Tuesday 22 September 2015

Bila Matlamat Menghalalkan Cara




DALAM politik, segala kemungkinan boleh berlaku. Kawan menjadi lawan. Lawan menjadi kawan. Pendek kata, untuk mendapatkan kuasa, segalanya boleh berlaku. Janganlah terlalu mempercayai. Baiah pun dipermainkan. Inilah realiti politik, tidak kira di mana kita berada.

Terbaru, PKR telah mencuri beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pas yang berpengaruh bagi mengukuhkan kedudukan kuasa mereka. Aneh! bukankah mereka lebih cenderung menyertai GHB atau PAN dari PKR sebelum ini? Sama-sama saksikan kehadiran mereka memberi kredit atau sebaliknya kepad PKR? Masalah dalaman PKR tidak kurang hebatnya. 

Ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Selangor, ditendang keluar dari PKR, ada ura-ura mengatakan beliau mahu memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Pas cepat-cepat mengeluarkan kenyataan menolak, hanya kerana mahu menjaga hati kawan, supaya tidak menjadi lawan.

Tidak semena-mena, bila tiba giliran PKR, sudahlah tidak beritahu Pas, malahan membuat kenyataan akhbar secara terang akan kemasukan kedua tokoh tersebut dalam parti mereka. Lebih dahsyat, diumumkan bersekali dengan jawatan penting dan strategik yang diberikan. Terdesak sangatkah?

Inilah politik rakus, apabila Islam tidak menjadi asas, matlamat menghalalkan cara. Nampaknya, apa yang dinyatakan oleh Machiavelli, lebih 500 tahun lalu menjadi kenyataan. Demi kuasa, manusia sanggup lakukan apa jua cara, sekalipun terpaksa menikam rakan sendiri. Orang agama juga tidak berkecuali. Saya dapat merasakannya.

Tidakkah mereka takut dengan syurga neraka? Bukankah perkara ini yang menjadi buah mulut dan dijajakan ketika ceramah. Kenapa mudah sangat kita bercakap tetapi tidak mengotakan?

Makna politik yang begitu suci, telah tercemar dan ternoda dengan tangan-tangan jahat manusia. Inilah perkara yang perlu ditangani demi mengembalikan semula kesucian politik itu.

Lebih pelik lagi ada yang berani mengeluarkan fatwa sendiri. Baiah yang disumpahi, mahu dilanggar sesuka hati. Bila terkena batang hidung, mereka pun berkata, serahkan pada ALLAH, syurga neraka bukan terletak di tangan Pas. Sedapnya mulut!

Dahulu ketika mahu bertanding atas tiket Pas, kenapa tidak dibangkitkan soal ini? Sekian lama kewujudan Pas, pimpinan silih berganti, baiah terus disepakati.

Tiba-tiba apabila mereka mahu keluar daripada Pas, dengan mudah mahu membatalkan baiah tersebut dengan hanya merujuk kepada seorang dua mufti yang dirasakan memihak kepada mereka.

Apakah ulama yang selama ini berada dalam Pas, ilmunya tidak setanding mufti pada hari ini? Apakah ilmu kalangan mereka yang masih hidup atau telah pergi, tidak setanding mufti Perlis misalnya? Siapakah ulama siku lutut? Saya masih tercari-cari.

Maka, benarlah kata Hans J. Morgenthau, apabila kebenaran mengancam kuasa, kuasa mengancam kebenaran, truth threatens power, and power threatens truth, maka segala cara akan dicari untuk menghalalkannya.

Inilah dilema Melayu. Mereka telah ditimpa masalah. Tetapi jalan keluar masih tidak dicari. Terus menyalahkan orang lain, hasil masalah yang dicipta sendiri.

Saya tidak nafikan orang lain turut menimbul dan memberikan masalah, seperti ultra kiasu.

Terbaru, gara-gara pilihan raya kampus, seorang pemimpin pelajar, 22 tahun, mengalami kecederaan selepas diserang menggunakan senjata tajam dan disimbah cat, dalam kawasan kampus sendiri. Apa sudah jadi dengan Melayu, kerana kuasa, sehingga dalam kampus pun mereka masih ‘tikam-menikam’.

Adakah troli yang disamak boleh mengembalikan kekuatan orang Melayu?

Perhimpunan Baju Merah 16 September 2015 adalah perhimpunan Melayu. Seramai mana pun baju merah turun, sehingga menenggelamkan bandar raya Kuala Lumpur, ia masih belum meyakinkan saya kekuatan Melayu yang sebenar, kerana realitinya Melayu tidak kuat akibat perpecahan.

Jika sekadar mahu menunjukkan bilangan baju merah yang turun lebih ramai daripada kuning, memang tidak ada masalah. Kerahkan mereka turun, bagi bas dan sedikit habuan, melambak mereka turun. Apa yang kita dapat selepas itu?

Apa guna merah kelihatan banyak jika tidak bersatu, berbanding kuning yang lebih sedikit tetapi bersatu, realitinya? Kuning tidak akan takut kepada merah selagi merah tidak bersatu.

Air mata saya mengalir membaca kata-kata Musli Oli dalam Facebooknya. Saya hadir dua himpunan. Kuning dan Merah. Hasil pemerhatian, peserta Kuning ramai kalangan anak muda elit dan golongan profesional minum di Starbucks, makan di Subway dan Nandos.

Manakala peserta Merah ramai orang veteran parti yang sarapannya nasi dagang, nasi lemak dan ubi rebus. Mereka telah berjuang sekian lama pertahankan kerajaan tetapi cuma dapat tapak gerai untuk berniaga di bulan Ramadan. Sedih tengok pakcik dan makcik terhincut-hincut berarak dari PWTC. Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin Melayu, perjuangkanlah nasib mereka dengan ikhlas dan jujur kerana golongan ini sanggup bergadai nyawa dan harta pertahankan kuasa kamu.

*Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
INSPIRE/PPI, UniSZA


Sumber: Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/bila-matlamat-menghalalkan-cara-1.433313 

Wednesday 2 September 2015

BUKAN TITAH SULTAN JOHOR



KOTA ISKANDAR: Kerajaan Negeri menafikan kenyataan yang didakwa dititah oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang tersebar di laman sosial dan beranggapan ia sengaja dibuat bagi mengeruhkan hubungan baik di antara istana dan kerajaan.
Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah dititah oleh Sultan Ibrahim untuk menjelaskan bahawa baginda tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
“Penyebaran di laman sosial di Facebook kononnya ia adalah titah daripada Tuanku Sultan Johor adalah tidak benar dan Tuanku tidak pernah menulis atau bertitah seperti itu,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata penyebaran kenyataan itu disifatkan sebagai satu tindakan berniat jahat pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan Sultan Johor dengan kerajaan.
Beliau berkata, Kerajaan Johor melalui Penasihat Undang-Undang Negeri akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan kenyataan berkenaan.
“Kita akan lihat siapa yang menyebar dan memperluaskan perkara yang tidak betul ini dan kita akan rujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.