TEKS UCAPAN
YAB PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO NEGERI JOHOR SEMPENA PERASMIAN KONVENSYEN UMNO JOHOR 2016
KHAMIS, 10 NOVEMBER 2016
HOLIDAY VILLA HOTEL, JOHOR BHARU
Assalamualaikum dan Salam Muafakat Johor
Tuan-tuan dan Puan-puan
Pertamanya, saya berasa amat bersyukur kerana sekali lagi kita dapat bersama sempena Konvensyen UMNO Johor untuk tahun 2016. Dan tahun ini ianya bersejarah kerana dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO.
Marilah kita sama-sama mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Seri Hishamuddin Bin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO, ke Konvensyen UMNO Johor 2016 pada hari yang berbahagia ini.
Pastinya kehadiran YB Dato’ Seri Hisham sangat bermakna kepada UMNO Johor. Bagai sirih pulang ke gagang, Dato’ Seri Hisham adalah tokoh besar Johor.
Inilah tanah asalnya. Di Johor inilah keluarga besarnya berasal dan berbakti.
Dan UMNO inilah parti yang diasaskan oleh nendanya, Allahyarham Datuk Onn bin Jaafar. Inilah juga parti yang pernah dipimpin oleh Almarhum ayahandanya, Tun Hussein Onn.
Kepada YB Dato’ Seri Hisham, UMNO Johor senantiasa mengalu-alukan kehadiran Dato’ Seri. Johor ini adalah medan politik tuan yang sebenar-benarnya.
Doa kami, agar Dato’ Seri dapat terus memberikan kepimpinan terbaik pada UMNO di peringkat Pusat. Insya-Allah kami di Johor akan terus mendukung siapa jua tokoh Johor di peringkat nasional.
Agar Johor senantiasa diwakili dengan berkesan sama ada dalam Majlis Tertinggi mahupun dalam Kabinet.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
Saya juga mengambil kesempatan ini, mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini. Yang datang dari seluruh pelusuk Johor.
Doa saya agar pertemuan kita kali ini, memanfaatkan parti, bangsa dan tanahair. Kerana inilah akhirnya tujuan sebenar kita berhimpun.
Kita ingin mendengar suara hati akar umbi parti. Memahami keluh kesah rakyat dan pendukung kita di seluruh Johor.
Kerana tanpa sumbang saran para wakil parti, UMNO ini tidak punyai apa-apa. Nadi sebenar UMNO adalah akar umbinya.
Dan jika akar umbi memilih untuk sekadar menjadi akar, dan tidak memberikan buah fikiran, maka UMNO hanya akan menjadi sebatang pokok tua. Yang hidup segan mati tak mahu.
Justeru saya percaya, para peserta telah gunakan medan dan pentas konvensyen ini sebaiknya di sebelah siang tadi. Semua pandangan yang cerdas dan bernas tersebut, Insya-Allah menjadi pedoman untuk kita memperbaiki parti, bangsa dan negara.
Hadirin hadirat para Perwakilan sekalian,
Tahun ini genaplah 70 tahun usia UMNO. Dalam tempoh yang panjang ini, sumbangan UMNO kepada bangsa Melayu, pada Islam dan pada tanahair, sangat luar biasa.
Biar dari perspektif manapun kita menilainya, tiada siapa yang boleh menafikan. Betapa selama UMNO memerintah negara dan bangsa ini, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang berdaulat dan berjaya.
UMNO membidani kelahiran Malaysia moden. Dan kejayaan UMNO paling menyerlah ialah mambantu bangsa Melayu. Sangat konsisten dan berhasil. Malah, sangat radikal dan terlihat.
Dasar-dasar UMNO telah membebaskan Melayu dari kemiskinan dan kemunduran. Kadar kemiskinan negara kita waktu ini, hanya 0.6 peratus.
Jutaan Melayu kini menjadi kelas menengah semenjak UMNO memerintah.
Jutaan Melayu telah mendapat pendidikan, bergelar graduan dan berkemahiran tinggi.
Kini, ramai sekali Melayu yang telah menguasai perniagaan besar. Menjadi pengurus yang berjaya. Meneraju bank, mengepalai syarikat multinasional, menyertai pertubuhan antarabangsa, menggerakkan NGO, menghidupkan industri, menjadi tokoh agama. Namakan sahaja.
Tetapi, di sebalik semua hasil yang besar dan baik ini, mari kita mengambil masa dan bertanya dengan jujur. Adakah UMNO sebenarnya semakin berpengaruh dan diyakini di kalangan orang Melayu?
Adakah UMNO akan terus kekal menjadi pilihan orang Melayu untuk memerintah? Dan memenangi pilihanraya akan datang?
Saya pasti, dalam setiap sanubari kita, wujud pengakuan, bahawa dari sehari ke sehari, UMNO semakin jauh dari hati orang Melayu. UMNO sudah tidak berada dalam kedudukan seperti sebelumnya.
Benar UMNO masih berkuasa dan berpengaruh, masih besar dan ramai. Tetapi adalah juga benar bahawa pengaruh UMNO sebagai sebuah pergerakan politik Melayu semakin susut dengan deras.
Kenapa ini berlaku? Apa yang belum dilakukan oleh UMNO, sehingga ia semakin pudar dan jauh dari nurani bangsa Melayu?
Semua orang boleh memberi pelbagai alasan. Pastinya ramai yang memilih untuk menyalahkan UMNO. Seolah-olah UMNO tidak pernah berbakti. Tidak pernah melakukan apa-apa dan tidak ada sumbangan dan jasanya.
Benar, UMNO tidak lari dari silap. Benar UMNO itu jauh dari sempurna.
Tapi untuk menghukum UMNO itu gagal mengambil langkah dan tanggungjawab pada bangsa Melayu, adalah pandangan yang sangat tersasar dan tidak adil.
Maka kerana itu saya mengambil pendirian tegas mempertahankan UMNO.
Kerana saya sedar, masalah sebenar sebahagian orang Melayu ada DUA.
PERTAMA, masalah kebolehsaingan, kebergantungan dan lemahnya nilai berdikari mereka. Kedua, ketirisan dan salah keutamaan dalam tindakan afirmatif kita.
Bukan kerana UMNO tidak menjalankan tanggungjawabnya pada orang Melayu.
Kerana itu, saya kekal berjuang dalam UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini.
Saya kekal dalam UMNO kerana ingin berlaku adil kepada UMNO kerana saya berasa bertanggungjawab untuk merubah sikap, melonjak kebolehsaingan dan menanam nilai maju pada sebahagian dari bangsa Melayu.
Saya tidak sama sekali memilih untuk kekal dalam UMNO kerana kedudukan dan cita-cita untuk terus menjadi pemimpin. Saya berasa terpanggil membetulkan ketirisan yang merugikan orang Melayu selama ni.
Saya berasa amat tidak bertanggungjawab jika saya meninggalkan UMNO tatkala orang Melayu mempunyai masalah sikap, pemikiran dan ketirisan seperti ini.
Dan malam ini saya mengajak semua pendukung UMNO Johor untuk bersama-sama memperbaiki keadaan ini.
Agar melalui usaha kolektif kita bersama, kita dapat mengusahakan pencerahan bagi membolehkan orang Melayu menjadi lebih berdaya saing, berdikari dan kompetitif. Dan mereka kembali mendukung UMNO.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.
Begitu juga dengan pelbagai tindakan afirmatif yang UMNO telah perkenalkan untuk meningkatkan kebolehsaingan bangsa Melayu. UMNO akan mengekalkan semua ini.
Ini adalah ikrar dan mandat UMNO. Jangan risau. UMNO akan terus mempertahankannya dengan jujur dan ikhlas.
UMNO telah dan akan terus memberikan orang Melayu permulaan yang adil dan perlu.
Agar orang Melayu maju dan berjaya. Berdikari dan bersaing di persada perniagaan, pendidikan, dan industri dengan lebih hebat. Dan tidak perlu terus bersandar dan bergantung dengan bantuan UMNO dan Kerajaan selamanya.
Mereka yang telah berjaya mesti berdikari, bergraduat dari terus menerima bantuan. Malah merekalah yang sepatutnya bangun, menyumbang pada Negara setelah berjaya. Atau setidak-tidaknya membantu orang Melayu yang lain.
Tetapi selepas semua apa yang UMNO lakukan ini, mereka masih dengan sikap meminta-minta, sikap kebergantungan dan pemikiran bahawa, dalam keadaan apa pun, UMNO itu ada dan UMNO terus berkewajipan membantu. Kerana mereka Melayu.
Pemikiran terkebelakang sebegini adalah satu masalah yang menyebabkan orang Melayu mundur. Masalah yang menyukarkan UMNO menjadi lebih progresif.
Walaupun selepas segala yang UMNO telah lakukan untuk orang Melayu. Kebanyakan dari orang Melayu masih gagal bersaing atas merit. Masih tidak mempunyai kompetensi yang kuat. Masih gagal mencipta kejayaan sendiri.
Banyak perniagaan orang Melayu umpamanya, hanya sekadar menjadi orang tengah. Tidak ada kepakaran sebenar. Tidak ada usaha sebenar. Malah tidak ada organsiasi yang kemas, yang boleh dibangunkan dengan lebih baik dan bertahan lama.
Anak Melayu yang kita bantu memasuki universiti, tidak memanfaatkan peluang menuntut ilmu dengan serius. Akhirnya, mereka bergraduat dengan pencapaian yang rendah, dan gagal mendapat tempat dalam pasaran kerja yang bermutu. Malah Kerajaan pula terpaksa membelanjakan jutaan ringgit lagi untuk terus melatih mereka dengan pelbagai skim khas.
Lebih menyedihkan, bagi sebahagian yang telah berjaya, mereka masih tidak sedia menghadapi persaingan secara terbuka. Tetapi masih terus mengharapkan projek, kontrak dan kouta. Masih mengharapkan sokongan dan dukungan atas dasar menjadi Melayu.
