Wednesday 1 January 2014

Menyingkap Kenaikan Harga Barang


Demikian juga hal kenaikan harga barang. Hakikatnya krisis kenaikan harga barang telah berlaku ke atas manusia sejak pada zaman Rasulullah SAW lagi, dan ia telah direkodkan dalam hadis sahih.

Daripada Anas bin Malik ra. beliau berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah menjadi mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’" (Riwayat Abu Dawud) Peristiwa ini berlaku apabila harga barang di pasar Madinah naik, maka para sahabat bertemu Rasulullah meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang-orang miskin dapat membeli barang dengan harga yang mereka mampu. Lalu apa jawab Rasulullah? 

Baginda bersabda:
“Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga itu, Dialah Allah yang melapangkan, Dialah Allah yang menyempitkan, serta Dialah Allah yang memberikan rezeki. Dan sesungguhnya aku berharap agar aku bertemu Allah SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun daripada kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta." (Sahih. Riwayat Abu Daud).

Beberapa faedah dapat dipelajari dari hadis yang mulia ini. Antaranya adalah kita wajib meyakini bahawa naik turun harga sesuatu barang itu berlaku atas ketetapan Allah, kerana Allah adalah pengatur seluruh urusan. Seorang mukmin tidak boleh murka atas ketetapan ini sebaliknya hendaklah mereka menahan diri (bersabar).

Kenaikan harga adalah satu bentuk ujian yang Allah timpakan ke atas manusia, di mana ia adalah suatu yang tidak disenangi. Seseorang boleh menjadi terbeban disebabkan hal ini. Ujian kesempitan harta adalah Sunnatullah dan kewajipan atas manusia apabila berdepan dengannya adalah bersabar, sebagaimana firman Allah SWT, “Dan pasti Kami menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan, dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 155)

Kenaikan harga barang tidak mengubah rezeki seseorang. Nabi menyatakan bahawa Allah yang melapangkan rezeki seseorang hamba dan Dia juga yang menyempitkan rezeki mana-mana hamba yang dikehendaki-Nya. Ini selari dengan firman Allah SWT, “Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki." (Al-Ra‘d: 26)

Untuk keluar daripada kesempitan hidup, manusia dituntut sentiasa memperbaiki hubungan dengan Allah dan bertakwa dengan menunaikan kewajipan serta meninggalkan larangan-Nya. Firman Allah, “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar dan dia akan diberi rezeki dari arah yang tidak pernah dia sangka." (Surah Al-Talaq: 2-3).

Ini kerana apa saja kesusahan yang menimpa adalah disebabkan dosa atau kezaliman manusia sendiri. Setiap mukmin harus memerhatikan iman terhadap Allah yang memberi rezeki, memohon ampun daripada Allah agar kesusahan itu diangkat dari mereka. Para Rasul dan umat terdahulu mengajarkan untuk memperbanyak istighfar supaya dimudahkan urusan dan diberi jalan keluar terhadap apa saja permasalahan.

Rasulullah mengatakan, “Barang siapa memperbanyakkan istighfar nescaya Allah memberikan jalan keluar bagi setiap kesedihannya, kelapangan untuk setiap kesempitannya dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Riwayat Ahmad) Nabi Nuh turut menasihati umatnya untuk beristighfar dan hal ini direkod dalam al-Quran, “Aku berkata, ‘Beristighfarlah kalian kepada Tuhan kalian kerana sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Jika kalian selalu beristighfar) Dia akan menurunkan dari langit hujan lebat dan melapangkan untuk kalian kebun-kebun dan anak keturunan kalian." (Nuh: 10-11)

Allah berfirman, “Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa pasti Kami bukakan untuk mereka berkat dari langit dan bumi. Namun mereka mendustakan, maka Kami seksa mereka sesuai dengan dosa yang mereka kerjakan." (Surah Al-A’raf: 96)

Harus diingat bahawa Allah menetapkan rezeki, baik kesenangan mahupun kesempitan sesuai maslahat hamba-Nya. Boleh jadi harta kekayaan dan kesenangan akan menyebabkan seseorang itu lalai, leka, jauh daripada Allah dan sibuk dengan dunia sehingga melupakan akhirat. Banyak kita perhatikan orang kaya yang membazir, tidak menunaikan zakat, terjebak dalam maksiat dan pelbagai perbuatan melampaui batas. Allah berfirman, “Jika Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat." (As-Syura: 27)

Usah khuatir kerana rezeki setiap manusia pasti dicukupkan dan tidak dikurangkan sedikit pun. Kenaikan harga sama sekali tidak mempengaruhi rezeki yang ditetapkan. Ini seperti mana sabda Nabi SAW, “Wahai manusia, sesungguhnya salah seorang kamu tidak akan mati sehingga dia mendapat seluruh rezekinya secara sempurna.

Maka janganlah kamu tidak sabar dalam mendapatkan rezeki. Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia! Carilah rezeki secara baik, ambillah yang halal dan tinggalkan yang haram." (Sahih Riwayat Al-Hakim).

Maka jangan terlalu bingung atau menyalahkan pihak lain atas kesempitan, sebaliknya sikap mukmin adalah melihat kesalahan diri sendiri, memperbanyak taubat serta syukur atas nikmat dengan melakukan kebaikan dan membantu orang yang memerlukan. Dengan demikian moga-moga Allah angkat musibah dan tambahkan nikmat-Nya kepada kita. Menyalahkan orang lain tidak akan memperbaiki keadaan. Hendaklah kita berbaik sangka terhadap Allah yang Maha Memberi Rezeki.


Oleh: 
Fathul Bari Mat Jahya
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ilmuwan Malaysia.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment