarlah.
32. Tidak ada siapa yang kekal selama-lamanya. Ingat saudara-saudari, Rasulallah SAW juga wafat dan meninggalkan kita. Tapi Islam itu tetap sampai kepada kita, menerangi nurani kita, memuliakan darjah keinsanan kita.
33. Demikian jugalah dengan UMNO. Pengasasnya telah lama pergi. Ribuan pemimpin dan pendukung terhebatnya juga telah berpulang, meninggal atau tersingkir. Namun UMNO kekal sehingga kini, dari generasi ke generasi, zaman ke zaman.
34. Dengan membawa pencerahan, dengan menyeru kepada persaudaraan dan dengan ideologinya yang murni. Untuk mencipta kebaikan pada bangsa dan agama.
35. Ketiga, kalau kita selaku orang Melayu, ahli UMNO, tidak mempertahankan UMNO, siapa lagi yang akan melakukannya?
36. Sejak kita merdeka sehinggalah hari ini, Malaysia sudah menyaksikan pelbagai kejayaan dan kemajuan. Dan kita sedar, kesemua ini adalah hasil sumbangan besar dan perjuangan tulus para pendiri bangsa terdahulu.
37. Namun, kebanyakan kita hari ini hanya mampu mendengar sahaja tentang mereka. Tentang perjuangan mereka, tentang cerita kerja keras mereka serta doa mereka untuk bangsa dan tanahair ini.
38. Kita tidak pernah bertemu dan tidak akan pernah dapat bersua wajah dengan mereka.
39. Namun, satu-satunya perkara yang masih ada, yang menghubungkan kita dengan mereka, selain daripada tanahair yang merdeka dan makmur ini, adalah UMNO. UMNO adalah merupakan warisan dan peninggalan dari mereka untuk kita.
40. Sebagai sebuah wadah plitik Melayu moden, yang bukan sekadar untuk ditatap dan dikenang-kenang. Tetapi untuk terus diperjuangkan. Agar kekal, agar berkelangsungan. Agar ia dapat terus berbakti kepada bangsa, agama dan tanahair ini.
41. Maka, kepada seluruh orang Melayu, hanya satu seruan dan peringatan dari saya. Betapa kita punya tugas dan tanggungjawab. Untuk terus mempertahankan parti ini.
42. Kerana membela dan mendukung sebarang pergerakan yang membaiki watan, dengan perjuangan agama itu sendiri, bukanlah kutub yang terpisah.
43. Dalam dunia yang semakin berubah. Dengan persekitaran yang semakin global. Sudah tidak ramai lagi yang mempunyai perasaan yang sentimental dengan UMNO.
44. Janganlah kita lupa, pelita UMNO inilah yang selama ini menerangi kita. Dan hanya kerana nyalaan pelita ini semakin malap, janganlah kita mengambil jalan mudah untuk terus memadamkannya sahaja.
45. Terpadam dan dibiar menjadi sekadar perhiasan di dinding-dinding khutub khanah, atau ditatap ceritanya dalam cerita buku sejarah.


46. Maka kalau kita, ahli UMNO, juga mahu terus menerus marahkan UMNO, mahu meninggalkan UMNO, mahu melupakan UMNO, maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membela dan mempertahankan UMNO ini?


Tuan-tuan dan Puan-puan;
47. Suatu ketika dulu, saya sendiri pernah hampir tersingkir dari UMNO. Saya pernah diberikan surat tunjuk sebab untuk menjawab kenapa tindakan disiplin tidak perlu diambil terhadap saya. Guru dan mentor politik saya sendiri, Tan Sri Shahrir pula digantung.
48. Kami tidak tahu apa kesalahan kami pada waktu itu. Tapi kami setia dengan UMNO. Kami tidak pernah meninggalkan UMNO.
49. Sebaliknya, kami membina semula keyakinan kepada UMNO dan bersungguh-sungguh mempertahankan keahlian kami dari UMNO.
50. Kerana kami amat yakin, bahawa UMNO itu bukan masalah sebenar. Parti tidak bersalah.
51. Tetapi hanya orang-orang tertentu yang menjadi punca masalah. Dan segelintir orang-orang tertentu yang menjadi punca itu tidak seharusnya dianggap mewakili UMNO secara keseluruhannya. Tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita pula yang meninggalkan UMNO.
52. Jadi sebab itulah bila saya hadir pada hari ini, saya sangat mengerti perasaan tuan-tuan dan puan-puan. Ada yang masih bersedih, ada yang marah, ada yang juga sudah mula bergerak ke hadapan dan segera meninggalkan kemelut ini di belakang.
53. Biar apa pun perasaan dan sentimen yang tuan-tuan rasakan, kesemuanya adalah sesuatu yang kita hormati dan fahami.
54. Akan tetapi, saya sekadar ingin menyatakan dengan jelas. Kita harus mula menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telahpun memilih jalan lain.
55. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan tindakan tersebut, UMNO ini janganlah sesekali kita korbankan.
56. Nasihat saya, janganlah kita terbawa-bawa dengan perasaan dan sentimen kita. Risalah UMNO ini lebih besar dari pesona mana-mana pemimpin. Perjuangkan risalah ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
57. Saya hadir hari ini pun kerana saya ingin menjadi penengah. Tugas saya ialah untuk berusaha mencari jalan terbaik, jalan damai, jalan yang meredakan segala amarah. Di Pagoh ini.
58. Dan saya ingin sekali mengajak semua yang hadir. Marilah kita kembali kepada landasan yang telah kita sepekati dari dahulu.
59. Bahawa UMNOlah satu-satunya wadah yang mesti kita perjuang dan pertahankan. Biar apa pun perbalahan antara kita.
60. Kerana UMNO yang lemah akan menyebabkan Malaysia lemah. UMNO yang kucar kacir akan menyebabkan negara tercicir. UMNO yang tercedera, akan melumpuhkan perjalanan pembangunan tanah air kita.
61. Lebih-lebih lagi sekarang ini. Saat negara berhadapan dengan begitu banyak sekali cabaran yang kompleks, besar dan luar biasa. Baik dari aspek politik kepada isu ekonomi, daripada aspek kesejahteraan sosial sehinggalah kepada krisis kepimpinan.
62. Dalam keadaan sebegini, sudah pastilah Malaysia memerlukan pencerahan dan inspirasi politik yang mampu memimpin kita untuk mendepani semua cabaran ini.
63. Malaysia memerlukan ‘kebangkitan nasional’. Di mana seluruh Malaysia, berpadu, bersekutu, sebagai sebuah bangsa, mewujudkan kesejahteraan yang lebih baik untuk Malaysia.
64. Dan ini hanya boleh berlaku melalui tindakan politik.
65. Kerana hanya inspirasi politik sahaja yang akan mampu mencipta kebangkitan nasional untuk memacu kejayaan Malaysia yang lebih besar, lebih hebat, lebih bersatu.
66. Dan ia mesti datang dari UMNO. UMNO yang lebih berpadu. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih berkemajuan.
67. Jadi, marilah kita gembleng segala kudrat yang kita ada. Untuk kembali bertaut. Kembali berpadu. Bagi memastikan UMNO itu menjadi lebih berkemajuan. Lebih berdaya saing. Tidak berpecah-belah.
68. Dan UMNO yang sebegini dapat menjadi inspirasi kepada segala pencerahan yang Malaysia perlukan. Dan melalui inspirasi ini, Malaysia akan mampu menangani segala cabaran yang mendepaninya.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
69. Ramai sekali yang memberitahu saya. UMNO ini sudah tersasar. Ramai yang putus harapan dengan UMNO. Ramai yang merasakan perjuangan UMNO sudah sangat jauh dari nadi sebenar ideologinya.
70. Dan mereka berpandangan bahawa UMNO berada di persimpangan paling getir dalam hayat kewujudannya.
71. Saya mendengar ini semua dengan berlapang dada. Saya juga mengakui banyak kebenaran dari ini semua. Tetapi sekadar mengungkapkan berkali-kali segala kelemahan ini, tidak akan menyelesaikan masalah.
72. Malah meninggalkan UMNO juga bukanlah alternatif yang akan menjernihkan keadaan.
73. Lalu kita hanya ada satu pilihan iaitu memulihkan kembali wibawa UMNO ini. Sedikit demi sedikit. Setapak demi setapak.
74. Kerana, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk kita meninggalkan UMNO begitu sahaja setelah apa yang UMNO berikan kepada kita semua. Setelah kita menikmati segala kebaikan dari wadah ini.
75. Kerana itulah di Johor ini, jalan kita ialah jalan pengislahan. Kita ingin mencipta aliran baru dalam UMNO. Kecergasan baru. Citra baru. Dan kita sedang giatkan pelbagai ikhtiar untuk itu.
76. Kerana kita sangat yakin, banyak lagi bait-bait yang baik dalam UMNO ini. Banyak lagi keunggulan yang tidak terlihat dan tertonjol.
77. Barangkali kerana kita terlalu sering menggunakan watak dan peribadi beberapa pemimpin UMNO sahaja, sebagai rujukan dan sandaran untuk kita menyimpulkan bahawa UMNO itu sudah tersasar.
78. Pastinya hujah seperti itu sangat tidak mencukupi untuk menghukum UMNO secara keseluruhan. Kerana seperti yang saya nyatakan dari awal, dan dalam banyak forum sebelum ini, UMNO itu lebih besar dari pesona beberapa orang pemimpinnya.
79. Kerana itulah, UMNO Johor gigih dalam usaha pengislahan UMNO ini.
80. Agar ia kembali didukung oleh bakat terbaik. Kembali diuruskan dengan sistem termaju. Dan kembali memfokuskan kepada memberi khidmat dan dharmabakti paling luhur pada bangsa.
81. Semoga, dengan doa-doa mereka yang soleh, yang pernah dibantu oleh UMNO, yang mendapat kebaikan dari perjuangan UMNO, akan terjelmalah keberkatan yang akan menyerlahkan sisi baik UMNO sebagai sebuah pergerakan siasah.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
82. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengajak semua ahli UMNO Pagoh, untuk terus mendukung UMNO. Mendukungnya dengan keberanian, dengan kebenaran, dengan prinsip.
83. Bersetialah dalam UMNO tanpa takut untuk berkata benar. Bersetialah dalam UMNO dengan tidak mengorbankan prinsip kita. Bersetialah dalam UMNO dengan teguh pada pendirian.
84. Ingatlah kata kata Almarhum Pramoedya Ananta Toer, sasterawan ulung Indonesia betapa “Dalam hidup, cuma ada satu yang kita punyai, iaitu keberanian. Kalau itu kita tidak punyai, apalah harga hidup ini”.