Insaflah bahawa ini semua sangat membebankan UMNO dan Kerajaan. Ini semua juga menyebabkan ketirisan dalam usaha pengupayaan orang Melayu. Akhirnya, dana tidak mencukupi kerana yang perlu ditanggung semakin ramai. Apatah lagi, dalam keadaan kedudukan hasil negara yang semakin susut.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Pendirian UMNO Johor mudah. Kita percaya, telah tiba masanya bangsa Melayu diselamatkan. Diselamatkan dari sikap dan cara berfikir yang tidak betul. Dari cara kerja yang tidak kompetetif dan tidak berdaya saing. Dari budaya suka meminta-minta.
Dan caranya ialah dengan mengubah pemikiran dan sikap orang Melayu ini.
Kerana, sekalipun UMNO ditolak dalam pilihanraya akan datang, tiada jaminan bahawa keadaan orang Melayu akan menjadi lebih baik. Jika sikap dan pemikiran sebegini ini tidak diubah. Tukarlah kepada apa parti sekalipun.
Dan kalau boleh diibaratkan. Seperti kereta dan pemandu yang sering kemalangan. Tukarlah kereta apa sekalipun. Proton, Honda, Mercedez, BMW. Tetapi kalau pemandu itu adalah pemandu yang tidak cekap, yang lalai, yang tidak bertanggungjawab. Kereta apa sekalipun yang dipandu, tidak ada maknanya.
Jadi, yang perlu ditukar, bukan kereta. Tetapi sikap dan cara pemandu itu.
Begitu jugalah dengan kita. Yang perlu berubah dan diubah sebenarnya adalah pemikiran, sikap dan budaya Melayu itu. Bukannya parti yang menjadi wadah orang Melayu berjuang.
Atas kesedaran inilah, UMNO Johor pada tahun ini memilih untuk membahaskan agenda Melayu Maju dalam konvensyennya.
Kerana bagi UMNO Johor, Melayu mesti diasuh berdikari. Dibenteras pemikiran dan sikap terlalu bergantung pada hak dan bantuan. Sikap anti persaingan dan anti kemajuan mesti berakhir.
Jadi, senjata paling penting kita adalah dengan meyakinkan seluruh bangsa Melayu bahawa mereka mesti berubah.
Dan UMNO adalah wadah terbaik melakukan perubahan tersebut. Kerana UMNO sentiasa memilih jalan yang serius, jalan yang betul dan terbaik untuk orang Melayu.
Jalan yang selari dan menjawab keperluan orang Melayu. Bukannya menjadikan Melayu bangsa yang terus bernostalgia dengan hak dan keistimewaannya.
Melayu yang dalam istilah Tan Sri Shahrir Samad, berada dalam ekonomi dan persekitaran yang benar-benar merdeka.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
Maka, untuk menjayakan agenda Melayu Maju ini, saya ingin sarankan DUA jalan.
PERTAMA, pendidikan berkualiti dan terbaik untuk Melayu.
UMNO mesti memperjuangkan pembaharuan radikal dalam pendidikan di negara ini. Kaedah paling penting untuk menjana kebolehsaingan bangsa Melayu ialah pendidikan terbaik. Pendidikan bermutu. Pendidikan abad ke 21.
UMNO tidak lagi perlu khuatir tentang cerita akses dan keciciran. Perkara ini sudah berjaya kita uruskan dengan cemerlang.
Lihat sahaja segala usaha luar biasa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO termasuk YB Dato’ Seri Hisham sendiri semasa beliau memimpin Kementerian Pendidikan.
UMNO telah memastikan di mana sahaja di Malaysia; termasuk di daerah paling terpencil, akan ada sekolah yang berfungsi dengan baik, dengan guru terlatih, dengan kemudahan yang cukup.
Kini, masanya adalah untuk kita beralih dan memecut ke fasa yang berikutnya. Fasa menggandakan mutu dan kualiti pendidikan. Yang sesuai dan menjawab tuntutan kompetensi abad ke 21.
Anak-anak Melayu harus mempunyai kemahiran untuk hidup, berfungsi dan berperanan mengikut keperluan abad ke 21.
Ertinya, kita memerlukan sistem pendidikan yang boleh menyediakan kemahiran dan pemikiran abad ke 21.
Telah tiba masanya pendidikan kita mesti dilaraskan dengan mutu termaju. Yang digerakkan oleh kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti antarabangsa.
Kerana, akses pendidikan tanpa kualiti yang baik, ialah sistem pendidikan yang terkebelakang.
Ia tidak akan menyediakan Malaysia yang berkemajuan. Akses tanpa kualiti, tidak akan menganjak Malaysia menjadi kuasa ekonomi berpengetahuan.
Lebih kritikal, akses tanpa kualiti, tidak akan berupaya melahirkan generasi Melayu yang terbaik. Yang boleh memastikan kebolehsaingan Malaysia.
Maka, tanpa pendidikan yang kualitinya setara dengan kepentingan abad ke 21, Malaysia akan tercicir dalam kancah persaingan global.
Lebih parah, bangsa Melayu akan pasti lebih terkebelakang.
Kerana itu, pada hari ini, UMNO Johor akan membahaskan isu pendidikan terbaik dan berkualiti ini. Dan mencari pencerahan.
Harapannya, melalui interaksi dengan mereka yang mahir dan pakar dalam hal ini, akan ada beberapa cadangan bernas yang akan UMNO Johor usul dan majukan untuk Perhimpunan Agung UMNO nanti.
Kedua, Islam mesti menunjangi kelahiran Melayu Maju ini.
Perkara ini saya usulkan hanya kerana satu sebab. Bahawa saya tidak boleh membayangkan Melayu tanpa Islam.
Islam tanpa Melayu, itu biasa. Namun, Melayu tanpa Islam, itu kejanggalan di luar kelaziman.
Islamlah yang selama ini, menjadi satu-satunya faktor yang telah membentuk keperibadian orang Melayu.
Menjadikan orang Melayu itu rasional, menolak animesme, berakhlak mulia dan berbudaya baik.
Dan, jika Islam itu terbukti sebagai faktor penting dalam pembentukan keperibadian dan peradaban Melayu, maka Islam juga harus terus penting dalam agenda melonjak pemikiran dan budaya terbaik bangsa Melayu.
Islam mesti menjadi inspirasi untuk orang Melayu menjadi semakin maju, semakin progresif, semakin berlumba-lumpa ke hadapan.
Yakinilah bahawa nilai-nilai Islam, penyelesaian Islam, fikrah dan cara hidup Islam, adalah satu kemajuan yang Tuhan ajarkan merentas zaman dan peradaban.
Islam bukan sekadar susunan hukum agama. Islam adalah cara kehidupan paling baik dan syumul.
Maka jika orang Melayu itu, yang memang dari lahirnya menjadi Muslim, tetapi gagal melihat Islam sebagai inspirasi untuk menjadi lebih baik, lebih maju dan lebih berdaya saing. Maka, pada mereka Islam itu hanya anutan yang tidak dijiwai.
Kerana itu, UMNO tidak lagi boleh mengungkapkan agenda agamanya hanya berkisar tentang menaik taraf mahkamah syariah atau gaji guru sekolah agama.
Naratif sebegitu terlalu kecil dan tidak pun menggambarkan potensi sebenar Islam.
Naratif baru yang perlu diketengahkan oleh UMNO ialah, bagaimana Islam dan ajarannya, boleh membantu melonjakkan bangsa Melayu dan Malaysia, menjadi sebuah masyarakat terbaik.
Bagaimana Islam, dapat meminjamkan nilai dan menjadi panduan menuju kemodenan. Bukan menjadikan Islam alasan menolak dan menjauhi kemodenan.
Bagaimana Islam, menjadi inspirasi untuk pemimpin kita menjadi lebih beramanah dan takut pada Penciptanya. Menghapuskan politik wang dan salah guna kuasa.
Bagaimana Islam, memeta jalan keluar kepada kemaslahatan bangsa. Menggunakan pelbagai pendekatan Islami seperti wakaf, hibah, zakat dan pelbagai lagi.
Bagaimana Islam, menjadi pedoman untuk kita mengurus ekonomi moden dengan bersandarkan prinsip tidak menindas, inklusif dan berkeadilan.
Dan bagaimana Islam, secara keseluruhannya akan menjadi faktor paling penting dalam anjakan pemikiran orang Melayu menjadi bangsa berkemajuan.
Yang Berhormat Dato’ Seri, tuan-tuan dan puan-puan,
Saya memilih untuk bercakap tentang TIGA perkara malam ini.
PERTAMA, cabaran terbesar UMNO ialah melakukan transformasi pemikiran dan agenda Melayu. UMNO mesti memacu segala usaha untuk membentuk Melayu Maju.
KEDUA Melayu Maju ini mesti dijayakan dengan pendidikan termaju, dengan kualiti terbaik. Jika UMNO gagal memberikan anak-anak Melayu pendidikan terbaik, UMNO gagal menyediakan orang melayu untuk bersaing di abad ke 21.
KETIGA, Melayu Maju ini mesti kembali kepada Islam dan nilai-nilai terbaik agama. Islam harus menjadi inspirasi untuk Melayu menjadi lebih berkemajuan dan berjaya.
Kenapa saya memilih ketiga-tiga perkara ini. Jawapan saya mudah. Jika UMNO tidak menjawab persoalan jangka masa panjang ini, siapa lagi yang bertanggungjawab menjawabnya. Jika UMNO tidak memikirkannya, siapa yang akan memikirkannya.
Orang Melayu mendambakan pemikiran besar dan berani dari UMNO. Jika tiada pemikiran besar dan berani, tentang masa depan bangsa Melayu, maka UMNO tersasar dari misi utamanya untuk membawa kebaikan kepada bangsa Melayu.
