Monday 24 February 2014

Bantuan & Peluang Memiliki Perumahan Rakyat 1Malaysia #PR1MA



1. Apakah kriteria kelayakan untuk memohon kediaman PR1MA?
• Warganegara Malaysia.
• Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun semasa permohonan dibuat.
• Individu atau keluarga (suami isteri) dengan pendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 – RM7,500.
• Pemohon atau pasangannya tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.
• Mengikut garis panduan tambahan yang ditetapkan oleh PR1MA. 

2. Bolehkah saya mendaftar untuk PR1MA sebagai kediaman kedua saya?
Ya, anda boleh mendaftar.

3. Jika saya di Malaysia tetapi isteri saya berada di luar negara, adakah kami layak untuk mendaftar?
Ya, anda boleh mendaftar selagi pendapatan purata isi rumah adalah antara RM2,500 – RM7,500. 

PENDAFTARAN
1. Bagaimanakah mendaftar untuk kediaman PR1MA?

Pendaftaran boleh dilakukan secara online di laman web rasmi PR1MA diwww.pr1ma.my

2. Adakah terdapat sebarang bayaran dikenakan untuk mendaftar kediaman PR1MA?

PR1MA tidak mengenakan sebarang yuran pendaftaran. PR1MA juga tidak melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga dalam menawarkan perkhidmatan untuk mengisi borang atau menyediakan peruntukan khas untuk rumah PR1MA. 

3. Adakah pasangan saya perlu mendaftar sekiranya saya telah mendaftar untuk kediaman PR1MA?

Setiap pasangan perlu mendaftar sekali secara bersama. Jika anda sudah berkahwin, sertakan butiran pasangan anda dalam borang pendaftaran.

4. Saya akan berkahwin tidak lama lagi. Perlukah saya memohon sebagai individu atau pasangan?

Anda boleh memohon sebagai individu buat masa sekarang. Walau bagaimanapun, untuk permohonan dan cabutan undi, anda perlu mengemas kini maklumat peribadi seperti butiran diri pasangan anda.

5. Berapa kerap saya perlu mengemas kini profil saya?

Anda perlu mengemas kini maklumat anda di dalam sistem pendaftaran PR1MA jika terdapat sebarang perubahan.

6. Apakah yang perlu saya lakukan jika saya menghadapi masalah semasa membuat pendaftaran?

Sila hubungi Pusat Panggilan PR1MA di talian 03-7962 4374 yang beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat (9:00 pagi – 6:00 petang) atau Sabtu (9:00 pagi –1:00 petang). Anda juga boleh e-melkan ke info@pr1ma.my

7. Terdapat kesilapan IT di bahagian pendaftaran di laman web PR1MA. Apa yang perlu saya lakukan?

Sila e-melkan paparan skrin (screen shot) ke pihak PR1MA ke info@pr1ma.my

8. Di manakah saya boleh melihat senarai dokumen yang diperlukan untuk proses pendaftaran PR1MA?


9. Saya tidak boleh mendaftar kerana Kad Pengenalan saya telah digunakan di dalam sistem. Apa yang perlu saya lakukan?

Hubungi kami di 03-7962 4374 dari jam 9:00 pagi – 6:00 petang dari hari Isnin hingga Jumaat atau Sabtu (9:00 pagi –1:00 petang) maklumkan kepada PR1MA ke info@pr1ma.my. 

10. Bagaimanakah jika saya terlupa kata pengguna/kata laluan?

Anda boleh dapatkan semula dengan mengklik di sinihttps://register.pr1ma.my

11. Apakah dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan PR1MA?

Anda perlu menghantar:
i. Salinan kad pengenalan (KP)
ii. Slip gaji atau penyata bank terkini

PEMBANGUNAN PRIMA

1. Adakah kediaman PR1MA pegangan kekal atau pegangan pajakan?

Ia bergantung kepada hak milik (“pemilik”) tanah pada setiap pembangunan PR1MA.

2. Di manakah lokasi pembangunan PR1MA?

Pembangunan PR1MA terletak di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layarihttp://www.pr1ma.my/pr1ma_homes.php.

3. Bagaimanakah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pelancaran & harga kediaman PR1MA?


4. Berapakah harga kediaman PR1MA?

Kediaman PR1MA berharga dalam lingkungan RM100,000 hingga RM400,000.

5. Apakah saiz-saiz kediaman PR1MA?

Secara umumnya, rumah teres PR1MA berukuran dari 1,400 kps hingga 1,700 kps dan apartmen PR1MA berukuran dari 670 kps hingga 1,300 kps.

6. Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila hubungi:

Pusat Panggilan 03-7962 4374 
Isnin hingga Jumaat (9:00 pagi – 6:00 petang) 
atau Sabtu (9:00 pagi – 1:00 petang) 
E-mel: info@pr1ma.my

Najib Abdul Razak, Perdana Menteri Yang Bersendirian




Awal tahun, PKR cuba melaga-lagakan antara Tun Dr. Mahathir dengan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden UMNO sekarang, Najib Abdul Razak. PKR menyuburkan teori kononnya Tun. Dr. Mahathir sedang merancang untuk menggulingkan Najib Abdul Razak yang merupakan anak didiknya sendiri. Konon-kononnya juga, Tun Dr. Mahathir berkonspirasi dengan Tun Daim Zainuddin untuk tujuan berkenaan, bagi membolehkan Mukhriz Mahathir lebih mudah menjadi Presiden UMNO sekaligus menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Itu teori konspirasi yang cuba disuburkan oleh PKR menerusi lambungan kenyataan Rafizi Ramli, yang semua orang tahu, itu merupakan angan-angan peribadinya dalam usaha untuk menyamatarafkan Najib Abdul Razak dengan Anwar Ibrahim yang dipecat dari UMNO dan anggota kabinet kerana salahlaku dan salahguna kuasa.

Sehingga kini, Anwar Ibrahim masih lagi berangan-angan yang dia sebenarnya telah menjadi mangsa konspirasi dan enggan menerima hakikat bahawa perbuatan salahnya telah terbukti di mahkamah serta dihukum penjara kerana kesalahan tersebut. Disebabkan itulah, sehingga kini dalam setiap ceramahnya, Anwar Ibrahim tidak akan lupa untuk menekankan bahawa dia adalah MANGSA FITNAH dan MANGSA KONSPIRASI. Dia tidak pernah sama sekali menyentuh tentang perjalanan kesnya di mahkamah yang turut mendedahkan pelbagai bukti serta keterangan saksi sehingga dia disabitkan dengan kesalahan yang dituduh ke atasnya.

Dendam Anwar Ibrahim kepada Tun Dr. Mahathir tidak pernah selesai. Dendamnya juga kepada Daim Zainuddin yang telah meminggirkannya dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada tahun 1997, juga tidak pernah berkesudahan.

Pada tahun 1997, walaupun masih bergelar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim yang cenderung dan memaksa sistem IMF dikuatkuasakan dalam rejim kewangan dan ekonomi negara, telah dipetisejukkan. Dia hanya ada jawatan tetapi dia tidak ada kuasa. Semua keputusan membabitkan kewangan dan ekonomi negara telah dipindahkan kepada MTEN dan sekalipun dia berada dalam Jawatan kuasa MTEN, Anwar Ibrahim juga terpaksa menahan tebal muka apabila dia banyak tidak tahu tentang ekonomi seperti OFFSHORE RINGGIT.

Dalam apa juga keadaan pun, Anwar Ibrahim dan orang-orangnya berusaha untuk meletakkan Najib Abdul Razak dalam kondisi sama sepertinya iaitu kononnya menjadi mangsa KONSPIRASI dan FITNAH.

Ironinya, Najib Abdul Razak dilihat tidak berkeupayaan bahkan bertungkus-lumus untuk menyelamatkan dirinya sendiri daripada terus ditenggelami tohmahan dan fitnah Anwar Ibrahim. Biarpun satu persatu fitnah dan tohmahan Anwar Ibrahim berjaya diselesaikan sendiri memandangkan asas kepada semua itu adalah fitnah tidak berasas, tetapi dari semasa ke semasa, Anwar Ibrahim tetap membayangi Najib Abdul Razak. Kalaupun bukan dalam bentuk tubuh badan asal Anwar Ibrahim atau konco-konconya yang rapat dari PKR, tetapi suara-suara Anwar Ibrahim boleh didengar daripada sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.

Sesuatu yang amat malang, memandangkan pemimpin-pemimpin UMNO itulah sepatutnya yang membela Presiden mereka, bukannya menambahkan garam dan memerah limau nipis di atas luka pada badan Najib Abdul Razak.

Dua hari lepas, di Facebook, seorang pemimpin UMNO Bahagian cuba mengajar Najib Abdul Razak agar meletak jawatan kerana tidak berkemampuan lagi. Sesuatu yang dilupai oleh pemimpin UMNO Bahagian itu ialah, kelemahan yang terlibat pada Najib Abdul Razak sebenarnya bermula daripada kelemahan serta kepincangan pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO sendiri.

Dari tahun 2009 iaitu pada ketika Najib Abdul Razak mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Badawi, berapa ramaikah pemimpin UMNO Bahagian yang membela Najib berbanding mencelanya? Berapa banyakkah sokongan yang mereka berikan kepadanya berbanding menikamnya dari belakang terutama sekali apabila mereka kecewa kerana habuan yang diharapkan tidak dimakbulkan oleh Najib Abdul Razak?

Berapa banyak pula program-program yang baik diilhamkan oleh Najib Abdul Razak gagal diterjemahkan oleh pemimpin-pemimpin Bahagian UMNO dalam bentuk undi dan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional, sedangkan mereka sendiri sanggup mengeluakan perbelanjaan yang begitu tinggi untuk memperolehi jawatan yang disandang sekarang?

Sehingga kini, kita tidak dapat melihat keberkesanan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian terutama di kawasan-kawasan yang dahulunya dimiliki oleh UMNO-BN tetapi sekarang sudah berpindah tangan kepada PAS, PKR dan DAP. Sebaliknya mereka menyalahkan pemimpin atasan seperti Presiden dan Timbalan Presiden parti bagi kegagalan fungsi mereka.

Justeru, pemimpin UMNO Bahagian yang mengeluarkan kenyataan agar Najib rela melepaskan jawatan, sepatutnya bertanya kepada dirinya sendiri, apakah dia tidak perlu melepaskan jawatan dan melupakan kuasa dalam UMNO kerana sebagai pemimpin kecil pun, dia gagal memindahkan atau mempengaruhi undi untuk UMNO-BN. Daripada menyalahkan Presiden Parti, mengapa tidak dipindahkan kesalahan tersebut kepada para pemimpin unit-unit kecil yang seharusnya bekerja lebih keras memandangkan mereka sebenarnya yang mahukan jawatan yang sedang disandang, bukannya dilantik oleh Najib Abdul Razak!

Itulah nasib Najib Abdul Razak kalau dibandingkan dengan Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim, buat salah macam mana pun, pasti konco-konconya terutama sekali pemimpin-pemimpin akar umbi akan memberikan sokongan, bahkan sanggup mengada-ngadakan pelbagai cerita hebat tentang Anwar Ibrahim, sedangkan Najib Abdul Razak, walau sebaik mana pun yang dia lakukan, para pemimpin akar umbi menjadi sebahagian daripada tentera Pakatan Rakyat yang ikut menghentam Najib Abdul Razak!

~ hanya luahan hati seorang rakan ~

Sunday 23 February 2014

KENYATAAN MEDIA DATO' KP JAKIM TERHADAP KASSIM AHMAD


KENYATAAN MEDIA DATO' KP JAKIM BERKAITAN "SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN " 


1. JAKIM memandang serius dalam isu yang dibangkitkan dalam" SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD: SUATU PENILAIAN " pada 15 dan 16 Februari 2014 anjuran Ahli Jawatankuasa Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. 

2. Kenyataan-kenyataan daripada para pembentang kertas kerja seminar khususnya berkaitan isu-isu agama adalah seperti yang berikut: 

i. Mempertikaikan Dua Kalimah Syahadah dengan menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW. 

ii. Mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab. 

iii. Mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi 

iv. Mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum dan menuduh Imam Shafi'e yang memulakan doktrin baru dengan menyatakan hadith sebagai satu sumber hukum sama seperti al-Qur'an 

v. Mentafsirkan semula al-Qur'an berdasarkan logik semata-mata dan menolak tafsiran ulama terdahulu 

vi. Mengiktiraf Kod 19 oleh Rashad Khalifa sebagai pentafsir al-Qur'an bagi menggantikan hadith 

vii. Cadangan membuat surat untuk memohon pihak KDN menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad 

3. Jakim juga ingin menjelaskan bahawa pemikiran dan pandangan yang dikemukakan adalah bercanggah dengan prinsip dan juga sumber hukum dalam ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas pegangan masyarakat Islam di Malaysia. Ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut: 
i. Mengucap Dua kalimah Syahadah merupakan rukun Islam yang pertama bagi setiap Muslim yang mengaku dirinya sebagai orang Islam. Mempertikaikan syahadah boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Justeru, orang yang berbuat demikian wajiblah segera bertaubat. 

ii. Ulama telah bersepakat bahawa aurat wanita adalah keseluruhan badannya kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Mempertikaikan hukum yang telah disepakati boleh membawa kepada kesesatan. 

iii. Ulama adalah pewaris Nabi yang berperanan menyampaikan ajaran Islam dari satu generasi ke satu generasi. Mempertikaikan kredibiliti Ulama muktabar dalam mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah suatu yang bercanggah dengan disiplin ilmu yang diwarisi daripada Sahabat dan Salafus Salih. 

iv. adalah sumber kedua perundangan Islam dan sebagai pentafsir kepada al-Qur'an berdasarkan ijma' ulama. 

v. Penafsiran semula al-Qur'an berdasarkan logik akal tidak boleh diterima kerana pentafsiran al-Quran memerlukan disiplin ilmu agama yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam. 

vi. Teori "Kod 19" oleh Rashad Khalifa yang dipegang oleh Kassim Ahmad mengandungi pelbagai penyelewengan akidah dan tidak wajar digunakan untuk mentafsirkan al-Qur'an 

vii. Tindakan untuk menarik semula pengharaman buku-buku tulisan Kassim Ahmad ini adalah tidak wajar kerana ia telah jelas menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar seperti yang telah difatwakan oleh negeri-negeri. 

4. Saya telah meminta pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengambil tindakan dengan pendekatan yang bersesuaian dalam perkara ini. Disamping itu, saya juga memohon kerjasama dari pihak Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dapat memantau dan memberi perhatian terhadap isu ini secara berkesan dan wajar dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada sekiranya bersesuaian. 

5. Suka saya maklumkan bahawa pihak berkuasa agama negeri telah mengambil tindakan penguatkuasaan dan pewartaan fatwa terhadap bahan-bahan penerbitan yang mengandungi dan menyebarkan fahaman anti hadith yang jelas menyeleweng dari ajaran Islam. Apa-apa jua bentuk penerbitan dan atau publisiti yang bertujuan untuk mengembangkan pemikiran atau fahaman anti hadith adalah dilarang dan perlu disekat kerana ia menyalahi fatwa dan undang-undang lain yang berkaitan. 

6. Pihak Jakim dan Jawi juga berhasrat untuk menjemput Dr Kassim Ahmad dan pihak penganjur sebagai satu usaha pihak kami memberikan penjelasank terbaik terhadap dakwaan-dakwaan beliau yang dianggap boleh menjejaskan aqidah umat Islam. 

7. Jutseru itu, memandangkan pemikiran Dr Kassim Ahmad ini boleh dikatakan sebagai pemikiran yang salah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka adalah wajar umat Islam di Malaysia menjauhi aliran pemikiran dan doktrin-doktrin palsu yang seumpama ini. Ini adalah kerana perkara ini boleh memberi implikasi besar kepada akidah umat Islam dan menggugat ketenteraman serta menimbulkan keresahan awam. 

8. Islam menyeru kepada umatnya agar bersatu padu dan mencegah daripada berpecah belah kerana perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam boleh merugikan masyarakat Islam itu sendiri. Ini juga adalah demi untuk membangunkan modal insan yang bertamadun tinggi. 

Sekian, terima kasih. 
'Saya Yang Menurut Perintah' 

DATO' HAJI OTHMAN MUSTAPHA 
19 Februari 2014 

PENERIMA #BR1M2014 Boleh Membuat Tuntutan i-BR1M Perlindungan Insuran.



Cara membuat tuntutan atau menuntut caruman i-BR1M perlindungan insuran nyawa. i-BR1M adalah pelan takaful yang memberi manfaat perlindungan kepada penerima BR1M kategori isirumah/ keluarga. i- BR1M bertujuan membantu meringankan tanggungan penerima dan keluarga penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan. Sumbangan i-BR1M ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan tiada kos dikenakan.

Syarat Kelayakan i-BR1M

Semua penerima BR1M kategori isirumah/ketuakeluarga yang mempunyai tanggungan layak mendapat perlindungan i-BR1M.
Penerima BR1M kategori bujang dan warga emas sebatang kara adalah tidak layak menuntut i-BR1M.

Cara Buat Tuntutan i-BR1M

Borang tuntutan i-BR1Mboleh didapati di pejabat pengendali Takaful atau boleh di dimuat-turun di:

a. Laman web Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dihttp://www.malaysiantakaful.com.my/

b. Laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dihttp://www.hasil.gov.my/

Pembayaran i-BR1M

Borang tuntutan i-BR1M yang lengkap akan diproses dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh permohonan beserta dokumen lengkap diterima oleh pengendali Takaful.

Wednesday 19 February 2014

#PRKKajang Jangan terkejut ahli PAS akan undi BN?

PRK Kajang : Jangan terkejut ahli PAS akan undi BN?


Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal memperlihatkan senario luar biasa sekiranya ahli atau penyokong Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN).


Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, keadaan itu tidak mustahil bakal berlaku bagi menunjukkan mereka hilang kepercayaan terhadap Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Malah, menurut beliau, sebahagian ahli dan penyokong pakatan pembangkang mungkin mengundi calon BN sebagai tanda protes terhadap keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lalu.

"Ahli Pas terutama berpendirian sederhana kini dalam keadaan berbelah-bahagi, mereka hilang kepercayaan terhadap Anwar.

"Mereka akan mengundi calon Bebas atau dalam keadaan luar biasa, mereka akan mengundi calon BN," katanya di sini hari ini.

Samsul Adabi mengulas tentang peluang Anwar untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut dalam situasi Penasihat PKR itu mungkin terpaksa menghadapi tentangan empat calon bertanding atas tiket BN dan Bebas.

Setakat ini, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan; bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar menawarkan diri untuk bertanding menentang Anwar.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon merupakan antara nama yang diramalkan sebagai calon BN.

Dalam perkembangan sama, Samsul Adabi menambah, Anwar boleh ditewaskan sekiranya BN menggunakan strategi yang betul dalam mendekati kira-kira 6,000 pengundi atas pagar di kawasan berkenaan.

Beliau memberitahu, secara rasional, terdapat kemungkinan kumpulan pengundi terbabit memihak kepada BN kerana membantah tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.

"Saya menjangkakan DUN Kajang bakal menjadi medan pertarungan yang sengit antara BN dan pakatan pembangkang seperti yang lazimnya berlaku dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum di negara ini," ujarnya.

Jelas beliau, walaupun terdapat tokoh yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas, peluang mereka menang agak tipis.




Anwar jadi MB? Tentulah saya takut, orang tak selamat - Dr M



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata beliau memang 'takut' sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor. Menurut beliau orang ramai tidak akan berasa 'selamat' sekiranya Anwar menjadi pemimpin berikutan perlakuan beliau yang tidak bermoral.

Astaghfirullah, Anwar Ibrahim menghalalkan Kristian..


KENYATAAN MEDIA 
Dato Dr Zulkifli Nordin..



Saya mengecam keras tindakan Anwar Ibrahim & pihak pengurusan Gereja Holy Family, Kajang yang mengadakan program ceramah oleh Anwar pada hari Ahad 16 Feb yang menyentuh isu kalimah Allah di Gereja Holy Family selepas upacara ritual mereka.

Antara lain Anwar dalam ucapannya cuba menghalalkan kristian mengguna kalimah Allah dengan membuat perbandingan bahawa kristian tidak boleh menyebut 'Alhamdulillah' tetapi 'alhamdu lord'.

Sikap Anwar ini dan kegiatan Gereja Holy Family ini jelas secara terang mempertikaikan titah Tuanku Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh kristian di Selangor.

Kedua, ianya jelas cuba menganjurkan penganut kristian Selangor supaya melanggar Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pendakyahan Agama Bukan Islam Selangor.

Ketiga, ianya penghinaan kepada titah Tuanku YDP Agong yang telah menitahkan kalimah Allah tidak boleh digunakan selain Islam.

Tindakan mereka ini juga jelas menunjukkan mereka tidak menghormati & membelakangkan Rukunegara yang memperuntukkan Kesetiaan kepada Raja & Negara serta Keluhuran Undang-Undang.

Saya mendesak pihak berkuasa supaya tidak lagi segan silu untuk mengambil tindakan terhadap Anwar dan pihak gereja yang semakin kurang ajar dan tidak langsung mengerti menghormati undang-undang negara.

Berapa lama rakyat mahu dibiarkan dengan sikap toleransi super-tinggi oleh pihak berkuasa yang kelihatan terlalu berhati-hati dalam kes membabitkan Anwar dan pihak gereja ini.

Jangan sampai umat Islam hilang sabar dan mengambil tindakan kerana sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada sistem perundangan dan penguatkuasaan kita.

Sekian terima kasih.

Yang benar

Zulkifli Noordin
17 R'Akhir 1435

Cara Semak Keputusan BR1M 2014


1. Talian Hotline BR1M 2014
Untuk membuat semakan BR1M 2014 pemohon boleh hubungi talian Hotline BR1M 2014 di talian 1-800-222-500 / 1-800-88-2716 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

2. Emel BR1M 2014
Semakan keputusan BR1M 2014 boleh juga disemak melalui emel br1m3@treasury.gov.my bermula Februari 2014. Pemohon akan menerima balasan sekitar 1 hinga 3 hari bekerja. Pemohon perlu memasukkan nama dan no kad pengenalan ke emel tersebut.

3. Melalui Pejabat Pos
Bagi yang tidak kemaskini akaun bank untuk permohonan BR1M 2014 kali ini, pemohon yang berjaya akan dihantar surat pengesahan ke alamat pemohon secara berperingkat-peringkat. Pemohon akan diberitahu tempat pengambilan baucar BR1M 2014 dalam surat tersebut.

4. Semakan BR1M 2014 Online
Anda hanya perlu masuk ke laman ini https://ebr1m.hasil.gov.my untuk semak status permohonan BR1M 2014 secara online.

Tuesday 18 February 2014

#MuafakatJohor RM1.6j bina laluan basikal IM



JOHOR BAHRU 16 Feb. - Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat untuk menambah baik dan menyediakan laluan basikal serta pejalan kaki di Iskandar Malaysia (IM) seiring dengan galakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. 

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah menyalurkan dana tambahan sebanyak RM100,000 dalam usaha menjayakan inisiatif tersebut dalam tempoh terdekat. 

"Ia akan dikelolakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Peruntukan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ini adalah satu daripada beberapa aktiviti di bawah Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Sihat. 

"Apa yang ingin ditekankan adalah soal keseimbangan dalam pembangunan termasuk faktor kesihatan masyarakat untuk tinggal dalam satu kawasan yang mengamalkan kehidupan yang sihat," katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada Program Bandar dan Komuniti Bestari dan Pintar Iskandar Malaysia di sini semalam. 

Turut disaksikan adalah pelancaran laluan pejalan kaki dan basikal serta dua taman permainan yang diwartakan sebagai taman bebas asap rokok. 

Yang turut hadir, Pengerusi UM Land, Tun Musa Hitam dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim. 

Mohamed Khaled berkata, galakan promosi gaya hidup sihat memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan keberkesanannya. 

"Terutama pemaju perumahan perlu mengambil inisiatif yang sewajarnya kerana kerajaan akan terus komited dalam soal pembangunan khususnya di Johor Bahru, dengan peranan yang dimainkan IRDA dan masyarakat dalam menjadikan Johor Bahru sebagai metropolis. 

"Tetapi pada masa sama berlandaskan konsep gaya hidup sihat. Sebab itu semua pihak perlu memainkan peranan, bukan semata-mata fokus terhadap pembangunan fizikal serta infrastruktur yang baik tetapi juga menekankan keseimbangan secara holistik," katanya lagi. 

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Populariti #TeresaKok atau Imej #DAP?

Antara populariti dan imej DAP yang dijatuhkan Teresa Kok terus menjadi isu hangat kebelakangan ini. Apakah Teresa Kok tidak mempunyai perasaan apabila menghina pejuang negara yang terkubur semasa menunaikan tanggungjawab mereka?




Apakah tindakan yang akan di ambil di atas kelantangan Teresa Kok? Tindakan TEGAS perlu diambil supaya perkara seperti ini tidak berlaku dan memberikan pengajaran kepda semua pihak agar tidak melakukan dan mengulangi perkara yang sama.



Amanat YAB Menteri Besar Johor kepada Kakitangan Awam Negeri #MuafakatJohor



UCAPAN

Y.A.B. DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI BESAR JOHOR
DI MAJLIS AMANAT Y.A.B. MENTERI BESAR JOHOR
BERSAMA PEGAWAI-PEGAWAI DAN
ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM
NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM TAHUN 2014
DI DEWAN UNDANGAN NEGERI, BANGUNAN SULTAN ISMAIL,
KOTA ISKANDAR, NUSAJAYA
PADA HARI KHAMIS, 13 FEBRUARI 2014
JAM 2.30 PETANG

1.           Alhamdullilah, pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita berhimpun pada petang ini sempena Majlis Amanat kepada Kakitangan dan Agensi Kerajaan bagi tahun 2014. Memandangkan ini adalah amanat sulung sejak menyandang jawatan selaku Menteri Besar, izinkan saya majukan segulung kata-kata penghargaan dan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan yang terus komited terhadap kerja serta prestasi cemerlang sepanjang tahun 2013 yang lepas. Saya ingin memulakan amanat sulung saya ini dengan membuat penegasan bahawasanya saya sangat optimis dengan masa depan Negeri Johor.