Sekian, terima kasih.



Friday, 20 May 2016

Ingatlah, pendiri bangsa mewariskan UMNO pada kita - Datuk Mohamed Khaled Nordin

Ucapan YAB Dato’ Mohamed Khaled Nordin
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar Johor
Sempena Sambutan Ulangtahun UMNO Ke 70 peringkat negeri Johor




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Muafakat Johor
Politik yang mendukung demokrasi tetapi dipandu dengan kekuatan tauhid. Politik yang progresif, tetapi mendukung dan memuliakan syair Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,Terima kasih atas masa dan kesempatan yang diluangkan untuk hadir pada malam ini. Saya sangat senang melihat ahli kita berkumpul beramai-ramai seperti ini.

Yang berjawatan atau tidak, yang muda dan veteran, yang baharu dan lama, semuanya duduk berdampingan. Bertanya khabar, bermesra dan berdoa bersama-sama.

Perkara ini amat mengingatkan kita kepada siapa dan apa itu UMNO sebenarnya. Inilah UMNO tuan-tuan.

Satu matan yang mengikat anak bangsa. Dengan satu kepercayaan bahawa kita harus hidup dengan cara yang baik, cara yang merdeka, cara terhormat dan cara bermaruah.

Satu wadah yang memberi ruang untuk anak bangsa. Bangkit dan membela agama dan tanahair sendiri. Dengan cara yang bertamadun, dengan cara yang mengangkat persaudaraan dan persahabatan.

Dan inilah yang diperjuangkan oleh UMNO selama ini. Tiada yang lain.

Jadi, bersempena dengan kesempatan meraikan usia UMNO yang sudah mencecah 7 dekad ini, saya ingin menyentuh beberapa perkara.

Perkara yang saya harap akan mengingatkan kembali kepada kita semua. Tentang siapa UMNO dan siapa kita. Dan setelah UMNO membawa kita semua ke sini, ke mana pula harus kita bawa UMNO ini.


Saya pecahkan perkara yang ingin saya sentuh pada malam ini kepada 3 perkara.

Pertama, perjuangan membela bangsa dan negara atau hizbul watan adalah satu tugas dan kewajipan agama.

Pernah atau tidak kita bertanya, mengapakah orang yang melarikan diri daripada amanah berperang demi agama dan tanahair amat dikecam dalam Islam?

Mengapa pula kecintaan kepada negara atau hubbul watan itu dikira sebagai sebahagian daripada iman?

Dan mengapa pula mereka yang syahid di medan perang yang benar, adalah jiwa yang diangkat tinggi di sisi Allah SWT?

Ketiga-tiga perkara ini sebenarnya menjurus kepada satu kesimpulan yang sama. Yakni betapa membela agama dan tanahair itu adalah tuntutan agama.

Dan betapa kita ini harus menerima dan menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik, dengan ikhlas dan dengan bersungguh-sungguh.

Kita disaran untuk memberi dengan sebanyak-banyaknya pada perjuangan yang benar dan murni. Malah, kita harus memikul tanggungjawab mengajak dan meyakinkan orang di sekeliling kita untuk turut serta dan bersama-sama memberi kepada perjuangan ini.

Ini semua kerana, perjuangan membela bangsa dan tanahair itu selari dengan ajaran agama. Kedua-duanya adalah kutub yang tidak terpisah dan tidak saling bercanggahan.

Sebaliknya, kedua-duanya adalah jalan yang seiring. Yang memimpin kita untuk menjadi bangsa yang lebih baik dan penganut agama yang lebih mendalam keimanannya.

Dan kerana pentingnya peranan agama dalam perjuangan UMNO, maka sudah sampai masanya UMNO memikirkan jalan kehadapan. Bagaimana ideologynya yang nasionalis itu, dapat menjadi instrumen menterjemahkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Yakinlah, masa depan UMNO sangat bergantung pada bagaimana UMNO memperjuangkan politik yang berasaskan Islam. Atau apa yang saya panggil politik Islam.

Sebabnya mudah. Kerana Islam itulah yang memberikan identiti pada bangsa Melayu.

Dalam satu kajian, hampir 70 peratus orang Melayu memberikan identiti mereka sebagai seorang Islam dahulu dan kemudian baru memperkenalkan diri mereka sebagai bangsa Melayu.

Tidaklah mustahil, satu hari nanti, orang Islam akan berfikiran bahawa, tidak menjadi kerugian jika mereka tidak punya UMNO, tetapi siapalah orang Melayu tanpa Islam.

Dan ingatlah, Islam juga yang mendorong orang Melayu menjadi bangsa yang rasional, bangsa yang berkemajuan.

Maka jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO mesti mengangkat politik Islam sebagai agenda masa depannya.


Politik yang menganjurkan pemikiran berkemajuan dan disandarkan dengan nilai-nilai keadilan, pertanggungjawaban, keterangkuman dan kesaksamaan. Nilai dan pegangan Islam secara total dan syumul.

Maka UMNO mesti membuka ruang seluasnya untuk mendakap politik Islam sebagai lebaran baru perjuangannya. Bukan sekadar menjaga kepentingan dan melindungi hak Melayu.

Setelah 70 tahun, kita tidak mahu Islam hanya pelengkap kepada perjuangan dan ideologi nasionalis kita.

Kita mahu, ideologi nasionalisme kita yang menjadi instrumen mempersembahkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Kerana kita tidak mahu Islam dipolitikkan dengan cara PAS. Yang hanya dijadikan instrumen untuk mencapai kepercayaan dan pengaruh dari masyarakat semata.

UMNO mesti menjadikan Islam dan politik yang kita perjuangkan, yang kita dukung, membuahkan sebuah masyarakat, dan sebuah negara yang benar–benar progresif.

Negara dan bangsa yang mendapat limpah rahmat dan pengampunan illahi. Yang menjadikan Islam sebagai inspirasi, pedoman dan matlamat akhirnya. Untuk membina sebuah bangsa dan negara yang berjaya.

Kedua, tiada tarikh akhir atau titik henti dalam berbakti kepada agama bangsa dan negara.

Ada orang bertanya kepada saya. Sampai bila saya mahu menghabiskan masa untuk UMNO, mengabdikan diri untuk orang Melayu? Tidak penatkah? Tidak berfikir untuk berhenti rehatkah? Sampai bila?

Jawapan saya mudah. Selagi saya mampu, selagi kudrat masih bersatu dengan jasad, saya akan tetap teruskan. Saya tidak akan pernah berhenti.

Kerana saya percaya, perjuangan yang benar, perjuangan yang suci, tidak ada tarikh luputnya. Jangan sesekali kita yang cuba mahu meletakkan titik akhir kepada perjuangan tersebut.

Berbakti itu bukan sahaja pada masa kita muda. Dan apabila sudah berumur, kita boleh melepaskan tanggungjawab kita untuk terus menyumbang. Itu adalah pemikiran yang salah.

Kita harus sentiasa memberi kepada agama dan bangsa. Biarpun usia kita sudah lanjut. Biarpun sudah tidak berjawatan. Dan biarpun hasil pemberian kita itu tidak akan sempat pun untuk kita lihat dan nikmati. Itu semua tidak penting dan tidak seharusnya menjadi pertimbangan.

Tuan-tuan, saya benar-benar ingin menyeru. Dengan penuh rasa insaf dan rasa rendah diri. Selagi nyawa kita dikandung badan, berpenat-penatlah untuk agama dan bangsa.

Marilah kita mengerah segala kudrat yang ada. Menggembleng dan mencanai segala idea dan pemikiran yang baik. Dan merapatkan segala persahabatan dan persaudaraan antara kita.

Agar kita kuat dan dihormati seperti dahulu dan agar kita sentiasa boleh terus memberi kepada parti, kepada bangsa dan kepada agama.

Benar, kita akan penat dan letih. Malah dalam kebanyakkan hal, apabila kita berpecah dan berselisih, kita akan kecewa dan sedih.

Tetapi, percayalah, itu semua sudah lumrah. Lumrah yang tidak boleh kita sangkal dan sanggah. Kita tetap harus berkerja keras untuk parti dan agama.

Dunia ini bukan masa untuk berehat. Dunia ini bukan perjalanan yang mudah untuk mereka yang mahu berbudi dan berbakti.

Dunia ini bukannya pentas dan tempatnya untuk kita mengumpul pengiktirafan dan puji-pujian.

Namun, jika suatu hari nanti kita pergi dengan budi yang baik, dan dengan amal bakti yang membukit, pasti kita akan dapat berehat panjang dan tenang. Menunggu masa untuk dibangkitkan kembali dan bertemu dengan Pencipta Yang Maha Esa.

Dan apa-apa sahaja perhitungan dan balasan dari-Nya selepas itu, kita hanya mampu berserah. Kerana segala ganjaran itu bukan urusan kita. Kita hanya mampu berdoa diterima dan diberikan yang terbaik.