Apa yang saya utarakan sebenarnya, bertujuan menjawab masalah sebenar orang Melayu, yang wajar UMNO perjuangkan.
Seruan saya, jika UMNO ingin untuk berkelangsungan 70 tahun dan lebih lagi, UMNO mesti mengambil pandangan jauh. Jalan pintas, bukan cara UMNO.
Dan medan terbaik untuk UMNO membahaskan dengan tulus, misi besar sebegini, ialah perhimpunan seperti ini.
Insha Allah, UMNO Johor akan melakukan usaha lebih terancang selepas ini untuk menyebar luaskan Agenda Melayu Maju ini. Agar ia didukung sepenuh jiwa oleh seluruh orang Melayu insyallah.
Akhirnya, sekali lagi terima kasih atas kehadiran pada malam ini.
Saya harap, kasih kita, cinta kita, ikhlas dan sayang kita pada bangsa Melayu, pada Islam dan pada tanahair ini akan terus subur.
Biarlah orang Melayu, hari ini atau dari generasi yang akan datang, setidak-tidaknya berbangga dengan kita. Kerana, masih ada dari kalangan bangsa mereka, yang benar-benar mengasihi orang Melayu. Dan memikirkan yang terbaik untuk mereka.
Sekian, Terima kasih.
Friday, 11 November 2016
Thursday, 3 November 2016
DYMM SULTAN JOHOR: BELAJAR BUDAYA DAN CARA ORANG JOHOR
TITAH UCAPAN

DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR,
SULTAN YANG DIPERTUAN
BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM
DALAM
MAJLIS HIMPUNAN BANGSA JOHOR
BERTEMPAT
DI STADIUM MAJLIS PERBANDARAN PASIR GUDANG,
JOHOR BAHRU
PADA HARI KHAMIS, 3 NOVEMBER 2016.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
1. DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI. SEGALA PUJIAN BAGI ALLAH TUHAN PENTADBIR SELURUH ALAM. SELAWAT DAN SEJAHTERA KEPADA JUNJUNGAN BESAR KITA NABI MUHAMMAD SEMULIA MULIA RASUL, SERTA KELUARGA DAN PARA SAHABATNYA SEKALIAN.
2. ALHAMDULLILAH, SYUKUR SAYA KE HADRAT ALLAH SUBHANAHU WATAALA, KERANA DENGAN LIMPAH KURNIA DAN IZINNYA DAPAT SAYA HADIR DALAM MAJLIS HIMPUNAN BANGSA JOHOR YANG DIANJURKAN BUAT KALI PERTAMA PADA HARI YANG BERSEJARAH INI.
SEJAK SAYA MENAIKI TAKHTA KERAJAAN JOHOR, PADA TAHUN 2010, ATAU 6 TAHUN YANG LALU, SAYA TELAH BANYAK BERTEMU DENGAN RAKYAT SAYA MELALUI PROGRAM KEMBARA MAHKOTA JOHOR, DAN JUGA BEBERAPA MAJLIS LAIN YANG DIANJURKAN OLEH PIHAK KERAJAAN. NAMUN PADA HARI INI, SAYA BERASA AMAT TERUJA DENGAN MAJLIS HIMPUNAN BANGSA JOHOR YANG DI ADAKAN INI, KERANA IA MERUPAKAN MAJLIS PERTAMA BAGI DIRI SAYAA UNTUK MENYAMPAIKAN NASIHAT KEPADA SEMUA RAKYAT SAYA, BANGSA JOHOR YANG HADIR DI STADIUM INI.
SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DAN BERBANYAK TERIMA KASIH SAYA UCAPKAN KEPADA PIHAK PENGANJUR DAN SEMUA PIHAK YANG TERLIBAT.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
3. SEMUA MANUSIA DI DUNIA INI INGIN HIDUP DENGAN SELESA, AMAN DAN SEJAHTERA. NAMUN BEGITU, SETIAP MANUSIA ITU DILAHIRKAN DAN HIDUP DENGAN KEADAAN YANG BERBEZA-BEZA, SAMA ADA PADA WARNA KULIT, KETURUNAN, AGAMA, ATAU BANGSA. OLEH YANG DEMIKIAN, KUNCI UTAMA YANG KITA PERLUKAN UNTUK MENCAPAI KESEJAHTERAAN HIDUP DALAM MASYARAKAT YANG BERBILANG BANGSA ADALAH PERPADUAN YANG ERAT.
SERING SAYA KATAKAN, TIDAK ADA MANA-MANA NEGARA DI DUNIA INI YANG AKAN MAJU JIKA RAKYATNYA BERPECAH-BELAH.
4. ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB SEMUA RAKYAT, TANPA MENGIRA KAUM ATAU KETURUNAN, UNTUK BERSATU HATI BAGI MEMBENTUK SEBUAH MASYARAKAT YANG HARMONI.
SETIAP RAKYAT MESTI BERTOLAK-ANSUR, BANTU-MEMBANTU, DAN HIDUP BERMUAFAKAT. SIKAP IRI HATI ATAU CEMBURU DENGAN KELEBIHAN ORANG LAIN HARUS DIELAKKAN KERANA IA AKAN MEMBAWA KEPADA PERGADUHAN DAN PERPECAHAN.
5. MELIHAT KEPADA KEADAAN MASYARAKAT DI MALAYSIA HARI INI, SAYA MERASAKAN PERPADUAN KAUM, MASIH BELUM DICAPAI SEPENUHNYA.
ANTARA FAKTOR KEADAAN INI BERLAKU ADALAH KERANA MASIH WUJUD SISTEM PENDIDIKAN YANG BANYAK ALIRAN, TERUTAMA DI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH. LIHATLAH GENERASI HARI INI, HASIL DARI SISTEM PENDIDIKAN VERNAKULAR YANG BERORENTASIKAN KAUM. BAGAIMANA MEREKA HENDAK BERSATU JIKA DARI KECIL LAGI MEREKA TELAH DIASINGKAN ?
6. SAYA JUGA HAIRAN MACAM MANA MASIH ADA RAKYAT MALAYSIA YANG TIDAK BOLEH BERBAHASA MELAYU. JIKA RAKYAT TIDAK BOLEH BERKOMUNIKASI DAN MEMAHAMI ANTARA SATU SAMA LAIN, BAGAIMANA HENDAK HIDUP BERSAMA ?
7. OLEH ITU SUKA SAYA TEGASKAN DI SINI SUPAYA KERAJAAN MENAMBAH-BAIK SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DENGAN MENJADIKAN SEKOLAH RENDAH HANYA SATU ALIRAN.
BAHASA KEBANGSAAN DIGUNAKAN SEBAGAI BAHASA PENGANTAR, BAHASA INGGERIS SEBAGAI MATA PELAJARAN WAJIB, BAHASA MANDARIN DAN TAMIL PULA DIJADIKAN MATA PELAJARAN TAMBAHAN.
8. PERUBAHAN INI HARUS DIBUAT DI PERINGKAT SEKOLAH RENDAH, KERANA KANAK-KANAK YANG BERUMUR DI BAWAH 12 TAHUN, MUDAH UNTUK DIBENTUK. IBARAT KATA PEPATAH “MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNG”.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
9. SALAH SATU CARA LAIN UNTUK MENYATU-PADUKAN RAKYAT ADALAH MELALUI AKTIVITI SUKAN. PASUKAN BOLA SEPAK J.D.T TELAH BERJAYA MENGERATKAN HUBUNGAN BANGSA JOHOR TANPA MENGIRA KAUM, KETURUNAN ATAU PANGKAT.
10.NAMUN BEGITU, ADA JUGA SEGELINTIR PENYOKONG YANG TIDAK BERDISIPLIN BERTINDAK MELAMPAU BATAS DAN MEROSAKKAN SEMANGAT PERPADUAN DALAM SUKAN. ADA JUGA PENGGUNA MEDIA SOSIAL YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB MELEMPARKAN KATA-KATA KESAT DI FACEBOOK KERANA SIFAT CEMBURU DAN IRI- HATI DENGAN KEJAYAAN PASUKAN J.D.T.
11. SAYA BERHARAP PERKARA SEPERTI INI DAPAT DIHENTIKAN. SETIAP PASUKAN ADALAH MUSUH HANYA SEMASA PERLAWANAN, DAN AKAN MENJADI KAWAN SELEPAS PERTANDINGAN.
BEGITU JUGA DENGAN PENYOKONG, BERSORAKLAH KETIKA PERLAWANAN BERLANGSUNG DAN BERJABAT TANGAN SETELAH PERTANDINGAN SELESAI.
JIKA KITA BANDINGKAN KEJAYAAN PASUKAN JDT TIGA TAHUN KEBELAKANGAN INI BERBANDING 22 TAHUN YANG LALU, KITA AKAN LIHAT KEJAYAAN YANG BEGITU CEMERLANG TELAH DICAPAI DALAM MASA YANG SINGKAT. TAHNIAH SAYA UCAPKAN KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT. SEGALA KEJAYAAN INI TIDAK AKAN DICAPAI TANPA SOKONGAN YANG BERTERUSAN DARIPADA PENYOKONG DAN PENAJA. TETAPI JANGANLAH KITA MENGHARAPKAN UNTUK MENANG SETIAP MASA.
12. SUDAH MENJADI ADAT PERLAWANAN ADA KALAH DAN MENANG. DUNIA PUN ADA SIANG DAN MALAM, LAUT PUN ADA PASANG DAN SURUT. YANG PENTING, WALAU APA PUN YANG TERJADI TERHADAP PASUKAN, SOKONGAN MESTI TERUS DIBERIKAN. JANGAN HANYA BERSORAK KETIKA MENANG DAN MENGUTUK PASUKAN APABILA KALAH.
13. BARU-BARU INI, ADA SEORANG PEMIMPIN ATASAN YANG TELAH MELATAH TERHADAP KATA-KATA YANG DIKELUARKAN OLEH TUNKU MAHKOTA. DIA DENGAN ANGKUHNYA MENYERANG ANAK SAYA DAN MENDESAK TUNKU MAHKOTA MEMOHON MAAF SECARA BERTULIS KEPADANYA. SUKA SAYA INGATKAN KEPADA INDIVIDU TERSEBUT AGAR JANGAN TERLALU BERLAGAK. INI NEGERI JOHOR DAN TUNKU MAHKOTA ADALAH ANAK SAYA, “CUBIT PEHA KIRI, PEHA KANAN JUGA TERASA SAKIT”. JIKA HENDAK MENEGUR, TEGURLAH DENGAN BAIK. PEMIMPIN JENIS APAKAH INI KALAU TIDAK TAHU BERADAB? SAYA AKAN MAKLUMKAN PERKARA INI KEPADA PERDANA MENTERI KERANA INDIVIDU TERSEBUT ADALAH SEORANG MENTERI KABINET.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
14. DALAM DUNIA HARI INI, FITNAH DAN HASUTAN AMAT MUDAH DIBUAT DAN DISEBARKAN. SAYA MENDAPAT LAPORAN BANYAK ORANG MENGATA SAYA ATAU KELUARGA SAYA DI MEDIA SOSIAL. SAYA TAK BUAT LAPORAN TETAPI ORANG RAMAI YANG MELAPORKANNYA KEPADA PIHAK POLIS. SAYA PUN TAK KENAL ORANG YANG MENGUTUK SAYA. APABILA POLIS MENGAMBIL TINDAKAN, SAYA DENGAR DIA BERASA TAKUT DAN MUNGKIN RASA BERSALAH, TERUS LARI KELUAR NEGARA. NASIHAT SAYA KEPADA SEMUA JAGALAH ADAB DAN TUTURKATA DI MEDIA SOSIAL KERANA KENYATAAN YANG SILAP BOLEH MENGUNDANG PADAH. BAK KATA PEPATAH “KERANA PULUT SANTAN BINASA, KERANA MULUT BADAN BINASA.”
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
15. TIDAK KIRA DI MANA KITA BERADA, KITA MESTILAH HORMAT KEPADA UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN YANG DIBUAT OLEH PIHAK BERKUASA.
SUKA SAYA INGATKAN SUPAYA SETIAP RAKYAT MENGAMBIL TAHU DAN MEMATUHI UNDANG-UNDANG YANG TELAH DIBUAT SAMA ADA DIPERINGKAT PERSEKUTUAN ATAU PUN NEGERI.
SEKIRANYA ADA PERASAAN TIDAK PUAS HATI DENGAN KEPUTUSAN ATAU DASAR KERAJAAN, AMBIL-LAH TINDAKAN MENGIKUT SALURAN YANG BETUL.
16. AKHIR-AKHIR INI, SAYA LIHAT TELAH WUJUD SATU BUDAYA YANG TIDAK SIHAT DI NEGARA KITA, IAITU BUDAYA DEMONSTRASI JALANAN. TINDAKAN RAKYAT YANG BERKUMPUL DI TEMPAT AWAM, SAMBIL MEMBAWA SEPANDUK DAN MELAKUKAN AKSI YANG MENGHINA PEMIMPIN ATAU INDIVIDU, ADALAH TINDAKAN YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DAN HANYA MENIMBULKAN KEBENCIAN DAN PERPECAHAN MASYARAKAT. YANG PELIKNYA, SEORANG BEKAS PEMIMPIN NEGARA YANG TERKENAL DI DUNIA PUN SAMA-SAMA MENYERTAI DEMONSTRASI JALANAN. INI BUKAN TABIAT ORANG KITA.
17. SAYA JUGA TIDAK FAHAM MENGAPA ORANG KITA TERIKUT-IKUT DENGAN CARA ORANG LUAR YANG MENGHASUT UNTUK MENJATUHKAN KERAJAAN.
INGIN SAYA TEGASKAN, DI NEGERI JOHOR, SAYA TIDAK AKAN BENARKAN MANA-MANA PIHAK MENGANJURKAN DEMONSTRASI JALANAN. KERANA IA AKAN MENGGANGGU KETENTERAMAN AWAM DAN MEMBERIKAN IMEJ YANG TIDAK BAIK.
18. OLEH ITU, SAYA INGATKAN KEPADA SEMUA N.G.O. DI JOHOR DAN SEMUA BANGSA JOHOR SUPAYA JANGAN IKUT BUDAYA YANG SESAT INI. JIKA TIDAK PUAS HATI DENGAN KERAJAAN, SALURKAN-LAH MELALUI WAKIL-WAKIL RAKYAT YANG TELAH DIPILIH. DAN JIKA WAKIL RAKYAT GAGAL MEMBAWA SUARA HATI RAKYAT, MAKA PILIHLAH PEMIMPIN YANG BARU APABILA TIBA PILIHANRAYA YANG AKAN DATANG.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
19. SISTEM DEMOKRASI NEGARA TELAH DIAMALKAN SEJAK 60 TAHUN YANG LALU, APABILA PERJANJIAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 1948 DITANDATANGANI OLEH RAJA-RAJA MELAYU, DI MANA KUASA PENTADBIRAN DITURUNKAN KEPADA PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG DI PILIH OLEH RAKYAT.
20. NAMUN BEGITU, SAYA BERASA AMAT KECEWA APABILA ADA PEMIMPIN YANG TELAH DIBERIKAN KUASA, MENJADI SEMAKIN TAMAK DAN INGINKAN KUASA YANG LEBIH BESAR SEHINGGA SANGGUP MENGHAPUSKAN HAK ORANG YANG MEMBERINYA KUASA DAHULU.
21. INILAH DIKATAKAN SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT, PEMIMPIN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB INI TELAH MEMBUAT BEBERAPA PINDAAN KEPADA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN.
22. TERUTAMANYA PADA TAHUN 1994 YANG TELAH MENJADIKAN YANG DIPERTUAN AGONG SEBAGAI BONEKA YANG MESTI MENGIKUT TELUNJUK MEREKA.
TINDAKAN MENGHAPUSKAN HAK YANG DIPERTUAN AGONG ADALAH SAMA SEPERTI MENGHAPUSKAN HAK RAJA-RAJA MELAYU YANG LAIN.
23. SAUDARA-SAUDARI BOLEH SEMAK SENDIRI PINDAAN YANG TELAH DIBUAT IAITU PADA PERKARA 40(1A). SIAPAKAH PERDANA MENTERI PADA KETIKA ITU?. JIKA ITU SATU KESILAPAN, MAKA BETULKAN-LAH. TETAPI JIKA MEREKA BERASA SELESA DENGAN KUASA YANG MEREKA PEROLEHI, MAKA SAYA PERCAYA PERKARA INI TIDAK AKAN DIBINCANGKAN.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
24. INGIN SAYA INGATKAN DI SINI KEPADA ORANG LUAR YANG DATANG DAN TINGGAL DI NEGERI JOHOR. NEGERI INI TERBUKA LUAS UNTUK SEMUA RAKYAT MALAYSIA, BUKAN UNTUK BANGSA JOHOR SAHAJA.
25. OLEH ITU, APABILA DUDUK DI JOHOR, HORMATILAH UNDANG-UNDANG NEGERI DAN TUNJUKKAN KESETIAAN KEPADA NEGERI INI.INGATLAH PEPATAH MELAYU ADA MENYEBUT “DIMANA BUMI DIPIJAK DISITU LANGIT DIJUNJUNG.”
26. BELAJARLAH CARA DAN BUDAYA ORANG JOHOR. SEBAGAI CONTOH, ORANG JOHOR TIDAK MENGANGKAT SEMBAH KEPADA RAJA, TETAPI TAAT SETIANYA TIDAK BERBELAH BAHAGI DAN IKUTLAH CARA PAKAIAN ORANG JOHOR IAITU BAJU MELAYU TELUK BELANGA.
27. DI JOHOR JUGA BANYAK MAKANAN YANG SEDAP-SEDAP KERANA DI SINI BANYAK KAUM YANG TELAH DATANG BERHIJRAH, SEPERTI ORANG JAWA, BUGIS, BANJAR DAN LAIN-LAIN. MUNGKIN SEBAB ITULAH RAMAI ORANG YANG HENDAK BERKAHWIN DENGAN ORANG JOHOR. TAPI SAYA PILIH ORANG PERAK.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
28. GENERASI BELIA HARI INI ADALAH GOLONGAN YANG BERUNTUNG KERANA DAPAT MENIKMATI SUASANA HIDUP YANG SELESA DAN PELUANG PEKERJAAN YANG BANYAK.
29. OLEH ITU SAYA NASIHATKAN KEPADA BELIA MAT MOTOR SUPAYA BERUBAH, JANGAN HANYA DUDUK GOYANG KAKI DAN MENYUSAHKAN IBU BAPA.
SAYA TAHU TIDAK SEMUA MAT MOTOR YANG BERMASALAH, TETAPI KERANA DUA-TIGA YANG BUAT PERANGAI, SEMUANYA MENDAPAT NAMA BURUK. IBARAT “NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA.”
30. PARA BELIA DAN GENERASI MUDA HARI INI, HARUSLAH BERUSAHA UNTUK MENJADI MANUSIA YANG DISANJUNGI. ELAKKAN DIRI DARIPADA GEJALA YANG TIDAK SIHAT KERANA AWAK SEMUA ADALAH GENERASI MASA HADAPAN YANG AKAN MEWARISI BUMI BERTUAH INI.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
31. SATU PERKARA YANG SERING SAYA TEKANKAN ADALAH ISU PENJAGAAN ALAM SEKITAR DAN KEBERSIHAN. SAYA TELAH MEMINTA KERAJAAN MEMBANTERAS ISU PENCEROBOHAN TANAH DAN MENGHENTIKAN PENGELUARAN LESEN PEMBALAKAN HUTAN.
