Monday 13 October 2014

Nasib Nelayan Johor dibela

JOHOR BAHRU: Kebajikan dan masa depan golongan nelayan pesisir pantai di Johor yang terjejas akibat kepesatan projek pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di negeri itu bakal terbela menerusi Yayasan Nelayan Negeri, yang kini di peringkat akhir penubuhan.



Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan Azli Mohamad Aziz berkata pihaknya telah pun mencadangkan supaya kerajaan negeri menyumbang dana permulaan sebanyak RM10 juta kepada yayasan itu.

"Idea di sebalik penubuhan Yayasan Nelayan Negeri Johor itu datang daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan kebajikan dan masa depan golongan nelayan di Johor terbela."

"Menerusi dana permulaan itu, Yayasan Nelayan bercadang untuk menceburi beberapa bidang perniagaan yang boleh menjana keuntungan, yang kemudiannya akan disalurkan kembali kepada nelayan-nelayan terbabit," katanya kepada Bernama dalam temu ramah di sini.

Azli berkata yayasan itu akan memberi tumpuan membela nasib nelayan yang terjejas akibat pembangunan rancak di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia, termasuk projek penambakan laut Forest City di Gelang Patah.

Yayasan Nelayan yang kini masuk peringkat akhir penubuhannya itu juga akan membantu nelayan pesisir pantai yang terjejas akibat projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang.

Beliau difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bertindak sebagai sekretariat kepada jawatankuasa penubuhan yayasan itu.

"Yayasan itu apabila ditubuhkan kelak akan cuba membantu sebaik mungkin nelayan-nelayan yang terjejas di Gelang Patah akibat projek penambakan laut Forest City itu serta nelayan di Pengerang akibat projek RAPID," katanya.

Projek RAPID di Pengerang pula dipelopori oleh Petronas, yang komited untuk menjadikan Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas di rantau Asia.

Azli berkata Yayasan Nelayan Negeri Johor itu bercadang untuk menceburi bidang pertanian seperti penanaman kelapa sawit dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Johor (JOSFA) dan industri-industri lain.

Beliau berkata yayasan itu akan menggunakan model perniagaan yang telah pun berjaya dipraktikkan oleh JOSFA dalam usahanya untuk meningkatkan taraf ekonomi nelayan yang terjejas itu.

"Golongan nelayan tidak menolak pembangunan yang sedang pesat berlaku di Johor, tetapi pada masa sama, kami tidak mahu dipinggir atau diketepikan. Kebajikan dan masa depan kami perlu dijaga," katanya.