Ketiga, Johor dan UMNO adalah entiti yang saling mengukuhkan.

Kita di Johor ini akan sentiasa mempunyai perasan yang sedikit berbeza dengan orang lain apabila bercakap tentang UMNO. Kita akan ada sedikit rasa sensitif, rasa bangga dan rasa kepunyaan apabila kita sebut dan bercakap tentang UMNO.

Barangkali kerana, di bumi Johor inilah, para pendiri bangsa semasa generasi nenek moyang kita dahulu menubuhkan UMNO. Di bumi Johor inilah UMNO dikembangkan dan diberi penghormatan.

Sehinggalah UMNO menjadi besar, menjadi daya yang akhirnya mendatangkan pula penghormatan kepada kedudukan orang Melayu.

Jadi, kita tidak boleh lari daripada menerima dan menggalas peranan dan tanggungjawab untuk terus mempertahankan parti ini. Dengan cara kita, cara Johor.

Malah, kita harus tampil dan bangkit memberi peringatan kepada seluruh orang Melayu untuk bersama-sama dengan kita mempertahankan UMNO. UMNO yang selama ini mempertahankan kita.

Dan kalau kita gagal melakukannya, malulah buat kita semua tuan-tuan. Malu.

Malu kerana kita tergamak membiarkan sahaja apa yang telah kita lahirkan dan besarkan untuk bangsa, agama dan tanahair, berkubur begitu sahaja.

Malu kerana kita tergamak hanya berpeluk tubuh melihat orang Melayu bercakaran dan berpecah kerana kita memutuskan tali yang selama ini mengikat kita semua.

Ingatlah, pendiri bangsa mewariskan UMNO pada kita. Tujuannya hanya satu. Agar ia membuahkan kebaikan kepada bangsa melayu dan Islam. Zaman berzaman.

Maka kita berkewajipan untuk menghidup-hidupi UMNO ini. Agar ia terus mendatangkan kebaikan pada bangsa dan agama. Dan jangan sesekali kita mencari penghidupan dengannya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jadi pada malam ini, marilah kita bersama-sama menadah tangan dan berdoalah dengan tulus, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Semoga segala yang keruh, Allah jernihkan kembali. Yang lemah, Allah kuatkan kembali.

Mana yang terlupa, akan diingatkan. Mana yang tersasar, akan dipimpin pulang ke jalan yang betul. Mana yang marah dan bergeseran, akan kembali memaafkan dan timbul semula rasa kasih terhadap sesama saudara. Mana yang cuba merosak dan memusnahkan, akan diberi kesedaran dan keinsafan.

Setelah kita padukan segala ikhtiar dan usaha yang termampu, hanya doa yang ikhlas inilah yang boleh menjadi benteng kuat kepada kita. Hanya doa yang ikhlas inilah yang boleh menjadi senjata kita semua. Semoga doa kita semua diterima dan makbulkan oleh-Nya, insyaAllah.



Sekian, terima kasih.

Wednesday, 20 April 2016

Berani ke Selangor & Pulau Pinang turunkan harga rumah?

MB Johor Cabar Selangor, Pulau Pinang Turunkan Harga Rumah

ISKANDAR PUTERI, 20 April – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mencabar negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menurunkan harga rumah mampu milik di negeri masing-masing.

“Kita tetap mengatakan bahawa kita kekalkan rumah harga RM42,000, RM80,000 dan RM150,000. Tunjuk pada saya di Selangor dan Pulau Pinang, boleh tak buat macam itu? Saya cabar turunkan harga sekarang.”

“Dari segi soal rumah, kita “walk the talk”. Walaupun kita ada banyak rumah yang harga mahal di sini, memanglah itu perlu dilakukan kerana setiap rumah yang harga mahal, kita boleh gunakan untuk lakukan ‘cross subsidy’. Kalau kita tidak ada penjualan rumah mahal, bagaimana kita hendak banyakkan rumah yang boleh kita beri subsidi untuk membolehkan rakyat kita membeli?”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Tan Hong Pin (Mengkibol - DAP) yang bertanyakan langkah kerajaan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup, terutama bagi aspek perumahan akibat harga hartanah yang melambung tinggi.

Tambah Mohamed Khaled, keseimbangan pembangunan adalah penting dalam usaha memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemajuan yang diinginkan.

“Adakah kita nak di Johor Bahru ini semua rumah kos rendah? Johor Bahru jadi ‘slum’? Dan sudah tentulah Johor Bahru tidak akan menjadi metropolis bertaraf antarabangsa, semuanya ‘slum’ jika begitu. Jadi kita perlukan perimbangan, di sinilah kerajaan Barisan Nasional pandai dan berjaya buat perimbangan. ”

Walaupun soal penyelarasan gaji akan dipertimbangkan Kerajaan Negeri, namun usaha-usaha sedia ada bagi menangani kos sara hidup di Johor tetap menjadi keutamaan pentadbiran.