32. OLEH YANG DEMIKAN, SAYA MINTA KERJASAMA SEMUA RAKYAT UNTUK SAMA-SAMA MEMBANTU KERAJAAN DALAM MENGAWAL AKTIVITI PENEROKAAN TANAH DAN HUTAN DARI TERUS BERLAKU.
33. BEGITU JUGA DENGAN MASALAH KEBERSIHAN. SEMUA YANG DIPERTUA MAJLIS TELAH DIARAHKAN UNTUK MENINGKATKAN MUTU KEBERSIHAN DI SEMUA KAWASAN DAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP ORANG RAMAI YANG MEMBUANG SAMPAH SESUKA HATI. TANGGUNGJAWAB MENJAGA KEBERSIHAN ADALAH TANGGUNGJAWAB SEMUA, BUKAN HANYA DIBUAT OLEH KERAJAAN SEMATA-MATA.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
34. SEJAK DARI DAHULU LAGI, NEGERI JOHOR TELAH MENJADI SEBUAH NEGERI YANG PALING MAJU DI TANAH MELAYU. INI KERANA KEDUDUKANNYA YANG STRATEGIK DAN DASAR MESRA PELABUR YANG DI AMALKAN.
35. ALMARHUM SULTAN IBRAHIM TELAH MENJEMPUT DAN BEKERJASAMA DENGAN PELABUR DARI EROPAH, CHINA, DAN JEPUN UNTUK MEMBUKA KAWASAN PERTANIAN DAN PERLOMBONGAN DI JOHOR. MALAH BAGINDA JUGA TELAH MENJELAJAH SEHINGGA KE EROPAH DAN AMERIKA SYARIKAT UNTUK MEMPROMOSIKAN JOHOR.
36. PELABUR-PELABUR ASING INI TELAH DIBERIKAN HAK ATAS TANAH YANG DIMAJUKAN, TETAPI TIDAK MEMBAWA BALIK TANAH MEREKA DI JOHOR KE NEGARA MEREKA. KAWASAN YANG TELAH DIMAJUKAN TERUS KEKAL MENJADI PENYUMBANG KEPADA KEMAJUAN EKONOMI NEGERI JOHOR.
37. BEGITU JUGA DASAR YANG DILAKSANAKAN OLEH KERAJAN PADA HARI INI DENGAN MENGAJAK PELABUR DARI LUAR NEGARA UNTUK SAMA-SAMA MEMBANGUNKAN SEKTOR HARTANAH DI NEGERI JOHOR. DAN KERAJAAN SENTIASA MEMBUKA PELUANG KEPADA MANA-MANA PELABUR LAIN UNTUK MEMAJUKAN NEGERI JOHOR, BUKAN SAHAJA DARI NEGARA CHINA.
38. OLEH ITU, SAYA BERHARAP AGAR RAKYAT JOHOR MENGAMBIL PELUANG-PELUANG PEKERJAAN YANG DISEDIAKAN KESAN DARIPADA PEMBANGUNAN YANG PESAT DI NEGERI INI.
39. MALAH HASIL DARIPADA PEMBANGUNAN INI JUGA TELAH MEMBOLEHKAN KERAJAAN MEMBINA LEBIH BANYAK RUMAH UNTUK PENDUDUK TEMPATAN DAN MENINGKATKAN KEMUDAHAN AWAM.
40. LIHAT SAHAJA KEMAJUAN YANG DIBUAT DI PASIR GUDANG INI, YANG DULUNYA SEPERTI TEMPAT JIN BERTENDANG, TETAPI SEKARANG SUDAH MAJU MEMBANGUN. ADAKAH RAKYAT MASIH MENAFIKAN KESAN PEMBANGUNAN YANG DIBUAT?
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
41. KITA SEMUA PASTI TIDAK LUPA DENGAN PERISTIWA KEBAKARAN DI HOSPITAL SULTANAH AMINAH BARU-BARU INI. SAYA TURUT MERASA DUKACITA DENGAN BENCANA YANG BERLAKU SEHINGGA ADA YANG TELAH TERKORBAN.
42. NAMUN, APABILA DIMAKLUMKAN MENGENAI APA YANG BERLAKU SEMASA DAN SELEPAS KEJADIAN TERSEBUT, SAYA MERASA BANGGA KERANA MEMPUNYAI RAKYAT YANG BERSATU DAN BERHATI MULIA. SEMUA KAKITANGAN HOSPITAL TELAH BERTUNGKUS LUMUS MEMBANTU MENYELAMATKAN PESAKIT YANG TERLIBAT.
43. BANYAK JUGA PIHAK TELAH TAMPIL MEMBERIKAN BANTUAN TENAGA, MAKANAN DAN KEMUDAHAN UNTUK MEMBANTU MANGSA YANG TERLIBAT.
MALAH JIRAN KITA SINGAPURA JUGA TURUT MENAWARKAN KEMUDAHAN HOSPITAL DAN WAD KEPADA PESAKIT YANG MEMERLUKAN.
44. INILAH SEMANGAT KERJASAMA DAN BANTU-MEMBANTU YANG MESTI KITA PERTAHANKAN, BUKAN SAHAJA KETIKA WAKTU SUSAH, MALAH KETIKA SENANG JUGA KITA MESTI BERSATU.
45. BERKAITAN DENGAN KEADAAN HOSPITAL SULTANAH AMINAH, SAYA TELAH MAKLUMKAN KEPADA MENTERI KESIHATAN YANG HOSPITAL ITU BUKANLAH KILANG SARDIN.
46. KERAJAAN MESTI MEMBINA SEBUAH HOSPITAL BARU YANG LEBIH BAIK UNTUK MEMBERIKAN PERKHIDMATAN YANG SEMPURNA. JANGAN SUSAHKAN RAKYAT SAYA.
47. HOSPITAL SULTANAH AMINAH MERUPAKAN BANGUNAN WARISAN DI JOHOR, YANG MEMPUNYAI BANYAK SEJARAH. TETAPI MALANGNYA RUPA BENTUK BANGUNAN INI TELAH BANYAK DIBUAT PENAMBAHAN DAN UBAH SUAI.
SAYA BERHARAP BANGUNAN INI AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA REKA BENTUK ASAL PADA MASA AKAN DATANG.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
48. INGIN SAYA INGATKAN MENGENAI SATU PENYAKIT YANG SEDANG DATANG KE JOHOR AKIBAT SEJENIS VIRUS YANG AMAT MERBAHAYA.
49. VIRUS INI LEBIH TERUK DARIPADA ZIKA KERANA TIADA PENAWARNYA. JIKA PENYAKIT JANTUNG, BOLEH MATI SERTA MERTA. VIRUS INI AKAN MEMBUAT PESAKITNYA SENGSARA SEPANJANG HAYAT.
50. VIRUS YANG SAYA MAKSUDKAN ADALAH VIRUS PERPECAHAN. VIRUS INI DATANG DARIPADA PARTI POLITIK BARU DAN AHLI-AHLINYA MENJADI PENYEBARNYA.
51. VIRUS INI SANGAT MERBAHAYA KERANA IANYA SUKAR DIUBATI. APABILA MASYARAKAT TELAH DIJANGKATI VIRUS INI, MAKA MUSNAHLAH KEHIDUPAN RAKYAT DAN KEMAKMURAAN NEGARA.
OLEH ITU SAYA BERHARAP RAKYAT MENJAUHKAN DIRI DARIPADA VIRUS INI. GUNAKAN AKAL FIKIRAN DAN JANGAN SAMPAI MENYESAL KEMUDIAN HARI.
52. PEMBAWA VIRUS INI AKAN MENGHENTAM KERAJAAN SETIAP HARI DAN MENGHASUT RAKYAT SUPAYA MEMBENCI PEMIMPIN. TETAPI KEBAIKAN YANG DIBUAT KERAJAAN SEMUANYA MEREKA BUAT TAK NAMPAK.
APABILA AGENDA ATAU HASRAT MEREKA TIDAK TERCAPAI, MEREKA AKAN BIARKAN MASYARAKAT HIDUP DALAM KEADAAN YANG MENDERITA.
53.SAYA BERCAKAP SEBAGAI ORANG TUA ATAU SEORANG BAPA YANG CINTAKAN PERPADUAN DAN MAHU RAKYAT SAYA HIDUP DENGAN AMAN DAN DAMAI.
SAYA TIDAK MAHU MELIHAT RAKYAT SAYA BERPECAH. SAYA BENCI KEPADA INDIVIDU YANG MEMPUNYAI AGENDA TERSENDIRI, MENGHASUT RAKYAT UNTUK BERGADUH SESAMA-SENDIRI. APABILA PERPECAHAN BERLAKU, KEHIDUPAN RAKYAT AKAN MENJADI SUSAH. DAN PADA WAKTU ITU, JANGANLAH TOLEH KEPADA SAYA.
SAUDARA SAUDARI SEKALIAN,
54. KEHIDUPAN YANG KITA KECAPI HARI INI ADALAH HASIL DARIPADA USAHA YANG DIBUAT OLEH PEMIMPIN TERDAHULU. DAN SEGALA TINDAKAN YANG KITA BUAT HARI INI PULA AKAN MEMBERI KESAN KEPADA WARIS DAN GENERASI KITA YANG AKAN DATANG.
55. OLEH ITU, MARILAH KITA BERUSAHA UNTUK MEMBERIKAN MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK UNTUK ANAK CUCU KITA.
56. SAYA MELIHAT MASA DEPAN NEGERI JOHOR INI AKAN BERTAMBAH BAIK. TETAPI SEGALA-GALANYA TERLETAK KEPADA SIKAP RAKYAT YANG RAJIN BERUSAHA DAN BERSATU PADU, DAN PEMIMPIN-PEMIMPIN YANG AMANAH DAN BERTANGGUNGJAWAB. SAYA HANYA BOLEH BERCAKAP DAN MEMBERIKAN NASIHAT.
57. SAYA MERASA AMAT GEMBIRA DENGAN PROGRAM YANG DI ANJURKAN INI DAN MENGUCAPKAN BERBANYAK TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG HADIR.
58. AKHIR KATA, MARILAH KITA BERDOA KEHADRAT ALLAH SUBHANAHU WATAALA SEMOGA MENGURNIAKAN RAHMAT KEPADA SELURUH BANGSA JOHOR DAN SEMOGA NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM TERUS KEKAL MEMBANGUN DENGAN AMAN DAN SENTOSA.
SEKIAN WABILLAAHI TAUFIQ WALHIDAAYAH WASSALAAMU ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH.
#LuaskanKuasamu
Saturday, 27 August 2016
Khaled Nordin: Segala-galanya ada pada Nama.

Jawapan balas berhubung konsep Bangsa Johor
1. Saya tertarik untuk menjawab dakwaan yang dikemukakan oleh sesetengah pihak bahawa konsep Bangsa Johor tidak mempunyai makna yang besar.
2. Pada mereka, ‘apa ada pada nama. Sedangkan Islam sudah cukup untuk menjadi identiti dengan sendirinya’
3. Saya ingin membidas kenyataan dan pandangan tersebut seperti berikut.
4. Pertama: Islam sendiri mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan etnik.
5. Pengiktirafan terhadap kerencaman bangsa, etnik dan kabilah adalah sesuatu yang disebut dengan jelas di dalam Islam melalui surah Al-Hujurat ayat 13.
6. Betapa Allah SWT menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa dan bersuku puak agar kita saling berkenal-kenalan.
7. Benar, Islam juga tidak sesekali menganggap sesuatu bangsa atau kaum itu lebih mulia berbanding yang lain. Namun, ini tidak bermakna bahawa mengangkat nilai dan identiti bangsa itu adalah sesuatu yang dihalang sama sekali.
8. Malah, dalam kaedah fiqh yang melibatkan susunan sumber dalam menentukan hukum hakam Islam sendiri, bentuk amalan serta budaya sesuatu bangsa iaitu ‘urf turut boleh dijadikan asas dan rujukan, walaupun bukan sebagai sumber undang-undang yang paling kuat.
9. Lebih penting, Islam juga menyatakan, melalui hadis Rasulallah SAW, betapa kecintaan kepada tanahair (watan) itu adalah sebahagian daripada iman.
10. Jadi, jika Islam (sama ada melalui Al-Quran atau hadis Rasulallah SAW) sendiri mengiktiraf kepelbagaian bangsa, menganjurkan kecintaan kepada tanahair, meletakkan amalan dan budaya sesuatu bangsa sebagai asas undang-undang yang sah, mengapa kita pula yang harus menjadi terlalu angkuh untuk menolak dan tidak mahu menerima sesuatu yang diiktirafnya?
11. Kedua: Islam menerima dan mengharmonikan amalan budaya.
12. Kalau kita benar-benar mengkaji sirah, budaya menggunakan tempat asal sebagai sebahagian daripada identiti diri adalah sesuatu yang tidak dihalang oleh Islam.
13. Ramai sahabat Rasulallah SAW sendiri yang menggunakan nama tempat asal mereka sebagai sebahagian daripada pengenalan diri.
14. Misalnya, Salman Al Farisi, yang bermaksud Salman dari Parsi.
15. Adakah ini bermakna, sabahat Rasulallah SAW ini mengangkat identiti tempat asal beliau lebih tinggi dan mulia dari identiti Islam? Sedangkan perkara tersebut tidak pun dibantah oleh Rasulallah SAW.
16. Dan kita juga harus ingat, dalam bacaan surah Al-Fatihah itu sendiri, terdapat 7 lenggok dan loghat bacaan yang diterima dalam Islam.
17. Bukankah kedua-dua penggunaan nama asal sebagai identiti diri dan penerimaan lenggok bacaan Al-Quran yang berlainan itu merupakan satu bukti jelas betapa Islam dan identiti bangsa yang bersandarkan tempat asal itu wujud seiringan, harmoni dan serasi.
18. Ketiga: Penolakan konsep Bangsa Johor boleh dilihat sebagai satu penghinaan moral secara tidak langsung kepada para pejuang yang bermati-matian mengangkat nama tanahair.
19. Pihak yang menolak konsep Bangsa Johor juga ada yang berhujah bahawa ‘Ia hanyalah jolokan yang tidak lebih daripada sekadar nama. Sedangkan Islam itu lebih besar dari nama bangsa dan negara. Dan sekalian alam serta seluruh isinya’
20. Mendengar pandangan begini, saya tidak boleh lari dari memikirkan tentang apakah yang akan dirasakan oleh mereka yang selama ini berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanahair.
21. Apabila hari ini kita dikecam teruk dan dihalang oleh bangsa sendiri untuk berasa bangga dengan tempat asal kita.
22. Perkara ini bukan sahaja terpakai dalam konteks tempatan. Malah antarabangsa.
23. Kalau menurut logik sebegini, maka perjuangan rakyat Palestin yang ingin mempertahankan kedaulatan tanahair mereka itu adalah sia-sia dan mengada-ngada.
24. Kerana, mengapa mereka harus marah dan berjihad apabila tanah mereka diceroboh dan dirampas? Sedangkan ia hanyalah sempadan geografi yang tidak seharusnya dipedulikan kerana mereka sudah mempunyai Islam sebagai identiti dan hak mutlak.
25. Bagaimana pula dengan jutaan pelarian Syria? Adakah tidak mengapa untuk mereka tidak lagi mempunyai identiti asal dan bernegara sendiri, selagi mana mereka mempunyai Islam sebagai satu-satunya identiti dan hak tunggal mereka?
26. Mungkin tidak mengapa kepada sesetengah pihak. Namun, pada saya, ia adalah suatu tragedi identiti yang menyedihkan.
27. Keempat: Konsep berbangsa itu adalah manifestasi peradaban dan kemodenan.
28. Sepanjang sejarah peradaban manusia terdapat terlalu banyak tamsilan yang menunjukkan rumpun manusia yang berpisah-pisah dan pelbagai telah disatukan atas satu identiti yang bersandarkan tempat asal dan tanahair.
29. Mereka hadir bersama, membentuk identiti diri, membina organisasi dan bergerak sebagai sebuah komuniti. Atas satu nama, atas satu ikatan.
30. Dan ia adalah ikatan yang mewujudkan rasa kebersamaan dan penerimaan yang paling mudah untuk dibentuk dan diraikan. Sekaligus boleh menjadi unsur identiti yang unik dan menarik.
31. Jadi, andai mereka masih bertanya, ada apa pada nama? Pada saya, segala-galanya!
Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
Thursday, 25 August 2016
"Bangsa Johor" mencakupi lengkap makna PERMUAFAKATAN
Kenyataan Media Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor
Pergerakan Puteri UMNO Johor sepakat menolak kenyataan Tun Mahathir berkaitan ungkapan "Bangsa Johor" itu seolah rasa bangga diri dan sesuatu yang tidak sihat serta memecahbelahkan rakyat Malaysia.
Sebagai anak Johor kami bangga malah melihat ungkapan "Bangsa Johor" ini mencakupi lengkap makna permuafakatan dari sudut perpaduan dan keakraban masyarakat, kejiranan serta kepelbagaian pendapat berbilang kaum serta menjadikan kami dibawah satu rumpun dengan gelaran Bangsa Johor..
Puteri UMNO Johor akan sentiasa bersama menyokong dan akan terus bersama DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta kepimpinan YAB Dato' Mohamed Khaled bin Nordin dalam memimpin dan memastikan Bangsa Johor terus utuh dan dikenali diseluruh dunia.
Maka pada pendapat saya seharusnya negeri lain juga perlu mencontohi dan melihat dari sudut positif semangat Nasionalisme Johor ini kerana ia bukanlah sesuatu yang berunsur negatif, dan pandanglah konsep Bangsa Johor ini sebagai cara yang sihat.
Kami berharap agar Tun Mahathir tidak perlu lagi memberi kenyataan seperti ini bahkan sesiapapun kerana ianya hanya membangkitkan amarah Bangsa Johor serta beliau akan dilihat sebagai bekas pemimpin yang sudah hilang modal berpolitik sehingga terpaksa menyentuh isu kenegerian yang selama ini bukanlah topik yang penting.
Sebagai anak Johor kami harus berbangga dan sentiasa memastikan agar semangat bermuafakat ini berkekalan dan memupuk semangat cinta dan sayangkan negara seiring juga dengan tema sambutan kemerdekaan negara ke-59 iaitu "sehati sejiwa".
Puteri UMNO Johor dengan ini meminta agar semua pihak lebih berhati-hati dalam mengeluarkan buah fikiran masing-masing terutamanya, apabila ianya melibatkan sensitiviti sesetengah pihak juga individu. Seharusnya semua pemimpin perlu bertindak bijak dan bukannya bersikap culas seperti yang ditunjukkan oleh bekas pemimpin seperti Tun Mahathir ini.
Akhir kata, Salam Muafakat Johor dan Salam 1 Malaysia!!
Rohaizah Ahmad
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor
Merangkap Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh
25 Ogos 2016
Khaled Nordin Pertahan Konsep Bangsa Johor
Kenyataan MB Johor
(Berhubung isu Bangsa Johor oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad)
Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johorsemalam.
Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut. Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.
Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.
Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.
Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’.
Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum. Malah ia menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.
Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik. Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.
Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia.
Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian dari kepelbagaian dan kerencaman Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai cerita dan pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.
Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secaraprogresif dan sihat.
Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya. Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.
Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatukan segenap rakyat negeri ini.
Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
25 Ogos 2016:
(Berhubung isu Bangsa Johor oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad)
Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johorsemalam.
Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut. Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.
Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.
Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.
Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’.
Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai kaum. Malah ia menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.
Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik. Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.
Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia.
Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian dari kepelbagaian dan kerencaman Malaysia. Malaysia mempunyai pelbagai cerita dan pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.
Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secaraprogresif dan sihat.
Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya. Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.
Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatukan segenap rakyat negeri ini.
Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
25 Ogos 2016:
Allah peliharakan Sultan. Johor tetap jadi Johor.
Kenyataan Akhbar Oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, En. Hahasrin Hashim:

Pergerakan Pemuda UMNO Johor sepakat menolak pandangan negatif Tun Mahathir mengenai Bangsa Johor.
1. Nikmat kemerdekaan yang ada hari ini adalah hasil pemuafakatan daripada pemimpin pelbagai lapisan kaum. Cetusan semangat negara bangsa ini mengakar dari cetusan idea Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, yang merupakan Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
2. Lipatan sejarah menunjukkan idea pembentukan Bangsa Johor ini telah sekian lama wujud. Roh dan semangatnya tidak pernah padam di dalam menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
3. Tun Mahathir seharusnya jelas, bahawa bangsa yang bertamadun mempunyai identiti peradabannya yang tersendiri.
4. Pemuda UMNO Johor kesal dengan isu yang timbul di atas kenyataan Tun Mahathir tentang semangat kebangsaan negeri seperti "Bangsa Johor" adalah tidak sihat serta membawa kepada keruntuhan permuafakatan persekutuan.
5. Tun Mahathir seharusnya lebih faham tentang betapa pentingnya muafakat dan perpaduan yang dibawa oleh DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan kepimpinan Johor iaitu YAB Dato' Mohamed Khaled Bin Nordin melalui Bangsa Johor khususnya di dalam keadaan negara kita yang mana api perkauman yang sering diusik oleh ramai pihak tidak bertanggungjawab.
6. Cukuplah dengan situasi negara kita hari ini, perpaduan yang selama ini terjalin kian retak menanti belah, kerana percayakan guruh, habis air ditempayan dicurahkan.
7. Di sini, Pergerakan Pemuda UMNO Johor sepakat menolak pandangan negatif Tun Mahathir mengenai Bangsa Johor.
8. Pemuda UMNO Johor juga ingin mendesak agar Tun Dr Mahathir berhenti dari mempertikaikan dan memberi persepsi tidak benar tentang Bangsa Johor. Ini adalah kerana, tindakan sedemikian akan menimbulkan lagi perpecahan dan segregasi yang sudah ada pada hari ini.
9. Pemuda UMNO Johor juga menyeru agar Bangsa Johor terus bermuafakat menolak dan tidak membenarkan orang lain cuba merosakan gagasan perpaduan ini walau dengan apa cara sekalipun.
10. Pemuda UMNO Johor sentiasa menyokong dan bersama - sama dengan DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta kepimpinan YAB Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin memimpin dan menerajui Johor serta Bangsa Johor.

Allah peliharakan Sultan. Johor tetap menjadi Johor.
Hahasrin Hashim
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor
Sunday, 21 August 2016
Bersetialah dalam UMNO tanpa takut untuk berkata benar

Ucapan YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh.
Tuan-tuan dan Puan-puan
1. Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, atas jemputan pada hari ini. Saya berasa sangat bertanggungjawab untuk hadir.
2. Saya tahu betapa terkesannya UMNO Pagoh susulan beberapa episod yang mendukacitakan, yang melibatkan pemimpin penting bahagian ini.
3. Maka kerana itu, saya perlu hadir. Sebagai Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri, saya mesti tampil ke hadapan. Dan memikul tanggungjawab untuk menjelaskan pendirian UMNO Johor dalam isu yang melibatkan Ketua UMNO Pagoh.
4. Tetapi sebelum saya pergi lebih jauh. Biarlah saya nyatakan satu perkara. Betapa sejujurnya, saya berasa begitu janggal sekali, berkunjung ke Pagoh, tanpa kehadiran dan melihat kelibat Tan Sri Muhyiddin.
5. Pagoh ini sudah terlalu sinonim dengan beliau. Saya secara peribadi, menganggap Tan Sri sebagai sahabat, sebagai rakan seperjuangan dan bekas ahli parti yang sangat berjasa. Berjasa pada UMNO, berjasa pada Pagoh dan Johor. Berjasa pada agama dan negara.
6. Beliau sudah lama mengabdikan dirinya untuk perjuangan agama dan bangsa melalui UMNO. Bukan sehari atau semalam dua. Tetapi, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

7. Jadi tidak pelik kalau Tan Sri Muhyiddin adalah seorang yang sangat dekat di hati, sangat dikasihi dan disanjungi oleh warga Pagoh.
8. Dalam hal ini, UMNO Johor berpendirian bahawa, walau apa pun yang telah terjadi antara Tan Sri Muhyiddin dengan UMNO, kita tidak akan sesekali melupakan jasa beliau selama ini.
9. Kita pasti akan mengenangnya. Kita tidak akan melupakan sahabat. Kita akan terus mendoakan semua orang yang pernah berbuat baik dan berjasa pada kita.
10. Kerana, inilah cara kita di Johor. Johor yang mengamalkan politik matang, politik berpendirian.
11. Dan yang lebih penting, kita tidak akan sesekali membakar segala jambatan persaudaran dan tali persahabatan antara kita, hanya kerana khilaf politik. Hanya kerana perbezaan pandangan dan pendirian.
12. Kita mesti terbuka dan menerima hakikat. Bahawa Tan sri Muhyiddin telah memilih jalan berlainan. Beliau memilih haluan sendiri. Haluan yang lebih selesa dan sesuai dengan pendirian dan prinsip beliau.
13. Dan kita pula memilih untuk setia dengan pendirian dan prinsip kita. Setia dengan haluan dan kesatuan kita. Tanpa mengalah dan berputus asa dengan segala cabaran dan kesukaran yang terpaksa kita tempuhi.
14. Bukan kerana kita ini feudal. Bukan kerana kita mendambakan kuasa, kedudukan atau pengaruh. Bukan.
15. Tetapi kerana hidup berprinsip dan berpendirian itu adalah mulia. Harus kita berpijak di tanah. Dengan tegas, dengan tetap, dengan berpendirian.
16. Janganlah kita sesekali meminjam resmi kiambang. Yang hidupnya hanya terapungan di permukaan air. Sekadar mengikut gelombang. Akarnya tak cecah ke bumi. Pucuknya jauh menggapai awan.
17. Dan yang lebih penting, kita memilih pendirian ini bukan kerana suka-suka. Tetapi kerana kita mempunyai sebab-sebab kita yang tersendiri. Yang hanya kita tahu dan faham.
18. Pertama, kerana UMNO ini, wadah yang kita sendiri bina.
19. Wadah yang meletakkan kita semua ini pada kedudukan sekarang. Kedudukan terbaik dalam sejarah pembangunan bangsa Melayu. Malah dalam sejarah perjalanan kita sebagai sebuah negara moden yang stabil.
20. Wadah inilah yang memberikan kita nikmat kemerdekaan. Wadah inilah yang memberikan makna pada sebuah kebebasan dan harga diri.
21. Wadah inilah yang membolehkan pelbagai dasar, pelbagai program, pelbagai insentif, diperkenalkan untuk memajukan orang Melayu. Membangunkan bangsa dan agama.
22. Jadi, mana mungkin kita sanggup meninggalkan wadah ini begitu sahaja. Hanya kerana ada pergeseran. Hanya kerana ada perbezaan.
23. Kita ini bukan anak-anak kecil. Yang menyangka bahawa hidup ini hanyalah tentang kegembiraan dan perkara-perkara yang manis. Kita bukan anak-anak kecil yang melihat perbezaan itu sebagai permusuhan yang hakiki.
24. Kita ini adalah generasi pewaris kepada sebuah wadah yang mengumpul kekuatan dan kesatuan orang Melayu.
25. Walau apapun perbezaannya dan biar sehebat manapun ribut dan gelora politik yang melanda, wadah inilah yang selama ini menjadi pengikat untuk kita bergerak. Dalam kerangka demokrasi dan membentuk Malaysia yang moden dan berkemajuan.
26. Lalu, mana mungkin wadah UMNO ini, boleh kita buang dan tinggalkan begitu sahaja.
27. Kedua, pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO Johor, insyaAllah, akan kita pertahankan.
28. Dalam politik, ia sudah menjadi lumrah. Bahawa akan ada sahaja pemimpin yang memilih untuk meninggalkan kita. Sudah resam. Akan ada yang datang. Akan ada yang pergi. Akan ada yang meninggalkan. Akan ada yang tewas.
29. Namun yang pasti, semua pemimpin, semua ahli, mesti sedar bahawa UMNO ini bukan milik peribadi. Ia juga bukan kisah tentang seorang individu.
30. Ia adalah institusi, yang lebih basar dari mana-mana kehebatan seorang pemimpin. Ia lebih gah dari pesona hebat seorang negarawan.
31. Maka berlapang dadalah bila ada pemimpin yang tidak lagi bersama kita. Bersabarlah.
32. Tidak ada siapa yang kekal selama-lamanya. Ingat saudara-saudari, Rasulallah SAW juga wafat dan meninggalkan kita. Tapi Islam itu tetap sampai kepada kita, menerangi nurani kita, memuliakan darjah keinsanan kita.
33. Demikian jugalah dengan UMNO. Pengasasnya telah lama pergi. Ribuan pemimpin dan pendukung terhebatnya juga telah berpulang, meninggal atau tersingkir. Namun UMNO kekal sehingga kini, dari generasi ke generasi, zaman ke zaman.
34. Dengan membawa pencerahan, dengan menyeru kepada persaudaraan dan dengan ideologinya yang murni. Untuk mencipta kebaikan pada bangsa dan agama.