2.           Keyakinan saya bukan hanya kerana pertumbuhan positif ekonomi Johor yang pesat dan mapan. Kelestarian ekonomi dan pembangunan hanyalah sebahagian dari pertumbuhan. Keyakinan saya ialah kerana saya sangat mempercayai keupayaan perkhidmatan awam Johor. Saya yakin bahawa saya boleh, dengan kerjasama erat semua penjawat awam dalam negeri Johor, menjadikan negeri ini, dalam lingkungan negeri paling membangun di Malaysia, InsyaAllah.

3.           Saya ingin menjadikan perkhidmatan Kerajaan Negeri diteladani integriti dan keberkesanannnya. Tetapi saya juga percaya, disebalik semua pencapaian perkhidmatan awam Johor, memodenkan perkhidmatan secara menyeluruh atau“a complete modernization of the civil service”, adalah tuntutan yang wajar diperjuangkan. Saya mendambakan perkhidmatan awam Johor yang lebih telus, mendahului persaingan dan berhemah. Saya menyimpan hasrat pegawai-pegawai dibawah pentadbiran saya dapat mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.  Dan pada waktu yang sama, mempunyai kebebasan untuk melaksanakan tanggungjawab demi rakyat dengan penuh amanah dan profesional.

4.           Sesungguhnya, tiada siapa harus meragui keyakinan saya terhadap penjawat awam ini. Saya percaya setiap daripada kita mempunyai pengalaman yang luar biasa dengan penjawat awam. Daripada saat kita di lahirkan, pendidikan kita, sehinggalah kita bekerja sekarang. Secara politiknya, saya memerlukan perkhidmatan awam yang berwibawa dan progresif. Saya yakin Johor dan Malaysia, boleh menjadi sebuah cerita kejayaan yang dibanggakan dalam dekad ini. Kita mempunyai tenaga dan kreativiti, pengalaman dan citra, ketekunan dan kegigihan, untuk menjadi sebuah bangsa dan negara berbudaya tinggi dan maju. Kita boleh melakukannnya kerana kita mempunyai perkhidmatan awam yang berfungsi ‘functioning’.

5.           Lalu kerana itulah saya berazam untuk memodenkan perkhidmatan awam negeri Johor. Kita mesti melakukannya dengan membudayakan nilai kecemerlangan dan dedikasi yang tinggi.  Jika tidak, saya dan Barisan Nasional akan ditolak oleh rakyat dan Johor, serta Malaysia akan terus tersisih dek kemajuan dampak globalisasi. Yakinlah, kita tidak boleh menjadi sebuah cerita kejayaan dalam era ini jika kita tidak mempunyai perkhidmatan awam yang moden dan berwibawa.

6.           Justeru, saya percaya  bahawa 3 dasar utama pentadbiran saya, yang saya ulas sebelum ini termasuk semasa pembentangan ucapan Bajet 2014, iaitu Merakyatkan Kerajaan, Pembangunan Pro-Rakyat dan Muafakat Johor hanya akan berkesan dilaksanakan dengan dokongan padu dan tidak berbelah bahagi daripada semua penjawat awam.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7.           Prestasi pertumbuhan ekonomi Negeri Johor dari tahun 2005 hingga 2012 telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berkembang secara purata pada kadar 6.5%. Pertumbuhan konsisten ini telah menjadikan Johor, sebagai negeri penyumbang keempat tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sebanyak 9.2%.

8.           Semua ini tidak mampu dilakukan tanpa dokongan dan dedikasi luar biasa penjawat awam, dasar yang pro-pertumbuhan dan persekitaran ekonomi yang luas dan progresif. Namun, petunjuk pertumbuhan ini bukanlah pencapaian terbaik yang boleh kita hasilkan. Saya yakin, kita boleh mencapai angka pertumbuhan ekonomi dua digit, jika kita bersama dapat menonjolkan potensi sebenar rakyat Johor. Jika negara Singapura dan Vietnam boleh melakukannya, kenapa tidak kita. Inilah dilema kita; usaha pembangunan kita masih lagi tidak didokong dengan sepenuh hati oleh rakyat Johor.

9.           Benar kita mempunyai perkhidmatan awam yang baik, tetapi ia mempunyai ruang untuk lebih berdaya saing. Benar kita mempunyai sumber asli dan khazanah strategik, tetapi kita juga memerlukan ‘the mindset change’ yang sangat sukar untuk dilakukan. Bila saya merenung kembali kenapa pertumbuhan Johor hanya pada paras yang sederhana disebalik potensi kita yang luar biasa, maka jawapan saya ialah; rakyat Johor berada dalam ‘a confusing crossroad’. Dilema ini lebih mudah saya ungkapkan sebagai sebuah masyarakat yang inginkan pembangunan, namun sikap dan perlakuan, seperti enggan ‘reluctant’ dengan pembangunan. Khuathir akan merugikan dan bimbang akan mengakibatkan kehilangan‘status quo’.

10.       Mereka mahukan pembangunan tetapi juga selesa dengan keadaan semasa dan akhirnya perubahan jadi semacam ‘retorik’. Sentimen ini, saya rasa sudah berbudaya dalam masyarakat Johor. Maka pentadbiran saya harus menangani dilema ini dengan objektif. Kerana jika dibiarkan, ianya akan membantutkan usaha-usaha pembangunan.  Ia akan menjadi halangan kepada usaha Johor mendahului persaingan. Oleh kerana itulah, salah satu agenda besar yang ingin saya nyatakan pada hari ini ialah, kita harus bersungguh-sungguh dalam melakukan ‘anjakan pemikiran ini’ ke arah pembaikan (islah) dan pembaharuan.

11.       Semua rakyat Johor mesti punyai cita-cita besar, menjadikan Johor mutiara di selatan Asia Tenggara. Johor mesti menjadi negeri paling maju dan berdaya saing di rantau ini. Johor mesti menjadikan tanggapan bahawa ia adalah ‘The Backyard of Singapore’suatu sejarah. Johor mesti menjadi Negeri yang bukan sahaja geografinya berhampiran dengan negara maju kelas pertama, tetapi ekonominya juga relevan dan saling berhubungan;‘geographically close to a first world country, but economically relevant and connected’. 