Menurut Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, sebahagian besar daripada perbelanjaan sara hidup rakyat ditelan untuk perumahan, pengangkutan dan makanan.

“Kita lihat di Negeri Johor, ketiga-tiga perkara ini kita sedang beri perhatian yang sangat serius. Dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang begitu pesat dalam Negeri Johor, saya ingin nyatakan kita bukan sahaja sedang, tapi akan terus beri perhatian yang sangat mustahak kepada tiga soal ini.”

Mohamed Khaled menerangkan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membina 60,000 rumah mampu milik, dan bagi mereka yang layak, itu sudah tentu akan membantu mengurangkan perbelanjaan kos sara hidup mereka.

Malah, jumlah itu tidak termasuk jumlah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dibina oleh Kerajaan Pusat.

“Projek perumahan rakyat, kerajaan pusat sekarang sedang bina lagi 2,917 unit dan untuk tahun ini, PPR kita sedang buat di Pengerang dan juga di Bandar Tenggara, dan kita berusaha untuk sentiasa mendapat daripada Kerajaan Pusat, pembinaan yang lebih banyak. Semasa lawatan YAB Perdana Menteri pada tahun lepas, saya beritahu Johor hendakkan 20 ribu unit lagi.

Thursday, 7 April 2016

Sokongan Bangsa Johor Tanpa Berbelah Bagi





PETALING JAYA: Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor, Md Jais Sarday menegaskan, kontroversi yang menjadi viral berhubung kedudukan Menteri Besar Johor sepertimana yang disebut-sebut sekarang hanya menjadikan masyarakat resah dan gelisah sedangkan ia tidak berasas sama sekali.

"Isu ini hanya ditimbulkan oleh seorang pemilik Facebook dan oleh kerana dia kebetulan anak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, kata-katanya itu mencuri perhatian media sosial dan kemudian diviralkan oleh portal berita.

"Sedangkan seluruh kepimpinan Umno di Negeri Johor mendokong kepimpinan Datuk Mohamed Khaled Nordin sebagai Menteri Besar. 

"Selepas hampir tiga tahun menerajui kepimpinan negeri, Umno Johor tidak nampak sebab mengapa beliau harus ditukar dan dengan Gagasan Johor Berkemajuan yang dibawa oleh kepimpinannya, saya percaya dan yakin rakyat Johor tidak memerlukan khabar angin seumpama ini untuk menggugat kepimpinan negeri," ujarnya ketika dihubungi oleh mStar Online pada malam Rabu.

Menurut Jais yang juga exco kanan negeri, sebaliknya khabar angin dan desas-desus seperti ini hanya menjadikan rakyat jelata gelisah dan tertanya-tanya mengapa kepimpinan negeri perlu diganggu gugat dengan cerita-cerita tidak masuk akal seperti ini.

Kesungguhan kerajaan negeri, kata Jais, untuk mengatasi isu perumahan rakyat, kos sara hidup, pendidikan dan keusahawanan negeri semuanya adalah inisiatif di bawah kepimpinan Mohamed Khaled sepanjang tiga tahun beliau menerajui kerajaan negeri.

"Kini dengan Gagasan Johor Berkemajuan yang baru dilancarkan bulan lalu, rakyat sudah pastinya tidak mahu melihat apa yang dirancang untuk dilaksanakan itu diganggu gugat oleh isu-isu kontroversi seperti ini," tambah beliau.



Menurut Jais, semua peringkat kepimpinan negeri daripada kerajaan negeri sehinggalah kepada peringkat jentera parti bekerja keras untuk meletakkan Johor sebagai negeri paling maju di Malaysia dan tidak mempunyai masa untuk berpolitiking tetapi malangnya usaha murni ini hendak dimusnahkan dengan isu picisan seperti ini.

Apa yang diperkatakan ramai ini pada pandangan Jais hanyalah satu pandangan peribadi seorang pemilik Facebook tidak lebih dari itu tetapi diperbesar-besarkan untuk mencuri kepentingan politik tertentu.

Sebaliknya kata Jais, urusan untuk menukar menteri besar kononnya bagi membolehkan seorang timbalan menteri mengambil alih jawatan tersebut tidaklah semudah yang diperkatakan.

"Jika benar orang yang akan menggantikan menteri besar adalah dari kalangan seorang timbalan menteri, ini bermakna dia adalah seorang ahli parlimen. Sebagai ahli parlimen, jika orang itu hendak dilantik sebagai menteri besar satu pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memberi laluan.

"Saya nak tanya siapa pulak yang akan dikorbankan di kerusi Dun untuk memberi laluan kepada calon ini. 

"Saya nak tanya dalam situasi semasa sekarang, logikkah semua ini terjadi?" tanya Jais lagi.

Oleh yang demikian katanya, dalam keadaan di mana Umno Johor sekarang paling stabil dan kukuh, janganlah ada tangan-tangan yang cuba untuk menggugatnya.