35. Ketiga, kalau kita selaku orang Melayu, ahli UMNO, tidak mempertahankan UMNO, siapa lagi yang akan melakukannya?
36. Sejak kita merdeka sehinggalah hari ini, Malaysia sudah menyaksikan pelbagai kejayaan dan kemajuan. Dan kita sedar, kesemua ini adalah hasil sumbangan besar dan perjuangan tulus para pendiri bangsa terdahulu.
37. Namun, kebanyakan kita hari ini hanya mampu mendengar sahaja tentang mereka. Tentang perjuangan mereka, tentang cerita kerja keras mereka serta doa mereka untuk bangsa dan tanahair ini.
38. Kita tidak pernah bertemu dan tidak akan pernah dapat bersua wajah dengan mereka.
39. Namun, satu-satunya perkara yang masih ada, yang menghubungkan kita dengan mereka, selain daripada tanahair yang merdeka dan makmur ini, adalah UMNO. UMNO adalah merupakan warisan dan peninggalan dari mereka untuk kita.
40. Sebagai sebuah wadah plitik Melayu moden, yang bukan sekadar untuk ditatap dan dikenang-kenang. Tetapi untuk terus diperjuangkan. Agar kekal, agar berkelangsungan. Agar ia dapat terus berbakti kepada bangsa, agama dan tanahair ini.
41. Maka, kepada seluruh orang Melayu, hanya satu seruan dan peringatan dari saya. Betapa kita punya tugas dan tanggungjawab. Untuk terus mempertahankan parti ini.
42. Kerana membela dan mendukung sebarang pergerakan yang membaiki watan, dengan perjuangan agama itu sendiri, bukanlah kutub yang terpisah.
43. Dalam dunia yang semakin berubah. Dengan persekitaran yang semakin global. Sudah tidak ramai lagi yang mempunyai perasaan yang sentimental dengan UMNO.
44. Janganlah kita lupa, pelita UMNO inilah yang selama ini menerangi kita. Dan hanya kerana nyalaan pelita ini semakin malap, janganlah kita mengambil jalan mudah untuk terus memadamkannya sahaja.
45. Terpadam dan dibiar menjadi sekadar perhiasan di dinding-dinding khutub khanah, atau ditatap ceritanya dalam cerita buku sejarah.
46. Maka kalau kita, ahli UMNO, juga mahu terus menerus marahkan UMNO, mahu meninggalkan UMNO, mahu melupakan UMNO, maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membela dan mempertahankan UMNO ini?

Tuan-tuan dan Puan-puan;
47. Suatu ketika dulu, saya sendiri pernah hampir tersingkir dari UMNO. Saya pernah diberikan surat tunjuk sebab untuk menjawab kenapa tindakan disiplin tidak perlu diambil terhadap saya. Guru dan mentor politik saya sendiri, Tan Sri Shahrir pula digantung.
48. Kami tidak tahu apa kesalahan kami pada waktu itu. Tapi kami setia dengan UMNO. Kami tidak pernah meninggalkan UMNO.
49. Sebaliknya, kami membina semula keyakinan kepada UMNO dan bersungguh-sungguh mempertahankan keahlian kami dari UMNO.
50. Kerana kami amat yakin, bahawa UMNO itu bukan masalah sebenar. Parti tidak bersalah.
51. Tetapi hanya orang-orang tertentu yang menjadi punca masalah. Dan segelintir orang-orang tertentu yang menjadi punca itu tidak seharusnya dianggap mewakili UMNO secara keseluruhannya. Tidak seharusnya menjadi sebab untuk kita pula yang meninggalkan UMNO.
52. Jadi sebab itulah bila saya hadir pada hari ini, saya sangat mengerti perasaan tuan-tuan dan puan-puan. Ada yang masih bersedih, ada yang marah, ada yang juga sudah mula bergerak ke hadapan dan segera meninggalkan kemelut ini di belakang.
53. Biar apa pun perasaan dan sentimen yang tuan-tuan rasakan, kesemuanya adalah sesuatu yang kita hormati dan fahami.
54. Akan tetapi, saya sekadar ingin menyatakan dengan jelas. Kita harus mula menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin telahpun memilih jalan lain.
55. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan tindakan tersebut, UMNO ini janganlah sesekali kita korbankan.
56. Nasihat saya, janganlah kita terbawa-bawa dengan perasaan dan sentimen kita. Risalah UMNO ini lebih besar dari pesona mana-mana pemimpin. Perjuangkan risalah ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
57. Saya hadir hari ini pun kerana saya ingin menjadi penengah. Tugas saya ialah untuk berusaha mencari jalan terbaik, jalan damai, jalan yang meredakan segala amarah. Di Pagoh ini.
58. Dan saya ingin sekali mengajak semua yang hadir. Marilah kita kembali kepada landasan yang telah kita sepekati dari dahulu.
59. Bahawa UMNOlah satu-satunya wadah yang mesti kita perjuang dan pertahankan. Biar apa pun perbalahan antara kita.
60. Kerana UMNO yang lemah akan menyebabkan Malaysia lemah. UMNO yang kucar kacir akan menyebabkan negara tercicir. UMNO yang tercedera, akan melumpuhkan perjalanan pembangunan tanah air kita.
61. Lebih-lebih lagi sekarang ini. Saat negara berhadapan dengan begitu banyak sekali cabaran yang kompleks, besar dan luar biasa. Baik dari aspek politik kepada isu ekonomi, daripada aspek kesejahteraan sosial sehinggalah kepada krisis kepimpinan.
62. Dalam keadaan sebegini, sudah pastilah Malaysia memerlukan pencerahan dan inspirasi politik yang mampu memimpin kita untuk mendepani semua cabaran ini.
63. Malaysia memerlukan ‘kebangkitan nasional’. Di mana seluruh Malaysia, berpadu, bersekutu, sebagai sebuah bangsa, mewujudkan kesejahteraan yang lebih baik untuk Malaysia.
64. Dan ini hanya boleh berlaku melalui tindakan politik.
65. Kerana hanya inspirasi politik sahaja yang akan mampu mencipta kebangkitan nasional untuk memacu kejayaan Malaysia yang lebih besar, lebih hebat, lebih bersatu.
66. Dan ia mesti datang dari UMNO. UMNO yang lebih berpadu. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih berkemajuan.
67. Jadi, marilah kita gembleng segala kudrat yang kita ada. Untuk kembali bertaut. Kembali berpadu. Bagi memastikan UMNO itu menjadi lebih berkemajuan. Lebih berdaya saing. Tidak berpecah-belah.
68. Dan UMNO yang sebegini dapat menjadi inspirasi kepada segala pencerahan yang Malaysia perlukan. Dan melalui inspirasi ini, Malaysia akan mampu menangani segala cabaran yang mendepaninya.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
69. Ramai sekali yang memberitahu saya. UMNO ini sudah tersasar. Ramai yang putus harapan dengan UMNO. Ramai yang merasakan perjuangan UMNO sudah sangat jauh dari nadi sebenar ideologinya.
70. Dan mereka berpandangan bahawa UMNO berada di persimpangan paling getir dalam hayat kewujudannya.
71. Saya mendengar ini semua dengan berlapang dada. Saya juga mengakui banyak kebenaran dari ini semua. Tetapi sekadar mengungkapkan berkali-kali segala kelemahan ini, tidak akan menyelesaikan masalah.
72. Malah meninggalkan UMNO juga bukanlah alternatif yang akan menjernihkan keadaan.
73. Lalu kita hanya ada satu pilihan iaitu memulihkan kembali wibawa UMNO ini. Sedikit demi sedikit. Setapak demi setapak.
74. Kerana, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk kita meninggalkan UMNO begitu sahaja setelah apa yang UMNO berikan kepada kita semua. Setelah kita menikmati segala kebaikan dari wadah ini.
75. Kerana itulah di Johor ini, jalan kita ialah jalan pengislahan. Kita ingin mencipta aliran baru dalam UMNO. Kecergasan baru. Citra baru. Dan kita sedang giatkan pelbagai ikhtiar untuk itu.
76. Kerana kita sangat yakin, banyak lagi bait-bait yang baik dalam UMNO ini. Banyak lagi keunggulan yang tidak terlihat dan tertonjol.
77. Barangkali kerana kita terlalu sering menggunakan watak dan peribadi beberapa pemimpin UMNO sahaja, sebagai rujukan dan sandaran untuk kita menyimpulkan bahawa UMNO itu sudah tersasar.
78. Pastinya hujah seperti itu sangat tidak mencukupi untuk menghukum UMNO secara keseluruhan. Kerana seperti yang saya nyatakan dari awal, dan dalam banyak forum sebelum ini, UMNO itu lebih besar dari pesona beberapa orang pemimpinnya.
79. Kerana itulah, UMNO Johor gigih dalam usaha pengislahan UMNO ini.
80. Agar ia kembali didukung oleh bakat terbaik. Kembali diuruskan dengan sistem termaju. Dan kembali memfokuskan kepada memberi khidmat dan dharmabakti paling luhur pada bangsa.
81. Semoga, dengan doa-doa mereka yang soleh, yang pernah dibantu oleh UMNO, yang mendapat kebaikan dari perjuangan UMNO, akan terjelmalah keberkatan yang akan menyerlahkan sisi baik UMNO sebagai sebuah pergerakan siasah.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
82. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya mengajak semua ahli UMNO Pagoh, untuk terus mendukung UMNO. Mendukungnya dengan keberanian, dengan kebenaran, dengan prinsip.
83. Bersetialah dalam UMNO tanpa takut untuk berkata benar. Bersetialah dalam UMNO dengan tidak mengorbankan prinsip kita. Bersetialah dalam UMNO dengan teguh pada pendirian.
84. Ingatlah kata kata Almarhum Pramoedya Ananta Toer, sasterawan ulung Indonesia betapa “Dalam hidup, cuma ada satu yang kita punyai, iaitu keberanian. Kalau itu kita tidak punyai, apalah harga hidup ini”.
Sekian, terima kasih.
Subscribe to:
Posts (Atom)