Thursday 13 November 2014

#BAJETJOHOR2015 - MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANGSANG PELABURAN


STRATEGI PERTAMA
MENGGALAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DAN MERANGSANG PELABURAN


28. Fokus kita ialah mengangkat kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan yang kompetitif, menarik dan mengekalkan sebanyak mungkin pelaburan langsung asing dan domestik sekaligus mewujudkan pekerjaan bermutu dalam masa paling pantas. Johor yang kita dambakan tidak lagi sekadar ‘economically distance from Singapore’ tetapi pesaing dan pelengkap yang mempunyai nilai tambah tersendiri. Strategi Pertama ini akan disokong oleh tiga inisiatif strategik berikut;

(i) Merancakkan Pertumbuhan Dalam Bidang Keberhasilan Strategik

29. Di bawah inisiatif ini, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha menarik pelaburan strategik ke Johor dan Iskandar Malaysia. Suka saya nyatakan di sini sejak tahun 2006 sehingga September 2014, jumlah pelaburan komited yang terkumpul di Iskandar Malaysia adalah setinggi RM 156 bilion yang menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap prospek dan potensi pembangunan ekonomi di Negeri Johor.

30. Lebih penting, setiap pelaburan di Johor sama ada pelaburan domestik atau pelaburan langsung asing, harus menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor. Kebergantungan kepada buruh asing harus dikurangkan. Berdasarkan unjuran menerusi Pelan Induk Ekonomi Negeri Johor 2010-2020 dianggarkan sebanyak 1.827 juta rakyat Negeri Johor akan termasuk dalam golongan pekerja berbanding 1.563 juta pekerja pada masa ini.

31. Justeru kita akan terus memberi penekanan kepada sektor-sektor pertumbuhan ekonomi baru iaitu industri minyak dan gas, perkhidmatan dan bioekonomi. Pemfokusan ini walau bagaimanapun tidak akan sesekali mengabaikan kepentingan pertumbuhan sektor ekonomi lain. Kerajaan akan terus berusaha menarik pelaburan dalam sektor ekonomi tradisional seperti industri tekstil, perabot, pengilangan serta pertanian.

32. Bagi sektor strategik minyak dan gas, Kerajaan Negeri Johor akan terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS untuk menjayakan projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC). Projek PIPC ini memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti industri berteknologi tinggi dan berinovasi, dan melibatkan pekerja-pekerja berilmu, berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Oleh yang demikian, Kerajaan Johor berharap ia akan dapat menarik lebih ramai bakat terbaik untuk bekerja dan menetap di Johor sekaligus menyumbang kepada kerancakkan ekonomi domestik Johor.

33. Bagi sektor perkhidmatan, kerajaan akan memberi fokus kepada industri pelancongan, pendidikan dan kesihatan. Dalam disiplin pendidikan, Iskandar Malaysia dan Pagoh di daerah Muar akan terus diketengahkan sebagai pusat pendidikan tinggi dengan usaha menarik pelaburan luar dan domestik. Untuk sektor kesihatan pula, pengalaman luas Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) akan dimanfaatkan bagi menjadikan Johor Hab Kesihatan dan Perawatan Global.

34. Pertumbuhan Johor akan juga dipacu dengan pesat oleh sektor bioekonomi dengan penumpuan kepada tiga perkara utama;

Pertama: Menyokong pertumbuhan industri kecil dan sederhana yang berorientasikan bioteknologi melalui program 'Jelajah Bioekonomi Johor' dengan peruntukan RM 250 ribu. Ini akan memberi manfaat kepada usahawan-usahawan tempatan di daerah-daerah dalam negeri Johor melalui proses Penjenamaan dan Promosi. Pada waktu yang sama, usaha membangunkan usahawan berasaskan ‘bio’ akan dijalankan dengan mengenal pasti keperluan perniagaan seperti membuka pasaran baharu dan mengenal pasti rakan teknologi dan komersil. Ini akan membolehkan lebih banyak lagi usahawan tempatan melibatkan diri dalam ‘rantaian ekonomi bernilai tinggi yang baharu’. Selain daripada itu program ini juga merupakan satu bentuk medium untuk mengumpul kekuatan bidang bioteknologi di negeri Johor melalui media utama.

Kedua: Mempergiat penglibatan masyarakat dalam sektor bioteknologi melalui Program Pembangunan Bioekonomi Komuniti (BCDP) dengan kos pembangunan sebanyak RM 8.9 juta dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui BiotechCorp. Program ini akan melibatkan kerjasama antara pembekal teknologi dari syarikat-syarikat Bio-Nexus dan berasaskan ‘bio’ dengan kumpulan komuniti hampir 100 orang peserta bagi setiap daerah melalui ‘contract farming’ atau perladangan kontrak. Inisiatif ini akan membantu mempertingkatkan nilai tambah hasil pertanian masyarakat melalui program bimbingan terancang dan perkongsian teknologi. Selain meningkatkan daya saing ekonomi dan pendapatan masyarakat, ia juga akan mendedahkan masyarakat kepada teknologi pertanian termaju. Projek permulaan akan dijalankan di daerah Kota Tinggi dan Segamat. Lima sektor telah dikenal pasti iaitu Lembu Tenusu, Tanaman Rumput Ternakan, Tanaman Herba, Tanaman Stevia dan Perusahaan Madu Lebah.

Ketiga: Kerajaan akan memperuntukkan RM 700 ribu bagi melaksanakan program untuk membina upaya modal insan dalam sektor bioteknologi melalui penubuhan ‘National Biotechnology Talent Development Centre’ (NBTDC) di Johor. NBTDC akan bertindak memberikan maklumat dan latihan berkenaan industri bioteknologi kepada pelajar di universiti sebagai pendedahan awal dalam bidang pekerjaan. Inisiatif ini mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor bioekonomi dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan pesat industri strategik ini.

35. Pengurangan rintangan perdagangan juga akan diberikan keutamaan bagi membolehkan Johor terus menjadi destinasi pelaburan pilihan yang kompetitif. Oleh itu, Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) yang berperanan antara lain sebagai ‘one stop centre’ bagi memudahkan proses kedatangan pelabur telah diperuntukkan sebanyak RM 1.5 juta untuk tahun 2015 bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.

(ii)Mengukuhkan Ekonomi Desa Melalui Pertanian Lestari

37. Bagi tahun 2015, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 4 juta bagi menjayakan Program Galakan Usahawan oleh Jabatan Pertanian Johor bagi mempertingkatkan kebolehsaingan kumpulan usahawan dalam sektor pertanian. Ia akan diagihkan melalui tiga projek iaitu projek industri kecil (PIK), projek pembangunan tanah terbiar (PPTT) dan Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI).

38. Untuk memastikan kecukupan bekalan daging tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan kerjasama Johor Corporation akan meningkatkan pengeluaran daging lembu berskala besar melalui ladang satelit mereka di Kota Tinggi, Muar dan Segamat. Ia akan melibatkan 21 peserta dengan penghasilan 18,900 ekor lembu matang setahun dengan peruntukan RM 3 juta.

39. Kerajaan juga melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperuntukkan RM 2 juta bagi membantu pengusaha tanaman nanas yang mempunyai keluasan kurang daripada 15 ekar bagi meningkatkan pengeluaran mereka.

40. Menyedari bahawa keluasan tanah pertanian adalah semakin berkurangan, Kerajaan telah membuat keputusan untuk membeli sekaligus menyelamatkan tanah-tanah pertanian yang dimiliki oleh Orang Melayu supaya tidak terjual kepada pihak lain. Bagi tujuan tersebut Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 20 juta kepada Permodalan Darul Ta’zim untuk pembelian tanah-tanah pertanian ini dan ia akan disewakan kepada koperasi-koperasi dan usahawan Bumiputera terpilih di negeri Johor untuk membangunkan aktiviti-aktiviti pertanian.

(iii) Menjadikan Johor Jauhari Selatan Dan Destinasi Pelancongan Terbaik Malaysia

41. Sektor pelancongan adalah antara sektor paling pantas pertumbuhannya di peringkat global ekoran peningkatan jumlah kelas pertengahan yang drastik dampak globalisasi. Johor tidak boleh ketinggalan dalam menjadikan sektor pelancongan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Johor mempunyai potensi yang sangat besar. Malah kedudukannya antara Melaka dan Singapura menjadikan Johor sangat strategik untuk menjadi Hub Pelancongan Wilayah Selatan. Pada tahun 2013, Negeri Johor adalah negeri kedua paling dikunjungi oleh pelancong antarabangsa di Malaysia selepas ibu negara Kuala Lumpur.

42. Bagi merancakkan industri pelancongan, Kerajaan Negeri mensasarkan Johor mesti mempunyai lima produk pelancongan berkepentingan global menjelang tahun 2017.
Lima produk tersebut ialah:

Pertama: Membangunkan alam sekitar Endau Rompin sebagai pusat pelancongan dan penyelidikan alam sekitar terulung di Asia Tenggara.

Kedua: Kedudukan Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai sebagai tapak RAMSAR akan dipulihara dan dibangunkan sebagai tapak rekreasi dan penyelidikan paya bakau berkepentingan antarabangsa yang mesti dilawati.

Ketiga: Menjadikan Johor Pusat Kebudayaan Melayu utama dunia. Johor harus dikenali sebagai destinasi yang mempamerkan kerencaman dan ketinggian budaya Melayu yang unik. Ia akan menjadi pusat busana, seni, tarian, bahasa, serta warisan alam Melayu yang kaya.

Keempat: Menjadikan Johor pusat persidangan bertaraf antarabangsa, dan

Kelima: Menjadikan Johor hab pelancongan keluarga dengan tarikan seperti Angry Birds Indoor Theme Park, Legoland, Hello Kitty World, Johor Premium Outlet, Desaru, dan aktiviti rekreasi persekitaran Gunung Ledang serta pelbagai lagi destinasi tarikan yang sesuai untuk bersama keluarga.

43. Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan melalui ECER telah memperuntukkan RM 31.4 juta bagi membangunkan prasarana eko pelancongan dengan konsep Hutan Hujan ke Terumbu Karang atau ‘Rainforest to Reef’ di Taman Negara Endau Rompin. Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun hadapan dalam tempoh lima tahun.

44. Bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Wetland, IRDA akan menganjurkan ‘4th Iskandar Malaysia Eco Tourism Summit’ pada tahun 2015. Ini penting untuk mempromosikan Iskandar Malaysia sebagai destinasi eko pelancongan terkemuka di rantau ini di samping dapat menjana ekonomi rakyat terutama rakyat luar bandar melalui program Kawan Iskandar Malaysia.


45. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM 15 juta bagi menaiktaraf jalan akses ke kawasan pelancongan Tanjung Piai, Pontian.

46. Bersempena Tahun Festival Malaysia 2015, pelbagai festival sukan, seni dan budaya akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta. Dua Festival yang dijangka bakal menjadi tumpuan antarabangsa ialah Festival Layang-Layang Sedunia dan Festival Zapin. Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga telah meluluskan kos sebanyak RM 4.85 juta bagi menaik taraf Bukit Layang-layang di Pasir Gudang sebagai kawasan tarikan utama pelancongan dengan dana permulaan berjumlah RM 1 juta akan diperuntukkan pada tahun 2015.

47. Bandar Johor Bahru juga akan dibangunkan sebagai ‘Urban and Heritage Trail’ bagi memperlihatkan kepada dunia kekayaan warisan Johor. Ini termasuk menjenamakan dan menaiktaraf prasarana pelancongan, menjenamakan semula Bazar JB, mewujudkan Stesen Seni dan menyediakan perkhidmatan bas percuma JB Di Hatiku.

48. Di Nusajaya ini sendiri, Taman Warisan Semulajadi Nusajaya akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama UEM Sunrise melibatkan kawasan 300 ekar. Sebagai permulaan dana sebanyak RM 25 juta telah disediakan bagi pembangunan projek ini. Kawasan riadah ini akan menempatkan Taman Tanaman Tropika dan Taman Koleksi Tumbuhan, yang kedua-duanya dikhususkan untuk tujuan pelancongan, riadah, pendidikan dan penyelidikan sekaligus flora dan fauna sebagai anugerah alam yang berharga terus dipelihara.

Sumber: https://www.facebook.com/MohamedKhaledNordin?fref=ts 

1 comment:

  1. Saya Husnah dan saya sedang mengambil masa saya keluar untuk memberi keterangan Puan Amanda kerana dia akhirnya menawarkan saya.
    Saya dan suami saya mendapat ke dalam hutang yang sangat besar dengan Bank dan kami memohon pinjaman daripada syarikat pinjaman yang berbeza tetapi semua datang tidak berjaya. sebaliknya mereka mendapat kita ke dalam hutang lebih meninggalkan kita bankrap sehingga saya datang dalam hubungan dengan Puan Amanda, yang menawarkan saya pinjaman. Sekarang kita telah akhirnya menetap hutang kami dan memulakan perniagaan baru dengan wang kiri dari pinjaman. Anda boleh menghubungi beliau hari ini untuk pinjaman dalam apa jua bentuk dan jumlah.
    Hubungi Puan Amanda melalui mana-mana e-mel yang berikut. amandarichardssonloanfirm@gmail.com atau amandarichardson686@gmail.com atau anda boleh menghubungi saya melalui e-mel saya untuk arahan lanjut ikmahusnah@gmail.com

    ReplyDelete