12.       Sejajar dengan itu, kita harus memerangi sikap mundur dan liat untuk berubah ini. Kita mesti menanamkan keyakinan baharu dalam setiap lapisan masyarakat bahawa tahun ini, dekad ini, ketika ini, adalah saat Johor dengan citra baharu. Kita mesti bersama membangunkan Johor yang moden dan menjadi teladan dalam pembangunan. Kita harus keluar dari ‘status quo’ sebagai negeri yang pembangunannya sangat sederhana. Kita melakukannya kerana kita tidak mahu hasil bumi, sumber alam, demografi penduduk yang unik dan khazanah warisan serta alam sekitar ini hanya memberi keuntungan kepada orang lain tetapi tidak kepada anak-anak Johor itu sendiri.

13.       Kita mesti melakukannnya, kerana setiap industri yang kita bangunkan, setiap pelaburan yang kita bawa masuk, setiap pekerjaan yang kita wujudkan, adalah untuk manfaat seluruh penduduk dan rakyat Johor jua. Justeru, saya ingin meyakinkan semua penjawat awam bahawa usaha kita bukan sekadar hanya untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkesan. Ia perlu pergi lebih jauh. Ia harus membangunkan semula nilai positif semua rakyat untuk merubah Johor menjadi negeri termaju. Kita punya tanggungjawab untuk membangunkan keyakinan baharu, bahawa pembangunan itu wajar, perlu dan didambakan. Tiada siapa yang akan ketinggalan jika kita merancangnya dengan baik, dengan bekerja kuat dan dengan perubahan. Saya yakin, kita juga tidak akan membenarkan sesiapa jua menuai kesenangan di atas kelemahan kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

14.     Adalah sangat tidak objektif untuk menilai kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Johor hanya bersandarkan pembangunan Iskandar Malaysia sahaja. Johor bukan hanya Iskandar dan Iskandar hanya sebahagian daripada pertumbuhan Johor. Benar, Iskandar adalah ‘an orchestrated state intervention’untuk memastikan Malaysia memanfaatkan limpahan pertumbuhan ekonomi dari tanah seberang. Tapi kita juga berjaya memastikan Iskandar bukan hadir hanya menampung limpahan ekonomi Singapura. Ia punyai keupayaan dan tarikan tersendiri serta istimewa.

15.       Pada hari ini kita telah berjaya menjadikan Iskandar sangat unik dengan kepelbagaian bentuk pelaburan dan kedatangan pelabur bermutu.  Kalau kita boleh melakukannya di Iskandar, pastinya pengalaman tersebut boleh kita manfaatkan untuk merakayasa (menerapkan) strategi baharu untuk pertumbuhan di kawasan lain di seluruh Negeri Johor. Saya telah lakarkan visi pembangunan ini dalam ucapan Bajet 2014 yang lepas. Maka adalah sewajarnya kita susuli perkara ini dengan lebih bersungguh.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

16.       Sukalah juga saya mengingatkan bahawa strategi pertumbuhan kita janganlah hanya berkisar tentang angka-angka semata;“It cannot be purely based on economic parameters”. Masalah dengan ahli ekonomi ialah semuanya ingin diukur. Tetapi sebaliknya, kita harus memilih pembangunan dalam konteks keseimbangan antara tuntutan material, sosial dan spiritual. Ini adalah strategi pencerahan kepada pembangunan yang lebih mapan. Dengan strategi sedemikian, suatu masa kelak Johor bukan sahaja berupaya menjadi negeri yang boleh melengkapi keperluan orang lain tetapi juga mampu menjadi negeri pesaing yang makmur. Hakikatnya samada suka atau tidak, memilih pembangunan sebenarnya mengundang cabaran. Antara masalah dan cabaran; Kerajaan Negeri pada hari ini serta rakyat Johor sudah pastinya lebih rela untuk memilih cabaran.  Belum pernah dalam sejarah kita, Johor tunduk kepada cabaran atau takut mengambil risiko untuk menguruskan cabaran.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

17.       Model pembangunan ekonomi untuk Johor dan Malaysia moden memerlukan rekayasa yang serius. Seperti yang telah saya lakarkan dalam ucapan Bajet 2014, Johor perlu mula beralih kepada ekonomi berlandaskan idea dan kreativiti. Sektor ekonomi tradisional walau bagaimanapun akan terus mempunyai tempatnya tersendiri.  Sektor ekonomi berteraskan perkhidmatan dan kreatif adalah model ekonomi baharu yang akan menunjangi kelangsungan pembangunan Johor dan Malaysia.

18.       Menyedari keperluan Johor menukar model ekonominya, maka Johor Growth Vision sedang dirangka. Ini merupakan komitmen kita untuk menukar orientasi ekonomi negeri Johor secara transformatif. Natijah yang diharapkan, bukan hanya menjadikan Johor sebuah lingkungan ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi apa yang lebih penting mewujudkan ekonomi yang kelestariannya dipacu oleh prasarana termaju, teknologi moden dan penemuan saintifik.

19.       Suka saya menegaskan 3 faktor kejayaan kritikal Johor Growth Vision ini.Pertama ialah pekerja berilmu dengan kemahiran global. Kedua, ekosistem perniagaan yang kompetitif serta terbuka. Ketiga ialah peranan Kerajaan yang progresif dan perkhidmatan awam yang efektifSemestinya peranan Kerajaan adalah yang paling penting. Dalam soal ini, kita perlu lihat kepada apa yang saya panggil‘the governance gap’ yang serius antara pemikiran dan pendekatan kerajaan semasa dengan persekitaran pantas dek derasnya arus globalisasi.

20.       Keupayaan perkhidmatan awam melakukan penyesuaian yang pantas dan radikal bagi memanfaatkan perubahan, adalah persoalan paling kritikal terhadap masa depan Johor dan Malaysia. Kegagalan untuk berubah akan menjadikan Johor dan Malaysia terus terperangkap dalam ‘the middle income trap’. Implikasinya, semua dasar yang diperkenalkan hanya akan menjadi retorik. Johor dan Malaysia pasti akan ketinggalan.

21.       Bagi membina asas yang kukuh dalam menjayakan Johor Growth Vision ini, kita sedang merangka beberapa dasar intervensi. Antaranya ialah kemasukan para pelabur ke Johor, mestilah lebih selektif. Kita berkehendakkan pemain yang berkualiti. Hanya mereka yang mempunyai ‘the competitive edge’ akan dapat membantu kebolehsaingan Johor dalam jangka masa panjang. Ia juga dapat menjadikan Johor lebih bersedia dalam peralihannya kepada liberalisasi pasaran dan perdagangan yang lebih terbuka. Kebolehsaingan Johor penting kerana ia akan menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan Negara. Pendapatan inilah yang akan membolehkan kita mempunyai sekolah kelas dunia, guru berwibawa, perkhidmatan perubatan termaju, prasarana kelas pertama dan menarik bakat bakal penjawat awam yang terbaik.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

22.       Sesungguhnya, saya amat berterima kasih kepada para penjawat awam kerana kita sedang menyaksikan pertumbuhan hasil negeri secara signifikan.  Alhamdulillah, negeri Johor pada hari ini telah berjaya mengatasi masalah defisit terkumpul dalam akaun hasil disatukan sejak dari tahun 2000.  InsyaAllah pada hujung tahun ini, kita juga akan berusaha mengurangkan hutang kerajaan Negeri secara signifikan.