"Setiap minggu Umno Johor menggerakkan jentera parti di semua peringkat untuk memperkukuhkan kedudukan parti. Dalam erti kata yang lain, Umno Johor tiada isu dalam konteks kepimpinan dan semua patut terus bekerja ke arah itu.

"Dan ini telah diperakui dan dipersetujui dalam mesyuarat badan perhubungan yang lalu," kata Jais



Thursday, 8 October 2015

Mudahnya Generasi Muda Terpengaruh dengan Fitnah Yang Disensasikan - DARD

PUTRAJAYA – Generasi muda perlu lebih berhati-hati dalam menerima sesuatu berita sensasi yang masih belum tentu kesahihannya ujar Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata adalah ironi bagaimana fitnah terhadap kerajaan dalam isu TPPA lebih mudah tersebar berbanding berita-berita pembangunan negara yang diusahakan kerajaan selama ini.
Rahman Dahlan merujuk kepada fitnah yang tersebar di laman Facebook pro pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sudah menandatangani perjanjian TPPA tanpa membahaskannya di parlimen. 
“Itu adalah naluri manusia, namun generasi muda perlu mendisiplinkan diri supaya tidak mudah tertipu dengan fitnah yang disensasikan, jangan mudah percaya dengan berita sensasi yang tersebar di media sosial.” Ujar beliau
Beliau berkata jika generasi mempunyai persoalan mengenai kerajaan, mereka perlu membuka mulut dan bertanya, jangan hanya mendengar berita daripada sebelah pihak sahaja.“Tanya soalan kepada kerajaan, beri kritikan yang membina kerana itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi, malah kerajaan memang sentiasa mengalu-alukan suara dan pandangan dari generasi muda.” Kata Rahman Dahlan dalam program ‘Menteri Menjawab’ yang disiarkan secara langsung di RTM1 bertajuk ‘Patriotisme Generasi Muda’ pada Rabu malam.
Program tersebut di moderator oleh penceramah terkenal negara, Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah dan turut diserikan dengan dua panelis muda, iaitu Parlimen Belia WPKL, Suhail Mohamed Kamarudin dan YDP Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (UM), Fanitsyara Kam Phon.
Dalam pada itu, Rahman Dahlan memberitahu yang dalam masa terdekat ini Transformasi Kerajaan Tempatan akan dilancarkan.
Beliau berkata dengan kewujudan sistem kerajaan tempatan yang lebih efisyen ini, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan akan dapat membantu rakyat dengan lebih efektif.
“Saya cukup gembira tahun ini buat pertama kali saya dapat memujuk enam pihak berkuasa tempatan supaya menyiarkan perjalanan majlis ‘council meeting’ mereka secara langsung,
“Saya akan menyediakan bajet untuk kamera dan pembesar suara. Dengan cara itu rakyat akan dapat tahu dan faham apa yang dibincangkan dan bagaimana mereka hendak membelanja cukai-cukai yang dikutip di kawasan pembandaran tersebut.” Katanya.

Sumber: KLXpress

Tuesday, 22 September 2015

Bila Matlamat Menghalalkan Cara




DALAM politik, segala kemungkinan boleh berlaku. Kawan menjadi lawan. Lawan menjadi kawan. Pendek kata, untuk mendapatkan kuasa, segalanya boleh berlaku. Janganlah terlalu mempercayai. Baiah pun dipermainkan. Inilah realiti politik, tidak kira di mana kita berada.

Terbaru, PKR telah mencuri beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pas yang berpengaruh bagi mengukuhkan kedudukan kuasa mereka. Aneh! bukankah mereka lebih cenderung menyertai GHB atau PAN dari PKR sebelum ini? Sama-sama saksikan kehadiran mereka memberi kredit atau sebaliknya kepad PKR? Masalah dalaman PKR tidak kurang hebatnya. 

Ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor, ditendang keluar dari PKR, ada ura-ura mengatakan beliau mahu memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Pas cepat-cepat mengeluarkan kenyataan menolak, hanya kerana mahu menjaga hati kawan, supaya tidak menjadi lawan.

Tidak semena-mena, bila tiba giliran PKR, sudahlah tidak beritahu Pas, malahan membuat kenyataan akhbar secara terang akan kemasukan kedua tokoh tersebut dalam parti mereka. Lebih dahsyat, diumumkan bersekali dengan jawatan penting dan strategik yang diberikan. Terdesak sangatkah?

Inilah politik rakus, apabila Islam tidak menjadi asas, matlamat menghalalkan cara. Nampaknya, apa yang dinyatakan oleh Machiavelli, lebih 500 tahun lalu menjadi kenyataan. Demi kuasa, manusia sanggup lakukan apa jua cara, sekalipun terpaksa menikam rakan sendiri. Orang agama juga tidak berkecuali. Saya dapat merasakannya.

Tidakkah mereka takut dengan syurga neraka? Bukankah perkara ini yang menjadi buah mulut dan dijajakan ketika ceramah. Kenapa mudah sangat kita bercakap tetapi tidak mengotakan?

Makna politik yang begitu suci, telah tercemar dan ternoda dengan tangan-tangan jahat manusia. Inilah perkara yang perlu ditangani demi mengembalikan semula kesucian politik itu.

Lebih pelik lagi ada yang berani mengeluarkan fatwa sendiri. Baiah yang disumpahi, mahu dilanggar sesuka hati. Bila terkena batang hidung, mereka pun berkata, serahkan pada ALLAH, syurga neraka bukan terletak di tangan Pas. Sedapnya mulut!

Dahulu ketika mahu bertanding atas tiket Pas, kenapa tidak dibangkitkan soal ini? Sekian lama kewujudan Pas, pimpinan silih berganti, baiah terus disepakati.

Tiba-tiba apabila mereka mahu keluar daripada Pas, dengan mudah mahu membatalkan baiah tersebut dengan hanya merujuk kepada seorang dua mufti yang dirasakan memihak kepada mereka.

Apakah ulama yang selama ini berada dalam Pas, ilmunya tidak setanding mufti pada hari ini? Apakah ilmu kalangan mereka yang masih hidup atau telah pergi, tidak setanding mufti Perlis misalnya? Siapakah ulama siku lutut? Saya masih tercari-cari.

Maka, benarlah kata Hans J. Morgenthau, apabila kebenaran mengancam kuasa, kuasa mengancam kebenaran, truth threatens power, and power threatens truth, maka segala cara akan dicari untuk menghalalkannya.

Inilah dilema Melayu. Mereka telah ditimpa masalah. Tetapi jalan keluar masih tidak dicari. Terus menyalahkan orang lain, hasil masalah yang dicipta sendiri.

Saya tidak nafikan orang lain turut menimbul dan memberikan masalah, seperti ultra kiasu.

Terbaru, gara-gara pilihan raya kampus, seorang pemimpin pelajar, 22 tahun, mengalami kecederaan selepas diserang menggunakan senjata tajam dan disimbah cat, dalam kawasan kampus sendiri. Apa sudah jadi dengan Melayu, kerana kuasa, sehingga dalam kampus pun mereka masih ‘tikam-menikam’.

Adakah troli yang disamak boleh mengembalikan kekuatan orang Melayu?

Perhimpunan Baju Merah 16 September 2015 adalah perhimpunan Melayu. Seramai mana pun baju merah turun, sehingga menenggelamkan bandar raya Kuala Lumpur, ia masih belum meyakinkan saya kekuatan Melayu yang sebenar, kerana realitinya Melayu tidak kuat akibat perpecahan.

Jika sekadar mahu menunjukkan bilangan baju merah yang turun lebih ramai daripada kuning, memang tidak ada masalah. Kerahkan mereka turun, bagi bas dan sedikit habuan, melambak mereka turun. Apa yang kita dapat selepas itu?

Apa guna merah kelihatan banyak jika tidak bersatu, berbanding kuning yang lebih sedikit tetapi bersatu, realitinya? Kuning tidak akan takut kepada merah selagi merah tidak bersatu.

Air mata saya mengalir membaca kata-kata Musli Oli dalam Facebooknya. Saya hadir dua himpunan. Kuning dan Merah. Hasil pemerhatian, peserta Kuning ramai kalangan anak muda elit dan golongan profesional minum di Starbucks, makan di Subway dan Nandos.

Manakala peserta Merah ramai orang veteran parti yang sarapannya nasi dagang, nasi lemak dan ubi rebus. Mereka telah berjuang sekian lama pertahankan kerajaan tetapi cuma dapat tapak gerai untuk berniaga di bulan Ramadan. Sedih tengok pakcik dan makcik terhincut-hincut berarak dari PWTC. Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin Melayu, perjuangkanlah nasib mereka dengan ikhlas dan jujur kerana golongan ini sanggup bergadai nyawa dan harta pertahankan kuasa kamu.

*Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
INSPIRE/PPI, UniSZA


Sumber: Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/bila-matlamat-menghalalkan-cara-1.433313 

Wednesday, 2 September 2015

BUKAN TITAH SULTAN JOHOR



KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri menafikan kenyataan yang didakwa dititah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tersebar di laman sosial dan beranggapan ia sengaja dibuat bagi mengeruhkan hubungan baik di antara istana dan kerajaan.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah dititah oleh Sultan Ibrahim untuk menjelaskan bahawa baginda tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
“Penyebaran di laman sosial di Facebook kononnya ia adalah titah daripada Tuanku Sultan Johor adalah tidak benar dan Tuanku tidak pernah menulis atau bertitah seperti itu,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata penyebaran kenyataan itu disifatkan sebagai satu tindakan berniat jahat pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan Sultan Johor dengan kerajaan.
Beliau berkata, Kerajaan Johor melalui Penasihat Undang-Undang Negeri akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan kenyataan berkenaan.
“Kita akan lihat siapa yang menyebar dan memperluaskan perkara yang tidak betul ini dan kita akan rujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.