23.       Tidak lengkap jika segala yang telah saya nyatakan dilaksanakan tanpa sasaran yang boleh diukur. Setiap perancangan Kerajaan perlu ‘the measure of success’ atau ukuran kejayaannya. Ini wajar kerana kita mempunyai pertanggungjawaban. Kita bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat. Dekad ini, semuanya harus telus. Kita juga tidak boleh menjadi pentadbiran moden dan diteladani sekiranya kita gagal menginstitusikan pendekatan untuk mengukur kejayaan. Sejajar dengan dasar ini, Kerajaan Negeri akan mensyaratkan Penunjuk Keberhasilan Utama atau Key Performance Indicator (KPI) kepada setiap agensi kerajaan untuk mengukur dan menilai sasaran mahupun gerak kerja yang telah ditetapkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

24.       Dasar membangunkan keupayaan rakyat adalah strategi penting yang telah dilakarkan dalam Bajet 2014. Johor memerlukan rakyat yang mandiri untuk kelestarian pembangunannya. Tiada strategi lain yang ‘can last the test of time’kecuali melalui pendidikan dan latihan yang baik. Melalui peluang pendidikan, potensi setiap insan boleh ditonjolkan. Ia bukan sahaja tuntutan biasa, ia juga adalah tuntutan agama dan moral, penyuluh jalan yang boleh menerangi kehidupan manusia. Dan pentadbiran saya amat mengutamakan pendidikan. Ini bukan bermakna semua orang harus ke menara gading. Tetapi setiap orang, mesti merasakan mereka punyai ruang dan laluan untuk menonjolkan bakat mereka. Samada ia dilaksanakan melalui pendidikan tinggi atau latihan kemahiran untuk pasaran kerja global, Johor berhasrat menjadi contoh kepada seluruh Malaysia dalam mendemokrasikan ilmu dan kemahiran. Johor tidak mungkin mampu beranjak kepada ekonomi berasaskan ilmu dan kreativiti serta bersifat saintifik tanpa rakyatnya yang mendambakan pengetahuan. 

25.       Sektor perkhidmatan, industri gas dan petroleum, bioteknologi, industri kreatif, pertanian termaju, pelancongan serta pelbagai lagi sektor ekonomi moden memerlukan ‘a globally competitive workforce’. Oleh itu, Johor berhasrat untuk menjadikan pendidikan tinggi dan latihan sebagai agenda besar perubahannya.

26.       Selain menjadikan Iskandar Malaysia dan Pagoh sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi, Johor juga berhasrat untuk menjadi ‘the technical and vocational education hub’ bagi rantau ini. Saya yakin, Johor berpotensi untuk menjadi penyumbang utama kepada keperluan tenaga kerja teknikal dan vokasional di arena antarabangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

27.       Satu lagi dasar penting yang telah saya utarakan dalam Bajet 2014 ialah peri pentingnya Kerajaan bertindak mengurangkan kos sara hidup rakyat. Walaupun kita menyedari peningkatan kos kehidupan adalah disebabkan dinamika ekonomi yang saling bergantungan ‘the dynamics of the interdependence economy’, rakyat yakin Kerajaan ada penyelesaiannya. Kerajaan yang bertanggungjawab pasti akan melakukan sesuatu, kerana berdiam diri dan menyatakan pasaran ekonomi global adalah ‘beyond government’, tidak akan meyakinkan rakyat. Oleh yang demikian, langkah-langkah penyelesaian perlu dicari. Langkah seperti memperbanyakkan projek rumah mampu milik adalah amat bertepatan. Ini bermakna Kerajaan tidak hanya membiarkan kuasa pasaran untuk menentukan kos rumah. Spekulasi pasaran sebenarnya amat merbahaya. Ia hanya memanfaatkan kaum pemodal dan membebankan pembeli. Begitu juga penyediaan prasaran seperti pengangkutan awam. Pengangkutan awam yang efisyen adalah lumrah dan sinomin dengan kualiti hidup negara maju. Selain membolehkan rakyat menikmati kemudahan awam dengan kos yang murah, ia juga mengurangkan ‘the carbon footprint’.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

28.       Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang meningkat, kita harus realistik. Intervensi Kerajaan tidak mungkin dapat mempengaruhi keseluruhan struktur harga barangan. Kuasa pasaran cukup luar biasa pengaruhnya. Namun, kita boleh melakukannya melalui pendekatan lain. Kedai Rakyat 1 Malaysia umpamanya, boleh diperbanyakkan bagi membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah. Ini memberikan rakyat pilihan dan jika dilaksanakan secara berkesan ianya akan membantu mengurangkan beban rakyat secara relatif.

29.       Keputusan Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pelajaran Negeri Johor untuk menjalankan Program Tuisyen SPM YPJ juga adalah langkah penting bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah. Program ini akan dikendalikan oleh pihak sekolah dan dibiayai bersama oleh PIBG dan YPJ.  Ia mempunyai dua matlamat. Pertama, mengurangkan beban ibu bapa dalam membiayai tuisyen untuk anak-anak mereka yang bakal menduduki SPM. Kedua untuk meningkat prestasi akademik pelajar-pelajar terpilih dengan pendapatan ibu bapa atau penjaga mereka tidak melebihi RM 4,000. Ini adalah langkah progresif Kerajaan Johor untuk memastikan ruang meningkatkan prestasi pendidikan terus terbuka luas walaupun dengan peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.

30.       Kerajaan Negeri melalui pembentangan Bajet Persekutuan juga telah bersetuju menaikkan kelayakkan pendapatan isi rumah penjawat awam daripada RM 3,000 kepada RM 5,000 bagi tujuan pemberian subsidi yuran pengasuhan  TASKA di tempat kerja sektor awam. Kadar subsidi yang layak diberi adalah mengikut kadar yuran sebenar atau maksimum RM 180.00 bagi seorang anak. Sekiranya yuran TASKA tersebut melebihi RM 180, baki selebihnya akan ditanggung oleh pegawai berkenaan.

31.       Seterusnya adalah melalui inisatif penubuhan Yayasan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri Johor. Tujuannya antara lain bagi mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat dalam lingkungan sesuatu PBT terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Yayasan ini akan melaksanakan program-program seperti Pembasmian Kemiskinan, Bantuan Persekolahan, Bantuan Sewa Rumah, Latihan Kemahiran dan sebagainya. Setiap PBT dikehendaki menyumbangkan 1 peratus daripada hasil mereka kepada Yayasan tersebut.

32.       Selain itu, kerajaan Negeri pada hari ini ingin mengumumkan suatu Skim Pinjaman Perumahan Anggota Perkhidmatan Awam Johor Tanpa Faedah. Melalui skim ini kerajaan negeri akan menghapuskan kadar faedah sebanyak 4 peratus bagi pinjaman perumahan kakitangan awam negeri berkuatkuasa 1 Mac 2014. Manakala bagi peminjam yang masih mempunyai baki dan dipotong dari gaji bulanan, baki pinjaman terkini akan disediakan pada bulan April hingga Mei 2014 dan bayaran balik mengikut jadual baru skim ini akan dilaksanakan pada bulan Mei atau Jun tahun ini.

33.       Tuntasnya, mesej daripada kesemua langkah ini adalah Kerajaan senantiasa inovatif dalam mendepani permasalahan rakyat. Dan yang paling penting ialah, semua ini disumbang melalui inovasi dasar yang dilakukan oleh penjawat awam.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

34.       Daripada semua pernyataan dasar yang telah saya jelaskan secara ringkas, ternyata peranan penjawat awam sangat penting. Namun yang lebih penting ialah memodenkan perkhidmatan awam. Tetapi soalnya bagaimana kita boleh laksanakan ia dengan peruntukan yang terbatas dan perbelanjaan berhemah. Adakah kita yakin bahawa memodenkan perkhidmatan awam itu akan berjaya kerana banyak sekali Kerajaan yang telah gagal melakukannya. Dan akhirnya, perlukah ia berlaku secepat mungkin dan pada waktu ini?

35.       Jawapan saya mudah. Benar, kita memerlukan peruntukan untuk melakukan pembaharuan. Tetapi kita juga boleh melakukannya tanpa melibatkan kos. Meningkatkan disiplin penjawat awam tidak memerlukan kos. Memastikan kerja disiapkan segera tanpa tertangguh juga tidak melibatkan kos. Komitmen yang tinggi terhadap standard dan mutu tidak melibatkan peruntukan. Memastikan ketelusan dalam pelbagai perkara tidak melibatkan pembiayaan. Malah, keupayaan mengoptimumkan penggunaan teknologi ICT secara signifikan bukan sahaja memodenkan sektor perkhidmatan awam, tetapi menjimatkan kos operasi dengan signifikan. Jadi isunya ialah perspektif; kita boleh melakukannya jika kita melihat usaha memodenkan perkhidmatan awam secara lebih inovatif.

36.       Kedua, bolehkan kita melakukannya? Pasti boleh. Bayangkan perkhidmatan pasport Malaysia boleh disiapkan dalam masa hanya satu jam. Pernahkah kita terfikir bahawa semua urusan di pejabat tanah tidak lagi dilakukan secara manual. Carian boleh dilakukan hanya dalam masa kurang dari 5 minit. Malah urusan pembayaran zakat dan nikah kahwin semuanya secara online! Saya yakin kita boleh melakukannya. Kerana kita belajar dari semua kesilapan lepas. Kita memahami di mana kita pernah gagal. Kita juga mempunyai kualiti penjawat awam yang semakin baik dan berwibawa.

37.       Pasti tiada siapa boleh menafikan kita berupaya melakukan modenisasi perkhidmatan awam. Akhirnya, perlukah kita melakukannnya sekarang, waktu ini, detik ini? Jawapan saya, Perlu!  kerana kita harus seiring dengan perubahan persekitaran. Dunia disekeliling kita dinamikanya amat luar biasa. Pelbagai sektor ekonomi deras berubah, masyarakat berubah,“The state” juga harus berubah. Kita harus berubah sekarang kerana kita harus bertanggungjawab terhadap rakyat dan bukan birokrasi. Perkhidmatan kerajaan sekarang adalah lebih inklusif, lebih bertanggungjawab, lebih peribadi sifatnya. Rakyat adalah keutamaan. Mereka lebih mendesak, lebih kritikal, dan lebih berpengetahuan. Perkhidmatan awam juga adalah tentang kehidupan rakyat, keselesaan rakyat dan kebajikan rakyat.

38.       Pendekatan kita bukan lagi seperti dahulu. Sekarang, bukan lagi ‘top down bureaucracy tetapi ‘bottom up innovation’. Bukan lagi sistem yang ‘opeque’ dan tertutup, tetapi lebih terbuka dan telus. Bukan lagi‘state’ tetapi ‘society’. Percayalah bahawa kualiti perkhidmatan awam yang ingin kita persembahkan sebenarnya adalah kayu ukur sebenar kejayaan sebuah kerajaan, sebuah negara dan sebuah bangsa.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

39.       Saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan iltizam untuk mentadbir Negeri Johor Darul Takzim dengan adil, bertanggungjawab dan inklusif. Pada bahu saya, terpikul beban yang sangat berat. Saya tidak boleh gagal. Saya yakin saya mampu merubah wajah Johor menjadi negeri paling membangun di Malaysia. Keyakinan saya diperteguh oleh kerana saya mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan dan pengalaman perkhidmatan awam. Saya percaya, saudara-saudari akan memberikan yang terbaik pada bangsa dan tanahair.

40.       Lalu saya mengharapkan agar tiga agenda besar saya untuk tahun 2014 ini didukung dan dijayakan dengan bersungguh dan beramanah. Pertama, marilah kita bersama-sama memoden dan melaksanakan transformasi perkhidmatan awam. Pepatah Arab ini bolehlah kita jadikan sandaran. Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan mencari jalan. Jika anda tidak mahu melakukan sesuatu, anda akan mencari alasan.

41.       Kedua, marilah kita, dengan gigih, menjayakan perubahan ‘pemikiran dan sikap’ masyarakat agar sedia bersaing, berkorban dan bekerja kuat untuk pembangunan dan kemakmuran Johor. Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia atau martabat. Dan ketiga, marilah kita menjayakan dasar-dasar utama yang telah dilakarkan dalam ucapan Bajet 2014 agar kejayaan pelaksanaannya, akan dapat dirasai nikmatnya oleh rakyat. Insyallah, jika kita boleh menjayakan tiga agenda besar ini, natijahnya pasti luar biasa pada Johor dan negara.

Sumber: http://muafakatjohor.com/